Sunday 7 August 2016

Provokasi - Polis Terengganu ‘Overacting’ Atau Bernama Yang Berlebih-Lebih?


“...pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada Ahmad Said dan bekas Menteri Besar itu sangat ‘faham’ dengan pesanan demikian...juga tidak benar kononnya enam ADUN UMNO akan memboikot sidang DUN esok.”

Apakah akan berlaku kekecohan di Kuala Terengganu esok?

Pelik juga apabila Polis Terengganu membuat kenyataan berupa amaran dengan mengatakan “Jangan timbulkan provokasi pada sidang DUN Terengganu.”

Malah, Polis Terengganu mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan provokasi dan kekecohan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 14 yang akan berlangsung esok.

Siapa yang akan BUAT KECOH?

Ada sesiapa membuat laporan akan ada kekecohan atau provokasi?

Atau Polis Terengganu pakai sumber ‘hearsay’ dan ramalan-ramalan berupaya khayalan yang dibuat oleh orang tertentu yang takut dengan bayang-bayang?

Kita hormati kerja polis untuk jaga ketenteraman awam tetapi dengan mengeluarkan amaran, ia seolah sesuatu yang buruk akan berlaku.

Semalam pada pertemuan di Putrajaya, Perdana Menteri sudah meminta semua ADUN BN membuat jaminan jangan ada apa-apa provokasi dan membiarkan sidang berjalan dengan tenteram dan teratur.


Pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada semua ADUN BN seramai 16 orang itu, walaupun Ahmad Razif Abdul Rahman TIDAK DIJEMPUT ke pertemuan itu.

Difahamkan juga pesanan Perdana Menteri itu sudah disampaikan kepada Ahmad Said dan bekas Menteri Besar itu sangat ‘faham’ dengan pesanan demikian.

Juga tidak benar kononnya enam (6) ADUN UMNO akan memboikot sidang DUN esok. Kenyataan itu sengaja diada-adakan untuk memburukkan keadaan politik Terengganu oleh pihak tertentu yang bimbang dengan kedudukan Menteri Besar ketika ini.
  
Jadi apabila Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas ke atas sesiapa yang didapati dengan sengaja menimbulkan kekecohan atau huru hara semasa persidangan itu, ia tidak lagi relevan.

Kenyataanya yang dipetik Bernama supaya "Jangan cemari persidangan DUN dengan insiden yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa dan huru hara kepada mana-mana pihak, “ hanya layak direkodkan sebagai bahan berita semata-mata.

Dengan mengatakan, "Sekali lagi saya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kecoh pada persidangan itu berlangsung...biar ia berlansung dengan aman tanpa apa-apa (insiden)," hanyalah kenyataan dasar polis semata.

Mungkin Polis Terengganu tidak berniat melakukan apa-apa kenyataan tetapi apabila soalan ‘provoksi’ Bernama yang menghubungi beliau di Kuala Terengganu semalam, Ketua Polis Terengganu itu ‘terdorong untuk membuat kenyataan sedemikian.

Soalnya apakah kenyataan seperti ini membantu meredakan suasana politik Terengganu ketika ini?

Apakah ada seseorang buat repot mengatakan akan berlaku kekecohan atau provokasi?

Apakah ia akan diakibatkan oleh ‘Geng’ atau penyokong Datuk Seri Ahmad Said?

Mana Ahmad Said ada geng? Dia loneranger, malah tidak terdengar pun dia akan membuat kacau pada persidangan itu.

Polis sewajarnya minta pendapat orang politik Terengganu yang neutral, bukan daripada kumpulan yang ‘tertekan’ ketika ini.

Kita berterima kasih kepada Polis Terengganu kerana berjaya mengesan satu gerakan bergelar 'Gelombang Kuning' yang dipercayai cuba mengaitkan pihak Istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri.


Walaupun Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan gerakan yang sama akan cuba membuat provokasi pada sidang DUN esok yang boleh menggugat ketenteraman awam, ia bukankah sesuatu yang perlu dikeluarkan amaran seolah-olah berlaku kejadian tidak diingini.

Sebelum ini PAS tunjuk perasaan di luar pagar Wisma Darul Iman pada 22 April 2012 tidak ada pun kejadian tidak diingini berlaku.

Malah, kemelut yang berlaku ketika ini tidaklah sehebat kejadian ‘goncag pintu pagar istana’ membantah penolakan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar pada 2008.

Atau juga ‘kekecohan politik sekarang’ tidaklah membawa keadaan ADUN Barisan Nasional (BN) berkumpul di sebuah hotel memboikot sidang DUN yang menunjukkan protes kepada Ahmad Said ketika menjadi Menteri Besar.

Ahmad Said tidak akan ‘gila’ untuk melakukan perbuatan provokasi seperti yang dilakukan oleh ’10 Budak Hitam’ itu.

Juga tidak akan ada perbuatan ‘SMS Ugut Bunuh’ seperti yang berlaku pada April 2009 yang terbukti lebih serius daripada keadaan ketika ini.


Jadi janganlah ‘over acting’ di pihak Polis Terengganu kalaupun ada laporan dibuat pihak tertentu tentang kemungkinan provoksi.

Memanglah, dengan memberi amaran ia akan meredakan keadaan tetapi lihatlah keadaan sebenar, apakah akan ada gerakan di pihak yang ‘membantah’ Menteri Besar.

Seruan supaya Ahmad Razif meletakkan jawatan tidak akan sampai ada tunjuk perasaan atau bantahan jalanan.

Harap Polis Terengganu boleh faham suasana politik Terengganu dan jangan dengar sebelah pihak.

Jangan takutkan orang ramai dengan amaran-amaran yang boleh yebabkan orang ramai rasa gusar dan rimas.

Juga jangan tunjukkan Polis Terengganu berpihak kepada seseorang atau kepada pihak tertentu sahaja.

Hakikatnya tidak ada pun nampak kesan kononnya wujud ‘Gelombang Kuning’  dan kalau ada kita menyokong Polis Terengganu ambil tindakan kerana  menyalahi di bawah Akta Hasutan.

Malah kita wajar beri pujian kepada polis kerana bijak kes ini jika benar ia suatu gerakan yang tersebar di negeri ini.


Polis boleh memberi amaran "Dan jangan mempercayai terdapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu dan jangan cuba mengaibkan Istana di dalam gerakan ini, sebaliknya tidak nampak atau rasa pun kesan ‘Gelombang Kuning’ berkenaan,” namun dengan tiada tangkapan, ia suatu kes yang tidak boleh disahkan.

1 comment:

  1. Ada kala dan ketika pegawai polis alpa tentang bidang kuasa dan terbawa-bawa dengan rentak irama politik.

    ReplyDelete