Monday 15 August 2016

Layak Ke Suku Akhir - Tahniah T-Team, Pasukan Kecil Bercita-cita Besar...

Pemain pasukan Kedah, Baddrol Bakthiar (kanan) mengasak pemain pasukan T-Team, Mohd Akhir Bahari.
T-Team yang diklasifikasikan oleh pegawai tinggi kerajaan Terengganu hanya layak dipanggil ‘feeder team’ kini muncul pasukan terbaharu mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Ia dilakukan  selepas mengejutkan Kedah 1-0 di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.

Kemenangan kelmarin (Sabtu 13 Ogos, 2016),  melalui jaringan tunggal Abdoulaye Maiga pada minit ke-58 kelmarin, sudah cukup untuk menceriakan skuad The Titans dan menjadi pasukan kelab kedua yang mara ke suku akhir selepas FELDA United FC.

Kejayaan T-Team itu juga meleburkan rekod tanpa kalah Kedah dalam saingan Piala Malaysia walaupun skuad hijau kuning telah menempah tempah dalam suku akhir Piala Malaysia dan kekal sebagai pendahulu Kumpulan A.

Dalam perlawanan itu, Kedah kembali menerima sentuhan kesebelasan utamanya apabila pemain yang cedera telah pulih sepenuhnya.


Persoalannya di mana pasukan Terengganu FC 1 berbanding dengan Terengganu FC (II) yang sering ‘dianakirikan’ oleh kerajaan Negeri, termasuk dari segi bajet tahunannya?

T-Team yang selama ini dilihat sebagai ‘bayangan’ kepada Team Sang Penyu membuktikan ia pasukan yang mampu bersaing dalam Liga Malaysia.

Tahniah kepada pengurusan, jurulatih dan pemain-pemainnya yang menunjukkan komitmen tinggi.

Sejak musim 2014-1015, iaitu setahun lalu apabila T-Team mendapat sokongan peminat bola sepak tempatan dengan permainannya yang menarik, pasukan itu memperlihatkan keupayaannya yang semakin meningkat.

Walaupun tidak diberikan harapan dan sering diperlekehkan oleh pegawai tinggi kerajaan Terengganu, akhirnya pengurusan T-Team bangkit pada waktu yang sepatutnya.

 Patrick Dos Santos Cruz (kiri) diasak pemain Kedah, Mohamad Syawal Nordin.
Bercakap mengenai T-Team, teringat kepada seorang pegawai sebuah syarikat berkaitan kerajaan Terengganu yang sebelum ini dimarahi oleh pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu kerana ‘mempromosikan T-Team’.

Pegawai berkenaan ditegur kerana membuat beberapa program dengan sebuah stesen radio untuk mempeomosikan T-Team.

Ini termasuk menyediakan program khusus di radio berkenaan, membuat siaran langsung mengenai perlawanan serta kuiz untuk menarik  minat pendengar kepada T-Team.

Selain mendapat peluang mengiklankan nama radio berkenaan di jersey T-Team untuk musim 2014-2015, pegawai berkenaan menjemput pegawai, jurulatih dan pemain untuk bercakap di konti radio berkenaan.

Hasilnya, sokongan orang ramai dan peminat bolasepak Terengganu kepada T-Team bertambah apabila pada musim 1013-2014 penonton ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hanya 300-1,000 orang tetapi untuk perlawanan-perlawanan musim lalu ia menjadi antara 5,000 hingga 10,000 orang.

Peliknya, jika pegawai berkenaan ditegur dengan keras tahun lalu tetapi untuk musim ini, Terengganu Inc, iaitu syarikat pelaburan strategik negeri menaja Terengganu FC dan T-Team dan terpampan nama syarikat itu dijersi kedua-dua pasukan.

Bermakna ia kini menaja secara rasmi sedangkan sebelum ini perbuatan seperti itu dilarang.

Ironinya, ada papan  iklan radio berkenaan terpampang di tepi padang di stadium berkenaan, setiap kali perlawanan melibatkan T –Team.

Apapun itu sudah menjadi pengalaman dan sejarah untuk pegawai berkenaan dan kini T-Team berada di tahap lebih tinggi dan sambutan penonton juga semakin menggalakkan.

Kedah lebih awal melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia.
Kejayaan The Titans itu bagaimanapun memberi kekecewaan kepada dua lagi pasukan dalam Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Sarawak yang terikat 1-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Sarawak terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-14 sebelum Mohd Fandi Othman menyamakan kedudukan buat JDT II tiga minit sebelum berakhir babak pertama.

Bagi aksi Kumpulan C pula, peluang semua pasukan masih terbuka dengan Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PKNS FC berkongsi tujuh mata sementara JDT hanya ketinggalan satu mata di belakang.

Perak yang memerlukan kemenangan untuk mara lebih awal ke suku akhir terpaksa akur selepas tewas 1-2 kepada PKNS di Stadium Shah Alam. Skuad The Bos Gaurus terlebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan kapten, Mohd Shahrul Saad pada minit ke-26.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan untuk separuh masa pertama sahaja apabila PKNS menyamakan kedudukan enam minit selepas bersambung babak kedua menerusi jaringan Juan Manuel Corbelli. Matias Nicolas Hadwa muncul pemusnah buat The Bos Gaurus apabila pemain antarabangsa Palestin itu menjaringkan gol kemenangan PKNS pada minit ke-81.

Sementara itu, di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, JDT menghidupkan kembali peluang ke suku akhir selepas membelasah PDRM 4-1.

Amri Yahyah dan Mohd Nazrin Nawi muncul wira skuad Harimau Selatan selepas masing-masing meledak dua gol sementara jaringan tunggal PDRM di hasilkan Guilherme De Paula pada minit ke-44.

No comments:

Post a Comment