Saturday 26 November 2016

Hakikatnya Malaysia 'Kalah Teruk 0-5' Di Myanmar - Raja Bahrin


"Jika usul kekejaman dan pembunuhan orang Islam di Myanmar dibenarkan dibahas, semua anggota Parlimen boleh menyuarakan pendapat mereka mengenai isu "genocide" yang makin meruncing."

Oleh RAJA BAHRIN SHAH
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara)

Myanmar 5, Malaysia 0 – itulah keputusan sebenar Piala AFF Suzuki 2016 di Yangoon, walaupun keputusan perlawanan bola sepak antara Myanmar dan Malaysia di atas padang malam tadi adalah kalah 0-1.

Satu daripada lima gol itu sebenarnya adalah akibat jaringan sendiri!

Gol pertama: Ia adalah keputusan tidak bijak Kabinet Malaysia untuk meneruskan perlawanan dalam pertandingan yang tidak penting berbanding dengan pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya yang turut dikutuk keras oleh negara bukan Islam.

Gol kedua: Keputusan tidak bertanggungjawab untuk mendedahkan pemain skuad bola sepak Malaysia kepada bahaya untuk ke Yangon dalam suasana bandar raya tersebut digegarkan beberapa letupan bom baru baru ini. Ini adalah alasan yang cukup untuk menarik diri.

Gol ketiga: "Memaksa" pemain bolas sepak kita terus beraksi semasa mereka tertekan dengan pengetahuan rakyat Islam di Myanmar sedang di bunuh beramai-ramai oleh tentera kerajaan negara itu. Dan sehari sebelum beraksi menentagn Myanmar, satu demonstrasi besar diadakan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur.


Gol keempat: Sikap hipokrit (munafik) kerajaan Malaysia yang kononnya mengetuai gerakan Global Movements of Moderates - kononnya mendukung prinsip kesederhanaan - tetapi tidak bertindak mengikut cara sepatutnya terhadap keganasan ekstremis agama di Myanmar membunuh rakyat Islam mereka sendiri.

Gol kelima: Inilah yang merupakan gol jaringan sendiri! Ia berkait tindakan tidak membenarkan usul mengenai kekejaman ke atas etnik Rohingya dibawa anggota Parlimen Kuala Terengganu untuk dibahas di Dewan Rakyat.

Jika usul kekejaman dan pembunuhan orang Islam di Myanmar dibenarkan dibahas, semua anggota Parlimen boleh menyuarakan pendapat mereka mengenai isu "genocide" yang makin meruncing.

Ini boleh dijadikan asas kukuh untuk Malaysia menarik diri daripada perlawanan tersebut.

Masalah ini semuanya berpunca daripada sikap lemah kerajaan yang tiada polisi luar negara yang baik dan tegas.

Jika isu tuntutan kawasan kita di Laut China Selatan oleh China yang telah ditolak oleh tribunal antarabangsa pun kita membisu, jangan diharap hendak membela orang lain.

Negara sendiri pun tidak terbela!

(Sumber -  Malaysiakini)



Monday 21 November 2016

BERSIH5 – Lebai PAS Tak Payah Ugut, Bertindak Sahaja Kepada Yang ‘Biadap’...

Dr Syed Azman sertai BERSIH 5.0 (Gambar Twitter Dr Syed Azman)
Lebai PAS tidak payah berdolak-dalik dan main ugut-ugut kononnya ahli parti itu turun BERSIH 5.0 mungkin berdepan tindakan.

Sudah jelas PAS tolak BERSIH5 dan anggapnya sebagai biadap, jadi tunggu apa lagi?

Semua yang turun menyokong BERSIH5  adalah kalangan yang biadap kepada parti dan Presiden PAS.

Sah sudah yang  datang BERSIH5 itu bersedia untuk digelar ‘biadap’ dan bersedia untuk dikenakan tindakan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang jangan lengah-lengah lagi. Tak payah cakap pusing keliling macam ‘ke....’

Kenakan tindakan tegas bukan ugutan. Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli dan pemimpin PAS lain.

Jangan dengar apa yang dikatakan oleh anggota Majlis Syura PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa  PAS walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.

Ini pendapat mahu berdiplomasi tetapi kenyataan Hadi sudah terang dan jelas.
Malah, Ketua Penerangan PAS , Nasruddin Hassan Tantawi turut  menegaskan bahawa keputusan PAS jelas bahawa parti itu tidak akan sertai Himpunan Bersih 5 maka ahli PAS juga mesti mematuhinya.

Tidak payahlah anggota parlimen Kuala Nerus itu cuba mengambil hati pemimpin PAS yang sedia ke gelanggang BERSIH dengan mengatakan  beliau menyerahkan kepada pimpinan untuk memutuskan sekiranya terdapat sebarang tindakan yang akan diambil.

"Kita tak turun BERSIH secara rasmi tapi tak halang (anggota) untuk pergi," kata Dr Mohd Khairuddin kepada pemberita di perkarangan Dewan Rakyat semalam.

Kata-katanya, "Itu kita akan lihatlah oleh pimpinan macam mana keadaan," hanya mahu meredakan keadaan.

Semalam Hadi kata PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang menyertai perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.


Rujukkan segera mereka itu kepada jawatankuasa disiplin. Tunggu aduan? Tidak payah kerana terang lagi bersuluh ada ahli dan pemimpinnya sertai BERSIH5.

Apa lagi bukti yang mahu dibawa kerana jelas mereka menyertai perhimpunan itu. Ada gambarpun.

Malah mereka bangga di perhimpunan itu apabila dengan sengaja meletakkan di Facebook muka mereka atau diberikan kebenaran untuk gambar disiarkan.

Lebai PAS jangan berdolak-dalik. Jangan jadikan PAS pula ‘biadap’ apabila bersekongkol dengan pemimpin dan ahlinya yang ‘biadap’.

Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memang antara yang hadir dalam acara itu, selain bekas ketua pengarang organ rasmi PAS Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.

Apa pula status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Syed Azman Syed Nawawi yang turut menyertai BERIH5?

Mungkin ada lagi yang menyertai BERSIH5 dan bersedia dikenakan tindakan kerana mereka tahu pemimpin utama sudah memberi amaran.


Hadi yang bercakap kepada pemberita  pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam mengulangi pendirian PAS untuk menolak percubaan mana-mana pihak untuk mencetuskan sesuatu di luar sistem demokrasi.

"Jika ada aduan... parti tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokong PAS yang akur keputusan parti dengan tidak hadir ke perhimpunan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Aduan apa Hadi? Bertindaklah untuk membuktikan PAS parti Islam yang akan menghukum bagi mereka yang menentang arus dan tidak mematuhi keputusan ketua dan jemaah.

Larangan sudah dikeluarkan tetapi mereka ingkar. Apa hukuman terhadap yang ingkar kepada ketua Parti Islam?

Nyata sudah, Hadi sendiri mengatakan, "Kita tidak mahu (dalam) demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi,", jadi tidak ada sebab lagi untuk berlengah.

Kerana itu tidak payahlah Lebai PAS berpusing-pusing, belok kiri dan kanan dalam hal ini.


Bertindaklah. Sama-sama kita lihat apa kesan kepada imej PAS dana pa keputusan mereka yang dikenakan tindakan.