Saturday 21 September 2013

Najib, Muhyiddin, MB, Ketua Menteri Serah Borang Pencalonan Pertahan Jawatan

Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh (kiri) bersama Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang menunjukkan borang calon Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra  pagi ini.
Daripada teganuku

Borang pencalonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun mempertahan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini, diserahkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pukul 8 pagi ini.

Borang itu diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh yang hadir mewakili Najib di Bilik Labuan, tingkat 5, PWTC semasa proses penamaan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pencadang kepada Perdana Menteri bagi jawatan itu manakala penyokongnya ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pukul 8 pagi.

Kertas pencalonan Muhyiddin diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang. Najib ialah pencadang kepada pencalonan Muhyiddin manakala penyokong ialah Tengku Adnan.

Setakat pukul 1.30 tengah hari ini, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri Sabah telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi pemilihan Umno 2013 yang akan berlangsung bulan depan.

Antara yang menarik perhatian ialah Menteri Besar Perlis Azlan Man, yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun. Mereka yang mempertahan jawatan ketua bahagian ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (Libaran), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said (Kemaman) (gambar kaanan), Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Lumut.

Di PERLIS, Azlan akan berhadapan dengan Anggota Parlimen Kangar Ir Shaharuddin Ismail dan bekas timbalan ketua Umno bahagian itu Datuk Hashim Suboh. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Arau.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata 453 borang telah diserahkan di Dewan Residensi setakat ini. Di Kuala Lumpur, Najib yang memenangi kerusi presiden tanpa bertanding pada 26 Mac 2009 dan beliau cuba mempertahankannya bagi penggal kedua kali ini.

Najib dan Muhyiddin menghadiri perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, pagi ini.

Dua hari lepas, Najib mengumumkan akan mempertahan jawatan itu berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.

Muhyiddin memenangi kerusi timbalan presiden parti apabila mengalahkan pencabar tunggalnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan Umno 2009. Beliau cuba untuk mempertahan jawatan itu bagi penggal kedua kali ini.

Wednesday 18 September 2013

Kilang Bioteknologi Di Kertih Bakal Beroperasi Mei Tahun Depan - Wan Ahamad

Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober tahun lalu.
Pembinaan kilang bioteknologi pertama di dunia bagi penghasilan bio-metionina di Kerteh, Terengganu kini sudah siap 80 peratus dan dijangka memulakan operasinya pada Mei tahun depan.

Bio-metionina ialah belerang asid amino yang banyak digunakan untuk makanan haiwan di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata kerajaan negeri berbangga dengan kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu yang berjalan mengikut jadual. 

"Kilang dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion ini adalah antara pelaburan penting di Malaysia. 

"Pemilihan Malaysia (Terengganu) berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini disebabkan insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen yang berjaya menarik perhatian pelabur asing," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di Kemaman, semalam.

Rombongan Terengganu Inc itu diketuai Wan Ahamad, disertai pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Beliau turut berharap bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang, akasia dan cip kayu lain, mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baharu penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.

Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kerteh itu, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.

Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema, sebuah syarikat kimia terkenal dari Perancis dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.

CJ CheilJedang ialah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua. Arkema pula ialah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis yang kini menjalankan operasi di lebih 40 negara seluruh dunia.

Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ialah pencadang utama projek itu.

Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdn Bhd, Azhar Anuar dalam taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc itu. NSE Corporation ialah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan. Azhar berkata dandang wap (Biomass) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam dan ia adalah yang terbesar setakat ini berbanding dandang di Copenhagen dan New York yang hanya mempunyai kapasiti 144 tan sahaja sejam.

Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin dan jambatan timbang, kini masih dalam penyiapan pembinaan.

Kerjasama strategik antara CJ dan Arkema itu dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan. Kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangka diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015.

Friday 13 September 2013

PM Puji Program Walk4Malaysia, Bukti Semangat Juang Rakyat Mempromosi Keamanan


Kerajaan negeri sedia memberi pelbagai bantuan kepada anak Terengganu yang mahu mencipta nama dalam pelbagai bidang mencapai impian mereka, bagi mengharumkan nama negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kesediaan kerajaan negeri berbuat demikian dan memberi peluang yang luas kepada mereka untuk bergiat cergas di bidang sukan membolehkan Terengganu muncul sebagai kuasa sukan di negara ini.

“Saya harap lebih ramai lagi selepas ini rakyat Terengganu yang mejejak langkah Mohd Noor Mat yang mahu mencipta nama berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya bagi mencipta nama dan menaikkan nama Terengganu,” katanya kepada sidang media selepas pelancaran misi “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia) di Putrajaya semalam.


Mohd. Nor seorang pekerja rendah am di Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, akan menunaikan impiannya berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur atau Putrajaya. 

Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang menebal menyebabkan Mohd Noor, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong.

 Menteri Besar selaku Pengerusi BN Negeri telah memberi komitmen menyokong dan akan membantu menjayakan misi tersebut. Pada masa ini Mohd.Nor telah memulakan latihan dengan tumpuan di kawasan pantai bagi menjayakan misi berkenaan.

Menteri Besar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang memberi komintmen yang tinggi bagi menjayakan misi tersebut. Walk 4 Malaysia.

Sementara itu, Najib  menyifatkan program Walk 4 Malaysia iaitu cabaran berjalan kaki sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut, Terengganu ke Putrajaya, sebagai cerminan semangat juang rakyat negara ini dalam mempromosi keamanan dan kedamaian.

Perdana Menteri juga melahirkan rasa kagum terhadap peserta, Mohd Noor Mat, yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada cabaran yang dapat menghalangnya merealisasikan impian itu.

"Kita berasa kagum dengan hasrat dan dedikasi yang ditunjukkan beliau yang mahu membuktikan kepada semua bahawa tiada halangan mahupun cabaran, namun yang wujud hanyalah peluang," katanya ketika melancarkan Walk 4 Malaysia, di Putrajaya, semalam.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Najib juga berharap program itu dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. "Aktiviti berjalan kaki ini seharusnya dijadikan rutin harian kita kerana ia dapat meningkatkan tahap kecergasan individu dan produktiviti di tempat kerja," katanya.

Najib juga meluahkan penghargaan kepada kerajaan negeri Terengganu yang menganjurkan program itu serta agensi lain termasuk syarikat korporat yang menaja.

Jiwa kental dan hati waja yang mahu diterjemahkan Mohd Noor dalam Walk 4 Malaysia ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan jitu pihak berkenaan, katanya.

Walk 4 Malaysia merupakan cetusan idea Mohd Noor, 47, yang mahu menunaikan nazarnya susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai lepas.


Selain beliau, program 13 hari yang bermula 22 Sept ini di Dataran Kuala Besut akan disertai 40 yang lain dari Majlis Sukan Negeri Terengganu. Sepanjang perjalanan mereka akan singgah di 13 destinasi sebelum tiba di Putrajaya.

Pada majlis itu, Khairy menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Noor, bagi pihak Perdana Menteri. Dalam sidang media kemudian, Khairy berkata generasi muda perlu mengambil iktibar dan inspirasi daripada kesungguhan bekas tentera itu yang sanggup mengharung cabaran untuk membuktikan rasa cinta kepada negara.

Sementara itu, Mohd Noor berkata beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cabaran berkenaan. "Saya bagi pihak orang kampung, wakil kepada rakyat Malaysia, saya berjanji bukan kepada Perdana Menteri, bukan kepada Menteri Besar Terengganu, saya berjanji dengan Allah S.W.T bahawa saya akan berjalan kaki dengan tabah dan ikhlas.

"Ini kerana negara ini amat memerlukan rakyat sendiri yang bangkit pada hari ini. Jatuhnya BN, hancurnya Malaysia," katanya dengan nada sebak

Sebelum ini, Mohd Noor yang bertugas sebagai pembantu am rendah di Yayasan Islam Terengganu pernah berjalan kaki sejauh lebih 200 km dari Kuala Besut ke Kemaman. Bapa kepada tujuh anak itu sering melakukan aktiviti berjalan kaki sebagai latihan kecergasan.