Saturday 21 September 2013

Najib, Muhyiddin, MB, Ketua Menteri Serah Borang Pencalonan Pertahan Jawatan

Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh (kiri) bersama Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang menunjukkan borang calon Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra  pagi ini.
Daripada teganuku

Borang pencalonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun mempertahan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini, diserahkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pukul 8 pagi ini.

Borang itu diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh yang hadir mewakili Najib di Bilik Labuan, tingkat 5, PWTC semasa proses penamaan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pencadang kepada Perdana Menteri bagi jawatan itu manakala penyokongnya ialah Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pukul 8 pagi.

Kertas pencalonan Muhyiddin diserahkan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang. Najib ialah pencadang kepada pencalonan Muhyiddin manakala penyokong ialah Tengku Adnan.

Setakat pukul 1.30 tengah hari ini, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri Sabah telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi pemilihan Umno 2013 yang akan berlangsung bulan depan.

Antara yang menarik perhatian ialah Menteri Besar Perlis Azlan Man, yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kangar dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun. Mereka yang mempertahan jawatan ketua bahagian ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (Libaran), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (Rembau), Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said (Kemaman) (gambar kaanan), Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Lumut.

Di PERLIS, Azlan akan berhadapan dengan Anggota Parlimen Kangar Ir Shaharuddin Ismail dan bekas timbalan ketua Umno bahagian itu Datuk Hashim Suboh. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Arau.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata 453 borang telah diserahkan di Dewan Residensi setakat ini. Di Kuala Lumpur, Najib yang memenangi kerusi presiden tanpa bertanding pada 26 Mac 2009 dan beliau cuba mempertahankannya bagi penggal kedua kali ini.

Najib dan Muhyiddin menghadiri perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, pagi ini.

Dua hari lepas, Najib mengumumkan akan mempertahan jawatan itu berdasarkan sokongan dan kepercayaan yang disuarakan anggota parti di peringkat akar umbi.

Muhyiddin memenangi kerusi timbalan presiden parti apabila mengalahkan pencabar tunggalnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan Umno 2009. Beliau cuba untuk mempertahan jawatan itu bagi penggal kedua kali ini.

No comments:

Post a Comment