Sunday 31 July 2016

Projek Biomass - Beginikah Caranya Kerajaan Layan Kontraktor Bumiputera?


Bukan seminggu atau sebulan dua tetapi hampir dua tahun menanti.

Itu nasib dialami kontraktor yang mahu dikenali sebagai Lily Surya, 40, akibat kegagalan kerajaan melunaskan bayaran yang sepatutnya diterima selepas menyiapkan kerja-kerja berkaitan projek dandang wap (biomass) di Kerteh, Terengganu.

Ibu tunggal bagi seorang anak itu mewakili 15 kontraktor lain dengan keseluruhan bayaran sepatutnya mereka terima mencecah RM26 juta. 

Lily memberitahu, projek itu yang diambil alih oleh kerajaan pusat kemudiannya melantik Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk menjelaskan bayaran kepada kesemua kontraktor terbabit.

Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober 2012.
Beliau berkata, selain BiotechCorp, pihak yang dilantik untuk menyelesaikan isu berkenaan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Kewangan (MoF).

"Sampai hari ini, sesen bayaran pun tak terima lagi. Kami sudah banyak kali ulang-alik mesyuarat dengan mereka semua tapi janji (bayaran) bulan ini sudah berganti tahun," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Akibat kegagalan bayaran tersebut, jelasnya, beliau sendiri mengalami masalah kewangan kritikal sehingga tidak mampu menjelaskan sewa rumah dan menghantar anak ke sekolah.

"Beberapa hari lepas, saya sendiri nak makan pun tiada duit. Anak tidur tapi tak makan sejak tengah hari. Dia pun sudah dua hari tak pergi sekolah sebab saya nak isi minyak kereta hantar dia ke sekolah pun tak boleh.
 
Kerja kerja membalut paip antara yang dilakukan syarikat Lily yang merupakan skop insulation.
Antara mesyuarat kumpulan kontraktor terlibat baru baru ini. Dipengerusikan wakil MoF tengah turut hadir Datuk Mazlee (Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal?) dari BiotechCorp (CEO?) yang mereka anggap wakil Perdana Menteri.

"Saya tak malu untuk beritahu sudah habis ikhtiar untuk bayar sewa rumah, makan minum dan anak ke sekolah sebab saya ibu tunggal yang bergantung harap pada pendapatan dari kerja-kerja yang saya buat.

"Tuan rumah pula sudah suruh saya kosongkan rumah sewa kalau masih tak boleh jelaskan tunggakan yang masuk bulan keempat," ceritanya.

Ibu kepada anak berusia 16 tahun itu memberitahu lagi, beliau juga gagal untuk mendapatkan semula barangan kemas yang digadai bagi tujuan mendapatkan dana menyifatkan projek tersebut sebelum ini.

"Untuk makan, saya terpaksa harapkan adik saya yang kerja kampung bagi RM100 untuk kami dua beranak. Bolehlah dapat bertahan buat sementara waktu," ujarnya.

Mengulas lanjut usaha terbaharu dilakukannya bersama kumpulan kontraktor terbabit, Lily berkata, sebahagian daripada mereka telah ke Putrajaya semalam (29 Julai) untuk bertemu dengan pihak MoF.

"Malangnya, kedatangan kami tidak dilayan. Seorang (pegawai MoF) pun tak muncul. Kami macam pengemis duduk di lobi tunggu dari jam 3 sampai dekat pukul 6 petang," keluhnya.

Beliau berkata, sebelum ini telah beberapa kali mereka berbincang dengan MIDA, MoF dan BiotechCorp.

"Sampaikan sudah 'meeting' dengan wakil Datuk Seri Najib Razak. Silih berganti mesyuarat tapi janji tinggal janji. Sekarang kami tidak sabar tunggu lagi," tegasnya.

Sehubungan itu, Lily mewakili kumpulan kontraktor terlibat menyeru Perdana Menteri untuk campur tangan dalam menangani masalah yang berlarutan itu.

"Tolonglah. Kami berharap perkara ini dapat segera diselesaikan," rayunya lagi.

Difahamkan, projek berkenaan bermula pada Jun 2013 sehingga kilang NSE Corporation berjaya disiapkan dengan menyalurkan wap pada 7 Julai 2014 kepada dua kilang milik pelabur asing iaitu CheilJedang (CJ) dari Korea dan syarikat kimia dari Perancis iaitu Arkema dengan nilai pelaburan sebanyak RM 1 billion.

Saturday 30 July 2016

Majlis Pecah Tanah Jadi Majlis Kecam Ahmad Razif?



Pagi semalam (Sabtu, 30 Julai 2016) UMNO Bahagian Kemaman mengadakan majlis pecah tanah untuk membina 30 unit rumah kedai empat dan tiga tingkat di atas tanah milik UMNO Bahagian tersebut.  

Projek usahasama itu disempurnakan oleh Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Ahmad Said.

Projek usaha sama UMNO Bahagian Kemaman dengan Rayhar Properties Sdn Bhd bernilai RM45 jta dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

Harun Kunju adalah pemilik Rayhar Properties yang pernah menyelamatkan Cherokee Ahmad Said yang ‘ditarik’  pada tahun 2000 dahulu.

Ketika itu Barisan Nasional Terengganu kalah, Ahmad Said belum dapat pencen ADUN dan EXCO kerana belum cukup umur 55 tahun maka keretanya mahu kena tarik.

Maka Harun Kunju yang tolong bayar tunggakan sebanyak empat bulan kepada bank.

Melalui usaha sama itu, UMNO Bahagian Kemaman akan menerima lapan unit rumah kedai dengan jangkaan perolehan RM50,000 sebulan hasil sewaan apabila siap kelak.

Tanah itu dimohon di zaman Datuk Seri Idris Jusoh menjadi MB Terengganu di atas inisiatif Setiausaha UMNO bahagian, Zahari Said dan Bendahari UMNO bahagian, Ghani Zahari. Tetapi  Zahari sendiri tidak dijemput menghadiri majlis pecah tanah tersebut.

Yang peliknya majlis itu menjadi majlis kecaman ketua bahagian terhadap MB Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, ADUN Kijal itu cerita kepada hadirin kisah beliau ditamatkan jawatan MB di saat saat mengadakan majlis perkahwinan anaknya.

Cerita basi ini dimainkan semula oleh Ahmad Said untuk menarik simpati hadirin.

Beliau mengecam MB kerana menamatkan peruntukan ADUN Kijal sedangkan beliau masih ADUN BN.

Yang hairannya beliau nampak kesalahan MB, kesalahannya membawa usul tidak percaya kepada MB dalam sidang DUN pada Mac lalu beliau tidak nampak.

Selain mengecam tindakan MB membatalkan peruntukan untuk Bandar Baru Kijal, beliau juga mengecam Pegawai Pembangunan DUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera yang dituduhnya menyokong PAS dalam PRU lalu.

Ini  menyebabkan calon pilihan bekas MB Terengganu itu (Datuk Wan Ahmad Nizam?) tewas teruk.


Malah beliau marahi pegawai khas MB yang menjaga DUN Kijal, Haji Mustapha Abdul Rahman yang mana Ahmad Said kata jangan sampai dia terjumpa Haji Pa, nanti ditamparnya Haji Pa.

Inikah ciri ciri pemimpin UMNO? Sewenang wenangnya mahu tampar orang. Adakah beliau Ketua Bahagian UMNO atau ketua gangster Kemaman?

Hadirin terkejut mendengar ucapan bekas MB Terengganu itu yang mana ucapannya setaraf ketua cawangan.

Pada malam sebelumnya Ahmad Said mempengerusikan mesyuarat penyelaras DUN Kijal di mana 14 orang hadir dari 26 orang ketua cawangan.

Sekali lagi dalam ucapannya, beliau menghentam PM, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana menurutnya akan dibawa ke mahkamah di atas kes 1MDB.

Malah beliau mengungkitkan isu anak tiri Najib, belanja mewah Datin Seri Rosmah Mansor, derma RM2.6 billion.

Beliau turut mengedarkan borang PERKASA  kepada semua ketua cawangan. Beliau mengajak semua ahli UMNO menyertai Perkasa kerana UMNO semakin nazak gara gara penyelwengan Najib Razak.

Beginikah ucapan seorang pemimpin UMNO yang mengajak ahli-ahlinya benci kepada Presiden UMNO?

Kalaulah UMNO masih lagi tidak pecat Ahmad Said, tak tahulah apa nak jadi kepada UMNO kerana ahli bebas mengkritik pemimpin secara terbuka tanpa mengikut saluran parti.

SUKMA - Terengganu Hanya Di Tempat Ketiga Di Belakang Selangor, Sarawak


Acara olahraga temasya Sukma kali ini dianggap yang terbaik selepas 18 edisi penganjurannya dan pelengkapnya pasti kejayaan Khairul Hafiz Jantan (gambar atas) yang mengesahkan kedudukannya sebagai jaguh pecut negara. 

Kemampuannya meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30 saat, dengan catatan baharu 10.18s, pastinya saat yang tidak dapat dilupakan peminat olahraga terutama mereka yang hadir di Stadium Sarawak, Rabu lalu. 

Sehari kemudian wakil Melaka berusia 18 tahun itu, berjaya memadamkan rekod kejohanan acara 200m berusia 14 tahun milik Nazmizan Mohammed dari Terengganu iaitu 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah, selepas mencatat 21.14s di separuh akhir acara itu, sebelum memperbaharuinya dengan masa 21.03s, pada Jumaat.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu turut membantu pasukan Melaka memecahkan rekod kejohanan acara 4x100m dan 4x400m, masing-masing dengan catatan 39.89s dan 3:12.66s. 

Selain Khairul Hafiz, kejayaan atlet muda yang memecahkan rekod kejohanan menerusi acara lontar peluru wanita, baling tukul besi lelaki, lempar cakera lelaki, 200m wanita, 4x100m wanita, serta dekatlon turut memberi petanda masadepan yang cerah buat olahraga negara yang begitu suram sejak kebelakangan ini. 

Bekas jaguh pecut negara, Watson, 40, yang turut dikenali sebagai 'The Flying Dayak' juga mengakui acara olahraga edisi kali ini merupakan yang terbaik pernah beliau saksikan dalam temasya Sukma. 

Sesuatu yang menarik adalah jika pada era 1990-an, saingan 100m hanya membabitkan Watson dan Azmi Ibrahim, kali ini selain Khairul Hafiz, ada dua atlet iaitu Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) dan Jonathan Nyepa (Sarawak) yang mampu memberi saingan, sekali gus membuktikan Malaysia belum ketandusan bakat.

Begitu juga dengan acara 200m apabila atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmi melonjakkan nama dengan berada di kedudukan antara Khairul Hafiz dan Jonathan, dengan mengetepikan Badrul Hisyam yang terpaksa berpuasa hati di tempat keempat.

 
Namun dalam kehebatan atlet muda membuktikan kemampuan mereka di gelanggang, satu faktor yang amat menyedihkan adalah kurangnya penonton yang hadir di Stadium Sarawak. 

Ketika rekod kebangsaan 100m dileburkan petang Rabu lepas, jumlah penonton di stadium adalah kurang daripada 4,000 orang manakala tidak sampai 2,000 penonton hadir sewaktu perlumbaan akhir 200m yang dilangsungkan pagi Jumaat ketika Khairul Hafiz memburu rekod kebangsaan 48 tahun Tan Sri Dr M Jegathesan.


Ini boleh dikaitkan dengan kurangnya minat peminat sukan kepada olahraga berikutan tiadanya ikon tempatan sejak sekian lama tetapi kemunculan Khairul Hafiz, diharap mampu mengubah persepsi itu.-Bernama



Apapun, Selangor mengesahkan jua­ra keseluruhan milik mereka apabila gimnastik artistik menjadi penyelamat kontinjen negeri itu mengekalkan kedudukan teratas pungutan pingat setelah bersaing sengit dengan tuan rumah Sarawak pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) 2016, semalam.

Bagaimanapun tumpuan hari temasya pastinya terarah kepada ibu segala emas, bola sepak, yang berjaya dipertahankan oleh Perak selepas mengalahkan Wilayah Persekutuan (WP) 2-0.

Terdahulu empat pingat emas yang diraih gimnastik artistik sudah memadai buat Selangor menggondol 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa yang menjadikan pungutan keseluruhan 195 pingat.

Renang menjadi penyumbang terbesar Selangor dengan 20 emas yang juga menjadi titik penentu kepada negeri itu memintas dua pencabar terdekat iaitu Sarawak dan WP.

Atlet Selangor, Nur Eli Ellina Azmi ketika beraksi dalam disiplin 'floor excercise' acara gimnastik artistik akhir SUKMA 2016. 
Prestasi konsisten skuad me­nembak Selangor yang menjelmakan enam emas dan gimnastik artistik dengan lima pingat emas, turut mengukuhkan kedudukan mereka di persada senarai pungutan pingat.

Pada hari terakhir, semalam,  tenis menerusi beregu lelaki dan sukan pelayaran dalam acara International Event 420 turut menyumbang satu pingat emas yang sekali gus menjarakkan kedudukan berkelebihan dua emas daripada kontinjen tuan rumah.

Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua boleh berbangga dengan pungutan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa. Kontinjen Bumi Kenyalang itu membuktikan keunggulan mereka dalam sukan tenpin boling, taekwando, wusyu, silat, renang dan olahraga.

Boling muncul penyum­bang pingat emas terbesar buat ne­geri itu setelah menyapu 11 emas dalam sukan tersebut, sementara taekwando merangkul lapan emas keseluruhan.

Dalam pada itu, Terengganu ber­jaya memintas juara Sukma Perlis, dua tahun lalu WP pada hari terakhir temasya yang sekali gus menyaksikan kontinjen dari Pantai Timur tanah air tersebut mengumpul 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Atlet gimnas dari Terengganu, Zul Bahrin Mat Asri (kiri) dan Muhammad Abdul Azim Othman bersemangat selepas memenangi acara masing-masing.
Terengganu sememangnya ti­dak asing dalam sukan berbasikal apabila mereka membolot 14 emas keseluruhan yang turut menyaksikan penguasaan penuh negeri itu berbanding pencabar mereka dari Johor dan Selangor.

Memanah, menembak dan pelayaran turut membantu Terengganu memperbaiki kedudukan dalam kelompok tiga terbaik setelah sukan-sukan itu menyumbang 13 emas kesemuanya.

Kontinjen WP jatuh satu anak tangga untuk menghuni kedudukan keempat pada hari terakhir setelah mengumpul 40 emas, 44 perak dan 41 gangsa.

Thursday 28 July 2016

Setuju Dengan Tanaman Ketum, Ahmad Razif Jemput ‘Malapetaka’?


Kaji dulu jangan cepat nak sambuat sesuatu cadangan yang akan mendatangkan kontroversi, nanti ada yang akan menyifatkan kenyataan itu terlalu awal dan ‘TERDESAK'.

Apa salahnya bincang dulu, jangan cepat bersetuju dengan saranan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk menanam ketum atau mitragyna speciose.

Ini tidak, terus menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan RISDA untuk melaksanakan penanaman pokok ketum bagi tujuan eksport.

Walaupun menyebut sekiranya dibuat mengikut saluran yang betul dan diyakini tidak disalahgunakan, ia suatu kenyataan untuk tunjukkan ia tergesa-gesa.

Tetapi tidakkah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman tahu bahawa pendirian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menganggap cadangan membenarkan pekebun kecil menanam ketum sebagai sumber pendapatan tambahan sebagai menjemput ‘malapetaka’?
  

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam ‘Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952’.

Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Cuma ketum ini tidak ada lagi bukti perubatan, boleh berubat dalam penyelamatan nyawa manusia.

Adalah sesuatu yang ‘pelik bin aneh’, Ahmad Razif pada Selasa lepas boleh kaitkan penanaman ketum dengan mengambil contoh dua taman herba dengan kerjasama  Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu di Pasir Raja, Dungun dan Kuala Berang, Hulu Terengganu selain Taman Herba di Tasik Kenyir yang menjadi pusat penanaman segala jenis herba.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia sekiranya mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun menerusi RISDA serta tidak mendatangkan masalah terutamanya berkaitan dengan penagihannya kerana disalahgunakan.

"Saya yakin sekiranya penanamannya dilakukan oleh sebuah organisasi tentunya akan mampu dikawal daripada disalahgunakan pihak tertentu.

Air Daun Ketum dirampas fiNegeri Sembilan baru0baru ini.
"Kita lihat bagaimana RISDA mampu menyakinkan kerajaan mengenai kaedah akan dilaksanakannya," katanya megenai cadangan RISDA menanam pokok ketum bagi memenuhi permintaan luar negara untuk kegunaan bidang perubatan sekali gus tingkat pendapatan pekebun kecil getah.

Lebih memelikkan, ada pula pegawai di bahagian komunikasi kerajaan, Unit Komunikasi (UKOM) ‘bergembira’ dan menyambut ‘girang’ kenyataan Ahmad Razif itu.

Apakah ketum dikategorikan sebagai herba?

Tak kanlah tidak ada sedikit pun terfikir oleh Ahmad Razif mengenai kemungkinan-kemungkinan kesan buruk hasil cadangan ini untuk menyahut seruan RISDA itu apabila Ahmad Razif bersetuju mengenainya.

Tidak payah Menteri Besar ulas panjang lebarlah mengenai cadangan ini kerana ia memang tidak masuk akal.

Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, DatukSeri Ismail Sabri Yaakob (kiri) sendiri  tidak menyedari RISDA mempunyai rancangan untuk para pekebun kecil menanam sebagai sumber pendapatan tambahan.

Katanya, perbincangan di kementerian ketika ini adalah penamanam tanaman kontan yang dibenarkan undang-undang di ladang-ladang seperti ladang getah.

“Kita memang menggalakkan tanaman tambahan di ladang getah seperti cendawan, tetapi tidak pernah kita sebut ketum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin Selasa lepas memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.

Menurut Zahidi, ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan boleh dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana terdapat permintaan tinggi dari farmasi di sana.

Ketika ini,  penjualan air ketum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan penanamannya secara besar-besaran perlu diteliti secara mendalam.

Ahmad Razif juga perlu mendapatkan pandangan sejawatannya umpamanya dari Perlis yang berdepan dengan isu ketum ini.

Perlis melihat persoalan ini apabila mengatakan Kerajaan Negeri itu sekali lagi menegaskan pendirian melarang mana-mana pihak termasuk penduduk di negeri ini menanam pokok ketum.

Menteri Besarnya,  Datuk Seri Azlan Man (kanan) menegaskan, pemilik tanah yang baru mendapat geran hak milik akan ditarik balik hak milik itu sekiranya didapati terdapat tanaman pokok ketum di atas tanah itu.

"Kerajaan negeri memandang serius isu penanaman pokok ketum serta berpendirian tumbuhan itu  mendatangkan banyak keburukan terutamanya ketagihan (air daun ketum) dalam kalangan anak muda di negeri ini termasuk pelajar sekolah.

"Oleh itu, sebarang dakwaan mengatakan kononnya kerajaan negeri ada berniat membenarkan penanaman pokok tersebut kerana tidak tegas berhubung perkara ini tidak wajar ditimbulkan lagi," katanya.

Azlan berkata beliau menjelaskan perkara itu berikutan ada beberapa pihak yang salah faham mengenai kenyataan dikeluarkan beliau sebelum ini berkaitan tanaman pokok ketum tersebut termasuk hangat dibincangkan di laman sosial.

Katanya sehingga kini beliau tidak pernah terbaca dalam mana-mana buku atau jurnal perubatan menulis dokumen memperakukan secara saintifik daun ketum boleh dijadikan ubat.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berpendapat cadangan membenarkan pekebun kecil menanam sebagai sumber pendapatan tambahan dianggap menjemput ‘malapetaka’.

Pegawai Perhubungan AADK Salehuddin Klewan berkata cadangan penanaman ketum secara meluas seolah membuka ruang luas kepada penyalahgunaan dadah.
  
Dr Suhazeli...tiada bukti baharu
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah mengulas perkara itu mengatakan mungkin diluar pengetahuan beliau  terdapat bukti terbaharu bahawa ketum ini mempunyai khasiat kesihatan yang mendesak sehinggakan agensi rasmi kerajaan ingin mengusulkan kelulusan penanaman ketum di negara kita?

Atau keadaan terdesak dengan harga getah yang semakin hari mengcengkam para pekebun getah, lalu diusul tanaman gantian baru- ketum? “Saya tidak pasti!”

“Terfikir dalam minda nakal saya, kenapa nak komersialkan ketum? Tidak Opium Poppy. Poppy adalah tanaman asas kepada morfin yang digunakan secara luas dalam bidang perubatan, “ katanya.

Menurutnya, pesakit serangan jantung, guna sebagai ubat bius, ubat tahan kesakitan sewaktu mahu bersalin dan banyak lagi manfaat lain. “Sudah banyak kajian yang mengkaji keberkesanan morfin ini,” tegasnya.

Polis Perlis kelmarin secara dasarnya tidak bersetuju dengan sebarang cadangan atau usaha mana-mana pihak untuk menjadikan ketum sebagai tanaman komersil dan dieksport ke luar negara.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad berkata pengeksportan tanaman itu pastinya melibatkan kuantiti yang banyak dan dikhuatiri akan memberi implikasi lebih buruk.

"Usaha tersebut dilihat hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja, sedangkan kesan mudarat itu lebih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat," katanya di Kangar.

Pesanan penting Noor Mushar ialah dengan  mengambil contoh seperti yang berlaku di Golden Triangle (sempadan tiga negara antara Myanmar, Laos dan Thailand) yang merupakan kawasan tanaman ganja di mana ia didakwa bagi tujuan perubatan,  namun akhirnya menjadi aktiviti mengaut keuntungan semata-mata!!!

50 Pertubuhan Bukan Kerajaan Sertai Kongres Rakyat Terengganu


Seramai 1,000 orang ahli-ahli daripada lebih 50 buah Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dijangka berhimpun dalam Kongres Rakyat Terengganu, yang diadakan pada 20 Ogos depan.

Pengerusi Kongres tersebut, Yahaya Ali berkata, penglibatan tersebut dari kalangan pelbagai NGO berdasarkan ‘cluster’ masing-masing termasuk badan-badan profesional antaranya peguam dan doktor.

“Program kita yang akan diadakan pada 20 Ogos nanti di ‘Terengganu Equastrian Resort’ (TER) yang mempunyai kapasiti 1,000 orang…kita harap kita dapat kumpulkan jumlah tersebut.

“Setiap NGO kita jemput 5 orang melainkan badan tertentu yang dia rasa tak cukup lima orang, kena tambah lagi..itu akan terpulang kepada budi bicara kepada pihak urusetia,”jelasnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media perisytiharan Kongres Rakyat bersempena Majlis Makan Malam NGO Bersama Media di sebuah restoran di Kuala Terengganu pada Isnin malam, 25 Julai.

Katanya, agenda Kongres tersebut adalah ringkas dan terus kepada perbahasan usul yang melibatkan pelbagai isu di dalam negeri Terengganu.

“Dalam agenda perbahasan isu-isu rakyat ini kita tak mahu panjang…ia dikedadalikan oleh seorang ‘speaker’ dan terus masuk kepada fakta.

“Setiap jurucakap diberi masa 10 hingga 12 minit dan isu banyak, kita bimbang kalau tak jaga masa, kita tak sempat (membahaskan semua isu),”ujarnya.

Menurutnya, antara wakil-wakil NGO yang akan membentangkan usul adalah Persatuan Pengguna Dungun (PADU) yang akan membawa isu kepenggunaan, Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) yang akan membahaskan isu kepimpinan dan pentadbiran, isu-isu ekonomi oleh Persatuan Pengusaha, Pengedar, Pemborong Dan Peruncit Muslim Terengganu serta Majlis Perunding Perlaksanaan Syariat Islam Terengganu yang akan membetangkan isu memartabatkan perundangan Islam.

Katannya, Ahli Parlimen Marang, Datuk  Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS akan menutup Kongres, dan membahaskan isu berkaitan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) yang beliau bentangkan dalam sidang parlimen pada 26 Mei lalu.

“Dari segi jemputan kita tak banyak jemput orang politk parti, tetapi dari segi penutup Kongres oleh kerana dalam pertemuan dengan NGO mereka merasakan sangat penting dan mustahak<

“Isu yang berkaitan pindaan akta 355 itu diambil peluang dan kesempatan (dalam kongres ini) mereka merasakan orang yang paling layak dijemput untuk melengkapkan program ini adalah Abdul Hadi.

“Sebagai ahli parlimen yang membentangkan usul ini di parlimen,”kaya Yahaya.

Oleh itu, beliau berkata, Kongres tersebut akan menyelesaikan apa-apa pendirian yang dikemukakan oleh rakyat.

Katanya, sebarang pentafsiran samada resolusi kongres itu adalah untuk membantu dan memulihkan kerajaan atau menukar kerajaan adalah terpulang kepada penilaian jurucakap isu-isu pada program itu.

“Kita tidak ada pilihan dan kita merasakan, apa pun penilaian daripada rakyat kita ketepikan dahulu dan terpulang kepada (pihak masing-masing).

“Memanglah yang mempengaruhi keputusan ini adalah pihak berkuasa pihak ‘estastablishment’.

“Itu terpulang kepada penilaian jurucakap yang akan membentang usul nanti…boleh jadi dia akan mengukuhkan kerajaan, boleh jadi dia menambahbaikkan kerajaan (dan) boleh jadi dia berhasrat untuk menukar kerajaan!,”tambah beliau.

Monday 25 July 2016

Ghazali - Bekas ADUN, Penjawat Awam Janganlah Buat ‘Kenyataan Bodoh’!!!


"Bola kini di kaki Ahmad Razif, sebagai kapten pasukan, beliau tendanglah ke mana yang beliau suka, jangan melakukan kesilapan dengan menendang masuk gol sendiri sudahlah!"

Panas juga isu cadangan pelantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan atau Exco sehingga ada perang mulut antara ahli politik di negeri Terengganu.

Sudah tidak boleh ‘gaduh’ dengan PAS, PKR atau AMANAH, kerana tidak tahu apa isu, akhirnya gaduhlah sesama sendiri.

Kelmarin (Ahad), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN)  Ajil yang juga Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) Datuk Rosol Wahid dan bekas ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam berkata Ahmad Said tidak sepatutnya berasa malu mengenai pelantikannya sebagai timbalan exco Terengganu.

Sebaliknya (Ahmad Said) perlu berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan terhadapnya.

Ghazali...jangan buat kenyataan bodoh.
 Berikutan kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas. Ghazali Taib mengingatkan bekas ADUN dan pegawai kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat 'kenyataan bodoh' yang boleh menjejaskan perpaduan Umno dan usaha kerajaan membawa kemajuan di Terengganu.

Menurutnya, isu pelantikan Ahmad Said sebagai timbalan EXCO  telah diselesaikan.

Ada kalangan EXCO sendiri yang mendedahkan bahawa Ahmad Razif kini banyak menerima nasihat daripada Rosol dan Din, yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun.

Jika demikian, kenyataan Ghazali bahawa apa yang diperkatakan oleh  Rosol dan Din dilihat sebagai ‘tidak wajar’ selain menggambarkan wujudnya perbezaan ketara dari segi pendapat dan sikap di kalangan beberapa ADUN UMNO dan bekas ADUN UMNO yang menyokong Ahmad Razif.

"Kita perlu bijak dalam pentadbiran negeri dan tidak mencetuskan lebih banyak isu untuk menteri besar," kata Ghazali.

Kenyataan dua bekas ADUN dan EXCO Terengganu yang diberikan kedudukan penting dalam ‘lingkungan politik Menteri Besar’ itu amat difahami.

Rosol...tidak sepatutnya malu
Mereka berdua nampaknya sengaja tidak mahu memahami apa yang dirasakan oleh Ahmad Said bahawa tawaran Ahmad Razif Abd Rahman itu dilihat ‘satu percubaan untuk memalukan dan menghina beliau.’

Sebagai rekod, Rosol dan Din antara ’10 Budak Hitam’ yang menentang pelantikan Ahmad Said sebagai  Menteri Besar selepas Datuk Seri Idris Jusoh ditolak pelantikan semula sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Istana Terengganu, selepas pilihan raya umum 2008.

Pada 21 Julai Bekas Menteri Besar Terengganu, itu   menolak jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Negeri dengan mengatakan berminat mahu menumpukan perhatian kepada gerakan organisasi bukan kerajaan (NGO) daripada jawatan Timbalan Exco tersebut.

Mengulas perkara itu,  ADUN  Kijal itu menggambarkan tawaran berkenaan seakan-akan mempersendakan beliau yang pernah pegang jawatan nombor satu di negeri itu.

Ahmad Said menegaskan kepimpinan sedia ada tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai wakil rakyat sah yang dipilih secara demokratik setelah bertindak memotong peruntukan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Malah, Ahmad Said bagai menyindir apabila mengatakan : “Saya tidak tahu siapa yang menasihati yang berhormat Menteri Besar Terengganu ketika ini yang menarik balik semua peruntukan untuk DUN Kijal.

“Serupa juga membuat pelantikan tertentu tanpa merujuk kepada saya seolah-olah saya bukan lagi seorang wakil rakyat daripada BN, tetapi tiba-tiba lantik saya pula seolah-olah mengiktiraf saya balik.”
Din Adam...Ketua Bahagian UMNO Dungun

Kemudian pada 24 Julai lalu, di GOMBAK,  Ahmad Said berkata tawaran Ahmad Razif itu seperti satu ‘penghinaan’ buatnya.

“Cuba anda bayangkan sendiri. Macam saya, sudah jadi menteri besar dan tiba-tiba lantik jadi timbalan exco. Awak nak ke? ‘Down grade’. Memalukan. Menghina,” katanya ketika mengulas mengenai tindakannya itu.

Menurut beliau, walaupun belum menerima surat pelantikan secara rasmi dan hanya mengetahui namanya tersenarai sebagai timbalan exco, beliau tidak bersetuju dengan pelantikan itu.

Ahmad  Said yang meletakkan jawatan menteri besar dua tahun lalu kini dilantik yang dipertua PERKASA Terengganu.

Laporan media semalam memetic  Ghazali sebagai berkata, kenyataan telah dikeluarkan bagi menjelaskan mengenai tawaran itu selain menangkis dakwaan Ahmad Said bahawa ia bertujuan untuk memalukan beliau.

"Kenyataan tidak berasas mengenai perkara itu tidak sepatutnya dikeluarkan. Kami - menteri besar, ahli exco dan Adun - sedang bekerja untuk memastikan perpaduan di dalam parti dan keharmonian di kalangan rakyat untuk kemajuan negeri ini.

"Isu menteri besar melantik Ahmad Said sebagai timbalan exco tidak perlu dibahaskan. Menteri Besar juga berkata beliau menghormati keputusan Ahmad Said untuk tidak menerima pelantikan itu," katanya.

Apa mahu dikatakan kerana yang dilantik dan mendapat kedudukan perlulah membela Menteri Besar.

Yang lain dengar. Jika rasa tidak benar, kena berani seperti Ghazali ini.

Yang pasti dan kurang sedap didengar ialah kawasannya, iaitu DUN Ajil sering diganggu oleh Rosol yang dilaporkan sedang berusaha merebut kerusi itu kembali, demi masa depan politiknya.

Sebagai rekod, Ghazali pernah menyatakan sokongannya kepada Ahmad Said, untuk keluar UMNO selepas bekas menteri besar itu mengisytiharkannya sebagai ADUN Bebas.

Amat nyata, Ahmad Razif belum dapat mengatasi ‘perpecahan di kalangan pemimpin UMNO’ negeri dan Ahmad Said terus menjadi watak dan faktor penting dalam politik Terengganu.


“Bola kini di kaki Ahmad Razif, sebagai kapten pasukan, beliau tendanglah ke mana yang beliau suka, jangan melakukan kesilapan dengan menendang masuk gol sendiri sudahlah!’ kata seorang penganalisis politik Terengganu.

Sunday 24 July 2016

Kalau Pilihan Raya Esok Pun, PAS Sudah Bersedia


PAS sudah ada calon yang boleh diketengahkan untuk bertanding pada kerusi parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya akan datang.

Bahkan Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu, Wan Sukari WanAbdulah berkata, sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan esok, PAS tidak ada masalah untuk memilih calon.

“Secara umumnya, calon ini memang ada. Kalau contohnya, berlaku pembubaran Parlimen pada hari ini, kita ada calon.

"Cuma kita…….. tinggal kita nak kemukakan kepada kepimpinan, tinggal lagi (kalau) kepimpinan kata……..Ya……..kita bawa naik (ke peringkat PAS) Pusat,
  
“Sehingga pembubaran itu belum berlaku kita simpan dululah……,”ujarnya ketika ditanya pada Majlis Jamuan Aidil Fitri Pejabat Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Terengganu berkata, PAS tidak ada masalah mengemukakan calon yang berkaliber, bahkan ada ahli-ahli PAS yang yang lebih berkualiti dari Ahli Parlimen sekarang.

“Kita di kawasan Kuala Terengganu ini idak mempunyai masalah untuk mengemukakan calon yang bukan sahaja berkaliber, tapi lebih berkaliber berbanding dengan yang telah sedia ada.

“Terutama yang meninggalkan kita dan menjadi Pengerusi Parti Amanah Negara – PAN. Kita tidak menjadi masalah untuk menggantikan beliau,”jelasnya.

Mengulas tentang ‘cakap-cakap’ pihak tertentu yang menyatakan bahawa PAS akan kehilangan satu keusi DUN di Kuala Terengganu beliau berkata, sesiapa juga bebas membuat andaian.

“Saya rasa sesiapa berhak membuat andaian dalam suasana politik sekarnag ini kita jangan lupa antara aspek yang sangat penting yang dipermainkan oleh mana-mana parti sekali pun dan aspek serangan psikologi.

“(ia dibuat oleh) musuh musuh politik kita (PAS) dengan tujuan melemahkan semangat kita di Kuala Terengganu ini,”katanya.

Namun, kata Ustaz Wan, sebagai sebuah parti yang jelas perjuangannya dan mempunyai ‘akar umbi’ yang baik, PAS masih mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Kita yakin dengan bantuan semua pihak dan dengan izin Allah kita bakal mencapai kemenangan yang kita dapat dalam PRU13. Ini keyakinan kita di Kuala Terengganu,


“Kita tidak suka bermain politik sesama pembangkang ini. Kita akan fokus dengan tugas dan tanggungjawab kita,”tegas beliau.

Friday 22 July 2016

Helo, Helo, Assalamualaikum...Tuan Penasihat Ada Di Mana, Minta Komen..


Ada di mana tu? Di Marang atau Kuala Lumpur?

Aduhai Tuan Penasihat, Datuk Seri Abdul hadi Awang...duit yang dipindah milik dan digunakan oleh beberapa orang yang yang disebut oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kelmarin tu ada yang dibuat berjudi.

Ada juga dibuat untuk melaram dan berhibur melalui parti liar.

Apa kata dan nasihat daripada Tuan Penasihat?

Ramai yang bergumbira (bergembira) dan ramai yang sugul dan terkedu selepas DOJ mengumumkan bahawa pendakwa raya negara itu  percaya lebih daripada AS$ 3.5 bilion (RM14,000 juta) telah disalahgunakan daripada 1MDB dengan  kira-kira AS$1 bilion telah 'dicuri' melalui sistem perbankan negara,.

Yang duit kena curi satu hal tetapi yang tidak kurang menarik turut dilaporkan ialah orang yang dikenali dan digambarkan sebagai rapat dengan Perdana Menteri, iaitu jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low mengeluarkan AS$1.15 juta daripada akaunnya di kasino Las Vegas untuk berjudi dengan beberapa individu.


Ini  termasuk anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Riza Aziz, dan pelakon utama filem Hollywood 'The Wolf Of Wall Street', kata DOJ.

Dalam saman guaman sivil untuk merampas aset yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB, jabatan itu menyenaraikan wang AS$1.15 juta daripada AS$ 41 juta yang didakwa dipesongkan oleh Riza untuk membayar perbelanjaan perjudian untuk dirinya , Low, dan sekutu mereka Eric Tan Kim Loong.

Disebut bahawa pada atau kira-kira 15 Julai 2012, Low mengeluarkan jumlah tunai AS$ 1,150,090 di Kasino Venetian.

"Beberapa individu berjudi bersama Low pada ketika itu, dengan menggunakan akaunnya. Mereka termasuk Aziz iaitu pegasas Red Granite, Christopher 'Joey' McFarland; seorang pelakon utama filem 'The Wolf of Wall Street' (Pelakon Hollywood 1); dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB," kata DOJ.


Kalau ikut laporan ini,  ia lagi ‘sodap’:  

Menurut kertas pertuduhan setebal 136 mukasurat, dana daripada 1MDB digunakan untuk menikmati kehidupan mewah oleh Jho Low serta rakan perniagaannya, termasuk Reza Aziz.

“Jho Low didakwa berjudi tujuh hari do Venetian Casino selepas AS$11 juta (RM44 juta) didepositkan ke dalam akaunnya di kasino berkenaan pada 10 Julai 2012. (Boleh beli apa tu dengan RM44 juta yang digunakan untuk berjudi itu?)

Pada 15 Julai 2012, beberapa individu dilaporkan berjudi dengan Jho Low di kasino berkenaan menggunakan duit daripada akaunnya. Ia membabitkan Reza, Eric Tan Kim Loong, serta sekurang-kurangnya seorang bekas pegawai dari 1MDB (sila cari orang ini dan tolong tarbiahkan dia ya Tuan Guru).

Tan, rakan Jho Low, dilaporkan mempunyai beberapa akaun di mana dana dihantar dan dimasukkan ke akaunnya dari 1MDB.

Dalam tempoh kurang lapan bulan, iaitu antara 30 Oktober 2009 dan 18 Jun 2010, lebih AS$85 juta jumlah dana dikesan di masukkan ke akaun di bank Switzerland atas nama Good Star Ltd yang kemudian dihantar bagi perbelanjaan di kasino di Las Vegas syarikat sewaan kapal layar mewah, pemilik vendor perniagaan sewaan jet, pereka dalaman di London selain pengiriman wang kepada  rakan-rakan perniagaan dan ahli keluarga Jho Low.

Jho Low (kanan) dan Reza (paling kiri)
Menurut rekod bank, Good Star adalah syarikat yang dikawal oleh Jho Low, di mana dia adalah pemilik akaun Good Star dan penandatangan tunggal untuk syarikat itu.

Pemindahan melalui talian antara Oktober 2009 dan  Oktober 2010 termasuk kira-kira AS$12 juta ke kasino Caesars Palace, di Las Vegas casino; serta kira-kira AS$13.4 juta melalui talian ke Las Vegas Sands Corp, iaitu pemilik Kasino Venetian di Las Vegas.”

Memang berjudi hak orang bukan Islam tetapi menggunakan wang syarikat milik negara yang dipunyai rakyat, apakah itu ‘afdal’ caranya.

Tuan Guru boleh beri jawapan ini!

Memang jika nak berpesta tujuh hari tujuh malam untuk bukan Islam itu hak mereka. tetai duitnya duit siapa?

Begitu juga dengan Riza.

Dia memiliki syarikat penerbitan filem Red Granite - yang menerbitkan Wolf of Wall Street - didakwa menggunakan wang bernilai AS$64 juta dikatakan diambil dari 1MDB bagi membiayai filem berkenaan.

Red Granite bagaimanapun menafikan mempunyai maklumat bahawa wang haram digunakan untuk menghasilkan filem berkenaan.

Walaupun tidak menamakan "Pelakon Hollywood 1", dokumen itu bagaimanapun berkata individu berkenaan memenangi anugerah Golden Globe pada tahun 2014 untuk peranannya dalam 'Wolf Wall Street'.

Ini jelas merujuk kepada bintang Hollywood, Leonardo di Caprio, yang memenangi kategori Pelakon Terbaik - Muzik atau Komedy semasa Golden Globe 2014.

Pencalonan Golden Globe lain untuk 'Wolf of Wall Street' adalah untuk kategori Filem Terbaik- Muzik atau Komedy, yang ia tidak menang.
 
Apartmen di Park Laurel New York milik Jho Low dikatakan dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga AS$24 juta.
Selain itu, DOJ turut memaklumkan bahawa dana yang disalahguna itu membeli aset defenden, selain membiayai kehidupan mewah mereka yang turut dibabitkan, seperti membeli barang kemas dan lukisan mahal serta membeli hartanah mewah.

Juga digunakan untuk membayar sewa ahli muzik dan selebriti bagi menghadiri parti dan majlis-majlis mewah anjuran mereka. Berparti habis-habisan katakan....

Jadi Tuan penasihat yang juga Tuan Guru, apa komen dan pendapat mengenai perkara ini?

Tuan Penasihat mahu saksikah?

Masalahnya Tuan Guru, dalam isu atau perbuatan kleptomania seperti ini – erti kleptomanisa tu dalam Kamus Oxford bermaksud seseorang yang mencuri bukan kerana melakukannya berikutan keadaan terdesak atau sangat memerlukan ("irresistible tendency to theft in persons not tempted to it by needy circumstances") tetapi akibat tamak haloba dan kuasa.

Boleh jer macam tu? Bukankah ini kes potong tangan....banyak sangat, potong kaki sekali...atau kalau perlu potong leher. Bukan gitu Tuan Guru?

Cakaplah sikit...nak dengar juga pendapat Tuan Penasihat.

Tolong kami, bantu kami Tuan Guru. Masalah ini sudah semakin rumit tetapi Tuan Penasihat buat diam jer? Mendiamkan diri di Marang ker?

Cepat-cepatlah pergi jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tu.

Bagilah nasihat apa nak dibuat daripada kesan pengumum DOJ tu. Nak cari peguam Islam ker atau apa?

Masa inilah terbaik untuk Tuan Guru menjadi penasihat kerana Perdana Menteri sendiri pun nampak bagaikan ‘hilang arah’ kerana penyokongnya semakin lemah.

Pemimpin UMNO pun bagaikan sudah rimas dengan isu 1MDB ini, jadi masukkan jarum cepat-cepat Tuan Penasihat supaya mendapat balasan setimpal dengan sumbangan yang diberikan, Insyallah!

Jadilah penasihat yang baik, bukan punah sihat ya Tuan Gurru!