Thursday 21 July 2016

Ekuiti Dalam LPT2 – Pilih Antara Injuksi Atau Tuntut Rundingan Dengan Kerajaan Pusat


"Kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol.”

Ultimatum atau kata dua daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Menteri Besar Terengganu.

Usahakan agar dapat  miliki ekuiti atau aset Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau risiko berdepan injuksi penangguhan kutipan tol.

Sikap kerajaan negeri yang tidak mengambil tindakan bersungguh-sungguh terhadap tawaran sama ada ekuiti atau aset LPT2 perlu penjelasan daripada Ahmad Razif Abdul Rahman.

Apakah Ahmad Razif sengaja tidak mahu kerajaan negeri terlibat atau beliau terlepas pandang?

Atau beliau ‘lemah’ dalam perundingan dengan Kerajaan Pusat memandangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini bagaikan ‘telor di hujung tanduk’?

Akibat lemas dengan tekanan, apa lagi selepas pingat kebesarannya di tarik balik, Ahmad Razif hanya nampak kedudukannya sahaja tanpa mempedulikan isu-isu membabitkan rakyat dan kepentingan kerajaan negeri.

LPT2 sepanjang 184 kilometer itu dibuka sepenuhnya pada 31 Dis tahun 2014, yang membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dipendekkan kepada empat jam.


Sabtu lalu (16 Julai 2916), Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar dari PKR, Azan Ismail menuntut Ahmad Razif memberikan jawapan sama ada kerajaan negeri menerima atau menolak tawaran ekuiti itu.

Hakikatnya, inilah masanya untuk kerajaan negeri boleh mengambil peluang untuk memiliki aset dan pengurusan konsesi secara eksklusif dan lebih baik.

Menurut Azan, kerajaan negeri perlu mengambil alih keseluruhan ekuiti ataupun aset LPT2 sebagaimana pengumuman tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan tahun lepas terhadap pemilikan keseluruhan konsesi dan aset-aset LPT.

Azan yang mendakwa mewakili Pakatan Harapan  (membabitkan PKR, DAP dan AMANAH) menegaskan sekiranya pertimbangan oleh kerajaan tidak dibuat dan Ahmad Razif tidak mempunyai jawapan terhadapnya, satu tidakan tegas akan diambil oleh PH.

Pihaknya (PH) akan mengadakan perbincangan dengan  beberapa pihak untuk mengambil tindakan injunksi di mahkamah bagi membolehkan keputusan lebih wajar dibuat.

“Kami faham bahawa keputusan untuk mengutip tol ini datang daripada kementerian ataupun kerajaan Pusat maka kami faham kerajaan negeri Terengganu berada dalam keadaan sukar serta terhimpit dengan keputusan ini.

“Jadi, kami rasa kerajaan negeri tidak berupaya setakat ini untuk berunding atau mencari alternatif lain selain membebankan rakyat negeri Terengganu dan pantai timur. Maka kami rasakan kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol,” katanya.

Pada 18 Julai 2015 Ahmad Razif pernah berkata Kerajaan negeri Terengganu akan berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi memohon sejumlah peratusan saham pengurusan LPT2 daripada syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad.

Menurutnya, LPT2, yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), akan diuruskan oleh PLUS mulai Ogos 2015.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan kira-kira 3,000 anak perantauan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sempena Aidilfitri dan penyerahan surat tawaran menunaikan fardhu haji kepada 12 bakal haji dalam Parlimen Kuala Nerus di Seberang Takir.

Menteri Besar itu menjelaskan, segala kos untuk membaik pulih LPT2 akan dikeluarkan PLUS dan hentian Rehat dan Rawat, gerai dan stesen minyak LPT2 akan mula dibuka selepas bermulanya operasi PLUS.

Azan berpendapat, langkah segera perlu dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan injuksi itu ialah kerajaan negeri Terengganu mengemukakan bantahan kepada Kerajaan Pusat untuk menangguhkan kutipan tol di LPT2 itu dengan serta-merta.


Penangguhan itu akan membolehkan kerajaan negeri merundingkan beberapa perkara, termasuk kadar kutipan tol.

Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu, memberitahu bahawa ia perlu dilakukan demi kepentingan pengguna di laluan terbabit di samping spesifikasi keselamatan serta kemudahan yang boleh dipertikaikan.

Keadaan sekarang langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar berbanding kos pembinaan yang dianggap lebuh raya elit dan termahal di Semenanjung Malaysia.

Beliau menyifatkan pelaksanaan kutipan tol sebagai tergesa-gesa kerana pengumuman dibuat beberapa hari sebelum ia dilaksanakan. Ia juga turut menimbulkan persoalan sedangkan banyak masalah di laluan tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

“Pertimbangan (perlu dibuat) untuk menilai sama ada munasabah atau tidak jumlah kutipan tol 12 sen satu kilometer dengan kemudahan yang tidak mencukupi dan juga kedudukan taraf keselamatan pengguna yang masih lagi dipertikaikan.

“Penangguhan ini juga memberi peluang kepada sama ada perlu berlaku pengurangan dalam kadar tol per kilometer sesuai dengan sumbangan kerajaan negeri ataupun pelaburan kerajaan negeri yang dibuat hampir separuh daripada jumlah (pembinaan) tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri di Pejabat PKR Kuala Terengganu, Gong Kapas, Sabtu lalu.

Beliau juga turut meminta mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan rakyat sekiranya mereka mengambil tindakan mengadakan protes jalanan dan demonstrasi di plaza-plaza tol sebagai bantahan terhadap kutipan terbabit.

“Walaupun ini tidak berlaku dan kita tidak galakkan tetapi kita tahu sejarah apabila tidak ada penyelesaian maka selalunya akan dipilih kaedah sebegini.


Jadi, kita harap keadaan keputusan kutipan tol di Terengganu tidak mencapai keadaan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment