Friday 9 November 2018

Apa Boleh Diharapkan Kepada Pegawai Kerajaan Negeri Untuk Sokongan Politik?


Daripada Blog Lawi Ayam (Sambungan -  (MPKK - Gara-Gara Keputusan & Tindakan 'Bodoh-Sombong' Menteri...)
   
Pada sidang media  mesyuarat pertama Kabinet  Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 23 Mei 2018 lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran lima agensi dan jawatankuasa kerajaan, termasuk  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Yang lain ialah Majlis Profesor Negara (MPN), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perdana Menteri berpendapat, kebanyak institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi  nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

"Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya  fikir kita pun ada kepintaran," katanya. Kini  JKKKP dilihat tidak lagi relevan.

Malah dalam kes JKKKP ini, Perdana Menteri dan Kabinet melihat institusi yang ditubuh dan kakitangannya dilantik oleh kerajaan persekutuan, sebagai terlalu berunsur politik.

Sedangkan, tegas Perdana Menteri,  peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.

"Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran.

"Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu," katanya.

Bagi yang memahami tugas JKKKP yang kini kononnya ditransformasikan menjadi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), mereka hanya mampu  menggeleng kepala.


Mereka tidak percaya sama sekali bahawa kata-kata itu keluar daripada mulut Dr Mahathir sendiri.

Oleh kerana ia ‘arahan Perdana Menteri’, maka tiada yang berani berkata-kata atau memberikan pendapat kedua mengenai perkara berkenaan. Ia sudah jadi perintah.

Kerana itu Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Rina Mohd Harun ‘tertelan lidah’ sejak hari itu.

Sudah pastilah bagi yang tidak ada kena dan tidak sensitif dengan politik dan kepimpinan bawahan, mereka merasakan tindakan itu sebagai suatu tidakan bijak.

Hakikatnya tindakan itu tidak bijak dan merugikan parti pemerintah. Pendapat kedua bukan bantahan perlu dinyatakan.

Kenapa keputusan Perdana Menteri dan Kabinet  HARAPAN itu merugikan jika pegawai kerajaan diberikan tugas menggantikan peranan JKKKP atau MPKK itu?

1.   Memang pegawai kerajaan boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran, termasuk melaksanakan pembangunan di peringkat mukim dan kampung.
Soalanapakah mereka bekerja 24 jam dan menjelajah setiap kampung?

2.   Pegawai kerajaan akan melaksanakan tgas mereka berasaskan ‘arahan kerjaan negeri’ atau juga kerajaan Pusat.
Soalan – apakah semua kerajaan negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis – di bawah HARAPAN?

3.   Pegawai kerajaan melaksanakan visi dan misi pentadbiran negeri khususnya pembangunan di peringkat bawah.
Soalan - Apakah kerajaan negeri diperintah oleh PAS seperti Kelantan dan Terengganu, Barisan Nasional di Pahang dan Perlis akan melaksanakan misi HARAPAN?

4.   Bagaimana dengan peruntukan kerajaan Pusat khususnya daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) akan dibelanjakan?
Soalan - Tidakkan di empat negeri berkenaan, ia akan menguntungkan kerajaan negeri berkenaan dan kemungkinan penyalahgunaan dana untuk penyokong kerajaan negeri sahaja adalah besar.

5.   Peruntukan KPLB sudah semestinya untuk rakyat dan political milagenya diharapkan dipulangkan kepada HARAPAN tetapi?
Soalan -  Apakah kerajaan negeri PAS dan kerajaan negeri BN di empat negeri berkenaan bersedia melakukannya?

Tidakkah akhirnya dana digunakan bukan sahaja tidak memberikan kelebihan kepada HARAPAN tetapi mereka menggunakan dana itu  untuk memperlekeh, memperkecil, menghasut dan menghentam HARAPAN kembali?

Berkaitan pegawai kerajaan – khususnya pegawai pentdabiran negeri, mereka selalunya taat kepada kerajaan yang memerintah.

Pegawai kerajaan sewajarnya hanya menjadi fasilitator kepada anggota MPKK dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan dan keselamatan peringkat bawahan, bukan dengan cara menolak mentah-mentah peranan anggota pembangunan peringkat bawahan seperti MPKK.

Apa jaminan HARAPAN yang membelanjakan dana begitu banyak akan turut dimanfaatkan oleh penyokong mereka?

Tidakkah kelak, apabila dipencilkan, penyokong HARAPAN akan menjadi marah dan meluat yang akhirnya ‘berpaling tadah’?

Malah, ketika pilihan raya, apa jaminan pegawai kerajaan yang bertugas untuk kerajaan negeri yang mereka bekerja dengannya akan menyokong kerajaan HARAPAN?

Gara-gara keputusan Perdana Menteri dan Kabinet, khususnya di negeri yang diperintah oleh pembangkang, mereka akan berputih mata sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Yang juga penting, jangan perkecilkan harapan penyokong HARAPAN sebelum ini kerana jika mereka tidak DIJAGA dan DIBERIKAN RUANG UNTUK sama-sama merancang dan melaksanakan pembangunan peringkat bawahan, sokongan peringkat bawahan akan terhakis.

Jika ini berlaku, mungkin ada kebenarannya kata-kata bahawa kerajaan HARAPAN adalah KERAJAAN SEPENGGAL sahaja.

Baca siri 1-3 sebelum ini:



Siri 3 - MPKK - Gara-Gara Keputusan & Tindakan 'Bodoh-Sombong' Menteri...

Tuesday 30 October 2018

MPKK - Benarkah Kerajaan PAS Terengganu Mendahului Keputusan KPLB?


Daripada Lawi Ayam (Tajuk Asak - MPKK - Kerajaan PAS Terengganu Berniat ‘Merompak Di Siang Hari’???)

Gelojohdan tamaknya pemimpin kerajaan PAS Terengganu berkaitan pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Apakantidak, selepas dua bulan membentuk kerajaan, PAS Terengganu terus melantik anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), juga dikenali dengan J3K.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menerima maklum mesyuarat Mesyuarat Jemaah Menteri (Kabinet) pada 27 Jun 2018 lalu dan berikutan syor Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),kerajaan Terengganu membuah kecoh dengan isu pelantikan dan perubahan namaJawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), kerajaan PAS Terengganu tergesa-gesa mengatakan JKKK diyvah kepada MPKK.

Bagaikandirasuk syaitan, kerajaan PAS Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim tidak sabar-sabar mengatakan  pihaknya sudah melantik anggota MPKK.

Jika sebelum ini (kenyataan Dr Azman pada 2 Ogos 2018 bahawa nama J3K sudah ditukarkan kepada MPKK untuk bersesuaian dengan hasrat KPLB, pada 22 Oktober 2018 Dr Azman anggap kenyataan Senator Datuk Husam Musa mengenai pelantikan MPKK di Kelantan sebagai ‘ketinggalan’.

Maknanya Dr Azman dan kerajaan Terengganu cuba mendahului KPLB.

Laporan Teganukita memetik Dr Azman sebagai menyifatkan bahawa Ahli Dewan Negara itu jauh ketinggalan dalam isu pelantikan MPKK sedangkan majlis itu  di bawah bidang kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dr Azman menegaskan Kerajaan Pusat tidak campur tangan sedikit pun hal perlantikan MPKK, malah menurutnya di Terengganu dari bulan Julai 2018 lagi sudah diselesaikan pelantikan semua 1,700 MPKK.



Ia 
dibuat  tanpa campur tangan kerajaan pusat walaupun MPKK turut mendapat peruntukan Pusat, tegasnya.

Pelik tapi benar. Berniat ambil wang orang lain untuk kegunaan sendiri.

Tetapi sedarkah kerajaan PAS Terengganu bahawa mereka berniat tidak baik untuk ''merompak di siang hari’:

Tidakkah itu wang rakyat, yang bukan sahaja dimiliki oleh penyokong PAS tetapi juga penyokong .Pakatan Harapan (harapan) dan orang UMNO/Barisan Nasional Terengganu?

Dengan bangganya Exco berkenaan mengatakan Terengganu ialah negeri yang pertama menyelesaikan perlantikan MPKK.

Malah, beliau juga mengemukakan pertanyaan: "Kementerian yang bertanggungjawab dalam hal MPKK ialah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, jadiSiapa Husam dalam Kementerian ini untuk membuat kenyataan?”

Beliau mengulas kenyataan Husam yang menyebut seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai MPKK di  Kelantan yang diwujudkan di kesemua 792 kampung di seluruh negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu menyebut, pemilihan bagi jawatan tersebut dibuat kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

"Setiap MPKK di kampung-kampung mempunyai 16 anggota dan daripada jumlah itu, 11 anggota dilantik oleh kerajaan negeri manakala lima lagi dilantik oleh kerajaan Pusat.

"Setiap MPKK akan diberikan geran RM10,000 untuk melaksanakan pelbagai program-program kesejahteraan dan kecantikan kampung," katanya.

Persoalannya bagaimana Husam boleh berkata demikian jika tidak ada asas atau mengetahui kedudukan sebenar isu MPKK ini seperti yang diputuskan  oleh KPLB?

Tuesday 25 September 2018

APA DILAKUKAN OLEH RAJA BAHRIN UNTUK PELAN TINDAKAN NEGERI?



Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sudah membuatkan kerajaan PAS Kelantan tidak tidur lena  apabila mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan (MTPK) .

Majlis  itu yang akan menyelaras, memantau dan mencadangkan pembangunan negeri, dianggap oleh PAS Kelantan sebagai pengekalan dasar dasar “kerajaan dalam kerajaan” yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kebimbangan PAS ditunjukkan melalui amaran yang dikeluarkan oleh PAS Kelantan yang menganggap MTPK itu tidak ubah seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan - agensi pusat yang menyelaras, memantau dan mengawal rapi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pada 19 September lalu, tindakan HARAPAN ini sesuatu yang tidak membawa kebaikan untuk rakyat Kelantan, apa lagi kerajaan negeri.

Tetapi bagaimana dengan HARAPAN Terengganu?

Apakah mereka melakukan perkara yang sama?

Tidak sama sekali. Malah, pemimpin PAS Terengganu tidak bimbang langsung dengan kepimpinan HARAPAN Terengganu kerana Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad tidak berbuat apa-apa.

Bukan sahaja tidak pernah berfikir atau berbincang mengenai perkara ini dengan pemimpin PKR dan BERSATU, malah beliau sudah ‘menghadap’ Menteri Besar Terengganu, kononnya untuk menjadi ‘jambatan antara Posit dan negeri’.

Bertemu untuk mencari peluang atau cuba mencari popularity, namun ternyata beliau silap. Ia dengan pembangkang, bukan dengan sekutu seperti PKR dan BERSATU.

Siapa beri mandat kepada beliau untuk melakukan demikian? Dia sendiri!

Jadi tidak pelik sekiranya HARAPAN Terengganu dilihat lemah, berbanding HARAPAN Kelantan di mana pemimpin PAS Kelantan terpaksa mengungkit dengan mengatakan,  “Pemimpin PH Kelantan, khususnya AMANAH, semasa bersama PAS menentang kewujudan JPP.”


Kebimbangan dan kemarahan PAS Kelantan kepada usaha HARAPAN Kelantan itu menyebabkan Che Abdullah (gambar atas) mengatakan “Mereka tidak mahu gangguan semasa berada dalam kerajaan negeri tapi menjadi pendokong bila mereka tidak berada dalam kerajaan negeri.”

Beliau mengecam langkah HARAPAN di mana dilaporkan Majlis Presiden PH bersetuju dengan cadangan penubuhan MTPK  dan cadangan itu akan diangkat kepada perdana menteri.

Menurut Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah, “JPP akan menjadi urusetia majlis ini.”

Sebagai rekod, JPP Kelantan ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas kerajaan BN tewas di negeri itu pada pilihan raya umum 1990, dan bertanggungjawab secara langsung kepada unit penyelarasan pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan JPP sebagai membazir dan perlu ditutup kerana kewangan boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

JPP juga bukan perkara baru di Terengganu kerana selepas kekalahan BN pada 1999, Wang Ehsan disalurkan melalui agensi berkenaan selepas Kerajaan Posit membayar sekali sahaja royalty kepada kerajaan Terengganu.

Dengan tiadanya hala tuju dan pelan  pembangunan daripada HARAPAN untuk Terengganu menyebabkan penyokong tertanya-tanya, apa sebenarnya peranan gabungan itu di negeri Terengganu?

Malah mereka yang mula tertarik dengan HARAPAN - khususnya BERSATU dan PKR kini bingung dengan sikap HARAPAN yang disebabkan oleh tindak tanduk Raja Bahrin itu.

Di pihak Raja Bahrin pula, apakah sekadar mendapat jawatan Pengerusi Negeri untuk membolehkan beliau dilantik sebagai senator dan kini TImbalan Menteri?

Jawatan untuk diri dan partinya semata-mata dan membiarkan PKR dan BERSATU terkapai-kapai?

Friday 14 September 2018

KERAJAAN PAS TERENGGANU TIDAK MAMPU BAYAR GAJI PENJAWAT AWAM?


Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan Terengganu tetapi beliau yang bercakap mengenai isu pembayaran royalti petroleum oleh kerajaan Pusat. 

Kenapa hari ini tiba-tiba Hadi bercakap sedemikian? Sedangkan Menteri Besarnya sendiri seperti nampak putus asa?

Apa yang sedang berlaku di Terengganu, khususnya kerajaan negeri yang
ditadbir oleh PAS sejak memenanginya daripada Barisan Nasional pada PRU ke-14 lalu?

Benarkah jika royalti tidak diterima bulan ini  akan mendatangkan masalah kepada perbendaharaan negeri Terengganu yang kini kering kontang?

Hadi tiada lagi tempat bergantung seperti sebelum ini di mana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedia membantu ‘at any cost’.

Malah, diberitahu, sekiranya wang royalti sekurang-kurangnya RM400 juta tidak dibayar pertengahan bulan ini (September 2018), kerajaan negeri mungkin tidak boleh bayar gaji kakitangan pentadbiran negeri akhir bulan ini atau akhir Oktober 2018.

Sudah tersebar luas, wang jabatan-jabatan kerajaan negeri kini kering kontang sehinggakan tuntutan sebanyak RM50 oleh kakitangan jabatan tertentu di Terengganu pun tidak mampu dilunaskan.

Petty cash di jabatan-jabatan penting kerajaan negeri tertentu kini kering. 

Tiada dana masuk untuk jabatan-jabatan. Kerajaan Negeri terpaksa mendahulukan yang benar-benar perlu untuk menjaga ‘air muka kerajaan PAS ketika ini’.

Mereka bimbang rakyat akan bangkit mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri mentadbir yang selama ini memberitahu rakyat mereka mampu mencari wang sendiri. 

Beberapa pemimpin mereka mendabik dada sebeum ini mengatakan tidak perlu mengharapkan kerajaan Pusat.

Untuk rekod Menteri besar Terengganu sekarang ialah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga bekas setiausaha politik Abdul Hadi. 


Isu royalti minyak banyak diperkatakan oleh pembangkang ketika BN menjadi kerajaan sehingga 9 Mei lalu dan dituntut oleh Kelantan dan Terengganu.

Hadi hari ini begitu yakin apabila berkata Kerajaan Terengganu akan menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus daripada Putrajaya dan keputusan berkenaan disampaikan kepada pihaknya baru-baru ini.

"Kita dimaklumkan dia (Pusat) akan bagi ikut perjanjian asal iaitu 5 peratus, dan sudah ada keputusan kabinet mengenainya," kata Hadi hari ini.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang ditemui selepas merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Gong Badak, Kuala Terengganu.


"Dan saya percaya perdana menteri akan menunaikan janji dia," katanya.

Pengumuman oleh Hadi itu mungkin melegakan pemimpin kerajaan PAS Terengganu tetapi apakah pula keputusan Putrajaya yang dibebani dengan berbagai usaha membayar hutang negara dan membiayai pentadbiran pembangunan negara ketika ini?

Apapun, daripada kedudukan ini yang terserlah ialah, pentadbiran baru tidak mampu mencari sumber pendapatan baharu ketika ini apabila tidak mengumumkan rancangan mencari sumber baharu yang boleh dijanakan untuk membiayai pembangunan negeri.

Soal penting ialah, apakah akan jadi jika gaji dan tuntutan kakitangan kerajaan negeri sendiri tidak boleh dibayar sepenuhnya akhir bulan ini?

Monday 4 June 2018

'Jambatan' Mungkin Tidak Perlu DiBina, Raja Bahrin Tersungkur?


Apa akan jadi jika ‘jambatan’ Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS dan Kerajaan Pusat tidak akan pernah terbina?

Apakah pemimpin Pakatan Terengganu akan kecewa, apa lagi yang ‘gila-gila melobi’ untuk menjadi ‘jambatan’ itu?

Sudah pasti ‘jambatan yang mahu dibina itu’ perlu ada persetujuan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan satu lagi institusi penting yang tidak boleh diipandang sebelah mata  iaitu ISTANA.

Ini bermakna, ‘jika ‘jambatan’ itu mahu dibina, walaupun istana tidak campur tangan, individu yang mahu dilantik sebagai ‘jambatan’ itu perlu mendapat restu istana untuk pentadbiran yang licin dan bersefahaman.

Mentelaah pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri kelmarin, pastinya meresahkan pemimpin PH Terengganu yang mengharapkan mereka dijadikan ‘jambatan’ antara negeri berkenaan dan Putrajaya.


Hasrat Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad  yang begitu kuat melobi untuk menjadi ‘jambatan’, antara kerajaan PAS Terengganu dan Putrajaya, khususnya dalam konteks pembangunan negeri itu, kini mungkin tergugat.

Penerimaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perimintaan untuk bertemu beliau oleh pemimpin PAS Terengganu menggambarkan kerajaan PH amat bersikap terbuka.

Ini kerana sejauh ini belum ada pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar lain, kecuali kunjungan hormat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg minggu lalu.

Raja Bahrin tentu tertanya-tanya apakah masih ada peluang untuknya dilantik sebagai wakil Putrajaya, termasuk Menteri dalam urusan pembangunan dan membina semula Terengganu.

Yang pasti Dr Mahathir memberikan ruang untuk berbincang banyak perkara dalam konteks memperkukuh hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.


Hasrat  dan bayangan impak positif itu dilihat akan mampu memperkukuh hubungan Kuala Terengganu dengan  Putrajaya yang berbeza pendekatan politik  selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Apa yang penting perbincangan keperluan untuk memperkukuhkan hubungan antara negeri dan Pusat mendapat respons positif daripada Perdana Menteri,” katanya.


Pertemuan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh veteran parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Walaupun ia pertemuan tidak rasmi dan tiada agenda khusus dibincangkan namun sedikit sebanyak, sudah ada persefahaman tertentu antara kerajaan negeri PAS dan Putrajaya yang dipimpin PH.

Jika hasil pertemuan yang impaknya dilihat positif, pasrtinya ia suatu cabaran besar bukan sahaja kepada hasrat Raja Bahrin tetapi juga Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris yang baru-baru ini dilaporkan oleh media, turut berhasrat menjadi ‘jambatan’.

Apakah jambatan itu tidak akan pernah terbina hasil kunjungan Menteri Besar Terengganu ini?

Apakah kerajaan PAS Terengganu memerlukan Raja Bahrin dan Razali bagi tujuan ini sedangkan hubungan boleh dibuat secara terus?

Usaha untuk menjadi ‘jambatan’ dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan lobi Raja Bahrin dapat dilihat dengan jelas apabila beliau ‘berani untuk menunjukkan muka kepada Menteri Besar Terengganu barubaru ini.

Beliau sevara terbuka menyatakan hasratnya untuk jadi ‘jambatan’ itu.

Pemimpin AMANAH dan pemimpin parti  itu sebelum PRU14 dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ dan kehadirannya pada PRU14 ditolak mentah-mentah oleh pengundi yang memberikan kemenangan kepada PAS.

Raja Bahrin menggunakan Pemuda Pakatan Harapan (Ketuanya adalah daripada AMANAH) untuk melobi, termasuk menganggotai Kabinet, Malah  turut menggunakan Dewan Perniagaan Cina Terengganu bagi tujuan itu.

Sebagai rekod, AMANAH mendapat ‘telur’ di semua tiga kerusi Parlimen dan 12 DUN yang ditandinginya walaupun mengatakan begitu positif mulanya, sekurang-kurangnya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disertai Raja Bahrin sendiri.

Pada ketika Raja Bahrin dan beberapa pihak di Terengganu melihat PAS Terengganu akan berada dalam keadaan sukar untuk rapat dengan Putrajaya, jalan yang dirintis oleh Dr Ahmad Samsuri jangan terlalu jauh perbezaannya.

Beliau sedar bahawa biarpun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 agak unik apabila pentadbiran negara bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan, selain ada negeri diperintah PAS dan BN, soal hubungan negeri dan Pusat harus diperkukuhkan.

Baginya apa yang penting hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan harus terjalin erat demi kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Mengenai soal tuntutan royalti minyak Dr Ahmad Samsuri apabila ditanya apakah beliau turut timbulkan dalam pertemuan itu, enggan mengulas mengenainya dengan menyifat pertemuan dengan Perdana Menteri adalah di atas kapasiti peribadi.

Malah menurutnya selepas ini ada lagi pertemuan dan pada 7 Jun nanti iaitu satu Mesyuarat Majlis Kewangan yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri semua menteri besar.

Thursday 24 May 2018

PAS Perlu Bersih Imej ‘Khianat Kepada Rakyat Terengganu’ Terlebih Dahulu...



Sebelum melangkah lebih jauh, ada dua isu yang sewajarnya dilihat dengan teliti oleh Kerajaan Negeri pimpinan PAS Terengganu sekarang.

Ini bukan main-main. Ia melibatkan wang rakyat dan ‘khianat terhadap rakyat Terengganu’.

Pertama isu kehilangan wang RM432 juta daripada bayaran royalti minyak oleh Petronas dan Kerajaan Pusat pada tahun 2000 kepada kerajaan negeri.

Kesan daripada ini Putrajaya memutuskan royalti dihentikan dan digantikan dengan Wang Ihsan.

Kedua ialah kes saman berkaitan kontrak membalak sekitar RM1 bilion (RM1,000 juta) oleh Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu).terhadap kerajaan negeri yang belum selesai.

Sebagai rekod, penerbangan balak berkenaan bagi tujuan membina empangan kedua mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu yang mana telah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum 1999 duhulu.

Kedua-duanya melibatkan  jumlah yang besar dalam konteks wang rakyat Terengganu.


Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar  dan Setiausaha Kerajaan Negeri  Datuk A. Rahman Yahya jangan cuba ‘menyorok dua isu besar ini di bawah permaidani’.

Dengan kedudukan di mana kantong Kerajaan Negeri dikatakan  hampir kosong (tiada peninggalan banyak oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini), kerajaan PAS mungkin  hanya boleh membayar gaji kakitangan awam negeri itu setakat Julai, dua isu ini juga akan menjadi ‘ancaman getir’ kepada kerajaan PAS Terengganu.

Dengan dua isu ini semakin menghambat kerajaan PAS pimpinan Dr Ahmad Shamsuri, adalah elok jika dua isu di atas yang dianggap ‘tunggakan lapuk’ kerajaan PAS terdahulu diambil kira dan perlu diselesaikan.

Jangan lupa kerajaan PAS terdahulu adalah pimpinan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sebagai bekas Setiausaha Politik Hadi sebelum ini, Dr Ahmad Shamsuri perlu membersih imej bekas bosnya!

Amat nyata dua kes ini menjadi pertanyaan rakyat Terengganu terhadap sejuah mana bersih dan integriti kerajaan pimpinan PAS dahulu dan sekarang..

Kerajaan PAS tidak boleh menafikan lagi pengkhianatan terhadap rakyat itu yang berlaku ketika  PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Apakah duit rakyat akan digunakan untuk membayar saman RM1 bilion?

Jika tidak apakah cukup untuk PAS atau Hadi  membayarnya jika benar ia ada kira-kira RM200 juta yang diberikan oleh UMNO!

Saman  yang dibuat oleh syarikat konsesi balak iaitu Riyapadu terhadap kerajaan negeri kerana menamatkan perjanjian penerbangan balak di Tasik Kenyir yang ditarik balik ketika PAS memerintah Terengganu.

Jangan lupa, Kerajaan Negeri kalah dalam saman itu dan telah diputuskan oleh mahkamah agar membayar sebanyak RM 1.0 bilion kepada Riyapadu walaupun ada usaha untuk berunding untuk mengurangkan kadar bayaran itu’.

Yang nyata akibat daripada pengurusan yang tidak cekap (kerajaan PAS) dengan menamatkan kontrak atau perjanjian konsesi tersebut dan rakyat Terengganu – termasuk yang tidak menyokong PAS - menanggungnya hari ini.

Dalam konteks wang royalti, seperti disebut oleh bekas wartawan, Hambali Abdul Latiff melalui Facebooknya, dalam kesibukan SPRM menyiasat kes-kes penyelewengan wang rakyat, tidak bolehkah siasatan dibuka semula terhadap kehilangan wang RM432 juta - Wang Royalti - ketika kepimpinan PAS Terengganu 2000-2004?


Katanya, wang yang tidak diketahui hilangnya berlaku ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi menteri besar Terengganu.

Hambali mengemukakan pertanyaan, “Bagaimana wang rakyat Terengganu sebanyak itu boleh dipejamkan mata begitu sahaja?”

Kata Hambali, memang kes ini tidak besar berbanding penyelewengan dalam isu 1MDB, Felda atau sebagainya yang berbilion ringgit. Namun RM432 juta pada awal tahun 2000 jika dinilai dengan kedudukan mata wang sekarang, ia lebih RM1bilion,

Malah, katanya kehilangan wang ini jauh lebih besar daripada tuduhan kononnya pemimpin PAS sekarang menerima wang 1MDB sebanyak RM90 juta dan ada mengatakan sampai RM200 juta.

Masa belum lama bagi kes RM432 juta itu. Ia berlaku 18 tahun lalu dan Perdana Menteri sekarang - Tun Dr Mahathir Mohamad - juga adalah Perdana Menteri ketkia itu dan semestinya kes ini masih diingati dengan jelas oleh ‘orang tua 92 tahun itu’.

Apakah Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus menyepikan diri?

Apakah mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap wang yang hilang kira-kira RM2 bilion itu?

Rakyat Terengganu perlu melihat kes ini dengan teliti kerana ia membabitkan wang mereka!

Friday 11 May 2018

KEMBALILAH KE TERENGGANU WAHAI WAN AHAMAD!



Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN)/UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 membawa eri yang sangat besar kepada seseorang yang dipanggil sebagai ‘Menteri Besar Kedua’ di era Datuk Seri Ahmad Said.

Bagaikan terlepas daripada sumpahan kepimpinan UMNO Terengganu, bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar – Datuk Wan Ahamad Wan Muda - kini pastinya berasa lega dengan keputusan PRU14.

Apakan tidak, selama empat tahun (dari Mei 2014 hingga 2018), beliau antara yang dipersalahkan gara-gara UMNO menang hanya 17 kerusi pada PRU13, walaupun kerajaan BN tetap bertahan di Terengganu.

Di sebalik hukuman itu, Wan Ahamad ternyata benar dalam kes ‘SMS Ugut Bunuh’ yang menyebabkan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri )ADUN) Terengganu memboikot persdidangan DUN  apabila pesalahnya - orang yang rapat dengan Datuk Seri idris Jusoh - yang sebenarnya melakukan kesal;ahan  itu sudah pun dijatuhi hukaman penjara.

SMS Ugut Bunuh untuk pulaukan Sidang DUN
Selain itu, peranan Wan Ahamad dalam menyatukan kembali ‘Geng 10’ dengan Ahmad Said juga tidak boleh diperkecilkan.

Wan Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Operasi Terengganu Inc. yang masih tidak diketahui di mana beliau berada, bukanlah insan yang istimewa sangat - namun peranannya menjamin Ahmad Said dan UMNO menang di Terengganu pada PRU13  sangat besar.

Ternyata, perbuatan penyokong Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman – khususnya beberapa pegawai tinggi TCS - yang bertindak menyingkirkan sesiapa sahaja yang dilihat rapat dengan Wan Ahamad kini menerima padahnya.

Sedangkan mereka itu tahu dan mahir bagaimana mahu mempertahankan Terengganu daripada jatuh ke rangan lawan. Namun mereka sama ada di pecat,  dipetisejukkan atau juga ditorture dalam melaksanakan tugas kerana membalas dendam .

Yang melakukan kerja ini adalah mereka yang memegang jawatan tinggi selepas Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Geng 10 yang pernah menentang Ahmad Said
Satu ciri yang dapat dilihat kepada Wan Ahamad ialah beliau tidak kelihatan mengongkong Menteri Besar atau seperti ‘lalat hijau yang sering menyibuk berterbangan’ di tepi dan sekeliling Ahmad Said.

Wan Ahmad adalah operator bersembunyi yang enggan dan tidak sering menunjuk muka seolah-olah ‘akulah orang MB’.

Begitu juga dengan rakan-rakannya yang menjalankan tugas masing-masing. Mereka bukannya sering mengikut atau mengerumuni Menteri Besar di mana-mana sahaja – sama ada di Terengganu atau Kuala Lumpur.

Jentera Wan Ahamad melalui APMT, UKOM dan beberapa yang lain melaksanakan tugas mereka dalam senyap dan tidak mencari publisiti.

Malah, jentera media dan siber yang dikawal sendiri oleh Wan Ahamad sangat berkesan walaupun dalam jumlah yang kecil berbanding dengan jentera siber di era Ahmad Razif.
Wan Ahamad menggunakan kepakaran orang tempatan bukan ‘mengimport’ dari Selangor dan sebagainya untuk menjadi jentera pilihan rayanya.

Selama lima tahun pada era Ahmad Said, Wan Ahamad menjalankan tugasnya berdasarkan pengalamannya sebagai pentadbir di daerah dan negeri untuk menjamin kuasa politik UMNO dan semestinya Ahmad Said dikekalkan.

Tetapi sekarang?

Apabila Wan Ahamad dilontarkan jauh-jauh – tidak diketahui sama ada Ahmad Said turut bertanggungjawab – jentera UMNO dilihat gah dengan papan tanda, papan iklan, Terengganu Times dan sebagainya tetapi BN kalah teruk.

Apapun, Wan Ahamad mungkin kembali ‘timbul’ selepas ini tetapi tidak diketahui sama ada akan bersama UMNO atau sebaliknya.

Dia bebas memilih jalannya sendiri.

Lagipun dengan ‘bebasnya beliau daripada sumpahan’, mungkin langkah beliau seterusnya ialah menyertai kumpulan yang rapat atau yang menyokong Putrajaya.

Pastinya Wan Ahamad boleh membantu jentera Pakatan Harapan di Terengganu untuk kembali bingkas selepas kalah teruk – tidak memenangi satu kerusi pun sama ada di Parlimen ataupun Dewan Undan gan Negeri.

Selamat kembali Wan Ahamad!

Monday 23 April 2018

PROTES TANDA AWAL BN TERENGGANU BAKAL KECUNDANG???



 Apa yang tidak kena dengan ‘Mat Tera’?

Pencalonan semula bekas Ahli Dewan Undangan (DUN) Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera sebagai calon BN di kerusi Dun Cukai itu pada PRU14 kali ini menimbulkan kontroversi.

Pencalonan beliau  diprotes sekali gus menjadikan suasana politik di Terengganu dilihat  kembali panas.

Malah tindakan secara terbuka itu mungkin hanya di  Parlimen Kemaman, namun protes senyap juga berlaku di Parlimen Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus.

Protes terhadap pemilihan semula 'Mat Tera' ditunjukkan menerusi kain-kain rentang bantahan yang dinaikkan di tepi jalan-jalan utama di sekitar Cukai.

Malah, gambar-gambar kain rentang itu turut viral di media sosial. Kain rentang itu disedari dipasang sejak beberapa jam sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan secara rasmi barisan calon BN Terengganu bagi PRU14 yang diadakan di Kediaman Seri Iman, kelmarin (22 April 2018).

Mat Tera sudah menjangkakan bantahan itu akan berlaku kerana ada kelompok dalam parti yang kurang menyenanginya.


"Saya  tahu  kumpulan tertentu memang dari awal lagi sudah berperangai demikian iaitu kurang menyenangi saya," katanya.

"Ini dari dalaman sendiri dan perkara seperti ini akan diambil kesempatan oleh parti lawan. Kebiasaanya musuh tak berapa kuat tapi kita sendiri yang saling berpecah," katanya.

Mohamed merupakan bekas Adun Cukai selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 dan pada PRU13, namanya tidak disenaraikan sebagai calon di kerusi tersebut.

Sementara itu, Timbalan menteri dan ahli parlimen antara dua nama yang digugurkan daripada senarai calon BN Terengganu untuk bertanding dalam PRU14 kali ini.


Mereka yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Selain itu, tiga bekas Exco iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Mat Tera yang sebelum ini 'direhatkan' pada PRU13 kembali membuat kemunculan semula apabila dipilih bertanding kali ini.

Rosol akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu menggantikan Jailani manakala, Din bertanding bagi kerusi Parlimen Dungun dan Mohamed akan kembali bertanding di Dun Chukai.

Kesemua 16 Adun BN dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing, kecuali Adun Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee yang beralih ke kerusi Parlimen Setiu manakala tempatnya digantikan dengan bekas Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa nama baharu turut diperkenalkan antaranya pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.
Selain itu, Datuk Basir Ismail (Tepoh), Che Mansor Salleh (Buluh Gading), Salleh Othman (Wakaf Mempelam), Toh Seng Cheng (Bandar), Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang) dan Zamri Awang Hitam (Batu Burok).

Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang), Datuk Saiful Bahri Baharuddin (Alor Limbat), Wan Zaulkifli Wan Gati (Rantau Abang) dan Tengku Hamzah Tengku Draman (Paka).

Tiga calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini kembali dicalonkan iaitu Yusof Awang Hitam (Manir), Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang).

Friday 2 February 2018

Pakatan Baharu PPBM-PKR vs AMANAH-DAP Lawan PAS, BN???



Apakah senario politik Terengganu akan berubah dalam sedikit masa lagi?

Apakah akan ada gerakan baru dalam  Pakatan Harapan (HARAPAN) di Terengganu dengan perkembangan mutakhir apabila adanya ‘pergolakan kecil’ dalam pakatan itu?

Politik adalah permainan sebarang kemungkinan.

Dan antara kemungkinan perubahan senario politik Terengganu ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR bergabung untuk menjadi satu pakatan baharu dalam HARAPAN dan di situ pihak lagi ialah juga dua parti – AMANAH dan DAP.

Dengan kedudukan itu, peluang AMANAH dan DAP yang bertanding di kerusi yang mereka idamkan akan semakin cerah.

Malah mereka juga berpeluang bertanding di lebih banyak kerusi dan DAP berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Terengganu.

DAP sebelum ini turut menyatakan untuk bertanding di DUN Bandar dan DUN Cukai melalui cadangan dan sokongan AMANAH.

PPBM dan PKR pula berpendapat, belum masanya DAP bertanding di Terengganu kerana jumlah penduduk Cina yang kecil.

Azan Ismail, Pengerusi PKR Terengganu
Politik sebarang kemungkinan ini pernah berlaku di Sarawak pada pilihan raya negeri 1991 (Jumaat, 27 September dan Sabtu 28 September) 1991.

Ia apabila kepimpinan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang diketuai oleh Leo Moggie (Tan Sri) mengambil keputusan untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri tetapi bergabung dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat.

Maknanya pada 1991, di Dewan Rakyat PBDS ialah komponen BN tetapi di DUN Sarawak, PBDS adalah pembangkang.

Pergolakan kecil membabitkan isu pembahagian kerusi yang gagal diselesaikan oleh HARAPAN Terengganu di mana PPBM dan PKR bersetuju agar diselesaikan di peringkat negeri dan AMANAH pula mahu menyerahkannya ke Pusat - dijangka tidak akan reda selepas tarikh HARAPAN Pusat membuat keputusan selepas 6 Februari nanti.

Selain itu isu keupayaan Pengerusi PAKATAN, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang dipertikaikan kerana gagal melaksanakan keputusan mesyuarat juga memungkinkan PPBM dan PKR meninggalkan pakatan sedia ada.

Bermakna akan wujud tiga blok pembangkang di Terengganu iaitu PAS, PPBM-PKR dan AMANAH-DAP melalui HARAPAN untuk menentang BN/UMNO/MCA.

Sejak semalam, walaupun  ‘pergolakan kecil’ adalah lebih kepada  beberapa posting FB Hambali Abdul Latiff – Setiausaha PPBM yang juga Ketua Penerangan HARAPAN Terengganu – namun kepimpinan PPBM dan PKR Terengganu nampaknya sebelum ini pun berminat untuk ‘berpisah’ daripada gabungan dengan AMANAH dan DAP.

Walaupun Pengerusi PKR yang juga ADUN Bandar, Azan Ismail dan Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris  yang mana kedua-dua mereka Timbalan Pengerusi HARAPAN Terengganu belum mengumumkan pendirian itu tetapi cakap-cakap mengenai perkara ini sudah mulai kedengaran.

Biarpun  ada mengatakan tiga ketua Bahagian PPBM tidak akan menyertai Razali bagi tujuan ini, peluang untuk mereka bertanding adalah tipis kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dituntut oleh mereka dalam HARAPAN semuanya bertindan, kecuali DUN Bukit Besi.

Pertindihan kerusi paling banyak ialah antara AMANAH dan PKR sementara PPBM dan AMANAH pula bertindan di dua kerusi penting kedua-dua parti – Ladang (Parlimen Kuala Terengganu) dan Chukai (Parlimen Kemaman).

Wakil PPBM pada mesyuarat HARAPAN negeri meminta dua kerusi berkenaan kerana ia dijangka akan ditandingi oleh Ketua Bahagian masing-masing (Kuala Terengganu dan Kemaman).

PPBM turut tidak gembira apabila kerusi DUN di Parlimen Kuala Terengganu mahu dibolot oleh AMANAH khususnya di Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam. DUN Bandar adalah kerusi incumbent diwakili oleh PKR.

AMANAH yang awalnya menganggap kerusi DUN Wakaf Mempelam sebagai kerusi asas mereka, pada perundingan terakhir menawarkan kepada PPBM atau PKR dan menyatakan keinginan untuk mendapatkan DUN Batu Burok dan Ladang.

Razali Idris - Pengerusi PPBM Terengganu.
PPBM dan PKR berpendapat, bagi setiap Parlimen, termasuk Kuala Terengganu, PPBM wajar diserahkan satu kerusi dan kerana itu PPBM meminta kerusi Ladang.

PKR pula yang mendapat dua kerusi Parlimen – Dungun dan Kemaman – mengharapkan dapat bertanding dua kerusi DUN masing-masing di dua Parlimen berkenaan.

PKR memohon kerusi Sura dan sebuah kerusi DUN lain kemungkinan di DUN Rantau Abang di Dungun, sementara di Parlimen Kemaman, mereka mengharapkan kerusi Kemasik dan sebuah kerusi DUN lain, kemungkinan Air Puteh.

AMANAH yang bertanding di Parlimen Kuala Nerus mendapat DUN Teluk Pasu dan sebuah DUN lain dan di Marang, AMANAH dipersetujui untuk bertanding di DUN Bukit Payong dan Rhu Rendang.

Bagi Parlimen Besut, Setiu dan Hulu Terengganu, PPBM diperuntukkan dua kerusi DUN dan setiap parti – AMANAH dan PKR – turut mendapat sekurang-kurangnya satu DUN.

Banyak pihak mengatakan pergolakan ini akan memberikan ruang kepada PAS dan BN untuk menang.

Raja Kamarul Bahrin, Pengerusi AMANAH.
Namun ada berpendapat mengatakan,  pergolakan kecil yang akan memisahkan PKR-PPBM dan AMANAH-DAP tidak akan menjejas apa-apa. Ia masih boleh diperbetulkan jika PRU14 diadakan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.

Yang pasti bagi  mereka yang di atas pagar dan menyokong pembangkang dan kurang berminat untuk menyokong AMANAH yang bergabung dengan DAP - akan memberikan sokongan kepada PKR dan PPBM.

Yang penting ialah juga faktor calon, gerak kerja yang dilakukan oleh PPBM dan PKR di lima Parlimen – utara dan selatan Terengganu yang tersusun dan pemuafakatan antara kedua kerusi berkenaan akan menjadi penentu kemenangan mereka.

Asasnya, adalah baik menentukan hala tuju sebenar untuk menempuhi PRU14 sekarang daripada terlambat, apa lagi selepas Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan.

BN dan PAS pastinya lega dengan perkembangan itu.

Namun dengan majoriti senyap dan PPBM serta PKR yang bersiap sedia dengan jentera dan haluan perjuangannya lebih jelas berbanding BN dan PAS, mereka dilihat tidak terjejas dengan ‘perpisahan’ itu.

Walaupun mungkin  tidak bersama AMANAH dan DAP, pakatan PPBM dan PKR tetap berupaya memberi saingan kepada PAS dan BN serta dua parti dalam gabungan HARAPAN itu.

Sementara AMANAH yang semakin bersendirian dijangka akan berdepan dengan kedudukan semakin sukar apa lagi dilihat bertanggungjawab ‘memanaskan keadaan dalam HARAPAN’ kerana menjadi ‘juara untuk DAP’ bertanding di Terengganu.

Perkembangan ini dijangka akan menyebabkan HARAPAN Pusat perlu menilai dan mengatasi isu ini dengan bijak dan berhemah.

Sebarang silap langkah oleh HARAPAN Pusat bukan sahaja akan di tolak oleh kepimpinan PKR dan PPBM Terengganu tetapi juga oleh penyokong pembangkang di Terengganu.

Kemungkinan besar juga, jika ‘pergolakan’ ini tidak diatasi, AMANAH dan DAP akan terpencil yang pastinya semakin sukar untuk berdepan PAS, BN/UMNO serta gabungan PKR-PPBM pada pilihan raya kali ini.