Monday 30 November 2015

Kemalangan di LPT2 Banyak Berlaku Pada waktu Siang, Cuaca Baik


Kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) lebih banyak berlaku pada waktu siang  dan cuaca baik.

Menurut kajian, sebanyak 66 peratus kemalangan berlaku pada waktu siang berbanding 41 peratus pada sebelah malam, serta ketika cuaca baik iaitu 66 peratus berbanding waktu hujan 33 peratus dan waktu berkabus kira-kira satu peratus.

Sejak Februari hingga 16 Okt lepas, 497 kes atau kira-kira 71 peratus kemalangan di LPT2 dikesan berpunca daripada kenderaan yang terbabas, diikuti kejadian langgar belakang sebanyak 95 kes atau 14 peratus dan sebagainya.

Kajian menunjukkan dari Januari 2011 hingga Oktober 2015, sebanyak 24 kes kemalangan maut akibat laju dan terbabas sehingga menyebabkan 31 kematian direkodkan diikuti kes memandu laju dan melanggar belakang (sembilan kes dengan 10 kematian), memandu ketika mengantuk dan langgar belakang (lima kematian) serta memandu laju dan bergesel serta mengantuk dan terbabas, masing-masing empat kematian direkodkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Ir Rosli Othman memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini, bagi kemalangan berpunca daripada kenderaan pula, dalam tempoh yang sama (Januari 2011 hingga Oktober 2015), sebanyak tujuh kematian direkodkan berpunca daripada tayar pecah dan pancit.

Selain itu, faktor persekitaran seperti angin lintang, kabus tebal, langgar lembu dan sebagainya turut merekodkan empat kematian, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 82 kes, katanya.

Menurut beliau, pembinaan LPT2 dibuat setelah kajian kejuruteraan bersesuaian dengan keadaan tanah lembut di jajaran itu, dijalankan.

Hasil kajian itu mendapati 60 peratus dari jajaran lebuh raya sepanjang 184 kilometer itu adalah terdiri daripada tanah lembut.

"Bagaimanapun, pembinaan dibuat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya itu, telahpun mengambil kira semua faktor dari aspek kejuruteraan mengenai struktur tanah dan keselamatan pengguna lebuh raya itu.

"Maknanya dari segi kejuruteraan, sebelum reka bentuk itu dibuat, satu kajian atau penyiasatan tanah telah dilaksanakan bagi mengenal pasti keupayaan tanah itu untuk menampung bebanan.

"Hasil kajian itu, kita kemudian mereka bentuk satu cara. Contohnya, bagaimana memastikan dalam tempoh selepas selesai atau sedang dalam pembinaan (LPT2), tidak berlaku lagi kejadian tanah mampat," katanya menjawab soalan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Wan Abdul Hakim mengenai punca kemalangan yang sering berlaku di LPT2, Rosli berkata ia disebabkan oleh tiga faktor utama iaitu kecuaian manusia, masalah kenderaan serta keadaan persekitaran.

"Hasil laporan mendapati lebih banyak kemalangan pada waktu siang iaitu 66 peratus berbanding sebelah malam (41 peratus) serta lebih banyak kemalangan ketika cuaca baik iaitu 66 peratus berbanding waktu hujan (33 peratus) dan waktu berkabus kira-kira satu peratus.

"Sejak Februari hingga 16 Okt lepas, 497 kes atau kira-kira 71 peratus kemalangan di LPT2 dikesan berpunca daripada kenderaan yang terbabas, diikuti kejadian langgar belakang sebanyak 95 kes atau 14 peratus dan sebagainya.

"Dari Januari 2011 hingga Oktober 2015, sebanyak 24 kes kemalangan maut akibat laju dan terbabas sehingga menyebabkan 31 kematian direkodkan diikuti kes memandu laju dan melanggar belakang (sembilan kes dengan 10 kematian), memandu ketika mengantuk dan langgar belakang (lima kematian) serta memandu laju dan bergesel serta mengantuk dan terbabas, masing-masing empat kematian direkodkan," katanya.

Bagi kemalangan berpunca daripada kenderaan pula, beliau berkata dalam tempoh yang sama (Januari 2011 hingga Oktober 2015), sebanyak tujuh kematian direkodkan berpunca daripada tayar pecah dan pancit.

Selain itu, faktor persekitaran seperti angin lintang, kabus tebal, langgar lembu dan sebagainya turut merekodkan empat kematian, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 82 kes, katanya.

Sumber - Bernama


Thursday 19 November 2015

Polis Siasat Kes Kematian Buruh Selepas Tahan Semula Tiga Suspek Tembak Adun



Polis membuka semula siasatan satu kes bunuh di Hulu Terengganu tahun lepas susulan penahanan semula tiga suspek kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat Alias Abdullah dan kes tembakan seorang lelaki di Pulau Kambing.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu mulai hari ini untuk siasatan lanjut kes bunuh itu.

"Bagi kes 27 Nov tahun lepas, polis telah dimaklumkan mengenai penemuan satu rangka manusia di dalam salur pembentung air di laluan Aring-Kenyir. Hasil siasatan awal kes itu mendapati tiada bukti ditemui daripada pekerja buruh berusia 29 tahun itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Dengan perkembangan terbaharu ini, kita mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

"Seorang daripada tiga suspek itu telah mendapat arahan tuduh mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971)," katanya.

Rosli berkata daripada 10 suspek yang ditahan sebelum ini, lima daripada mereka telah dibebaskan kelmarin.

Manakala dua lagi dibebaskan hari ini (semalam) termasuk seorang yang dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan bagi menyelesaikan kes-kes berkenaan dan polis telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai dapat membantu siasatan," katanya.

Pada 9 Okt lepas, Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Dalam kes 27 Ogos lepas, seorang lelaki berusia 28 tahun nyaris maut selepas terkena tembakan penjenayah yang dipercayai cuba melarikan kenderaan pacuan empat roda miliknya dalam kejadian di Jalan Hiliran Pulau Kambing.

Tuesday 17 November 2015

Tindakan Ke Atas Guru Cuai Dalam Kes Buli di Besut


Tindakan tegas akan diambil ke atas guru sebuah sekolah di Besut jika didapati ada unsur kecuaian pihak sekolah berhubung kes buli yang menjadi viral di laman sosial.

Exco Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan di mana guru sekolah berkenaan turut disiasat.

"Kita akan siasat jika ada kecuaian guru dan guru besar sekolah itu. Kita akan lihat kenapa tiada ustaz atau ustazah mengawasi keadaan sehingga terjadinya insiden berkenaan," katanya ketika diminta mengulas video yang tersebar di laman sosial sejak 2 hari lepas.

Video berdurasi 6 minit 29 saat itu memaparkan sekumpulan murid lelaki memukul seorang murid lain yang lengkap berpakaian pengawas di surau sekolah berkenaan.

Menerusi rakaman video itu, seorang murid tahun 4 dan 5 pelajar tahun 5 yang berpakaian sukan menumbuk , menyepak, memijak bahu dan memaksa mangsa mencium stokin.

Polis Besut berkata semalam, pihaknya akan menyiasat dan mengesan individu yang terbabit

Superintendan Khaled Che Lah, berkata bapa mangsa sudah membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, jam 9 pagi kelmarin.

Beliau berkata, bapa mangsa turut mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah mengenai kejadian menimpa anak lelakinya itu.  

 "Kita ada menerima laporan kejadian dan kita akan melakukan siasatan terperinci.  Malah, kita juga turut mengesan individu yang menyebarkan rakaman video berkenaan untuk disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan video itu di laman sosial," katanya.

Berdasarkan keterangan pada video berkenaan yang dipaparkan di sebuah laman sosial, penulisnya mendakwa mangsa adalah saudara terdekatnya dan kerap menjadi mangsa buli di sekolah itu.

"Setiap hari minta duit dari si mangsa. Kalau tidak beri kena pukul. Setiap hari kena ugut suruh jangan beritahu sesiapa, kalau tidak, kena pukul. Patutlah mangsa sejak darjah empat dan lima dulu asyik minta tukar sekolah. Tetapi tidak mampu nak cakap sebab apa nak tukar sekolah.

 "Hati ayah dan ibu mana tak terasa tengok anak dipukul, disepak. Selama ini mangsa ke sekolah dalam ketakutan. Nak beritahu ibu bapa tak berani. Pernah sekali mengadu pada ibu dan ibu mengadu pada seorang guru sekolah, tetapi hanya dipandang ringan.  

 "Sebaliknya mangsa dipukul oleh pembuli kerana bertindak membocorkan rahsia. Cikgu sekarang benda berlaku di sekolah pun tak ambil pusing. Sedangkan budak sekolah rendah saja. Pelik," kata penulis itu yang memperkenalkan dirinya sebagai saudara terdekat.

Ghazali selanjutnya berkata jika terbukti wujudnya kecuaian, pihaknya tidak keberatan mengambil tindakan ke atas guru yang terbabit termasuk dipecat atau ditukar.

"Bagaimanapun kes ini perlu disiasat lebih terperinci dan kita akan putuskan nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata pihaknya akan mengikut SOP yang  ditetapkan untuk menyiasat kes berkenaan.


"Kita juga akan turut memberikan kaunseling kepada mangsa untuk mengatasi trauma yang dialami dan 1 perjanjian menyelesaikan perkara itu dengan cara baik akan dilakukan. Namun ianya bergantung kepada budi bicara keluarga mangsa," katanya. 

Monday 16 November 2015

Semua R&R Di LPT2 Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Tahun Depan


Kerajaan Terengganu menjangkakan kesemua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata setakat ini R&R di kawasan Perasing dan Ajil telah beroperasi dan beberapa lot kedai telah pun dibuka.

Katanya beberapa lagi R&R seperti di Paka dan Bukit Besi akan dibuka secara berperingkat selepas kawasan itu siap sepenuhnya.

"Ini adalah hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan kawasan itu beroperasi bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk berehat, makan dan sebagainya sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Mesra Muhibbah Sambutan Hari Deepavali di Dewan Sivik Kerteh, Kemaman, malam semalam.

Menurutnya selain kawasan R&R, pihaknya juga meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi membina stesen minyak di laluan sepanjang 184 kilometer itu.

Dalam perkembangan lain, Rosli meminta pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar memberi perhatian kepada pengangkutan awam yang menggunakan laluan tersebut.

Ini ekoran beberapa kemalangan melibatkan langgar belakang ketika kenderaan bergerak dilaporkan berlaku di lebuh raya tersebut dan yang terbaharu, sebuah bas persiaran merempuh belakang lori membawa muatan kayu semalam.

"Ada dakwaan yang mengatakan mereka tidak nampak lampu pada kenderaan di hadapan sehingga tercetusnya kemalangan.

"Jadi kita harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan pemandu lori mahupun bas menitik beratkan kenderaan mereka bagi menggelakkan insiden ini daripada terus berulang," katanya.

Di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) untuk menentukan syarikat yang akan mengurus dan menyelenggara lebuh raya itu termasuk menjalankan kutipan tol, dijangka akan ditandatangani pada akhir tahun ini.


Dewan Rakyat diberitahu hari ini,  pada masa ini, kerajaan masih lagi dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian itu dengan syarikat yang dipilih secara 'request for proposal'.

"Sehubungan itu, isu-isu berkaitan kadar tol dan pembahagian ekuiti yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri masih belum dimuktamadkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu bilakah LPT2 akan beroperasi sepenuhnya dan bagaimanakah agihan pegangan saham antara pemegang konsesi dengan kerajaan negeri Terengganu.

Rosnah berkata, LPT2 sepanjang 184km telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada trafik pada 31 Jan lalu dan pada masa ini pengguna tidak dikenakan sebarang tol.

Dalam pada itu, Rosnah turut menjelaskan mengenai kekerapan berlakunya kemalangan di lebuh raya itu yang menurutnya banyak disebabkan oleh faktor manusia, kenderaan serta persekitaran.

Katanya, berdasarkan analisa dari Februari hingga September tahun ini, sebanyak 517 kes atau 78 peratus kemalangan di LPT2 berlaku disebabkan faktor manusia, diikuti faktor persekitaran iaitu 90 kes (13 peratus) dan faktor kenderaan sembilan peratus.

"Disebabkan oleh kekerapan berlaku kemalangan ini, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengambil langkah proaktif terutama di lokasi kerap berlaku kemalangan dengan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sepanjang LPT2.

"Antaranya termasuk pemasangan papan tanda amaran, pemasangan pelekat pantulan cahaya, menambah baik permukaan lebuh raya dan banyak lagi...selain penguatkuasaan pihak polis untuk mengawasi had laju," katanya.

Monday 9 November 2015

LPT2 – Pemanduan Melebihi Had Laju Dibimbangi Punca Kemalangan


Operasi Khas Dalam tempoh empat hari Operasi Khas, seba­nyak 1,550 saman dikeluarkan dengan 802 daripadanya adalah saman melebihi had laju di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) as selama empat hari di Terengganu bermula dari 5 hingga 8 November lalu.

Dengan kedudukan seperti ini sudah tentu Polis  melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dalam aspek pengabaian keselamatan dalam kalangan pengguna.

Malah polis turut berjaya merekodkan pemanduan mencecah kelajuan 210km/j pada hari ketiga operasi di laluan yang masih lengang di luar musim perayaan.

Kenderaan berkelajuan 210km/j yang dirakam pada waktu siang berhampiran Ajil itu merupakan kereta jenama Porsche Cayenne.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah, operasi itu menggunakan kaedah perangkap had laju, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan dari udara.

Bercakap  pada Majlis Penutup Operasi Khas LPT2 di Pejabat Felda Wilayah Timur di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata saman dikeluarkan kerana kesalahan memandu melebihi had laju kebangsaan 110 kilometer sejam (km/j).

Operasi Khas LPT2 itu membabitkan 130 anggota polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Trafik Kontinjen Johor dan Terengganu sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di laluan itu.

Jelasnya selain memfokuskan had laju, rondaan di sepanjang laluan 184 kilometer itu turut dibantu 10 kereta peronda, 17 motosikal berkuasa tinggi trafik, sebuah helikopter dan empat kamera perangkap had laju.

"Kami harap operasi sebegini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya di LPT 2 yang mula dibuka secara berperingkat sejak Ogos 2011," katanya.

Wan Aziz berkata operasi yang dilancarkan itu turut mengesan jenayah lain termasuk narkotik, individu yang mempunyai waran tangkap dan lain-lain kesalahan.

Sebanyak 748 saman turut dikeluarkan membabitkan kesalahan selain termasuk empat lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Empat lelaki yang berusia 29 hingga 45 tahun diberkas bersama daun ketum dan dadah disyaki pil kuda.

Dalam operasi khas itu juga, polis menyita enam buah kenderaan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan seperti menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan tamat tempoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Aziz berkata tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada individu yang menceroboh kawasan LPT2 dengan memotong dan merosakkan pagar rezab serta tindakan saman terhadap mereka yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan untuk berehat dan tidur.

Berdasarkan statistik dari Januari hingga 8 November, 803 kes kemalangan direkodkan iaitu 32 kes melibatkan kemalangan maut membabitkan 45 kematian.


Kelmarin, LPT2 terus meragut nyawa walaupun pelbagai usaha bagi mengurangkan nahas terma­suk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang dilengkapi peralatan bantuan, menggandakan operasi perangkap had laju dan memasang papan tanda amaran telah dijalankan.

Ia melibatkan seorang jurutera petrokimia di Kerteh, Muhammad Faizol Mohammad, 26, selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 252.1, berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Perasing, Jabor di malam kelmarin.

Ketika kejadian pukul 10.45 malam itu, Muhammad Faizol dikatakan dalam perjalanan pulang bersendirian dari Seremban ke kediamannya di Kemasek.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan di tengah laluan sebelum merempuh tembok kon­krit kepala jambatan Sungai Perasing.


Kemalangan berlaku di jalan lurus dalam keadaan trafik lengang namun jalan basah akibat hujan sebelum itu.

Sumber Bernama, Utusan, Kosmo!

Saturday 7 November 2015

Kedudukan UMNO Terengganu Ibarat ‘Telur Di Hujung Tanduk’ - Tak Faham-Faham?


UMNO Terengganu jangan bersikap seperti pepatah Melayu, ‘pipi tak mancung, hidung tersorong-sorong’  dalam isu kerjasama dengan PAS.

Terang lagi bersuluh bahawa PAS tidak mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Terengganu, sebaliknya ia jelas perbuatan untuk ‘memancing dan memerangkap’.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang jangan dilihat sebagai ‘Tok Guru agama’ semata-mata.

Dia bijak bermain politik dan kata-katanya jelas mahu menguji sejauh mana pemimpin BN Terenganu boleh terperangkap dengan kenyataannya.

Tujuannya ialah untuk membuktikan bahawa pemimpin BN dan UMNO khususnya sedang berada dalam keadaan kelam kabut dan lemah, bukan sahaja kerana isu ‘perpecahan dalam UMNO’ di Malaysia dan di Terengganu  tetapi juga isu-isu nasional yang banyak dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Mereka kini mentertawakan  BN dan UMNO Terengganu yang dianggap sedang ‘mencari pelampung’ pada ketika PAS menganggap UMNO sedang menuju kehancuran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melalui kenyataannnya yang dipetik Bernama bertajuk ‘Terengganu Timbang Kedudukan Kepada Wakil PAS Adakan Kerjasama Bangunkan Kerajaan Negeri’ pada Khamis (5 November 2015), berkata  Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) mengalu-alukan kerjasama PAS menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO termasuk kerajaan Barisan Nasional (BN).


Ahmad Razif dilaporkan  berkata pihaknya sedia mempertimbangkan peluang untuk menyediakan satu kedudukan kepada wakil pembangkang dalam mengadakan kerjasama membangunkan kerajaan negeri.

Menurut beliau tiada masalah, asalkan kedua-dua parti mampu mencapai suatu kesepakatan dan memikir ke arah membawa penyatuan kepada masyarakat.

"Bagi saya dalam menguruskan negeri ini, kenapa kami tidak boleh mengambil pandangan yang positif. Ini untuk kebaikan rakyat. Jadi saya nampak cara beginilah yang akan memungkinkan persefahaman yang baik antara parti UMNO dengan parti pembangkang terutamanya PAS yang kami nampak kebelakangan ini mula terbuka untuk berkolaborasi dengan BN dan UMNO," katanya.

Bagi PAS Terengganu, pilihan Ahmad Razif ‘menunjukkan sikap’ berbaik-baik dengan PAS, dengan menggunakan hujah, dari kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang telah ‘ditokok tambah’ memaparkan ‘kelemahan sebenar UMNO Terengganu kini’.


PAS Terengganu sebaliknya  menggambarkan bahawa Ahmad Razif cuba menipu rakyat menggunakan hujah perjumpaan beliau dengan Presiden PAS.

Bagi PAS hujah itu tidak lain dan tidak bukan untuk mengaburi penilaian rakyat tentang prestasi peribadinya dan kejahatan UMNO-Barisan di Terengganu.

Saya ulangi - prestasi peribadinya dan kejahatan UMNO-Barisan di Terengganu.

PAS melihat prestasi Ahmad Razif tidak memberangsangkan, malah membandingkannya dengan prestadi mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang jauh lebih baik. Tujuan mereka amat jelas - memperkecilkan kemampuan Ahmad Razif.

Menurut mereka apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua ahli supaya sentiasa menyokong kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ahmad Ahmad Razif, kerana bimbang UMNO akan kalah pada pilihan raya umum kali ke-14 (PRU-14), akan datang di negeri Terengganu, mengukuhkan hujah mengenai  prestasi lemah Ahmad Razif.

Dalam kaitan dengan Ahmad Said ini,  turut menjadi cabaran kepada Ahmad Razif ialah,  berbuat sesuatu memandangkan Ahmad Said sudah ‘isytihar perang’, apabila beliau beberapa kali muncul bersama Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Maka Kijal menjadi kerusi UMNO yang bakal panas pada PRU-14. Sekiranya Ahmad Razif berani menunjukkan kuasanya, dia wajar ‘mengerat’ Ahmad yang sudah ‘beronar’.

PAS Terengganu mengakui Ahmad Said bukan calang-calang orang,  pemimpin ‘setara’ Menteri Pengajian Tinggi sekarang pun beliau pernah ‘warning’ dulu, secara berdepan, ugut Dato’ Seri Idris Jusoh dalam majlis terbuka, sekiranya Idris tidak mencalonkan beliau.

Berbalik kepada isu kerjasama dengan PAS, Hadi tidak pernah menyebut mahu jadi penasihat kepada mana-mana organisasi UMNO, samada dalam atau luar kerajaan.

Dia mempertegaskan tanggungjawab PAS yang telah termaktub sekian lama dalam perlembagaan PAS yang termasuk dalam Tujuan dan Usaha PAS.

Bahkan berkali-kali Ahli Parlimen Marang itu berkata “tidak…..tidak…..tidak….tidak,” kepada soal mahu bergabung dengan UMNO.

Melalui  video sidang media Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas program ‘Dailog Rakyat’ pada Sabtu lalu, Hadi menegaskan beberapa perkara:



1.     “Ulasan saya…..perjuangan kita adalah perjuangan untuk mengubah keadaan. Bukan berebut jadi pemimpin. Dengan sebab itu kita……..menerima sebarang perubahan yang positif.”

2.     “Dan kita lebih selesa duduk diluar Barisan Nasional, bukan duduk (dalam) Barisan Nasional…….tapi kalau dia tak (ber)ubah, (menjadi) tanggungjawab kitalah kena ubah kerajaan.”

3.     “ Tidak, tidak, tidak, tidak (bersama UMNO dan Barisan Nasional)………maksudnya kita bersedia untuk hantar pasukan kita untuk berbincang dengan pihak kerajaan tentang GST sebagai contoh, tentang perumahan dan tentang kejatuhan nilai ringgit.

4.     “Apa pendekatan kita nak hadapi. Sebab kita ada (cara) penyelesaian kita…..ada pandangan kita…Tidak….bukan, bukan (kerjasama politik) kerjasama politik dengan kita tak masuk kerajaan….”

Seperkara lagi yang pemimpin BN dan UMNO Terengganu kena faham ialah PAS terus meratib dan mengungkit-ungkit perkara lama  sebagai jawapan kenapa tidak akan berlaku kerjasama antara PAS dan UMNO Terengganu.

Menurut PAS Terengganu: “Ahli dan penyokong PAS serta rakyat Terengganu masih terasa keperitan sehingga kini apabila UMNO-Barisan Nasional memilik peribadikan royalti petroleum menjadi ‘Dana Khas’ yang digunakan untuk projek-projek kroni dan mengayakan suku sakat.

PAS serta rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana UMNO-Barisan Nasional menzalimi rakyat dengan merampas tanah-tanah yang telah diberikan kepada rakyat oleh pentadbiran kerajaan PAS 1999-2004.

Ahli dan penyokong PAS serta rakyat Terengganu sampai mati pun akan ingat bagaimana kerajaan UMNO-Barisan Nasional merobohkan masjid Bujal, rumah Allah.

Ahli dan penyokong PAS serta rakyat negeri Terengganu, bahkan para malaikat akan terus menyaksikan betapa zalimnya pemimpin UMNO tidak mahu melaksanakan hukum Allah melalui Enakmen Jenayah Syariah yang telah diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri dan telah mendapat persetujuan perkenan DiRaja!

Kenapa mereka terus mengungkit perkara-perkara sebegini?

Ia dilihat sebagai faktor kekuatan untuk mereka dan ‘kelemahan-kelemahan ‘ yang disebut di atas dan sedang  dialami UMNO Terengganu kini meyakinkan mereka akan dapat mengalahkan UMNO yang hanya mempunyai kelebihan dua (2) kerusi (17-15) dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kini bergantunglah kepada Ahmad Razif untuk memperbetul dan memperkukuhkan UMNO Terengganu. Mungkin ada formula tertentu hasil Konvensyen UMNO Terengganu
 2015 untuk melawan PAS yang bukan sahaja menyerang UMNO melalui isu-isu setempat.
Mereka juga bijak menyerang UMNO melalui cara psikologi seperti yang dilakukan oleh Hadi.


Selepas ini kita harap UMNO Terengganu khususnya Ahmad Razif selepas ini akan faham apa makna ‘ONCE BEATEN, TWICE SHY’ dalam berurusan apa juga perkara dengan PAS.

Thursday 5 November 2015

Dua Suspek Kes Tembak Bekas Adun Alor Limbat Melalui Imej CCTV


Polis Terengganu hari ini mendedahkan imej dua suspek (gambar) yang terlibat dalam kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata imej dua lelaki yang sedang menunggang motosikal itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai, berhampiran lokasi kejadian.



Jelasnya polis yakin kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan gerakan memburu kedua-dua suspek yang berusia sekitar 23 hingga 25 tahun ini sedang giat dilakukan. 

"Kami percaya dengan rakaman ini dapat membantu kami mengesan suspek,"katanya.
Menurutnya setakat ini 41 individu terdiri daripada anggota keluarga, rakan perniagaan, pemandu dan saksi bebas dipanggil memberi keterangan. 


"Menerusi rakaman(CCTV) tersebut kami dapati kedua-dua suspek ini menaiki sebuah motosikal jenis EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

"Penunggang menggunakan topi keledar berwarna merah dan bervisor manakala pembonceng (penembak) juga mengenakan topi keledar warna yang sama berbaju warna putih dan memakai beg silang.

"Berdasarkan imej ini, pihak polis meminta orang ramai yang melihat dan mengenali suspek tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Terengganu semalam.


Pada 9 Oktober lalu Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya diKampung Alor Limbat Bukit Payong Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Dalam kejadian 2 petang itu mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.


Bernama

Wednesday 4 November 2015

Kerajaan Berazam Percepat Pemberian Wang Ihsan Mangsa Banjir - Ahmad Zahid


Kerajaan berazam wang ihsan sekurang-kurangnya RM500 untuk setiap isi rumah mangsa banjir kali ini dapat diberikan sebelum banjir surut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemberian itu wajar dilakukan segera untuk kegunaan mangsa banjir yang memerlukan bantuan untuk perbelanjaan sepatutnya.

Sehubungan itu, katanya satu memorandum akan disediakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk diserahkan kepada kabinet bagi menambah baik kaedah pemberian wang ihsan itu.

"Memorandum itu untuk mendapatkan kelulusan agar wang ini datangnya daripada syarikat insurans yang dibuat berdasarkan pembayaran premium yang dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Apabila berlaku banjir maka syarikat insurans yang mengambil premium itu akan membayar dengan jumlah yang lebih daripada RM500 untuk satu isi rumah dan dapat dibayar sebelum air surut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata di Dewan Rakyat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) kini bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan khususnya bencana banjir besar sepanjang musim tengkujuh ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

APBN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini bersedia di semua peringkat negeri, daerah serta komuniti seperti kampung dan taman perumahan.

"Pada masa ini APBN mendapat maklumat beberapa jam sekali berhubung keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana dengan angin monsun yang bertiup sekarang memungkinkan berlaku hujan lebat.

"Tapi sekarang hujan tidak lebat sebab (fenomena) El Nino dahsyat di lautan Pasifik, tapi ia melibatkan empat episod dan episod pertama selamat, harap tiga lagi episod kita selamat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Annuar Musa (BN-Keterah) yang mahu tahu tahap kesiapsiagaan APBN dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Terdahulu menjawab soalan asal Annuar, Shahidan memberitahu sehingga 28 Okt lepas, kerajaan Persekutuan akan membina 1,123 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) di Kelantan, manakala kerajaan negeri (449 unit) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (187 unit).

"Sehingga kini 183 unit RKB dibina kerajaan Persekutuan telah siap dan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir yang layak dan pada masa sama 271 unit sedang dalam peringkat binaan dan 40 peringkat prabina.

"Selain itu 511 rumah telah disediakan tapak untuk pembinaan, sebahagian besarnya bermula 22 Oktober lepas berikutan terdapat tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan tanah-tanah persendirian perlu diperolehi menerusi pengambilan tanah," katanya.

Annuar mahu tahu bilakah jumlah sasaran sebanyak 1,225 unit rumah bakal terlaksana dan apakah bentuk kekangan yang dihadapi dalam menyiapkan projek itu.

Shahidan berkata pembinaan RKB dijangka siap pada Februari 2016 manakala 118 unit lagi sedang dalam siasatan untuk ditentukan kelayakan.

"Kelewatan memulakan pembinaan disebabkan kekangan di peringkat awal berikutan tiada tanah-tanah sesuai untuk dibangunkan RKB, kos infrastruktur tinggi serta proses pengambilan tanah persendirian mengambil masa kerana memerlukan verifikasi tapak, pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, katanya pembinaan RKB berkelompok baru diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada 14 Okt lepas.

Suami Mengamuk - Tikam Belakang Isteri, Kelar Leher Sendiri

Seorang pekerja kontrak pembersihan nekad mengambil nyawanya sendiri dengan mengelar lehernya selepas menikam isterinya sejurus berlaku kekecohan di rumah sewa mereka di Gong Beris di Marang kira-kira jam 6 pagi tadi.
Isteri mangsa terbabit, bagaimanapun terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu selepas mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan akibat ditikam suami sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu lelaki berusia 32 tahun itu bertindak menikam belakang isterinya.


Beliau berkata selepas menyerang isterinya Mohd Dzulkifli Ismail yang bekerja sebagai buruh kontrak

Wan Abdul Aziz memaklumkan kejadian itu masih dalam siasatan pihaknya dan polis sudah menemui isteri mangsa di hospital.

“Mengikut siasatan awal kita, melalui keterangan isterinya yang berada di hospital, berlakunya kekecohan antara mereka (suami dan isteri). Suami ini berada dalam keadaan tidak tenang. Dia dalam keadaan tertekan pada masa itu.

“Kejadian berlaku lebih kurang jam 6 pagi , dia (suami) kejar isterinya. Dia ambil pisau dan tikam belakang isterinya. Kita belum tahu (hal sebenar) dan kejadian itu masih dalam siasatan, sama ada dia ditikam dalam atau luar rumah,” katanya.

Wan Abdul Aziz berkata, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan tertiarap dan siasatan pihak polis juga mendapati terdapat dua kesan kelar dengan pisau di leher dan pisau yang digunakan turut berada di sebelah mangsa terbabit.

Polis menerima panggilan kira-kira pukul 7.30 pagi berhubung kes itu sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati mayat seorang lelaki terbaring di tepi rumah bersama sebilah pisau.

"Pemeriksaan awal ke atas mayat tersebut kita dapati terdapat dua kesan kelar pada lehernya," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut beliau hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian jiran mangsa terdengar bunyi kecoh dan perempuan menjerit dari rumah mangsa dan mendapati pasangan itu sedang bergelut dan suaminya mengejar isterinya dengan sebilah pisau panjang.

Katanya jiran mangsa terus menjerit dan lelaki berkenaan terus melarikan diri ke dalam rumah, manakala isterinya menyelamatkan diri dengan berlari ke jalan besar.

Wan Abdul Aziz berkata isterinya Sofia Talaha, 26, dijumpai orang awam kira-kira 200 meter dari rumahnya sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Isteri mangsa sempat bercerita kepada pihak hospital, selepas subuh tadi dia telah didatangi suaminya dalam keadaan tertekan dan terus menikan belakangnya sebelum berlaku pergelutan," katanya.

Ekoran kejadian itu wanita berkenaan mengalami kecederaan dalaman pada bahagian belakang badan serta luka di pipi kiri serta kedua-dua tanganya.

Beliau berkata wanita berkenaan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dilaporkan kritikal.

Menurut Wan Abdul Aziz pihaknya telah merampas pisau kira-kira 30 sentimeter untuk siasatan lanjut dan menunggu isterinya sedar untuk siasatan seterusnya.

“Kita masih lagi menyiasat lagi motif mengapa berlakunya kejadian ini dan mengapa beliau bertindak menikam isterinya dan (kemudiannya) mengambil nyawanya sendiri.

“Kita masih siasat dan menunggu isterinya sedar untuk melihat apa masalah sebenar yang berlaku,” katanya.


Sumber mStar Online & SHOnline

Sunday 1 November 2015

Ahmad Razif – Selamatkan UMNO Lebih Penting Daripada Selamatkan Individu


Pendirian UMNO Terengganu adalah untuk menyelamatkan parti dan bukannya individu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  berkata usaha  menyelamatkan parti lebih penting daripada menyelamatkan individu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Terengganu mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai timbalan presiden UMNO di tengah dakwaan usaha menyingkirkan beliau.

Untuk soalan itu, Ahmad Razif  berkata isu itu bukan mengenai Muhyiddin, tetapi mengenai apa yang dikehendaki daripada ahli parti.

Beliau menegaskan bahawa anggota parti terikat dengan undang-undang dan peraturan parti.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Terengganu menegaskan UMNO tidak dimiliki presiden parti, sebaliknya dipunyai ahlinya yang terdiri daripada komuniti Melayu.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Ahli Dewan Undangan Seberang Takir itu berkata, mana-mana ahli juga tertakluk kepada Perlembagaan parti.

"Saya yakin UMNO bukan kepunyaan presiden, UMNO milik semua dan serah pada badan yang bertanggungjawab (ambil tindakan).

"Saya yakin badan (lembaga disiplin) kita badan yang telus, bila jatuh hukuman mesti ada fakta. Kalau tidak ada integriti, ahli sudah tentu akan protes dan akan bagi kesan pada parti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.


"Sekiranya badan disiplin mendapati Muhyiddin bersalah dalam soal ini, maka saya akan menyokong apa sahaja tindakannya. Kita perlu menyelamatkan organisasi dan bukan individu. (Perkara) ini perlu dalam satu organisasi.

"Kalau kita tengok mana-mana organisasi, soal gantung, pecat (menjadi) suatu kebiasaan kepada ahli-ahli yang tak menyokong ataupun yang telah melanggar peraturan.

"Jadi saya pulangkan soal (tindakan terhadap) Muhyiddin kepada bahagian disiplin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian UMNO Terengganu berhubung isu membabitkan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan akan dikenakan tindakan susulan kritikan-kritikan terbuka terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Razif menegaskan:  "Ini bukan soal Muhyiddin, tapi kena cakap pada ahli UMNO. Mereka tertakluk pada peraturan, sesiapa nak anggotai mana-mana organisasi baik politik kena akur dan patuh pada peraturan.
"Kalau badan yang bertanggungjawab jaga disiplin, padangan ahli dah langgar peraturan maka saya setuju dan menyokong penuh tindakan tegas diambil.

"Kita nak selamatkan organisasi bukan selamatkan individu," katanya.

Beliau berkata, tindakan menggantung keahlian juga adalah amalan biasa dalam organisasi bagi mereka yang menentang dan melanggar peraturan parti.

"Disiplin dalam satu organisasi atau parti perlu ada, mana-mana organisasi kalau kita tengok pun soal gantung pecat adalah kebiasaan pada ahli-ahli yang tidak sokong atau langgar peraturan," katanya.

Razif bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kenyataan-kenyataan Muhyiddin terhadap Najib sebelum ini dianggap melanggar disiplin parti.

"Saya tidak boleh jawab kerana yang akan tentukan adalah lembaga disiplin parti.

"Saya difahamkan perkara itu sedang diteliti lembaga disiplin, kalau kita dapati berlakunya kesalahan tiada masalah (jatuhkan hukuman)," katanya.

Tambahnya lagi, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap parti perlu meluahkannya kepada saluran betul dan tidak bertindak di luar batasan Perlembagaan dan undang-undang parti.

"Kepimpinan UMNO Terengganu akan terus menyokong kepimpinan parti sedia ada. Kita di belakang presiden UMNO, yang jadi ketua adalah presiden," tegasnya.

Sabtu lalu, Muuhyiddin mengeluarkan kenyataan keras menggesa pemimpin UMNO pengecut keana tidak bersuara sewaktu negara berdepan krisis.


Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos pada Khamis lalu mendakwa terdapat gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan presiden UMNO.

Friday 30 October 2015

PAS Baru Sedar DAP Amalkan Politik Cauvinis?

Tajuk asal - Politik ‘Cauvinis’ DAP Yang Rakus Akan Ditolak Rakyat
Oleh AHMAD AMZAD HASHIM (Pengarah Jabatan Penerangan PAS Posit)

Kita berharap orang orang Islam celik mata. DAP hanya mempergunakan orang Islam untuk tujuan politik mereka.

Mereka kata mahu ke Putrajaya. Benarkah?

Hakikatnya mereka cuma pentingkan bilangan kerusi yang mereka berkuasa dan membuat sasaran negeri negeri yang boleh mereka berkuasa agar menurut kehendak mereka.


Selain kerusi mereka, atau kerusi pihak yang taat pada mereka, mereka tidak kisah jika UMNO atau BN yang menang asalkan apapun pakatan politik, mereka yang paling banyak kerusi dan berkuasa.

Jika ada negeri yang berjaya tewaskan BN. Kena DAP yang berkuasa dan boleh tentukan itu ini, begitu dan begini. Parti komponen kena ikut kehendak mereka.

Chauvinisme dikalangan pemimpin tertinggi DAP ini hanya akan merosakkan perpaduan rakyat dan menimbulkan keresahan dan curiga tentang cita cita sebenar mereka.

Sudah banyak dikalangan kaum Cina yang mula berfikir kembali adakah sikap begini baik dalam jangka panjang untuk Malaysia.

Adakah politik ala kiasu ini boleh menjaga kepentingan dan kemakmuran kaum Cina dan India untuk jangkapanjang bila jurang prasangka semakin melebar? Untuk perniagaan ini tidak bagus. Hubungan seharian sesama rakyat Malaysia yang majmuk pun tidak bagus.

Apa apa pun gagasan politik alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional perlu mendapat dokongan peratus yang besar dari kelompok pengundi melayu yang majoriti bilangannya. Barulah kerajaan yang terbentuk adalah stabil dan mampu bertahan lama.

Kerajaan yang terbentuk dengan dokongan massa. Dokongan rakyat yang padu. Bukan terbentuk hasil daripada strategi muslihat pecah perintah dengan memecahkan undi orang melayu. Kerana sebaik sahaja orang melayu bangkit dan sedar permainan ini, kuasa yang dipegang mereka akan pasti untuk sekejap sahaja.

Dalam negara ini pertarungan untuk undi orang melayu cuma antara dua parti sahaja. UMNO atau PAS.

Jika DAP terlalu bersungguh dengan dokongannya kepada PAN, orang melayu dengan segera dapat membaca bahawa dengan memecahkan undi orang Melayu, DAP sebenarnya mahu menggagalkan kemaraan PAS agar bilangan kerusi mereka yang paling besar.

Tidak boleh bilangan kerusi PAS lebih besar dari bilangan kerusi milik DAP.

Cubalah secara jujur renung dan fikir logiknya. Jika PAS tidak menang adakah PAN yang akan menang jika berlaku tiga penjuru dengan UMNO? DAP pun tahu tidak mungkin. Maknanya DAP mahu UMNO yang menang.

Yang sedang cedera dengan politik rakus, gopoh dan gelojoh DAP ini bukan sahaja PAS, tetapi PKR juga yang sejak asal penubuhannya dibantu dan digerakkan oleh PAS.

PAS yang baru beberapa bulan yang lalu (Jun 2015) bermuktamar dan membuat keputusan penting memutuskan hubungan politik dengan DAP demi masa depan perjuangan Islam untuk mensejahterakan Malaysia yang majmuk, telah berjaya memulihkan keyakinan masyarakat bila tidak lagi dilihat keterlaluan dalam memberi muka kepada DAP.

Kini PKR pula berdepan realiti ini. PAS yang masih menghargai tahaluf siyasi dengan PKR berharap pelajaran penting ini dilalui oleh PKR dengan baik demi harapan rakyat.

Mereka boleh mencongak di atas kertas. Tetapi Allah Maha Berkuasa mengatasi segala perancangan.

Seperti disebut Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki, PAS sudah mula menggerakkan kalangan profesionalnya yang begitu ramai yang telah melalui sistem pendidikan dan tarbiyah pelbagai peringkat yang terbina begitu lama sejak 30 tahun dalam PAS untuk berperanan penting sebagai persediaan memikul tanggungjawab besar di masa akan datang setelah sebelum ini memberi laluan untuk ‘rakan’ baru mengisi kebanyakan kuota profesional ketika era reformasi.
  
Bukan sedikit kalangan mereka sudahpun berada pada kedudukan strategik di jawatan jawatan yang penting di dalam organisasi kerajaan mahupun swasta.

Ada pula yang cetek pemikiran terus melulu menuduh UG bila ada ahli PAS memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Tidakkah mereka tahu berapa ramai dikalangan pegawai tinggi kerajaan kini bersama dengan PAS. Berapa banyak program yang dilaksanakan oleh kerajaan datang dari pemikiran teknokrat PAS yang berada dalam kerajaan?


Nota – Disalin terus dari laman PAS Terengganu (31 Oktober 2015)

Wednesday 28 October 2015

80 Peratus Permukaan LPT2 Dalam Keadaan Baik - Menteri Kerja Raya


Dianggarkan 80 peratus permukaan jalan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berada dalam keadaan baik dan ia bukanlah faktor utama berlakunya kemalangan maut, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pihaknya melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian dan audit semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya masih terdapat beberapa kawasan yang beralun terutama di sekitar kawasan penyambung jambatan dan lokasi berhampiran pembentung di sepanjang laluan itu.

"Hari ini saya melihat sendiri kaedah membuat audit menggunakan kenderaan pengimbas jalan (Ikram Road Scanner) iaitu kenderaan yang lengkap dengan peralatan canggih seperti kamera, mesin pemungut data serta mesin pengimbas berupaya mengesan struktur jalan.

"Hari ini kami buat 'profiling' menggunakan kenderaan untuk melihat dari segi alunan jalan, keratan jalan serta kamera yang boleh menangkap keluasan jalan ataupun papan tanda yang dipasang mengikut standard yang ditetapkan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di LPT2 berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Perasing di Kemaman, semalam.

Jelasnya satu daripada audit telah siap dijalankan iaitu bagi melihat permukaan dan tahap kelicinan jalan itu sama ada mematuhi standard antarabangsa ataupun tidak yang mana permukaan licin boleh mendedahkan bahaya seperti mampu mengelincir kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Malah Fadillah mengakui masih terdapat beberapa laluan beralun yang mungkin melebihi standard yang ditetapkan.

Menurutnya menerusi data yang diperoleh daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripada punca berlaku kemalangan jalan raya disebabkan limpahan air serta air bertakung iaitu 72 kes direkodkan.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, kawasan air bertakung dibuat peparitan supaya mencegah air daripada melimpah ke jalan raya hingga mendedahkan bahaya kepada pengguna.

Mengenai masalah alunan di LPT2, katanya tindakan sedang diambil oleh kontraktor kerana sebahagian lebuh raya itu masih di bawah bidang kuasa mereka.

Fadillah berkata pihaknya menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan bagi membolehkan badan penilai bebas yang dilantik, membuat penilaian penuh keadaan lebuh raya itu.


mStar

Sunday 25 October 2015

Jailani - Bajet 2016 Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat


Pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat merupakan satu belanjawan yang menyeluruh dan mengambil kira kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Jailani berkata, peruntukkan sebanyak RM1.2 bilion yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi dan prasarana jalur lebar akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Dengan adanya peruntukkan ini, kadar kapasiti jalur lebar terutamanya di luar bandar akan dapat ditingkatkan, contohnya di Hulu Terengganu ini ada beberapa pusat internet yang dibina dan hanya berkapasiti lima megabit sesaat (Mbps) dan insya-Allah selepas ini kita akan tingkatkan kepada 20mbps di luar bandar dan hingga 100mbps di kawasan bandar.

"Melalui bajet ini juga, kita lihat pihak kerajaan agak sensitif dengan keperluan rakyat yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah agenda kebangsaan Digital Malaysia akan memberi manfaat kepada Kumpulan B40 yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pada Majlis Mengacau Bubur Asyura bersama 300 peniaga di Pasar Besar Kuala Berang semalam. 

Jailani berkata, program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah terutamanya suri rumah, pelajar dan golongan belia untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang perniagaan secara dalam talian.

"Insya-Allah, kita akan perkenalkan 'Siber Guru' di beberapa pusat internet untuk menggalakkan penglibatan golongan B40 ini dalam perniagaan dalam talian yang  mana kita akan beri pendedahan dan penerangan bagaimana nak jalankan perniagaan dalam talian kepada mereka yang berminat.

Bagi peruntukan sebanyak RM250 juta untuk perlaksanaan projek pendigitalan penyiaran nasional juga diharap akan dapat kita realisasikan hasrat untuk tingkatkan  penyiaran analog kepada digital menjelang 2018 bagi meningkatkan kualiti audio visual dan tambah nilai kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif, bersesuaian dengan keperluan dan peredaran teknologi sekarang," katanya.

Bernama