Wednesday 4 November 2015

Kerajaan Berazam Percepat Pemberian Wang Ihsan Mangsa Banjir - Ahmad Zahid


Kerajaan berazam wang ihsan sekurang-kurangnya RM500 untuk setiap isi rumah mangsa banjir kali ini dapat diberikan sebelum banjir surut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemberian itu wajar dilakukan segera untuk kegunaan mangsa banjir yang memerlukan bantuan untuk perbelanjaan sepatutnya.

Sehubungan itu, katanya satu memorandum akan disediakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk diserahkan kepada kabinet bagi menambah baik kaedah pemberian wang ihsan itu.

"Memorandum itu untuk mendapatkan kelulusan agar wang ini datangnya daripada syarikat insurans yang dibuat berdasarkan pembayaran premium yang dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Apabila berlaku banjir maka syarikat insurans yang mengambil premium itu akan membayar dengan jumlah yang lebih daripada RM500 untuk satu isi rumah dan dapat dibayar sebelum air surut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata di Dewan Rakyat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) kini bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan khususnya bencana banjir besar sepanjang musim tengkujuh ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

APBN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini bersedia di semua peringkat negeri, daerah serta komuniti seperti kampung dan taman perumahan.

"Pada masa ini APBN mendapat maklumat beberapa jam sekali berhubung keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana dengan angin monsun yang bertiup sekarang memungkinkan berlaku hujan lebat.

"Tapi sekarang hujan tidak lebat sebab (fenomena) El Nino dahsyat di lautan Pasifik, tapi ia melibatkan empat episod dan episod pertama selamat, harap tiga lagi episod kita selamat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Annuar Musa (BN-Keterah) yang mahu tahu tahap kesiapsiagaan APBN dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Terdahulu menjawab soalan asal Annuar, Shahidan memberitahu sehingga 28 Okt lepas, kerajaan Persekutuan akan membina 1,123 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) di Kelantan, manakala kerajaan negeri (449 unit) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (187 unit).

"Sehingga kini 183 unit RKB dibina kerajaan Persekutuan telah siap dan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir yang layak dan pada masa sama 271 unit sedang dalam peringkat binaan dan 40 peringkat prabina.

"Selain itu 511 rumah telah disediakan tapak untuk pembinaan, sebahagian besarnya bermula 22 Oktober lepas berikutan terdapat tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan tanah-tanah persendirian perlu diperolehi menerusi pengambilan tanah," katanya.

Annuar mahu tahu bilakah jumlah sasaran sebanyak 1,225 unit rumah bakal terlaksana dan apakah bentuk kekangan yang dihadapi dalam menyiapkan projek itu.

Shahidan berkata pembinaan RKB dijangka siap pada Februari 2016 manakala 118 unit lagi sedang dalam siasatan untuk ditentukan kelayakan.

"Kelewatan memulakan pembinaan disebabkan kekangan di peringkat awal berikutan tiada tanah-tanah sesuai untuk dibangunkan RKB, kos infrastruktur tinggi serta proses pengambilan tanah persendirian mengambil masa kerana memerlukan verifikasi tapak, pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, katanya pembinaan RKB berkelompok baru diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada 14 Okt lepas.

No comments:

Post a Comment