Thursday 5 November 2015

Dua Suspek Kes Tembak Bekas Adun Alor Limbat Melalui Imej CCTV


Polis Terengganu hari ini mendedahkan imej dua suspek (gambar) yang terlibat dalam kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata imej dua lelaki yang sedang menunggang motosikal itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai, berhampiran lokasi kejadian.



Jelasnya polis yakin kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dan gerakan memburu kedua-dua suspek yang berusia sekitar 23 hingga 25 tahun ini sedang giat dilakukan. 

"Kami percaya dengan rakaman ini dapat membantu kami mengesan suspek,"katanya.
Menurutnya setakat ini 41 individu terdiri daripada anggota keluarga, rakan perniagaan, pemandu dan saksi bebas dipanggil memberi keterangan. 


"Menerusi rakaman(CCTV) tersebut kami dapati kedua-dua suspek ini menaiki sebuah motosikal jenis EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.

"Penunggang menggunakan topi keledar berwarna merah dan bervisor manakala pembonceng (penembak) juga mengenakan topi keledar warna yang sama berbaju warna putih dan memakai beg silang.

"Berdasarkan imej ini, pihak polis meminta orang ramai yang melihat dan mengenali suspek tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kes tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kuala Terengganu semalam.


Pada 9 Oktober lalu Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya diKampung Alor Limbat Bukit Payong Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Dalam kejadian 2 petang itu mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.


Bernama

No comments:

Post a Comment