Friday 30 October 2015

PAS Baru Sedar DAP Amalkan Politik Cauvinis?

Tajuk asal - Politik ‘Cauvinis’ DAP Yang Rakus Akan Ditolak Rakyat
Oleh AHMAD AMZAD HASHIM (Pengarah Jabatan Penerangan PAS Posit)

Kita berharap orang orang Islam celik mata. DAP hanya mempergunakan orang Islam untuk tujuan politik mereka.

Mereka kata mahu ke Putrajaya. Benarkah?

Hakikatnya mereka cuma pentingkan bilangan kerusi yang mereka berkuasa dan membuat sasaran negeri negeri yang boleh mereka berkuasa agar menurut kehendak mereka.


Selain kerusi mereka, atau kerusi pihak yang taat pada mereka, mereka tidak kisah jika UMNO atau BN yang menang asalkan apapun pakatan politik, mereka yang paling banyak kerusi dan berkuasa.

Jika ada negeri yang berjaya tewaskan BN. Kena DAP yang berkuasa dan boleh tentukan itu ini, begitu dan begini. Parti komponen kena ikut kehendak mereka.

Chauvinisme dikalangan pemimpin tertinggi DAP ini hanya akan merosakkan perpaduan rakyat dan menimbulkan keresahan dan curiga tentang cita cita sebenar mereka.

Sudah banyak dikalangan kaum Cina yang mula berfikir kembali adakah sikap begini baik dalam jangka panjang untuk Malaysia.

Adakah politik ala kiasu ini boleh menjaga kepentingan dan kemakmuran kaum Cina dan India untuk jangkapanjang bila jurang prasangka semakin melebar? Untuk perniagaan ini tidak bagus. Hubungan seharian sesama rakyat Malaysia yang majmuk pun tidak bagus.

Apa apa pun gagasan politik alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional perlu mendapat dokongan peratus yang besar dari kelompok pengundi melayu yang majoriti bilangannya. Barulah kerajaan yang terbentuk adalah stabil dan mampu bertahan lama.

Kerajaan yang terbentuk dengan dokongan massa. Dokongan rakyat yang padu. Bukan terbentuk hasil daripada strategi muslihat pecah perintah dengan memecahkan undi orang melayu. Kerana sebaik sahaja orang melayu bangkit dan sedar permainan ini, kuasa yang dipegang mereka akan pasti untuk sekejap sahaja.

Dalam negara ini pertarungan untuk undi orang melayu cuma antara dua parti sahaja. UMNO atau PAS.

Jika DAP terlalu bersungguh dengan dokongannya kepada PAN, orang melayu dengan segera dapat membaca bahawa dengan memecahkan undi orang Melayu, DAP sebenarnya mahu menggagalkan kemaraan PAS agar bilangan kerusi mereka yang paling besar.

Tidak boleh bilangan kerusi PAS lebih besar dari bilangan kerusi milik DAP.

Cubalah secara jujur renung dan fikir logiknya. Jika PAS tidak menang adakah PAN yang akan menang jika berlaku tiga penjuru dengan UMNO? DAP pun tahu tidak mungkin. Maknanya DAP mahu UMNO yang menang.

Yang sedang cedera dengan politik rakus, gopoh dan gelojoh DAP ini bukan sahaja PAS, tetapi PKR juga yang sejak asal penubuhannya dibantu dan digerakkan oleh PAS.

PAS yang baru beberapa bulan yang lalu (Jun 2015) bermuktamar dan membuat keputusan penting memutuskan hubungan politik dengan DAP demi masa depan perjuangan Islam untuk mensejahterakan Malaysia yang majmuk, telah berjaya memulihkan keyakinan masyarakat bila tidak lagi dilihat keterlaluan dalam memberi muka kepada DAP.

Kini PKR pula berdepan realiti ini. PAS yang masih menghargai tahaluf siyasi dengan PKR berharap pelajaran penting ini dilalui oleh PKR dengan baik demi harapan rakyat.

Mereka boleh mencongak di atas kertas. Tetapi Allah Maha Berkuasa mengatasi segala perancangan.

Seperti disebut Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki, PAS sudah mula menggerakkan kalangan profesionalnya yang begitu ramai yang telah melalui sistem pendidikan dan tarbiyah pelbagai peringkat yang terbina begitu lama sejak 30 tahun dalam PAS untuk berperanan penting sebagai persediaan memikul tanggungjawab besar di masa akan datang setelah sebelum ini memberi laluan untuk ‘rakan’ baru mengisi kebanyakan kuota profesional ketika era reformasi.
  
Bukan sedikit kalangan mereka sudahpun berada pada kedudukan strategik di jawatan jawatan yang penting di dalam organisasi kerajaan mahupun swasta.

Ada pula yang cetek pemikiran terus melulu menuduh UG bila ada ahli PAS memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Tidakkah mereka tahu berapa ramai dikalangan pegawai tinggi kerajaan kini bersama dengan PAS. Berapa banyak program yang dilaksanakan oleh kerajaan datang dari pemikiran teknokrat PAS yang berada dalam kerajaan?


Nota – Disalin terus dari laman PAS Terengganu (31 Oktober 2015)

Wednesday 28 October 2015

80 Peratus Permukaan LPT2 Dalam Keadaan Baik - Menteri Kerja Raya


Dianggarkan 80 peratus permukaan jalan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berada dalam keadaan baik dan ia bukanlah faktor utama berlakunya kemalangan maut, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pihaknya melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian dan audit semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya masih terdapat beberapa kawasan yang beralun terutama di sekitar kawasan penyambung jambatan dan lokasi berhampiran pembentung di sepanjang laluan itu.

"Hari ini saya melihat sendiri kaedah membuat audit menggunakan kenderaan pengimbas jalan (Ikram Road Scanner) iaitu kenderaan yang lengkap dengan peralatan canggih seperti kamera, mesin pemungut data serta mesin pengimbas berupaya mengesan struktur jalan.

"Hari ini kami buat 'profiling' menggunakan kenderaan untuk melihat dari segi alunan jalan, keratan jalan serta kamera yang boleh menangkap keluasan jalan ataupun papan tanda yang dipasang mengikut standard yang ditetapkan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di LPT2 berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Perasing di Kemaman, semalam.

Jelasnya satu daripada audit telah siap dijalankan iaitu bagi melihat permukaan dan tahap kelicinan jalan itu sama ada mematuhi standard antarabangsa ataupun tidak yang mana permukaan licin boleh mendedahkan bahaya seperti mampu mengelincir kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Malah Fadillah mengakui masih terdapat beberapa laluan beralun yang mungkin melebihi standard yang ditetapkan.

Menurutnya menerusi data yang diperoleh daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripada punca berlaku kemalangan jalan raya disebabkan limpahan air serta air bertakung iaitu 72 kes direkodkan.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, kawasan air bertakung dibuat peparitan supaya mencegah air daripada melimpah ke jalan raya hingga mendedahkan bahaya kepada pengguna.

Mengenai masalah alunan di LPT2, katanya tindakan sedang diambil oleh kontraktor kerana sebahagian lebuh raya itu masih di bawah bidang kuasa mereka.

Fadillah berkata pihaknya menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan bagi membolehkan badan penilai bebas yang dilantik, membuat penilaian penuh keadaan lebuh raya itu.


mStar

Sunday 25 October 2015

Jailani - Bajet 2016 Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat


Pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat merupakan satu belanjawan yang menyeluruh dan mengambil kira kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Jailani berkata, peruntukkan sebanyak RM1.2 bilion yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi dan prasarana jalur lebar akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Dengan adanya peruntukkan ini, kadar kapasiti jalur lebar terutamanya di luar bandar akan dapat ditingkatkan, contohnya di Hulu Terengganu ini ada beberapa pusat internet yang dibina dan hanya berkapasiti lima megabit sesaat (Mbps) dan insya-Allah selepas ini kita akan tingkatkan kepada 20mbps di luar bandar dan hingga 100mbps di kawasan bandar.

"Melalui bajet ini juga, kita lihat pihak kerajaan agak sensitif dengan keperluan rakyat yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah agenda kebangsaan Digital Malaysia akan memberi manfaat kepada Kumpulan B40 yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pada Majlis Mengacau Bubur Asyura bersama 300 peniaga di Pasar Besar Kuala Berang semalam. 

Jailani berkata, program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah terutamanya suri rumah, pelajar dan golongan belia untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang perniagaan secara dalam talian.

"Insya-Allah, kita akan perkenalkan 'Siber Guru' di beberapa pusat internet untuk menggalakkan penglibatan golongan B40 ini dalam perniagaan dalam talian yang  mana kita akan beri pendedahan dan penerangan bagaimana nak jalankan perniagaan dalam talian kepada mereka yang berminat.

Bagi peruntukan sebanyak RM250 juta untuk perlaksanaan projek pendigitalan penyiaran nasional juga diharap akan dapat kita realisasikan hasrat untuk tingkatkan  penyiaran analog kepada digital menjelang 2018 bagi meningkatkan kualiti audio visual dan tambah nilai kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif, bersesuaian dengan keperluan dan peredaran teknologi sekarang," katanya.

Bernama

Thursday 22 October 2015

Kanak-Kanak Lelaki Mangsa Dera Di Taska Kuala Terengganu


Masih ada lagi kejadian seperti ini?

Selepas diberi amaran dan diminta simpati untuk tidak menganianya kanak-kanak kejadian ini nampaknya masih berulang.

Dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan menjadi mangsa dera ketika ditinggalkan sementara di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kuala Terengganu, sejak lebih seminggu lepas.

Video mengenai kanak-kanak malang itu turut menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lepas, dan dikongsi oleh pengguna di Facebook, sejak tengah hari semalam.

Kesal dengan tindakan pengasuh berusia awal 20-an itu, anggota keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 8.30 malam tadi.

Datuk mangsa, Ruslee Bidi, 55, berkata beliau hanya mengetahui mengenai berita itu petang semalam, selepas menonton video berkenaan daripada seorang kenalannya.

"Tergamak mereka perlakukan begitu? Lagipun cucu saya ini anak yatim (bapa mangsa meninggal dunia kira-kira enam bulan lepas akibat masalah jantung).

"Sekarang, kami sekeluarga menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut kerana laporan telah dibuat dan kami tidak mahu perkara sama terjadi kepada orang lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kubang Parit di Kuala Terengganu semalam.

Dalam video berdurasi 43 saat itu, kanak-kanak malang itu ditampar di muka beberapa kali oleh pengasuh terbabit kerana tidak henti-henti menangis.

Pada masa sama, pengasuh tersebut bersama-sama seorang pengasuh lain turut menutup muka kanak-kanak itu dengan sehelai tuala supaya dia berhenti menangis, sambil memicit-micit bahagian muka mangsa termasuk hidung.

Difahamkan, selepas insiden itu, kanak-kanak berkenaan demam dan dibawa ke hospital, sebaik sahaja laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada pihak hospital, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat insiden itu.

Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali memberitahu beliau tidak menyangka pengasuh terbabit sanggup berbuat demikian terhadap anaknya, memandangkan dua kakak kepada kanak-kanak itu yang kini berusia enam dan sembilan tahun, pernah dihantar ke pusat asuhan tersebut, sebelum ini.

Wanita berusia 40 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu di sebuah butik, berkata selepas kejadian, pengasuh berkenaan menghubunginya untuk meminta maaf tetapi tidak menyatakan sebab dia melakukan perbuatan tersebut.

"Bapa mertua ada bertemu dengan pemilik taska tersebut selepas laporan polis dibuat, dan pemilik taska meminta supaya menarik balik laporan itu, tapi kami enggan kerana mahu memberi pengajaran kepada pengasuh terbabit.

"Saya juga dimaklumkan, video tersebut dirakam oleh seorang lagi pengasuh yang telah berhenti kerja sebaik sahaja rakaman video itu tersebar kerana tidak tahan walaupun baru 10 hari bekerja di situ," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kita tunggu siasatan dan bakal tindakan jika benar berlaku kejadian sedemikian.

Sumber - Bernama

Wednesday 21 October 2015

Perdana Menteri Kanada Ada Salasilah Keturunan Malaysia


Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang baharu sahaja memenangi pilihan raya negara itu pada Isnin lalu dilaporkan mempunyai salasilah kekeluargaan dengan rakyat Malaysia.

Laporan daripada sebuah program televisyen sebelum ini mendedahkan bahawa pemimpin parti liberal itu yang juga anak kepada bekas perdana menteri, Pierre Trudeau turut mempunyai keturunan dari Singapura.

Menerusi siri televisyen Who Do You Think You Are, salasilah Trudeau, 43, yang dikatakan berasal dari Malaysia dikesan melalui ibunya, Margaret Joan Sinclair.


Margaret adalah seorang penulis, pelakon , jurugambar dan aktivis sosial bagi mangsa gangguan bipolar mempunyai hubung kait dengan salah seorang pengasas awal Singapura, William Farquhar.

Episod siri televisyen CBC itu juga mendedahkan bahawa isteri Farquhar adalah anak perempuan kepada seorang wanita warga Malaysia dan seorang pegawai Perancis.

Anak perempuan Farquhar, Esther Bernard, kemudian berkahwin dengan Francis James Bernard di Singapura dan menetap di sana sehingga kematiannya pada usia 41.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai nenek Esther, wanita Malaysia.

Pada pilihan raya Isnin lalu, Trudeau mengalahkan penyandang, Stephen Harper daripada parti Konservatif dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan itu membawa Trudeau kembali ke kediaman perdana menteri di bandar Ottawa, di mana beliau tinggal selama hampir 12 tahun ketika bapanya adalah perdana menteri.

Trudeau yang mengambil alih parti yang kucar kacir pada 2013, sebelum ini diketepikan pesaingnya dengan mendakwa Trudeau sekadar 'penuh gaya' tanpa memiliki kebijaksanaan sekali gus belum sedia menggalas tugas berat sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, janji Trudeau untuk melaksanakan bajet defisit dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menyuburkan ekonomi, banyak membantu meningkatkan sokongan terhadapnya.

Siri kempen Trudeau mendapat perhatian ramai sekali gus mengingatkan popularitinya seperti yang diraih keluarga Kennedy dan ketika kempen Presiden AS, Barack Obama.

Trudeau yang dilahirkan pada Krismas 1971, mendapat perhatian ramai sejak kecil hinggalah bapanya berundur pada 1984.

Beliau kembali popular sejak tahun 2000 selepas bapanya meninggal.

Trudeau berkahwin dengan pengacara televisyen, Sophie Gregoire.


mStar Online

Monday 19 October 2015

LPT2 - Kemalangan Maut Berterusan Berkaitan Unsur Paranormal?


Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut lebih 80 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.

Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.

Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solathajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu malam tadi bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.

Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.

Semalam, LPT2 terus meragut nyawa. Kali ini melibatkan seorang pengawal keselamatan yang maut dalam nahas di Kilometer 317.9 berhampiran Plaza Tol Kerteh.

Dalam kejadian pukul 1.25 pagi semalam, Samsuhaimi Che Mat, 46, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan 60 Fastaqim yang diadakan di Kota Bharu tercampak dari motosikal yang diboncengnya selepas melanggar pembahagi jalan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, mangsa yang membonceng motosikal rakannya, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, semasa berkonvoi bersama 10 buah motosikal dalam perjalanan ke Chenor, Pahang.

Berikutan itu, Kerajaan Terengganu akan mengambilbeberapa langkah segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut berterusan di LPT2.

Ahmad Razif berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meletakkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sepanjang laluan tersebut.

Katanya langkah lain yang akan dicadangkan ialah memperbanyakkan papan tanda amaran dan meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti kawasan berisiko serta mencadangkan pihak polis memasang perangkap had laju.

"Langkah yang dilaksanakan ini bagi memberi peringatan kepada pengguna dan sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Plaza Tol Ajil semalam.

Menurut Ahmad Razif faktor kelalaian antara punca yang dikenal pasti berlakunya kemalangan maut sehingga meragut banyak nyawa dan kebanyakan kes itu berlaku pada waktu siang.

Katanya laporan LLM dan polis mendapati 70 peratus kemalangan berlaku kerana kecuaian pengguna, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes.

"Kita dapati faktor utama akibat kelalaian dan bukannya faktor jalan serta kebanyakan kes itu berlaku pada jalan yang lurus dan pada waktu siang.

Bagaimanapun kerajaan negeri memberi jaminan laluan sepanjang LPT 2 itu selamat digunakan dan kawasan beralun juga telah diperbaiki.

Ahmad Razif berkata jumlah kenderaan juga bertambah dan hampir 25 ribu kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari.

Jelas beliau, pihaknya akan memastikan elemen keselamatan terus dipertingkatkan termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk di kawasan rawat dan rehat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif.

Mengikut statistik PDRM sehingga 16 Okt sebanyak 82 kes kematian telah direkodkan di sepanjang laluan tersebut melibatkan 1,989 kes kemalangan. Jumlah tersebut tidak termasuk 3 kes maut pada 18 dan 19 Okt.


Sunday 18 October 2015

Hadi - Wakil Rakyat Lompat Parti Umpama 'Monyet'


"Ini monyet tidak tahu makna istiqamah. Sebaik sahaja mereka sudah tidak memiliki buah, mereka segera melompat ke pokok lain yang mempunyai buah-buahan. Mereka meninggalkan pokok itu tanpa memahami makna istiqamah dan cabaran-cabaran yang dihadapi." 

Jika sebelum ini mereka digelar 'katak', namun kini kumpulan wakil rakyat yang bertindak melompat parti dirujuk sebagai 'monyet' oleh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya monyet berkenaan sudah tidak sabar untuk melompat ke pokok lain setelah mereka dapati pokok yang diduduki sebelum ini kehabisan buah.

Merujuk kepada mereka yang meninggalkan PAS bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), beliau menyifatkan kumpulan itu seperti "monyet yang tidak sabar tidak setia kepada perjuangan."

"Ini monyet tidak tahu makna istiqamah. Sebaik sahaja mereka sudah tidak memiliki buah, mereka segera melompat ke pokok lain yang mempunyai buah-buahan.

"Mereka meninggalkan pokok itu tanpa memahami makna istiqamah dan cabaran-cabaran yang dihadapi," katanya ketika Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, malam kelmarin.

Beliau turut menegaskan apa sahaja makhluk yang tidak mengikuti jalan-jalan Allah, mereka akan menjadi zalim kerana mereka melampaui batas.

Tambah beliau lagi, politik cara Islam ialah tetap berada dalam jemaah dimasa senang susah dan tidak sewenang-wenangnya bertindak lari dari rumah terutama mendapat pujukan daripada pihak lain.

Sebagaimana contoh yang diberikan oleh beliau iaitu baiah dalam peristiwa Aqabah oleh para sahabat dari Madinah, mereka berisitiqamah dalam baiah mereka sehingga kepada semua khulafa’ ar-rasyidin kerana keimanan mereka.


Himpunan malam ini kata beliau adalah untuk mengukuhkan gerakan ini bagi memastikan PAS kekal dalam keredaan Allah disamping menunjukkan kesungguhan ahli-ahli PAS.

Atas apa jua halangan, ahli-ahli serta pemimpin digesa bersedia dan bersama-sama berisitiqamah untuk mempertahankan Islam kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan IbrahimTuan Man dalam ucapannya menekankan agar orang-orang Islam tidak terpengaruh dengan pihak yang menaja jahiliyyah bentuk baru.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan negara melalui remaja dan belia mestilah melalui proses Islamisasi dan bukannya hanya menukar kerajaan semata-mata kerana cara begitu tidak akan berbeza dengan pemerintahan yang ada sekarang.

Tuan juga banyak menyentuh berkenaan penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama melibatkan isu 1MDB.

Timbalan Pengerusi Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayob kemudiannya mengambil tempat bagi mewakili 200 NGO untuk berucap dalam majlis malam ini, menegaskan bahawa kehadiran yang sebegitu ramai telah menghampakan harapan agar PAS dihapuskan dalam persada politik negara.

Kongres Rakyat tambah beliau, akan membawa hasrat rakyat kepada kerajaan, NGO-NGO dan kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan hasrat rakyat diberi keutamaan.

Mantan Naib Presiden Keadilan Rakyat itu menegaskan akan bersama-sama PAS dan NGO-NGO lain bagi memastikan Putrajaya akan diambialih pada PRU ke 14 nanti.


Menteri Besar Kelantan Datuk  Ahmad Yaakob melahirkan keyakinan penuh bahawa kejayaan Kelantan mempertahankan kerajaan Islam sehingga 25 tahun adalah hasil sikap istiqamah ahli-ahlinya.

Kelantan telah membuktikan kepada negeri-negeri lain bahawa ia adalah guru politik dengan cara politiknya yang agak berlainan dengan negeri-negeri lain.

Sambil melahirkan rasa syukurnya dengan kejayaan ini, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ianya adalah hasil kesinambungan daripada pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan antara manusia ini menurut Mursyidul Am PAS Datuk  Dr Haron Din pula telah berlaku bermula dari zaman nabi Adam lagi apabila Habil dan Qabil berbalah merebut pasangan.
Maka kata beliau, pihak yang benar-benar ikhlas dalam menyempurnakan suruhan Allah pastilah golongan yang berisitiqamah yang akan mendapat kemenangan dan keredhaan Allah.

Program telah ditangguhkan dengan bacaan doa oleh Presiden PAS yang begitu sebak membacakan bait-bait akhir doa dan bacaan ikrar perjuangan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dan diikuti oleh hadirin.

Wednesday 14 October 2015

Sultan Mizan Bimbang Fitnah Melalui Media Sosial Kian Berleluasa

Sultan Mizan menyampaikan anugerah Maal Hijrah kepada Sepiah Mohamad - gambar Teganukita.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan kebimbangan penyebaran berita palsu dan fitnah yang berleluasa melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Baginda bertitah umat Islam harus berhati-hati dan menyelidik dahulu kesahihan berita yang disebarkan dalam media sosial.

"Betapa banyak fitnah yang terjadi akibat berita bohong yang disebarkan melalui komunikasi media baru...Kesannya banyak darah yang tertumpah, harta yang musnah, kehormatan tercalar serta persaudaraan terputus.

"Beta menyeru seluruh rakyat jelata supaya sentiasa bersangka baik, bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri dan negara terus maju," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu. Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Tuanku Nur Zahirah.

Baginda bertitah, lebih menyedihkan ada dik alangan suami isteri berpisah dan bangsa serta negara saling bermusuhan kerana terperdaya dengan berita palsu dan tidak benar.

“Beta menyeru umat Islam supaya sentiasa bersangka-baik, bersatu-padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri dan negara terus maju, aman dan harmoni,”katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta kira-kira 3,000 orang turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenaan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri kepada bekas qariah kebangsaan dan antarabangsa Sepiah Mohamad.

Sepiah, 65, yang juga Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa pada 1998 membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah dengan nilaian RM10,000, sepersalinan pakaian, piala iringan dan sijil penghargaan.


Anugerah Keluarga Mithali pula dimenangi oleh Wan Yussof Wan Mohammad dari Kampung Maksom, Alor Lintah Besut.

Manakala bagi anugerah Orang Kurang Upaya (OKU) digondol Mohd Razak Che Awang dari Permaisuri, Setiu. Tiga anugerah itu adalah sebahagian daripada 11 anugerah pelbagai kategori disampaikan Sultan Mizan.

Baginda juga berkenan menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik kepada pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar yang merupakan pengusaha pes makanan sedia hidang Adeq Sue Resources Sdn Bhd (Adeq Sue).

Sumber - Bernama & Teganukita

Sunday 11 October 2015

Polis Siasat Sama Ada Kematian Bekas ADUN Berkait Dengan Kematian Sepupu

 

Polis Terengganu turut menyiasat sama ada kes kamatian bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah yang dipercayai ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat mempunyai kaitan dengan kematian sepupunya yang turut ditembak sebelum ini.
Allahyarham Alias

"Pihak polis juga sedang menyiasat sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan kes tembakan yang melibatkan seorang pesara guru yang juga merupakan sepupu kepada mangsa pada Ogos lalu," kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.

Pesara berkenaan Mat Jusoh Ali, 56, maut dipercayai terkena tembakan dari jarak jauh di kawasan rumahnya di Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden tersebut dilakukan pihak yang yang sama namun menggunakan senjata berbeza.

"Jika kita lihat, kedua-dua kes berlaku pada tarikh yang sama (iaitu 9 Ogos dan 9 Sept)," katanya dan menambah pihak polis telah menubuhkan pasukan bagi menjalankan siasatan terperinci dan mencari petunjuk bagi kes berkenaan.

Katanya seramai 10 orang yang terdiri daripada anggota keluarga, kenalan dan jiran Alias telah dipanggil bagi memberi keterangan.

Rosli berkata kes tersebut memang telah dirancang terlebih awal.

Sumber - Bernama Online

Friday 9 October 2015

Bekas YB Alor Limbat Ditembak Mati Dari Jarak Dekat


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat di sini, selepas solat Jumaat tadi.

Difahamkan, mayat mangsa kini berada di Klinik Kesihatan Bukit Payung sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian kira-kira jam 2 petang itu.

Bekas ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad, berkata beliau dimaklumkan oleh isteri bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu, Noriha Muhammad, suaminya ditembak di kepala dalam jarak dekat di rumah mereka.

Beliau berkata, Allahyarham yang baru pulang daripada solat Jumaat dipercayai ditembak selepas membuka pintu rumah yang diketuk individu tidak dikenali.

"Mengikut apa yang dimaklumkan oleh isteri Allahyarham, tidak lama selepas pulang dari solat Jumaat, ada individu mengetuk pintu rumah dan arwah kemudian membuka pintu sebelum ditembak.

"Tembakan daripada jarak dekat itu dikatakan terkena pada kepala sebelum arwah rebah. Arwah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dipilih sebagai ADUN Alor Limbat dari 2004 hingga 2008.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Alor Limbat, pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang dari 2004 hingga 2013 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri dari 2011 hingga 2013.

Terdahulu, beliau pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Terengganu; Timbalan Pendakwa Raya Kelantan; Majistret Kanan, Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan di samping menjadi Penasihat Undang-undang di Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Alias meninggalkan seorang isteri, Noriha Muhammad dan empat orang anak iaitu Anis Afeeqah Alias, Anis Areesha, Ahmad Afeef dan Anis Ameeda.

Sumber - BH Online, Utusan Online & SH Online

Thursday 8 October 2015

Transgender: Keputusan Mahkamah Persekutuan Wajar Dihormati, Dipatuhi


Masyarakat, khususnya yang beragama Islam jangan ambil mudah dalam kes transgender.

Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan, perlu diterima dan dihormati oleh semua pihak.

Seperti kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, “Semoga keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu akan menjadi panduan kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, dan sedar betapa pentingnya keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing perlu dihormati.”

Beliau bersyukur mengulas berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan, semalam memutuskan Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan.

Ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengisytiharkan peruntukan enakmen syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita sebagai tidak sah.

Keputusan itu diketepikan atas alasan teknikal.


Dengan itu, undang-undang negeri yang dipersoal, Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki berpakaian wanita, kekal sah.

Walaupun kes ini di Seremban, negeri lain sewajarnya mengucapkan kesyukuran yang sama.

Diharapkan ia menjadi satu precedent dalam kes serupa jika berlaku di tempat lain, termasuk di negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif berkata ia kerana tiga transgender telah menggunakan prosedur perundangan yang salah untuk memulakan tindakan mereka.

Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, semalam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif berkata ia kerana tiga transgender menggunakan prosedur perundangan yang salah untuk memulakan tindakan mereka.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan 3 pak andam itu, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 28; Shukor Jani, 29; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, selaku responden, untuk mencabar kesahan Seksyen 66 enakmen tersebut tidak sesuai kerana gagal mematuhi kaedah prosedur.

Mengikut Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, lelaki berlagak seperti perempuan dan memakai pakaian perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum 6 bulan, atau kedua-dua sekali.

Raus berkata transgender tersebut seharus memohon kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan untuk memulakan petisyen kerana mereka mencabar kuasa perundangan badan perundangan negeri yang menggubal undang-undang syariah dan bukan cara melalui semakan kehakiman.

Berikutan keputusan itu, Seksyen 66 enakmen tersebut adalah berperlembagaan dan sah.

Dalam penghakiman 23 muka surat itu, Raus berkata kesahan atau keperlembagaan undang-undang itu tidak boleh dipersoalkan dengan cara prosiding semakan kehakiman di depan Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata tindakan mencabar seperti itu hanya boleh dilakukan menerusi prosedur tertentu di bawah Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan di mana transgender tersebut gagal melakukannya.

"Hakim yang arif di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan besar dalam melayan permohonan pihak responden (transgender) untuk mempersoalkan kesahan atau keperlembagaan Seksyen 66 dengan cara semakan kehakiman.

"Bidang kuasa mahkamah bawahan ini tidak dirampas untuk berbuat demikian. Adalah perkara biasa untuk mana-mana prosiding didengar tanpa bidang kuasa adalah tak sah ab initio," katanya.

Katanya, permohonan trio itu untuk pengisytiharan sepatutnya dibatalkan Mahkamah Tinggi atas alasan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Raus berkata penghakiman majoriti dalam kes Gereja Roman Katolik menentang Kementerian Dalam Negeri yang meletakkan prosedur dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan hendaklah diikuti apabila persoalan kesahan atau keperlembagaan undang-undang yang sepatutnya melalui prosedur tertentu dan bukan dengan cara serangan kolateral dalam prosiding semakan kehakiman.

Menurutnya, trio tersebut mencabar kesahan dan keperlembagaan Seksyen 66.

Mahkamah itu sebulat suara membenarkan bantahan awal kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.

Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan turut dianggotai hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Pada 7 November, 2014 Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan transgender itu dan memutuskan Seksyen 66 adalah tidak sah selepas Mahkamah Tinggi Seremban pada 11 Oktober, 2012 menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang itu yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita.

Wednesday 7 October 2015

1MDB – Putrajaya, Najib Perlu Bertindak Segera, Jangan Membisu Seribu Bahasa….


Selepas Raja-Raja Melayu ‘bersuara’ mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Putrajaya, semua mata kini tertumpu kepada Putrajaya, khususnya Perdana Menteri yng juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dengan kata lain, semua pihak menyokong Raja-Raja Melayu agar isu ini ditangani segera dan mengambil serius titah berkenaan.

Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat raja-raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada raja-raja Melayu?

Pada ketika pemimpin UMNO membisu, Menteri Besar Selangor Mohamed AzminAli yang menyokong titah Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Azmin berkata kerajaan Selangor mengambil serius dan mengalu-alukan kenyataan raja-raja Melayu itu, yang menurutnya penting kerana melibatkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


"Kami berpandangan bukan sahaja pemimpin tapi seluruh negara patut mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut," kata Azmin merujuk kenyataan Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Sekiranya tidak ditangani segera isu 1MBD, Azmin berkata ia dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negara dan masa depan rakyat keseluruhannya.

PAS pula menggesa Putrajaya menghidupkan semula pasukan petugas khas untuk menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menyokong penuh saranan raja-raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

“Dengan saranan raja-raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuan Ibrahim turut mempersoal bidasan 1MDB terhadap Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sejurus beliau menyatakan nilai ringgit akan pulih jika masalah syarikat sarat hutang itu diselesaikan secepat mungkin.

Timbalan presiden PAS itu berkata, Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan gabenor mahupun menegur 1MDB.

Disebabkan itu, PAS mahu pasukan petugas khas 1MDB yang dihidupkan semula melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail, meskipun beliau sudah bersara sebagai peguam negara, dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

"Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan," kata Tuan Ibrahim.

Parti Amanah Negara (Amanah) turut membat kenyataan dengan mendakwa teguran Majlis Raja-Raja Melayu supaya kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isyarat pihak istana supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menganggap, tindakan Raja-Raja Melayu itu kerana perdana menteri masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak berkaitan isu 1MDB.

"Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai Perdana Menteri kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, teguran itu juga memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang.

Katanya, banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Dr Zeti Akhtar Aziz dan Abdul Gani Patail.