Thursday 22 October 2015

Kanak-Kanak Lelaki Mangsa Dera Di Taska Kuala Terengganu


Masih ada lagi kejadian seperti ini?

Selepas diberi amaran dan diminta simpati untuk tidak menganianya kanak-kanak kejadian ini nampaknya masih berulang.

Dilaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan menjadi mangsa dera ketika ditinggalkan sementara di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kuala Terengganu, sejak lebih seminggu lepas.

Video mengenai kanak-kanak malang itu turut menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lepas, dan dikongsi oleh pengguna di Facebook, sejak tengah hari semalam.

Kesal dengan tindakan pengasuh berusia awal 20-an itu, anggota keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 8.30 malam tadi.

Datuk mangsa, Ruslee Bidi, 55, berkata beliau hanya mengetahui mengenai berita itu petang semalam, selepas menonton video berkenaan daripada seorang kenalannya.

"Tergamak mereka perlakukan begitu? Lagipun cucu saya ini anak yatim (bapa mangsa meninggal dunia kira-kira enam bulan lepas akibat masalah jantung).

"Sekarang, kami sekeluarga menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut kerana laporan telah dibuat dan kami tidak mahu perkara sama terjadi kepada orang lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kubang Parit di Kuala Terengganu semalam.

Dalam video berdurasi 43 saat itu, kanak-kanak malang itu ditampar di muka beberapa kali oleh pengasuh terbabit kerana tidak henti-henti menangis.

Pada masa sama, pengasuh tersebut bersama-sama seorang pengasuh lain turut menutup muka kanak-kanak itu dengan sehelai tuala supaya dia berhenti menangis, sambil memicit-micit bahagian muka mangsa termasuk hidung.

Difahamkan, selepas insiden itu, kanak-kanak berkenaan demam dan dibawa ke hospital, sebaik sahaja laporan polis dibuat.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada pihak hospital, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat insiden itu.

Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali memberitahu beliau tidak menyangka pengasuh terbabit sanggup berbuat demikian terhadap anaknya, memandangkan dua kakak kepada kanak-kanak itu yang kini berusia enam dan sembilan tahun, pernah dihantar ke pusat asuhan tersebut, sebelum ini.

Wanita berusia 40 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu di sebuah butik, berkata selepas kejadian, pengasuh berkenaan menghubunginya untuk meminta maaf tetapi tidak menyatakan sebab dia melakukan perbuatan tersebut.

"Bapa mertua ada bertemu dengan pemilik taska tersebut selepas laporan polis dibuat, dan pemilik taska meminta supaya menarik balik laporan itu, tapi kami enggan kerana mahu memberi pengajaran kepada pengasuh terbabit.

"Saya juga dimaklumkan, video tersebut dirakam oleh seorang lagi pengasuh yang telah berhenti kerja sebaik sahaja rakaman video itu tersebar kerana tidak tahan walaupun baru 10 hari bekerja di situ," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kita tunggu siasatan dan bakal tindakan jika benar berlaku kejadian sedemikian.

Sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment