Sunday 30 July 2017

Berdepan Cabaran PRU14 - Mencari Ketua Pakatan Harapan Terengganu...


Siapakah di kalangan empat pemimpin parti ‘komponen’ Pakatan Harapan (PH) yang mampu menerajui PH Terengganu menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 akan datang?

Pemimpin yang dipilih bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat PH tetapi sebagai ‘panglima tentera’ yang akan menggabungkan jentera PKR, AMANAH, DAP dan ahli barunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah fungsinya juga untuk menyeleras struktur organisasi, pembentukan jentera pilihan raya, menggubal manifesto negeri dan paling penting menyelaras pembahagian kerusi di kalangan pakatan pembangkang itu.

Sudah pasti ketua perlu seorang yang tegas dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak luar tetapi meletakkan asas ke atas persetujuan bersama ahli.

Ini bermakna bahawa PH Terengganu, selain ketuanya, ada lagi 15 ahli yang menentukan dasar perjuangan dan jentera PH yang akan menggugat BN.

Namun, jika PH menang, beliau tidak semestinya menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ini kerana sudah pasti beberapa kriteria lain turut diambil kira seperti parti mana yang menang banyak kerusi DUN, calon yang berkaliber dan paling pening dipersetujui oleh pihak istana.

Jadi, kepada yang menjadi Ketua PH, jangan berangan-angan tinggi atau bermimpi akan dilantik menjadi  Menteri Besar, apa lagi sekiranya beliau tidak bertanding kerusi DUN.

Selepas wujudnya struktur PH diperingkat pusat yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, Terengganu juga memerlukan struktur serupa untuk menggerakkan PH bagi menggempur BN.

Namun ketika ini masih samar-samar siapa sebenarnya mampu menerajui PH berdasarkan empat pemimpin PH yang ada.


Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar, Azan Ismail, Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu (BPPNT), Datuk Razali Idris dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng.

Raja Bahrin ialah Pengerusi AMANAH Terengganu sementara Azan pula ialah Pengerusi PKR Terengganu. Razali juga adalah Ketua Bahagian PPBM Kuala Nerus.

Asasnya PH sudah wujud sebelum ini apabila tiga parti – PKR, AMANAH dan DAP menandatangani satu memorandum persefahaman tetapi ia gugur dengan sendirinya selepas wujudnya PH secara rasmi.

Malah, sebelum ini sudah dipilih Pengerusi Mesyuarat PH Terengganu iaitu Raja Bahrin oleh wakil empat parti berkenaan. Namun ia juga sudah lupus begitu sahaja apabila struktur baru PH dispersetujui baru-baru ini.

Satu mesyuarat dijangka akan diadakan 2 Ogos ini untuk menubuhkan struktur berkenaan.
Mesyuarat akan menubuhkan struktur organisasi baharu dengan mengambil kira kehadiran secara rasmi empat wakil PPBM ke mesyuarat berkenaan.

Empat wakil PPBM ialah Pengerusi Negeri, Timbalan Pengerusi Negeri, Setiausaha Negeri dan seorang Ketua Bahagian.

Persoalan kini ialah siapa antara empat calon ini akan dipilih secara consensus atau melalui undian?


Pengerusi DAP rasanya tidak akan bersedia untuk dicalon kerana parti itu tidak bertanding pada PRU14 kali ini.

Sementara Pengerusi PPBM pula tidak memegang sebarang jawatan sama ada ADUN atau Ahli Parlimen.

Ini bermakna Razali dan Ng tidak akan dicalonkan untuk jawatan ketua PH Terengganu.

Yang tinggal adalah ADUN Bandar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Apakah salah seoranbgh daripada mereka akan berundur diri seperti dilakukan oleh Azan pada pemilihan pengerusi mesyuarat pada Fe bruari lalu?

Atau apakah Raja Bahrin akan berkeras untuk terus memegang jawatan sebagai pengerusi mesyuarat dan pengerusi PH negeri?

Berbagai kemungkinan ada.

Namun, melihat kepada keadaan pilihan raya negeri kali ini, dengan kedudukan di mana pembahagian kerusi dijangka sengit dijangkakan tidak akan berlaku konsensus.
Pemilihan mungkin terpaksa dibuat melalui pengundian.

Jika demikian, kepada siapakah undi PPBM dan DAP akan diberikan?

Apakah pihak yang kalah akan dapat menerima keputusan?

Untuk rekod, Azan memenangi DUN Bandar dan menjadi Yang Berhormat secara mutlak, biarpun mendapat sokongan kuat PAS sebelum ini.

Sementara Raja Bahrin memenangi Parlimen Kuala Terengganu di atas tiket PAS dan menjadi Yang Berhormat kerana bantuan PAS sepenuhnya. Dengan kata lain, kerusi AMANAH di Terengganu bukan kemenangan mutlak sebaliknya kerusi ‘yang dilarikan’ daripada PAS.

Faktor ini juga mungkin akan diambil kira dalam pemilihan Ketua PH Terengganu.

Apapun, 16 pemimpin yang menganggotai PH berhak menentukan ketua mereka dan biarlah pemilihan itu bersifat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak’.

Juga bagi pihak yang tewas (jika ada undian), terimalah hakikat bahawa yang penting bukan jawatan tetapi menewas dan menjatuhkan KERAJAAN BARISAN NASIONAL.

Ia perlu bergerak daripada perjuangan ini bukan siapa yang mengetuai PH Terengganu.

No comments:

Post a Comment