Monday 31 October 2016

PRU 14 - Ahmad Razif Akan Tewas Di Seberang Takir?

 

Kawasan Dewan Undangan (DUN) Seberang Takir kini bukan seperti DUN Kijal atau DUN Jerteh ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Kedua-dua DUN yang dimiliki bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (Kijal) dan Jerteh memang diyakini dimenangi jika terus ditandingi oleh kedua-dua mereka.

Sebaliknya DUN Seberang Takir kini begitu 'terpencil' dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang kini dimiliki PAS. ia bagaikan dikepung.

Ia kini bukan lagi kubu UMNO seperti yang didakwa oleh pemimpin UMNO, termasuk Menteri Besar yang mewakilinya ketika ini.

DUN Seberang Takir juga tersepit antara DUN Tepoh, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu yang akan dikenali dengan Buluh Gading pada pilihan raya ke-14 nanti, yang kesemuanya kini ditakluki PAS dalam kawasan Parlimen yang juga dimiliki PAS.

Berikutan itu Ahmad Razif perlu berjuang habis-habisan. Pada pilihan raya umum 2008 beliau menang dengan majoriti 2,430 tetapi pada 2013 lalu dengan 1,520.

Walaupun ketika itu beliau adalah Exco kanan kerajaan negeri dan sudah diwar-warkan akan menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, sokongan terhadapnya tetap merorot.

Perlu diingat di DUN Seberang Takir, ada kem askar, polis, universiti dan sebagainya. Tetapi mampukah undi berpihak kepadanya sekali lagi kali ini?

Walaupun sejak Pilihan Raya Umum pertama pada tahun 1959 hingga PRU ke-13 lalu, PAS  tidak pernah menang walaupun sekali, kali ini  PAS dijangka akan  menang, walaupun dengan majoriti kecil.

Justeru, tanpa menoleh ke belakang, petugas PAS kini begitu bersungguh-sungguh dengan kerja yang akan membawa kemenangan cemerlang untuk parti itu.

Kerana itu tidak pelik jika ADUNnya, Ahmad Razif Abdul Rahman begitu cemas dan banyak pihak meramalkan beliau akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.


Selain pengaruh PAS yang semakin kuat, Ahmad Razif sendiri bergelut dengan masalah dirirnya dan UMNO di kawasan itu.

Ahmad Razif mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Ahmad Said pada 12 Mei 2014 dan sejak itu ada sahaja kontroversi yang melanda.
.
Selain dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan pihak istana, Ahmad Razif juga berhadapan dengan undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Ahmad Said pada 8 Mac lalu semasa Sidang DUN, namun usul itu ditolak.

Bagaimanapun, krisis politik yang dihadapi Ahmad Razif kali ini lebih sukar kerana mempunyai kaitan dengan pihak istana dan kalangan pemimpin UMNO sendiri.

Walaupun krisis politik dianggap Ahmad Razif ‘sudah selesai, namun penyelesaian politik tidak pernah diumumkan Presiden UMNO yang sudah memanggil kesemua ADUN bertemu dengannya.

Mungkin ketika ini tenang tetapi ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’ kerana pada persidangan DUN membentangkan Bajet Terengganu 2017 nanti, mungkin ada pula perkara yang tidak enak berlaku.

Serangan demi serangan selepas beliau digugurkan pingat oleh Sultan Terengganu April lalu semakin menyukarkan kedudukan Ahmad Razif, apa lagi isu berkaitan dirinya turut diperkatakan.

Serangan oleh Ahmad Said turut mendedahkan beliau kepada banyak kelemahan cara pentadbirannya dan dia semakin ditolak bukan sahaja sebagai Menteri Besar tetapi juga sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus.

Cabaran sebagai Ketua Bahagian UMNO begitu besar di mana Ahmad Razif juga perlu memenangkan Parlimen Kuala Nerus.

UMNO tidak boleh mendabik dada mengatakan ia akan menang mudah kali ini kalaupun pada PRU13 lalu, PAS menang di Parlimen Kuala Nerus hanya dengan 641 undi sahaja.

Ahmad Razif tidak boleh mengharapkan kepada persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sedang dibantah, walaupun memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengikut persempadanan semula itu, di Teluk Pasu,  PAS yang hanya menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading. Ini  kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir.

Maka, hampir pasti BN dikatakan akan  menang  DUN  Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. Mereka kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

DUN Tepoh juga dipecahkan jika mengikut persempadanan baru oleh SPR. Sebahagian masuk ke DUN Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit UMNO, ditolak masuk ke DUN Tepoh.

Maka Tepoh yang juga menang hanya 229 undi juga dalam bahaya bagi PAS.

Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi BN merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat UMNO  di sekelilingnya, maka SPR tidak mampu berbuat apa-apa.

Walaupun berusaha untuk menang cara itu tetapi Ahmad Razif di Seberang Takir juga dihempuk oleh isu peribadinya.

Isu membina rumah baharu, peruntukan kerajaan negeri yang dilihat banyak ke kawasannya dilihat ‘kegelisahan’ dan ‘ketakutan amat sangat’ beliau bahawa DUN Seberang Takit akan berpindah kepada PAS.

Pada masa yang sama, PAS semakin membuktikan bahawa melalui semangat bekerja, dengan kesungguhan dan tekad yang kukuh serta azam yang kuat di jiwa, tidak mustahil bagi parti itu mencipta sejarah kemenangan di DUN  Seberang Takir.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Zakaria Dagang berkata baru-baru ini, jentera pilihan raya hendaklah bekerja lebih baik dengan jiwa yang kental dari kita semua.

“Kerja kuat, bersemangat dengan tekad dan azam yang kukuh serta jiwa yang kental dari kita semua, in shaa Allah, kita mampu mencipta sejarah kemenangan.

“Walaupun kita berhadapan ada cabaran yang besar dengan adanya kem askar, polis dan macam- macam, termasuk beberapa kampung yang menjadi kubu kuat (UMNO), ia tidak menjadi halangan kepada kita,”tegasnya.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Kaki Ke-14 di Markaz Tarbiyah Islamiyyah Seberang Takir (Martis) pada Khamis malam, 27 Oktober, beliau menyifatkan PAS tiada halangan besar untuk menang kali ini kerana dalam pilihan raya yang lepas empat daripada enam peti undi, telah dimenangi PAS, termasuk peti undi di kampung Menteri Besar sendiri.

“Itu (kejayaan yang) kita telah cipta, kita perlu menang di peti-peti undi yang lain lagi, selain mengekalkan empat yang telah kita menangi. Apatah lagi undi Tok Jembal dan Kubang Badak terdapat sebahagian besar golongan elit dan terpelajar yang akan lebih mudah untuk mereka menerima kefahaman dan menyokong kita,”jelasnya.

Beliau menegaskan dengan  kehadiran semua petugas pada malam itu sudah tentu akan dapat banyak input dan sekaligus suntikan semangat daripada pempinan negeri yang hadir. Ini kerana sebagai anggota di peringkat bawah, yang menerima amanah besar itu, perlu menyempurnakannya dengan baik, tanpa bertangguh atau berdalih dengan alasan dan membuang semua sikap negatif itu.

Dengan gandingan jentera PAS seperti Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) PAS Negeri Terengganu merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dr Alias Razak, TPJ 2 Haji Yahya Ali dan Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyidin Abdul Rashid di kawasan itu, menguatkan semangat PAS untuk menang di DUN berkenaan.


Sekiranya DUN Seberang Takir boleh kecundang, apa isyaratnya untuk UMNO dan BN Terengganu?

Friday 28 October 2016

Besut, Kawasan Parlimen Menteri Pendidikan Tinggi ‘Sarang Dadah’?


Benarkah Daerah Besut sarang dadah?

Portal rasmi PAS Terengganu berkata daerah itu yang diwakili Ahli Parlimen UMNO dan kebetulan seorang menteri kini bergelut dengan masalah dadah yang serius.

Ini dibuktikan dengan beberapa kes tangkapan oleh polis di mana pada 6 Oktober lalu, dua adik-beradik, kedua-dua penjawat awam, adalah antara 50 orang yang ditahan atas kesalahan berkaitan dadah yang disyaki dalam Ops Tapis di beberapa buah kampung dekat Jerteh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kedua-dua berusia 28 dan 33 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Bukit Kenak.

Beliau berkata mereka dibawa ke Balai Polis Daerah Besut dan kemudiannya disahkan positif methamphetamine.

“Selepas pemeriksaan lanjut, kedua-dua mereka mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tahun lepas,” katanya, sambil menambah bahawa salah seorang daripada mereka adalah pembantu am manakala yang lain pemandu  .

Beliau berkata 23 anggota polis dan lima pegawai daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan terlibat dalam operasi 12 jam.

“Kami menahan 50 orang yang berumur antara 18 dan 53. Kesemua mereka telah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya, sambil menambah bahawa suspek disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 Mohd Zamri (tengah) menunjukkan sejumlah 1,679 pil kuda dan 15 paket syabu bernilai RM26,000 yang dirampas.
Tidak sampai sebulan, pada Isnin lalu (23 Oktober 2016), polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM26,700 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di daerah ini  pada Rabu dan kelmarin.

Mohd Zamri berkata, serbuan pertama jam 8.30 pagi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah  Besut di sebuah premis di Jalan Alor Lintang, yang membawa kepada tangkapan dua suspek lelaki.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek pertama berusia 22 tahun yang sedang duduk di atas katil dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan dalam bilik tersebut, polis menemui 1,378 pil dipercayai dadah jenis methampertamine (pil kuda) berada di tempat berasingan bernilai RM13,000.

Polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun  dipercayai rakan serumah suspek pertama di bahagian luar rumah yang disewa mereka itu.

Dua buah kereta masing-masing jenis Proton Perdana dan Honda Civic bernilai RM45,000 dan sebuah motosikal Honda EX5 dianggarkan bernilai RM3,000 dipercayai milik suspek turut disita.

Mohd Zamri berkata, saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah pil kuda dan suspek pertama juga didapati mempunyai empat rekod lampau dadah dan jenayah lampu.

Menurutnya, suspek  ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.


Kata beliau lagi, serbuan kedua jam 6 petang Sabtu lalu  membabitkan rampasan dadah dipercayai pil kuda sebanyak 301 biji dan 15 peket disyaki dadah jenis syabu bernilai RM13,700 di sebuah rumah di Kampung Awek, Hulu Besut.

Mohd Zamri memberitahu lagi, dua suspek berjaya ditahan di hadapan pintu rumah tersebut dan menemui dadah berkenaan pada badan kedua-dua suspek.

“Suspek pertama mempunyai empat rekod lampau bagi kesalahan dadah,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua individu tersebut kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berkaitan pengedaran dadah, Harian Metro pada 17 Julai lalu,  melaporkan  dua lelaki ditahan bersama pelbagai dadah bernilai RM21,285 dalam serbuan di kedai menjual ayam di Kampung Chawat, Kuala Besut.

Lelaki berusia 24 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Pemeriksaan polis menemui pelbagai jenis dadah dalam premis dan kenderaan milik seorang daripada suspek itu.


Menurutnya, sebanyak 1,281 biji pil yaba, syabu hijau, syabu putih dan pil Erimin 5 dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka itu perolehi bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki di Sungai Golok, Selatan Thailand.

"Kedua-dua suspek kini direman selama seminggu bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika sidang media di IPD Besut.

Parlimen Besut adalah kubu kuat UMNO di mana, wakil rakyatnya adalah seorang bekas Menteri Besar yang juga Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Thursday 20 October 2016

Hanya PAS Islam, Parti Lain Termasuk UMNO Adalah 'Penjual Agama'



PAS tidak akan pernah memujuk. Mereka hanya tahu meminta dan bangga jika dapat menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang menolak permintaan mereka.

Hukuman akan dikenakan berlandaskan petikan ayat al-Quran yang bersifat cuba menakut dan seolah-olah ‘ke neraka jahanamlah bagi yang menentang hasrat PAS’.

Perbuatan melampau mereka boleh dilihat melalui penulisan di bawah ini yang jelas membuat hukuman sebelum pun ada keputusan dibuat oleh Dewan Rakyat.

Ini berkaitan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat mungkin tidaK akan menjadi kenyataan.yang kini kelihatan samar apakah ia boleh dibentang atau ditangguhkan.

Yang nyata Dewan Rakyat belum memutuskan tetapi hukuman sudah dijatuhkan.Apakah ini penyakit  yang sedang melanda PAS seperti sebut oleh sebuah blog bahawa kerana gagal bentangkan RUU 355, “Presiden PAS, Penyokong Akan Meroyan Gila..”?
  
Sebuah artikel disiarkan oleh Buletin Online iaitu media rasmi PAS Terengganu memetik pengarangnya sebagai berkata: “Motif tulisanku adalah untuk menyampaikan peranan al-Quran sebagai pembawa berita gembira kepada orang beriman dan ancaman kepada manusia yang engkar.”


Namun di samping memberi ingatan, beliau terlupa bahawa secara sengaja atau tidak sengaja, penulisa berkenaan sudah membuat hukuman berat kepada pemimpin Islam dalam parti-parti tertentu, khususnya UMNO.

Mengkategorikan parti politik dan pemimpin Islam adalah ‘penjual agama’ dan akan menerima sesuatu ‘hukuman yang amat berat’ adalah perbuatan bersifat marah dan cuba membalas dendam.

Menurut penulis artikel ini:

1.      Dalam UMNO, termasuk BERSATU dan WARISAN, ada 87 Ahli Parlimen Islam tetapi mereka takut untuk mendahului parti kerana sayangkan kuasa, jawatan dan gaji beribu. Mereka cintakan kedudukan dan wang berbanding kecintaaan terhadap firman dan hukum-hukum ar-Rahman.

2.      Bagi 15 Ahli Parlimen PKR, mereka seperti Ahli Parlimen UMNO dan bercita-cita ke Putrajaya mahu jawatan Perdana Menteri;

3.      Dalam AMANAH ada tujuh (7) Ahli Parlimen, mereka adalah Islam jenis ‘pelari kerusi perampas markaz’. Mereka khadam DAP; semua orang sedia faham tentang ini.

4.      Dalam DAP ada dua (2) Ahli Parlimen Islam. DAP adalah mereka . Mereka adalah DAP.

5.      Dalam PBB (Sarawak)  – Ada 10 Ahli Parlimen Islam - Presidennya, Tan Sri Adenan Satem menganggap besarnya bangsa daripada Allah.

Bukan sahaja kebimbangan wujud di kalangan orang Islam, apa lagi di kalangan orang bukan Islam.

Memang wajarlah jika mereka tidak percaya dengan PAS kerana cara mereka bukan memujuk, menerangkan atau memberi penjelasan dengan baik.

Sebaliknya meminta dan mendedak  dan jika ditolak, hukuman ‘ke neraka jahanamlah’ natijahnya.

Presiden PAS...menunggu imtuk bentang RUU

Antara petikan al-Quran yang diperingatkan kepada pemimpin dan penyokong yang ‘menjual agama’ adalah seperti berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (QS. Ali ‘Imran: Ayat 177)

Penulis (blog ini) mengakui bukan alim dan cetek ilmu agama tetapi selepas membaca artikel ini timbul berbagai pertanyaan.

Namun yang utama ialah apakah kerana meminta perbincangan, memohon penerangan lanjut dan mempertikai RUU 355, seseorang itu boleh digelar ‘menjual agama’?

Dibimbangi jika ramai dalam PAS bersikap sebegini atau ia memang melambangkan peribadi pemimpin PAS, maka parti ini sebenarnya mengamalkan sikap tertutup.

Patuh sahaja apa kehendak dan arahan pemimpin tertinggi PAS, jangan ada ‘pandangan atau pendapat kedua mengenai sesuatu perkara’ kelak akan ke ‘neraka jahanamlah kamu’!

Baca artikel berikut untuk lebih faham sikap PAS:
http://www.buletinonline.net/v7/index.php/adakah-mereka-yang-dimaksudkan-penjual-agama/


Adakah Mereka Yang Dimaksudkan Penjual Agama?
Oleh : Salam Muhammad
Thu, Oct 20th, 2016

Selain PAS, tendensi mereka adalah menjaga undi-undi bukan muslim. Masing-masing takut akan jerkah marah bukan muslim. Takut rakan non-muslim tarik diri daripada menjadi rakan ‘tentera bersekutu’.

Takut undi mereka berpecah. Maka peluang untuk mendapat kuasa terjejas. Hasrat menguasai Putrajaya gagal. Tinggal angan-angan kosong. Jawatan PM dan Menteri yang mula difaraidkan sesama mereka berantakan.

Golongan inilah menjadi penentu kejayaan RUU 355.

UMNO (termasuk BERSATU dan WARISAN) – Ada 87 Ahli Parlimen muslim.

Jenis jaga hati MCA, MIC, Gerakan dan komponen di Sabah dan Sarawak.

Ada yang mengugut. Ada yang memberi tekanan. Ada yang nak letak jawatan sebagai menteri. Ada yang berura-ura untuk tinggalkan BN.

UMNO tahu majoriti Melayu/Islam menyokong RUU 355.

Daripada peringkat mufti, NGO Muslim, tokoh-tokoh agama hinggalah kepada rakyat jelata, ramai yang sudah bersuara menyokong RUU 355 itu.

 Penulis percaya sebahagian besar MP UMNO juga menyokongnya. Cuma mereka tak berani mendahului parti. Masing-masing sayangkan kuasa, jawatan dan gaji beribu.

Kalaulah semua itu diletakkan di atas neraca kasih sayang, pastinya dacing itu lebih berat berbanding kecintaaan terhadap firman dan hukum-hukum ar-Rahman.

PKR – Ada 15 Ahli Parlimen muslim. Perangai hampir sama sahaja dengan UMNO; bezanya mereka belum ada kuasa di Putrajaya.

Cita-cita mereka tinggi melangit. Nak Putrajaya dan nak jawatan PM. Hampir separuh daripada ahli mereka juga bukan Islam. Justifikasi yang dicipta sama sahaja dengan citra UMNO. Sama-sama berteka-teki macam UMNO.

PAN  – Ada 7 Ahli Parlimen muslim. Jenis pelari kerusi perampas markaz.


Parti yang terbina atas politik dendam dan kecewa. Kemenangan dan kebahagiannya adalah apabila dendam terbalas. Sebab itu mereka bertempik dengan wajah ceria apabila RUU 355 diturunkan dari agenda 4 ke agenda 7.

Itu baru turun agenda. Lebih-lebih lagi sebagai khadam DAP; semua orang sedia faham tentang ini. Bukti mulut, bukti nyata, semua bukti ada. Sudah cukup.

DAP – Ada 2 Ahli Parlimen muslim.. Penulis tak mahu ulas panjang. DAP adalah mereka . Mereka adalah DAP.

PBB – Ada 10 Ahli Parlimen. Dari awal lagi, Presidennya, Adenan Satem beritahu akan menolak RUU 355 atas faktor Sarawak terdiri daripada pelbagai bangsa, adat dan budaya. Aduhai, besarnya bangsa daripada Allah.

PAS – Ada 14 Ahli Parlimen yang menyokong penuh. BEBAS – Ada 1 Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim – juga menyokong RUU 355.

Jumlah semua 136 undi Islam. RUU 355 hanya perlu minimum 112 undi. Berjayakah? Tok Guru kita senyum sahaja apabila diajukan soalan itu.

Semua penyokong kepimpinan ulama tersenyum. PASTI.

Tuesday 18 October 2016

Pelik Apabila Hadi Kata GST Baik Untuk Tingkatkan Ekonomi Negara....


Mengejut dan memerlukan penjelasan daripada PAS, apakah parti itu kini menyokong cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ini kerana semalam di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen PAS Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap mengenai GST sambil mengakui yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Bukan bermaksud Hadi tidak boleh bercakap mengenai isu lain sebagai ketua antara parti terbesar di Malaysia tetapi pada ketika usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat mungkin tidaK akan menjadi kenyataan.ditungu-tunggu untuk diperkatakan oleh Hadi memuji  GST di Dewan Rakyat.

Yang menjadi tanda tanya ialah, sebelum ini GST dianggap sebagai cukai yang merompak rakyat secara sah dan haram pada ketika negara dipenuhi ketirisan dan rasuah.

Sebaliknya Presiden PAS itu selain memuji GST turut membuat cadangan bahawa kerajaan perlu memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai ber­kenaan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST?

Beliau menyatakan perkara ini ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Apakah ini menggambarkan PAS menyokong langkah kerajaan memperkenalkan GST walaupun ia kini menjadi isu yang digunakan untuk menghentam kerajaan?

Apakah pendirian Hadi ini bertentangan dengan pandangan pemimpin pembangkang lain dalam isu GST yang disifatkan sebagai menekan rakyat?

Pendirian Hadi ini sedikit mengejutkan kerana pemimpin PAS sendiri ramai yang menganggap GST sebagai sesuatu yang menekan rakyat.


Ini kerana Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh (gambar atas) pernah menegaskan GST yang dikenakan oleh kerajaan terhadap rakyat adalah haram.

Katanya, dengan kedudukan negara yang mengalami masalah ketirisan dan rasuah, cukai itu tidak wajar dikenakan dan ianya bercanggah dengan syariat Islam.

"Cukai sebegini seolah-olah merompak rakyat secara sah ... walaupun Islam membenarkan kutipan cukai dalam negara, tetapi ia adalah haram apabila negara dipenuhi ketirisan dan rasuah," katanya kepada pemberita pada program 'Himpunan Derita Rakyat (HINDAR)' anjuran Dewan Ulama PAS Pusat, yang diadakan di Padang Merbok  pada 12 April 2015.

Kenyataan Hadi itu jelas bertentangan dengan pendapat Majlis Syura Ulama dan apakah Hadi menggunakan kuasa vetonya sebagai Presiden PAS dalam menyokong kerajaan dan memperakui GST itu baik?

PAS perlu menjelaskan kepada rakyat pendiriannya dalam isu GST ini kerana kenyataan Hadi semalam separti secara tiba-tiba. Sebab dan bagaimana boleh dibuatnya menjadi tandatanya.

Nik Zawawi  berhujah,  di Singapura, meskipun kerajaannya mengenakan GST, tetapi ianya diganti dengan sistem pengangkutan awam yang efisyen serta harga kereta yang jauh lebih murah.

Selain itu, katanya negara Malaysia kaya dengan pelbagai sumber asli seperti petroleum dan kayu balak yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

Malah, majlis HINDAR di Padang Merbok itu adalah kali pertama  Dewan Ulama turun untuk membantah kerana katanya pelaksanaan GST menzalimi rakyat dan bercanggah dengan syariat Islam.

"Kita Dewan Ulama bukan menentang secara membabi-buta, tetapi GST satu sistem percukaian yang tidak patut dilaksanakan di negara kita," katanya lagi.

Nik Zawawi juga berkata, beliau bersedia berdebat dengan mana-mana pihak termasuk menteri atau mufti tentang hukum melaksanakan GST.

Ironinya, himpunan yang menyaksikan kira-kira 2,000 perserta yang di Padang Merbok itu turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan pemangku Timbalan Dewan Ulama PAS Posit ketika itu, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak didakwa cuba meletakkan kelemahan pentadbirannya di atas bahu rakyat dengan melaksanakan GST.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa  di bawah pentadbiran Najib, ekonomi negara sangat bermasalah kerana perbelanjaan tidak berhemah dan tidak terurus.

Dr Mahathir berkata defisit negara  meningkat kerana perbelanjaan tidak berhemah, meningkatkan gaji minimum tanpa meningkatkan produktiviti, menambah hari cuti dan menggantikan hari bekerja jika cuti umum jatuh pada hujung minggu dan berbelanja untuk barangan mewah.

Jika Najib bijak menguruskan kewangan, GST tidak perlu dikenakan terhadap rakyat.

Dr Mahathir berkata, GST telah mengurangkan kuasa beli rakyat dan menjadikan rakyat lebih miskin. “GST adalah cara untuk rakyat mengkayakan kerajaan."

Malah, Dr Mahathir berkata, kerajaan di bawah Najib terpaksa menanggung beban hutang termasuk 1MDB dan beban itu dipindahkan kepada rakyat menerusi GST.


Menjawab soalan Abdul Hadi itu, Johari berkata, kerajaan tidak pernah bercadang memansuhkan GST kerana objektif pelaksanaan cukai itu adalah untuk menyusun semula sistem cukai kepenggunaan negara supaya menjadi lebih telus dan cekap kerana telah mengambil kira kedudukan semasa sosio ekonomi masyarakat.

Beliau memberitahu, dari Januari hingga Oktober ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip RM29.34 bilion GST iaitu meningkat sebanyak RM1.41 bilion berbanding sembilan bulan pelaksanaan cukai itu tahun lalu yang berjaya meraih RM27.93 bilion.

Walaupun kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak enam peratus, namun jumlah barangan dan perkhidmatan yang efektif dikenakan cukai tersebut hanya pada kadar 3.6 peratus.

Mengenai soalan kenapa harga barang yang tidak dikenakan GST turut meningkat selepas pelaksanaan cukai itu, Johari memberitahu, perkara itu disebabkan peniaga-peniaga tertekan berikutan pengurangan keuntungan yang diperoleh sejak sistem cukai itu dilaksanakan.

“Ketika Malaysia melaksanakan SST, banyak ketirisan berlaku berpunca daripada para peniaga tidak membayar cukai tersebut kerana mengambil kesempatan daripada sistem cukai yang kurang cekap itu,” katanya.

Katanya, kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST juga mungkin berpunca daripada peniaga yang belum memahami senarai barang dan perkhidmatan yang tidak perlu dikenakan cukai tersebut.

Johari menjelaskan, tahap pengetahuan peniaga semakin baik berdasarkan kadar inflasi yang menurun daripada 3.43 peratus semasa peringkat awal GST dilaksanakan kepada kurang 2.0 peratus pada tempoh sekarang.

Friday 7 October 2016

‘Senarai Cobaan’ Jadikan Ahmad Razif Melenting Tidak Tentu Pasal...


Jangan cepat melenting tidak tentu pasal wahai Ahmad Razif Abdul Rahman.

Baru cobaan, bukan betul pun.

Jangan marah akhbar kerana menyiarkan apa yang sedang dihebohkan mengenai UMNO Terengganu.

Jadilah Menteri Besar yang professional dan tidak takut kepada bayang-bayang sendiri.

Biasalah apabila hampir dengan pilihan raya umum (PRU), akan ada berbagai spekulasi, termasuklah siapa bertanding dan siapa akan digugurkan.

Baru diedarkan senarai cadangan calon yang boleh disebut sebagai ‘senarai cobaan’ mengatakan Menteri Besar akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Ahmad Razif sudah ‘panas punggung’.
  
Yang lain, yang langsung nama ‘tak naik’ dalam senarai itu nampak relaks saja.

Nawi Mohamad
Contohnya Ketua Bahagian Hulu Besut (Nawi Mohamad), Datuk Mohd Jidin Shafie (Setiu) dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman) menyepi dan menganggap ia ‘asam garam politik’.

Malah Datuk Seri idris Jusoh yang juga ‘digugurkan daripada senarai cobaan’ itu pun tidak melenting.

Senarai itu dikatakan sebagai maklumat sulit yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, turut menyenaraikan lebih 50 peratus muka baharu ditampilkan pada PRU14, di samping mengekalkan wakil rakyat sedia ada termasuk Ahmad Razif serta beberapa bekas penyandang kerusi terdahulu.

Berdasarkan maklumat tersebut, senarai itu meletakkan Ahmad Razif yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus akan bertanding mewakili kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Lebih mengejutkan, senarai itu mengetepikan seorang lagi  Ahli Majlis Tertinggi Umno, yang juga menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Ahli Parlimen Kemaman).

Ia hanya mengekalkan sembilan wakil rakyat BN sedia ada iaitu sama ada dengan meletakkan mereka di kerusi sedia ditandingi pada PRU13 atau memindahkan mereka ke kerusi lain.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar; Pengkalan Berangan, A Latiff Awang; Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Bukit Besi, Roslee Daud kekal bertanding di kerusi masing-masing.

Mohd Jidin...digugurkan?
Manakala ADUN Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof bertanding di Kota Putera, ADUN Seberang Takir yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif bertanding di Parlimen Kuala Nerus; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari mewakili DUN Kuala Berang dan ADUN  Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar di Parlimen Kemaman.

Ahmad Razif semalam dilaporkan kesal dengan laporan berita itu yang dibuat berpandukan sumber daripada aplikasi WhatsApp.

“Saya amat kecewa atas sikap tidak bertanggungjawab pihak akhbar terbabit yang membesarkan perkara ini sedangkan kita dalam Umno Terengganu tak ambil kisah sangat kerana kita belum hantar pun senarai nama…kenapa laporan tersebut perlu ditafsirkan sebagai senarai bocor? Bocornya daripada mana?

“Itu yang kita amat terkejut sebab pihak Majlis Tertinggi (Umno) belum lagi minta senarai nama. Saya bimbang nanti akan keluar lagi nama baru. Setakat ini, perbincangan pun belum ada, tak fikir pun lagi hal ini,” katanya selepas Program Himpunan Jentera Penerangan Umno Terengganu yang dihadiri Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Razif berkata, parti negeri itu masih dalam keadaan kuat dan bersiap sedia menghadapi PRU14.

“Sebenarnya, tak ada pergolakan sangat di negeri ini, tetapi sudah pasti ada ‘tangan-tangan’ (pihak) yang tidak senang melihat kekuatan Umno, sama juga seperti yang berlaku di peringkat pusat.

“Sebab itu saya nampak ada gangguan yang sedang dilakukan pihak tertentu, termasuklah mengedarkan senarai nama.

Apa tujuannya? Tak lain tak bukan untuk menimbulkan konflik sesama kita. Perkara ini tidak akan jadi halangan dan tak perlu diambil cakna sangat,” katanya.

Gangguan? Siapa yang nak ganggu?

3 gugur...1 kekal, hanya Ahmad Razif
Kalau kuat dan tidak ada apa-apa seperti katanya sebelum ini bagai ‘ribut dalam cawan mkopi’, apa nak gusarkan?

Sepatutnya Ahmad Razif tidak susah hati dengan ‘senarai cobaan ‘ itu kerana  apa yang penting ialah jentera Umno perlu sentiasa bersedia dan diperkukuhkan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Senarai cobaan itu mungkin dikeluarkan oleh ‘orang Ahmad Razif’ sendiri untuk ‘test market’ san memancing dengan harapan ada yang ‘ngap’ dan perbuatan itu boleh dibaca dalam berbagai warna.

Semalam Ahmad Razif berkata ‘senarai cobaan’ itu dilakukan oleh mereka yang ‘tangan tak senang’ dan mengedarkannya kepada orang ramai.
  
Tiada alasan lain bagi Ahmad Razif sekarang,  selain menuduh perbuatan seperti itu merupakan ‘gangguan yang dilakukan pihak tertentu untuk mencetuskan konflik dalam Umno Terengganu’.

Sebenarnya di Terengganu kini, pemimpin UMNO lain tidak begitu kesah dengan apa yang dikatakan ‘kemelut politik’ itu.

Yang kecoh sendiri ialah Menteri Besar dan beberapa orang yang di sekelilingnya, bimbang jika Ahmad Razif lenyap daripada politik Terengganu.

Mereka yang ‘bergantung nyawa politik dan bisnes’ yang orang Terengganu semua tahu siapa mereka.

Membuat kenyataan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif menyebut bahawa “Badan Perhubungan Umno Terengganu menafikan ada mengeluarkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang”, hanya menjadikan ‘senarai cobaan’ itu semakin laris.

Sebenarnya tidak payahlah nak sensitif sangat dengan perbuatan seperti itu.

Siapa yang bimbang sebenarnya?

Semua tahu Ahmad Razif bimbang kalau bertanding di Parlimen Kuala Nerus kerana di kerusinya sendiri kini – Sebarang Takir – beliau sendiri merasa kurang selamat.

Apa lagi jika di Parlimen yang menggabungkan Seberang Takir dan tiga lagi kerusi DUN – lagilah menakutkan beliau kerana ketiga-tiganya kini dipegang oleh PAS.

Ahmad Razif menjadi Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus tetapi dalam kawasannya, hanya beliau sahaja yang menang.

Dalam pilihan raya umum  lalu, kerusi Parlimen yang disandang UMNO jatuh kepada PAS kerana pertelingkahan dalaman dan adanya perbuatan sabotraj terhadap calon BN ketika itu, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Ketika itu Nasir adalah Ketua Bahagian UMNO. Kekalahan Nasir menyebabkan beliau juga kalah bagi perebutan jawatan Ketua Bahagian UMNO kepada Ahmad Razif.

Malah bukan di Terengganu sahaja Ahmad Razif berdepan dengan ‘lawan daripada UMNO sendiri’. DI dalam bahagiannya, selain Nasir, beliau juga berdepan dengan isu hubungan politik dengan beberapa pemimpin tempatan.

Tidak payah sebut nama, orang UMNO dan PAS Kuala Nerus tahu siapa yang akan ‘mensabotaj Ahmad Razif’ pada PRU14 nanti.

Matematiknya mudah, ‘jika kamu boleh sabotaj orang sebelum ini, kali ini kamu tunggulah...mungkin orang akan sabotaj kamu pula’.

Juga dalam politik mungkin Ahmad Razif lupa satu amalan yang sebaik-baiknya dilakukan ialah mencari seberapa ramai yang boleh tetapi Ahmad Razif dan konco-konconya berbuat sebaliknya.

Dengan menjadikan musuh lebih ramai daripada kawan, tunggulah sahaja akibatnya pada PRU14 nanti.

Tuesday 4 October 2016

Tabika Imtiaz, Sekolah Rendah Imtiaz Di Terengganu Mulai Tahun Hadapan?


Kerajaan Terengganu merancang untuk melaksanakan tadika Imtiaz dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menggunakan konsep pendidikan yang berteraskan al-Quran, bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya akan mengemukakan perincian cadangan itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) agar dapat direalisasikan tahun hadapan.

"Tadika Imtiaz ini akan menjadi tadika pelapis untuk pelajar Sekolah Rendah Imtiaz dan sekiranya pelajar menunjukkan kecemerlangan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, pelajar itu akan terus diserap masuk ke Sekolah Menengah Imtiaz.

Ahmad Razif berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan pelajar yang cemerlang berteraskan al Quran yang memberi penekanan dalam pembelajaran bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan hafal Al-Quran.

‘Negeri Terengganu memang mengambil berat tentang pendidikan agama kerana itu kita melaksanakan sekolah pondok moden, kita menambah nilai sekolah Imtiaz’.

‘Insyallah kita merancang untuk melaksanakan Tabika Imtiaz dan Sekolah Rendah Imtiaz’.

‘Saya telah minta Encik Hassan (Hassan Manaf, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Pembangunan) Kemas)  dapat menyampaikan hasrat kerajaan negeri untuk mengadakan collaboration (kerjasama) dengan pihak Kemas untuk mengadakan Tabika Imtiaz dahulu’.


‘Kita berdoa akan dipertimbangkan oleh pihak KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) seperti mana yang telah kita laksanakan dalam konsep melaksanakan Sekolah MRSM Ketengah Yayasan Terengganu’.

Katanya, jika dapat bekerjasama macam tu ia dapat menjimatkan dari segi kos dan perbelanjaan pengurusan dan pelaksanaan di bawah Kemas.

Sebelum ini wujud kerjasama melalui program English dengan Kemas iaitu Program Tadika Cemerlang konsep Tadika Cemerlang dengan kita bekalkan ICT, buku, computer, latihan guru melalui program Program Tadika Cemerlang.

‘Melalui konsep yang sama (Program Tadika Cemerlang) tetapi kita buat secara kerjasama’.

‘Saya bercadang supaya tadika ini kita dapatkan serapkan dalam keutamaan kepada penekanan bahasa English, Bahasa Arab dan untuk hafal Quran’," katanya..

‘Jika dapat dibuat pendedahan awal maka Imtiaz Sekolah rendah jadi feeder dan Imtiaz sekolah menengah jadi feeder dan ia dapat mencapai hasrat kerajaan negeri menubuhkan Imtiaz ini’.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutup Program Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Dan Karnival KEMAS Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2016 di Kem Pengakap Seberang Takir semalam yang dihadiri oleh warga Kemas termasuk guru dan murid tabika seluruh negeri Terengganu .

Turut hadir Hassan dan Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat.

Sementara itu bagi Sekolah Rendah Imtiaz pula, kerajaan negeri masih menunggu persiapan daripada Yayasan Islam Terengganu untuk proses pelaksanaannya dan bercadang untuk membuka sekolah pertama pada tahun depan di Kuala Terengganu.

Katanya, untuk Sekolah Rendah Imtiaz kerajaan negeri masih menunggu persiapan yang dibuat Yayasan Islam Terengganu dan tugas melaksanakannya diserahkan kepada Yayasan Islam Terengganu.

Tegasnya, tahun hadapan, kerajaan negeri akan melaksanakan sebuah projek /pilot' di Kuala Terengganu.