Thursday 30 June 2016

Rumah Mampu Tengok, Ikan Pula Hanya Mampu Tilik


Oleh : Ahmad Amzad Hashim

Terengganu negeri perikanan dengan harga ikan paling mahal?

Saya harap pihak berkuasa dan persatuan pengguna dapat berbuat sesuatu berhubung dengan harga ikan di negeri Terengganu yang terlampau mahal jika dibandingkan dengan negeri negeri lain.

Isu ini bukanlah baru sebulan dua, tetapi sudah menjadi percakapan orang sudah lama.

Terengganu sentiasa digambarkan sebagai sebuah negeri perikanan dengan jumlah nelayan yang ramai dan sumber perikanan yang kaya di laut sehingga mengundang pencerobohan nelayan asing.

Pelbagai kompleks pendaratan ikan yang canggih seperti jeti LKIM di Chendering dan Pulau Kambing kelihatan sentiasa sibuk dengan bot bot nelayan keluar masuk memunggah hasil laut.

Malangnya harga ikan masih sangat mahal.

Tinjauan di beberapa pasar basah di sekitar Kuala Terengganu kelmarin mengejutkan dengan harga ikan kembong mencecah RM18 sekilo, sotong RM28 sekilo, udang RM32 sekilo. Ikan seperti kerapu pisang RM80 sekilo dan udang saiz sederhana besar RM80 sekilo. Ini termasuk di Pasar Kedai Payang dan Pasar Chabang Tiga.

Ini bermakna seratus ringgit yang dibawa pengguna hanya cukup untuk ikan, sotong atau udang. Belum lagi untuk membeli ayam, daging dan sayuran.

Di mana silapnya kerajaan diminta siasat dan perbetulkan.

Rata rata penjual memberitahu mereka ambil untung sikit sahaja. Habis kosnya di mana?

Umumnya orang kata ikan Terengganu lebih segar. Tapi bagi yang biasa ke pasaraya dan pasar di pantai barat khususnya di Lembah Kelang, kualiti kesegaran ikan tidaklah menjadi isu yang terlalu besar. Malah pilihan jenis ikan di Terengganu adalah terhad.

Setiap hari rakyat semakin terasa dengan harga ikan yang luar biasa mahalnya.

Kita seronok melihat ikan hidup dipamer dalam aquarium seperti di Aquaria KLCC atau di Zoo.

Sekarang, ikan mati di pasar pun hampir jadi bahan pameran sahaja kerana rakyat tidak mampu membelinya kerana harga yang sangat mahal.

Kalau dulu isunya Rumah Mampu Milik sekadar jadi Rumah Mampu Tengok kerana harga melambung. Sekarangpun kita berdepan masalah Ikan Mampu Tilik dan Tengok sahaja.

Pendapatan isi rumah tak naik naik. Rakyat dari setiap hari makan ikan kembong sudah mula beralih ke selayang ataupun keli.

Buletin Online

Wednesday 29 June 2016

Lepas Jawatan Jika UMNO Gagal Di Kuala Terengganu...


Huh...tabiklah kepada Pengerusi Pembangunan Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Beliau  berikrar akan melepaskan jawatan jika calon Barisan Nasional (BN) gagal merampas kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, tiada gunanya memegang jawatan tertinggi di peringkat bahagian jika UMNO gagal merampas kerusi Parlimen dan DUN yang kini diwakili pemimpin pembangkang.

"Saya menawarkan diri untuk tidak bertanding menerajui kepimpinan UMNO, tetapi akan memberi sokongan kepada kepimpinan UMNO yang akan dipilih ahli di peringkat akar umbi pada pemilihan parti yang akan diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Walaupun tidak memegang jawatan, saya akan tetap setia dan berjanji tidak berpaling tadah serta menderhaka kepada parti," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) peringkat Daerah Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO, Mohd Sabri berkata, ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat kepada BN dan UMNO.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar di Selangor membuktikan keyakinan rakyat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.


Soalannya, awak sendiri mahu bertanding di mana? DUN atau Parlimen?

sumber - Berita Harian

Monday 27 June 2016

Wakil Rakyat Bermusim Tidak Jamin Kemenangan BN


Wakil rakyat ‘bermusim’ yang hanya datang ‘menjenguk’ rakyat ketika menjelang pilihan raya tidak mampu menjamin kemenangan BN pada PRU14.

Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu, DatukHarun Hassan berkata, wakil rakyat perlu benar-benar berkhidmat kerana perkhidmatan mereka memberi pengaruh besar untuk memastikan rakyat kembali memilih BN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang wakil rakyat tidak menunjukkan prestasi baik dan cemerlang, mereka sudah tentu dinilai rakyat dan berkemungkinan besar rakyat tidak lagi memberi undi kepada calon terbabit.

“Kalau wakil rakyat itu hanya datang lima tahun sekali, rakyat akan ukurlah. Kalau pilih (calon sama), alamat kalah. Siapa yang hendak wakil rakyat macam itu. Kalau awak (wakil rakyat) mahu bersenang-lenang, rakyat akan hukum awak,” katanya kepada Sinar Harian, di Kual Terengganu.

Melalui pemerhatiannya terhadap wakil rakyat BN di negeri ini, Harun yang juga bekas Adun Air Putih mengakui tiada istilah bermusim terhadap mana-mana wakil rakyat dari parti kerajaan.

Jelasnya, wakil rakyat BN di Terengganu menjaga imej dan penampilan parti melalui khidmat yang baik selaku wakil rakyat yang telah diamanahkan untuk memimpin kawasan masing-masing pada PRU lalu.

“Wakil rakyat yang buat kerja lima tahun sekali tiada di sini. Kalau lihat wakil rakyat BN sering kita tengok turun padang. Tiada wakil rakyat bermusim,” katanya.

Apa yang penting katanya, khidmat yang baik daripada seseorang wakil rakyat biasanya akan membuahkan keputusan yang baik.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu peribadi wakil rakyat turut dijadikan ukuran dan memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan berterusan rakyat serta tidak menolak sikap mereka yang benar-benar ikhlas berkhidmat akan meyakinkan rakyat memberi undi kepada BN.  
“Wakil tiada bermusim. Mana ada hari cuti sama ada Jumaat atau Sabtu, sama ada malam atau siang. Itu berdasarkan pengalaman saya.

Kadang-kadang kalau kita balik tengah malam atau pukul dua tiga pagi pun masih ada lagi orang ketuk pintu untuk berurusan. Sebagai wakil rakyat kita berkhidmat,” katanya.

Sunday 26 June 2016

Raja Bahrin - Kenapa Polis Diam Isu 'Kafir Harbi'?


Tidak ada apa yang hendak dihairankan dengan kenyataan mufti Pahang apabila mengistiharkan DAP sebagai kafir harbi, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Kata beliau, ini kerana, sejak tahun lepas lagi, Parti Amanah Negara (AMANAH) membantah kenyataan 'ulama' dari sebuah negeri di utara tanah air yang "menghalalkan darah" mereka yang tidak sehaluan dengan partinya.

Namun, Raja Kamarul berkata, tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa polis ekoran laporan tersebut.

“Nampak gayanya mufti kerajaan negeri Pahang (pimpinan Umno) bebas membuat kenyataan walaupun betapa bahaya kenyataan kafir harbi yang membolehkan yang dituduh di hapuskan.

“Nampaknya ahli PAS yang menjadi penasihat kepada Umno juga kebal dari tindakan dengan kenyataan halal darah terhadap lawan mereka.

“Jadi apa yang hendak dihairankan tindakan mufti dari negeri kerajaan Umno. Bukankah PAS juga menjadi penasihat pada Umno," tanya Raja Kamarul dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang merupakan Mufti Pahang telah menggelar DAP sebagai 'kafir harbi' kerana menentang langkah langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan menerusi pembentangan rang undang-undang anggota persendirian oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan Abdul Rahman ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Menurut Pengerusi AMANAH negeri Terengganu itu lagi, keadaan tersebut berbeza dengan tindakan anggota militan Islamic State (IS) yang membuat ugutan keganasan melalui video dari seberang laut dengan pihak polis memberi amaran keras.

“Apabila mereka yang membuat ugutan dan kenyataan menghasut keselamatan berada di depan mata dalam negara, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sepatutnya,” kata Raja Kamarul.

Justeru, Raja Kamarul mempersoalkan sejauh manakah seriusnya kerajaan dalam perkara sedemikian.

“Adakah kerajaan serius menangani isu extremis agama yang berada didepan mata.

"Adakah kerajaan menunggu insiden yang tidak diingini berlaku sebelum bertindak," tanya beliau.

Wednesday 22 June 2016

Kerajaan Terengganu Tegas Banteras Jenayah Pemalsuan Sijil Nikah

Dua daripada tiga lelaki yang ditahan ditahan reman.
Sebelum ini dilaporkan Terengganu antara negeri paling mudah untuk bernikah, sama ada untuk berpoligami atau berkahwin 'lari' akibat di halang keluarga.

Kini tidak lagi.  Kerajaan Terengganu akan mengambil langkah untuk memperketat prosedur pengeluaran sijil nikah di negeri ini bagi mengelak berulangnya pengeluaran sijil nikah palsu.

Kerajaan negeri juga tidak bertolak ansur dengan jenayah pemalsuan sijil nikah.

Sejak beberapa hari lalu. laporan  menyebut tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung menerima rasuah bagi memudahkan pendaftaran nikah sempadan khususnya di Thailand.

Seorang daripadanya adalah pegawai Jabatan Agama Islam dan dua lagi adalah pegawai kerajaan berlainan agensi.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 30 hingga 43 itu ditahan di sekitar Kuala Terengganu untuk diambil keterangan.
Laporan menyebut,
 
Kelmarin  pula laporan menyebut, ketiga-tiga mereka, termasuk pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang ditahan itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah 2009.

MajistretRaja Norshuzianna Shakila Raja Mamat kelmarin membenarkan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Jun depan untuk siasatan lanjut.

Sindiket yang menawarkan proses membuat kad dan sijil nikah kepada pasangan tanpa perlu menghadirkan diri ke mahkamah serta tidak perlu membayar denda kerana bernikah di luar negara ini berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini, kelamrin.

Satu sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu menyediakan sijil perkahwinan dan kad akuan nikah kepada sesiapa yang berkahwin di Thailand dengan bayaran RM3,500 terutamanya untuk lelaki yang berminat untuk berpoligami.

Kata sumber lagi, selain pasangan yang ingin berpoligami, sindiket berkenaan turut menjadi pilihan kepada pasangan kekasih yang ingin berkahwin tetapi tidak mendapat restu ibu bapa.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Ahmad Razif - kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur
Semalam, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pasangan yang mendapatkan sijil nikah palsu diminta menyerahkannya kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan memohon dokumen sah.

"Selepas ini, kita akan lebih berhati-hati dan memastikan proses mengeluarkan sijil nikah dibuat dengan lebih teliti dan ketat. Kita mahu pastikan semua prosedur diikuti, tanpa ada unsur penipuan yang mencurigakan. 
  
"Ia bukan tentang sijil nikah sahaja, tetapi semua aspek termasuk permohonan mendapatkan pekerjaan di mana kita akan pastikan sijil-sijil yang dikemukakan diteliti sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyampaian baucer Dana Raya Dewan Undangan Negeri Seberang Takir semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu di negeri ini yang didalangi tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai JHEAT.

Wednesday 15 June 2016

Dana Raya Mula Diagih Hari Ini – Ahmad Razif


Bantuan Dana Raya  berjumlah RM80.3 juta akan diagihkan kepada 217,001 penerima di Terengganu mulai hari ini sebagai persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Penerima boleh menebus baucer masing-masing di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank berdekatan sebelum 16 Oktober depan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata daripada 228,608 pemohonan yang diterima, hanya 217,001 penerima lulus dan  memenuhi syarat kelayakan.

“Manakala baki 11,607 pemohonan  ditolak kerana terdapat keraguan, termasuk suami dan isteri memohon bersama, bukan pengundi di Terengganu,  suami dan isteri berpendapatan melebihi RM2,000 serta  maklumat tidak lengkap,”katanya.

Beliau berkata demikian selepa mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM54.8 juta kepada 138,817 orang yang pendapatan rendah; RM9.5 juta  untuk 31,591  warga emas; RM11.9 juta kepada 33,132  ibu tunggal dan RM4  juta pula disediakan untuk 13,461 orang kurang upaya.

Kuala Terengganu menerima agihan paling tinggi iaitu RM15.7 juta kepada 42,949 penerima diikuti Kemaman  RM12.9 juta  kepada 34,520 penerima dan  Besut  pula sebanyak RM12.8 juta  kepada 34,347 penerima.

Daerah lain, Dungun melibatkan agihan RM9.9 juta  kepada 26,417 penerima:  Kuala Nerus RM8.4 juta (22,893 penerima); Marang  RM 8 juta (21,945 penerima) dan  Hulu Terengganu  RM7.1  (19,301 penerima) dan  Setiu  pula membabitkan RM5.4 juta diagihkan kepada 14,629 penerima.

Sementara itu, Terengganu mengikut langkah Kerajaan Pusat  dengan  memberi bonus raya  RM500 kepada  kira-kira 7,600 penjawat awam, termasuk  kakitangan  yang bertaraf `ad-hoc’ dan pembayarannya akan dibuat sebelum menjelang perayaan Aidilfitri.

Menteri Besar,  Ahmad Razif Abd Rahman, berkata mengikut anggaran yang disediakan Jabatan Bendahari Negeri, jumlah perbelanjaan keseluruhan yang terlibat  adalah sebanyak RM3.77 juta.

Jumlah itu termasuk peruntukan  RM427,000 untuk kakitangan ad-hoc  yang bertugas dengan Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) dan lain-lain agensi di bawah kerajaan negeri.



Monday 13 June 2016

Mohamed, UMNO Sudah Tidak Relevan Di DUN Cukai???


Analisis DUN Chukai...

Sudah banyak kali terdengar cakap-cakap kononnya Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Chukai, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tidak melaksanakan tugas beliau dengan baik.

Kerana itu UMNO Terengganu perlu memperkemaskan jentera parti khususnya  sebagai usaha menjamin UMNO dan kerajaan berfungsi dengan baik.

Cerita mengenai kegagalan Wan Ahmad Nizam bukan rahsia. Ini kerana ia kerap 'diratip’ oleh seorang pemimpin UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Bahagian Kemaman sendiri.

Wan Ahmad Nizam yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di DUN Cukai tetapi kalah dikatakan tidak mempunyai perancangan dan pelan tindakan yang sesuai dan berpengaruh untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Selain itu penyelaras DUN Chukai sebelum ini, juga dikatakan tidak berfungsi dan kerana itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman perlu bertindak segera.

Berikutan itu Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera (gambar aas) dilantik sebagai Penyelaras DUN Chukai yang baru, menggantikan Ahmad Fikry Ibrahim.

Mohamed yang diberikan mandat selama setahun oleh Menteri Besar meminta rakyat dan pemimpin politik di Kemaman, khususnya di Chukai  melihat perlantikannya sebagai sesuatu yang positif.

Persoalannya, apakah langkah ini sudah terlambat dan tidak relevan lagi?

Hanafiah...Mohamed tidak relevan lagi
Bagi ADUN PAS Chukai,  Hanafiah Mat pula, beliau menyifatkan pelantikan Mohamed sebagai Penyelaras DUN tersebut adalah petunjuk ‘indeks perbalahan’ dalam parti UMNO.

Menurutnya, ‘pergelutan’ dalaman UMNO memberikan isyarat bahawa ‘parti usang’ itu sudah semakin ditolak rakyat.

Dalam kenyataannya baru-baru ini (9 Jun), Hanafiah berkata pelantikan itu sekaligus membuatkan rakyat Chukai semakin ‘geli geleman” dengan UMNO.

Ini kerana penduduk Chukai bukan sahaja menolak UMNO  tetapi turut menolak kehadiran UMNO-Barisan Nasional (BN) dipersada politik parlimen Kemaman.

“UMNO sudah tidak relevan di Chukai...pertukaran penyelaras DUN ini juga membuktikan UMNO sudah ketandusan pemimpin khususnya di Chukai dan amnya di Kemaman,”jelasnya.

Katanya, dalam saat rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang melampau dan ramai yang hilang pekerjaan akibat kejatuhan harga minyak, peminpin UMNO  masih seronok untuk ‘melebarkan’ kehidupan masing-masing.

Mohamed berucap pada satu majlis.
Sebaliknya, bekas Exco Kerajaan Negeri, itu baru-baru ini menolak spekulasi bahawa perlantikannya sebagai Pegawai Penyelaras DUN Chukai yang baharu sebagai ‘tanda awal’ beliau akan dipilih semula sebagai calon BN  pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga bekas ADUN Chukai selama dua penggal (2004-2013) menegaskan perlantikan itu bukan bermakna beliau mahu menjadi  calon pilihan raya pada pilihan raya umum ke-14.

Menurutnya, umurnya yang sudah 65 tahun, sudah tidak sesuai untuk diangkat semula.

“Apa yang saya fikirkan hanyalah untuk memastikan segala program kerajaan negeri untuk rakyat di DUN Chukai berjalan dengan tersusun, sama seperti sebelum ini,” katanya.

Mohamed turut mengatakan beliau sedia bekerjasama dengan d dan sesiapa sahaja bagi memperkasakan kedudukan parti itu di kawasan tersebut.

“Saya boleh berbincang dengan beliau (Wan Ahmad Nizam), kami boleh duduk bersama. Kita perkemaskan parti bermula dari akar iaitu di peringkat cawangan-cawangan serta sayap-sayap.

Wan Ahmad Nizam kalah di DUN Cukai pada pilihan raya ke-13
“Kita perlu lupakan seketika perselisihan pendapat kerana itu soal prinsip masing-masing. Apa yang penting UMNO dan parti kompenen BN di DUN Chukai perlu bangkit semula pada pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Perlantikan Mohamed menimbulkan berbagai pertanyaan apakah ini bermakna program parti dan kerajaan negeri sejak dua tahun kebelakangan ini benar-benar tidak berjalan di DUN berkenaan atau rekaan semata-mata?

Kenapa terjadi sedemikian? Apakah orang yang diamanahkan untuk menjaga dan memastikan kerja parti dan kerajaan tidak dilakukan dengan tersusun?

Atau apakah ada perebutan kuasa di Bahagian UMNO Kemaman apabila Datuk Seri Ahmad Said dilihat menentang Menteri Besar secara terbuka dan ada orang tertentu yang bercita-cita mahu menjadi Ketua Bahagian?

Juga apakah di Kemaman sekarang ada politik ‘kerat mengerat sesame sendiri’ termasuk di kalangan muda yang melihat bahawa ada dua DUN yang berpotenasi bertukar calon, iaitu Chukai dan Kijal yang kini disandang oleh Ahmad Said?

Ada yang begitu yakin mengatakan Ahmad Said tidak akan terpilih lagi mewakili Kijal dan cakap-cakap itu menyebabkan ‘perang dalaman’ seperti yag dikatakan oleh Hanafiah semakin hangat.

PAS tidak rugi apa-apa di Kemaman tetapi jika perang ini tidak reda dan Ahmad Razif gagal menanganinya dengan baik, kedudukan UMNO Kemaman mungkin menghadapi saingan atau tentangan hebat daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Bersediakah Ahmad Razif sebagai Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri kehilangan satu atau dua DUN lagi pada PRU-14???

Polis Terengganu Bantu Balu, Pesara Sepanjang Ramadan

Rosli (tengah) bersama pegawai dan anggota polis Terengganu.
Polis Terengganu merancang membantu meringankan beban golongan balu dan pesara anggota polis di pelbagai daerah sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata sebelum ini pihaknya memberi fokus kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim namun setelah mengambil kira keadaan semasa, beliau berhasrat memperluaskannya kepada golongan lain.

"Setiap tahun kita akan menyampaikan bantuan dan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa...walaupun kami sibuk bertugas demi menjaga keselamatan namun kami tetap tidak lupa bagi membantu dan meringankan mereka yang memerlukan.

"Selain anak yatim dan OKU, kita juga akan membantu golongan pesara dan balu polis...ia sedikit sebanyak dapat membantu meringan beban yang ditanggung mereka," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan warga polis di Kuala Terengganu, malam semalam.

Rosli berkata bantuan yang dihulurkan adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota polis di seluruh negeri ini.

Pada majlis berkenaan seramai 30 anak yatim dari dari Darul Akhyar, Batu Rakit dan 10 OKU yang terdiri daripada anak anggota diraikan pada majlis berbuka puasa bersama warga Polis Terengganu.


Menurut Rosli program sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat selari dengan konsep polis bersama masyarakat.

Friday 3 June 2016

Pemimpin, Penyokong AMANAH Berakhlak Rendah, Tidak Bermoral?


Parti Amanah Negara (AMANAH) kecewa dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berhubung dakwaan DAP ‘memberi arak’ kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata Nik Abduh tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian berikutan majoriti di dalam AMANAH beragama Islam.

“Istilah ‘memberi arak’ dan ‘mabuk’ memberi gambaran seolah olah kami (AMANAH) dihukum berakhlak rendah dan tidak bermoral.

“Walaupun kata-kata itu dikeluarkan atas rasa marah kepada DAP, ianya tidak harus di keluarkan dalam cara itu. Apatah lagi kita sudah berada diambang bulan ramadhan yang mulia di mana tutur kata lidah patut dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda PAS itu Rabu lalu (1 Jun) mendakwa DAP 'memberi arak' kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.

‎Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, DAP sebenarnya sombong sehingga mereka tidak sedar kesombongan sendiri. Katanya, DAP menuduh beliau bersikap sedemikian.

"Saya nak beritahu DAP yang sombong sehingga dia tak tahu dia sombong, sehingga dia kata saya pula sombong. DAP sombong, pertama saya nak tanya dalam c‎erita kita bersama dulu siapa yang mula serang terhadap presiden PAS? DAP.

"Siapa yang memecahkan PAS sampai sesetengah ahli PAS mabuk pindah jadi AMANAH? DAP yang bagi arak sehingga mereka tubuhkan AMANAH. Itu tanda DAP angkuh‎‎," katanya pada sidang media sempena Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu.

Raja Bahrin menasihatkan agar Nik Abduh menjaga nama baik ayahnya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Menjelang Ramadhan yang mulia, pimpinan tertinggi yang berpendidikan agama, tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata tidak sopan sesama Islam.

“Kalau Nik Abduh tidak berhasrat menghormati kami rakan sesama Islam dan Melayu dari AMANAH, sekurang-kurangnya peliharalah nama harum dan baik ayahanda Nik Aziz yang merupakan seorang ulama dan negarawan yang banyak menunjukkan contoh pekerti dan akhlak yang amat mulia,” katanya.

Wednesday 1 June 2016

The Titans Tawar Gaji Lumayan Kepada Tonggak Elak Dipancing


Terengganu FC II (The Titans) mengakui beberapa tonggak utama pasukan cuba dipancing dengan tawaran gaji lumayan menjelang pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) mulai 22 Jun ini.

Malah, pihak pengurusan skuad jolokan The Titans itu sudah menerima surat rasmi daripada pasukan yang bermain dalam Liga Super untuk mendapatkan pemain yang mereka inginkan.

Ketua Pegawai Operasi TFC II, Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata pihaknya tidak berhasrat untuk melakukan rombakan pasukan sebaliknya mengekalkan barisan pemain sedia ada termasuk empat tonggak import.

Katanya, pihaknya tidak hairan jika pemain muda TFC II menjadi rebutan dan membuka mata pasukan elit selepas membantu pasukan menghuni tangga keempat Liga Super.
, Gaji"Setakat ini, saya mengesahkan satu pasukan dari Liga Super sudah menghantar surat kepada pihak pengurusan bagi mendapatkan tonggak pasukan pada pintu perpindahan pemain yang akan dibuka bulan depan.

"Bagaimanapun, kita sudah membuat keputusan untuk tidak melepaskan mana-mana pemain sedia ada kerana tidak mahu menjejaskan persiapan pasukan untuk pusingan kedua Liga Super dan kempen Piala Malaysia," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Mohd Syahrizan berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain tempatan dan import, jadi tidak ada keperluan untuk melakukan rombakan dalam pasukan.

Katanya, pasukan kendalian Rahmad Darmawan memiliki keseluruhan pemain muda musim ini dan sudah pasti tenaga mereka amat diperlukan apabila kancah Piala Malaysia nanti kerana dijalankan serentak aksi liga.


"Semua pemain dalam pasukan akan diberikan peluang untuk beraksi dan kita tidak mahu mengambil risiko melepaskan mana-mana pemain termasuk yang berada di bangku simpanan," katanya.