Tuesday 31 May 2016

Ahmad Razif Umum Tamatkan Jawatan Kluster


Kerajaan negeri menamatkan jawatan kluster yang diwujudkan pada September tahun lalu, berkuat kuasa hari ini, iaitu tiga bulan sebelum tempoh kontrak berakhir.

Setiap kluster dipertanggungjawabkan portfolio berbeza, iaitu agama, politik, pendidikan, pelancongan, pelaburan dan media.

Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dilantik secara kontrak memegang jawatan itu dengan dibayar insentif bulanan sebanyak RM5,000 sebulan.

Jawatan kluster diwujudkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman selepas mengambil alih pentadbiran negeri dua tahun lalu.

Seorang bekas kluster yang enggan namanya disiarkan berkata, surat penamatan jawatan kluster itu diterima Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada September tahun lalu, kontrak itu sepatutnya tamat pada September depan.

"Kami diberitahu bahawa penamatan kontrak itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

"Kami berharap Menteri Besar dapat melanjutkan tempoh perkhidmatan sehingga September ini seperti perjanjian yang ditandatangani tahun lalu," katanya.

Sumber – Berita Harian


Monday 30 May 2016

Petronas Taja 48 Pelajar Terengganu Lanjut Pelajaran, RM18 Juta Untuk 5 Sekolah Di Kemaman


Seramai 48 pelajar cemerlang anak Terengganu terpilih menerima biasiswa melalui Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) untuk tahun ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman berkata pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada 391 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang turut mendapat penajaan Petronas untuk melanjutkan pelajaran.

"Bagi tahun ini, Petronas memperuntukan sebanyak RM110 juta untuk menaja kesemua 391 pelajar ini yang mana kita menerima lebih 7,500 permohonan di seluruh negara untuk penajaan.

"Tajaan ini diberikan kepada pelajar lepasan SPM yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, mekanikal, geofizik dan kewangan.

"Selain itu, ia juga untuk bidang perundangan berkaitan industri minyak dan gas di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak serta universiti luar negara di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2016 yang disempurnakan Pegawai Daerah Setiu Talaha Ali yang mewakili Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Turut hadir Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia Zamri Jusoh, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AMIR Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mokhlis Jaafar.

Raiha berkata melalui PESP, Petronas akan menaja pelajar daripada peringkat pengajian pra-universiti hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan sejak diperkenalkan pada 1975, sebanyak RM3 bilion telah dilaburkan Petronas untuk membiayai pendidikan lebih 35,000 pelajar cemerlang di seluruh negara.

Dalam majlis itu, sebanyak tiga sekolah di daerah Dungun turut dipilih sebagai sekolah angkat Petronas menerusi Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP).

Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, SK Serdang dan SK Kompleks Rantau Abang.

Raiha berkata menerusi PSIP, Petronas menyediakan pelbagai program untuk membantu murid harapan lulus daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan prestasi mereka dalam bidang akademik dan sahsiah diri.

"Kita akan menekankan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang mana pelajar akan diajar dalam suasana yang menyeronokkan supaya minat mereka untuk belajar dapat dipupuk, sekali gus dapat meningkatkan prestasi mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah," katanya.

Pada majlis itu, Raiha turut menyerahkan surat hasrat kerjasama kepada Mokhlis yang mewakili Politeknik Sultan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun untuk menjalinkan hubungan melalui program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (Vista).

"Selain pendidikan sekolah rendah dan menengah, Petronas juga amat menitikberatkan kemahiran teknikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi serta mengembangkan industri minyak dan gas di negeri ini.

"Kerjasama dengan PSMZA ini adalah meliputi bidang latihan, tenaga pengajar dan kelengkapan untuk kemudahan belia yang menjalani latihan serta kemahiran di PSMZA yang kita harap akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan golongan profesional dalam kalangan belia," katanya.

Raiha berkata ketiga-tiga program iaitu PSEP, PSIP dan Vista merupakan komitmen Petronas yang dilaksanakan melalui inisiatif pelaburan sosial korporat yang berteraskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar.


Sementara itu, Petronas turut memperuntuk lebih RM18 juta untuk menaja lima sekolah di Kemaman menyertai Program Sekolah Amanah bermula tahun ini.

Raiha Azni berkata penajaan program itu, yang diterajui Yayasan AMIR di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), merupakan perjanjian strategik kedua-dua pihak bagi memacu transformasi pendidikan holistik untuk anak-anak Terengganu.

"Petronas sangat komited dalam membantu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak negeri...kita lihat Program Sekolah Amanah sangat membantu dan dapat memberi impak yang positif," katanya.

Raiha Azni berkata kerjasama Petronas dengan Yayasan AMIR dimulakan sejak tahun lepas dan sehingga kini, sebanyak 15 sekolah termasuk lima di Terengganu dipilih menyertai program itu.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal, SK Ibok, SK Bukit Anak Dara dan SK Teluk Kalong.

Program lima tahun itu, yang bermula di Sabah dan Sarawak, dijalankan secara berfasa mengikut modul yang ditetapkan.

Noor Rezan turut menjelaskan Sekolah Amanah merupakan program kolaborasi di antara Kementerian Pendidikan dan badan-badan swasta dengan matlamat meningkatkan prestasi pelajar secara holistik.

Pada majlis itu, Raiha Azni turut menyampaikan sijil Program Sekolah Amanah kepada guru besar dan pengetua lima sekolah berkenaan.

Imtiaz Kuala Terengganu Cemerlang Di Romania

Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu bersama guru-guru pengiring gembira selepas berjaya memperoleh kejayaan cemerlang dalam pertandingan inovasi, European Exhibition of Creativity and Innovation (Euroinvent) 2016 di Palas Mall, Lasi, Romania, baru-baru ini.
Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu mendapat pengiktiraf­an di peringkat antarabangsa apabila memperoleh satu pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan European Exhibition of Creativity and Innovation (Euroinvent) 2016 di Palas Mall, Lasi, Romania minggu lalu.

Penyertaan kali pertama Imtiaz Kuala Terengganu menerusi pasukan pelajar tingkatan empat yang dinamakan Al-Fateh Inventors ke benua Eropah itu membanggakan sekolah berkenaan apabila dua produk yang dipertandingkan ber­jaya membawa pulang satu emas dan satu perak.

Selain itu sekolah berkenaan turut memenangi anugerah khas untuk kedua-dua produk tersebut.

Pingat emas diraih oleh Afrina Mardhiah Ab. Manan dan Nur Athirah Noor Asa’ari menerusi produk inovasi, Nifty Cleaner Kit yang merupakan set peralatan kebersihan bagi mencuci pelbagai permukaan seperti tingkap, bilah kipas, jeriji besi, dinding dan perabot.

Ini sekali gus mengelakkan berlakunya sindrom ‘bangunan sakit’ di samping menerima anugerah khas New Research Invention for Young Inventor dari Corneliu Group Rumania.

Sunday 29 May 2016

Tahniah - Terengganu Juara Piala Tun Razak Tundukkan PDRM


Dua jaringan Faizal Shaari serta Akhimullah Anuar Esook membolehkan Terengganu muncul juara Divisyen 1 Piala Tun Razak, selepas menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Hoki Nasional, di Bukit Jalil, malam tadi. 

Selepas PDRM, pasukan yang baru masuk ke saingan Divisyen 1, berjaya mengikat kedudukan 0-0 sehingga waktu rehat, segalanya berubah sebaik Faizal menemui sentuhan jaringannya bermula dengan gol hasil pukulan sudut penalti minit ke-41.

Faizal kemudian mengukuhkan kedudukan menerusi gol padang 11 minit selepas itu sebelum Muhd Akhimullah Anuar Esook menguburkan impian PDRM dengan jaringan ketiga Terengganu, lima minit kemudian.

"Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini tapi yang lebih membanggakan ialah dua gol Terengganu adalah melalui gol padang.

"Pada separuh masa pertama, dua-dua pasukan bermain dengan sangat berhati-hati tapi selepas gol pertama Faizal, baru kita nampak peluang semakin terbuka untuk menang.

"Kami juga mula memberi tekanan kepada lawan. Saya rasa kerja keras dan kesungguhan pemain yang mengikut arahan memastikan kemenangan kami malam ini," kata jurulatih Terengganu, Sarjit Singh.

Ini merupakan kali kedua Terengganu muncul juara kejohanan ini selepas kali pertama pada 2012.

Kemenangan itu juga meleburkan impian jurulatih PDRM, Gurmeet Singh mencuri tumpuan daripada Sarjit kerana sebelum ini beliau adalah penolong jurulatih skuad kebangsaan ketika ia dikendalikan pengendali Terengganu itu.

Sebagai juara, Terengganu menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan pingat manakala PDRM menerima wang tunai berjumlah RM7,000 dan pingat.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir Divisyen 2, Pulau Pinang menang 3-2 ke atas Perlis melalui aksi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 4-4.

Tiga gol Pulau Pinang diperoleh menerusi Muhammad Azrul Hasbullah, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Muhammad Rashid Baharom manakala Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil menyempurnakannya untuk Perlis.

Dalam kategori wanita pula, pasukan Pahang muncul juara selepas menang 4-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui gol yang dihasilkan Nuraini Abdul Rashid (m22, 47), Noorain Mohd Arshad (m23) dan Wan Nor Faiezah Md Saiuti (m40).

Saturday 28 May 2016

Hadi Lupa Jasa DAP Kerana Tamak Haloba Kuasa?


Tajuk asal - Loke Jawab Hadi: Ingat Era Pakatan Dulu
28 Mei 2016, 3:34 petang

DAP berasa amat kesal dan menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan liar" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan reaksi beberapa ahli parlimen DAP pada Khamis lalu sebagai memusuhi Islam.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata apa yang dipertikaikan sebahagian wakil mereka di Dewan Rakyat kelmarin adalah berkaitan prosedur mesyuarat serta tujuan kerajaan membenarkan rang undang-undang persendirian itu dibentangkan.

"Kami mempersoalkan mengapa tiba-tiba pihak kerajaan membenarkan usul tersebut dibentangkan tanpa sebarang notis dan seolah-olah untuk memerangkap ahli-ahli Parlimen yang langsung tidak bersedia untuk membahaskan pindaan rang undang-undang tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu Abdul Hadi membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat selepas mendapat ruang melalui cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Usul itu kemudian disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Bagaimanapun usul pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu tidak dibahaskan kerana Abdul Hadi memohon ia ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

Loke yang juga anggota parlimen Seremban berkata "tuduhan liar" yang selama ini dilempar Umno untuk memburuk-burukkan imej DAP di kalangan masyarakat Islam kini disambung oleh PAS.

Katanya, pendirian DAP dalam isu berkenaan sentiasa konsisten, iaitu "tidak bersetuju atas prinsip ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan" serta tidak pratikal dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

"Pendirian inilah yang kami pegang selama kami bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dari 2008 sehingga 2015.

"Dalam hujah kami yang tidak bersetuju dengan PAS dalam isu hudud selama ini, pemimpin DAP tidak pernah memperlekehkan undang-undang syariah mahupun memusuhi masyarakat Islam. DAP tidak pernah anti-Islam," katanya.

Loke juga berkata, semasa era Pakatan Rakyat wujud, pemimpin DAP banyak mempertahankan PAS di kalangan masyarakat bukan Islam daripada serangan parti komponen BN yang sentiasa memperlekehkan undang-undang syariah, terutamanya di kalangan pemimpin MCA.

"Malah sehingga hari ini, MCA sentiasa menyalahkan DAP sebagai parti yang memperkuatkan PAS dalam pilihan raya umum ke-13 sehingga Umno tidak berani menghalang PAS untuk melaksanakan Hudud.

"Justeru, kenyataan Abdul Hadi mempertahankan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan dan menuduh DAP sebagai tidak beradab dan memusuhi Islam amatlah dikesali dan tidak adil sama sekali.

"Apakah ini sebahagian daripada syarat Umno membenarkan beliau membentangkan usul rang undang-undang persendirian di parlimen dan membantu Umno menentang DAP?" tanya Loke.

Terenggganu Komited Perluas Seni Gamelan Ke Peringkat Antarabangsa

Penganjuran Festival Gamelan Sedunia adalah antara usaha serius kerajaan negeri Terengganu yang komited memelihara dan memperluas seni gamelan hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata Terengganu telah menganjurkan festival itu sebanyak empat kali sehingga tahun lepas dan berjaya menampilkan pelbagai penggiat seni gamelan dari seluruh dunia.

Mohd Jidin berkata kerajaan juga giat memupuk minat di kalangan generasi muda dan memperkenalkan seni itu di peringkat sekolah dan universiti.

"Jika menelusuri sejarah, seni gamelan hidup subur dalam lingkungan istana, namun trend kini telah berubah kerana ia mulai keluar dari lingkungan istana dan menemui rakyat kebanyakan...ini yang perlu kita pelihara.

Beliau
bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Santai Gamelan, di Kuala Nerus semalam.

Tambahnya kira-kira 30 kumpulan termasuk sekolah-sekolah di negeri ini masih aktif dalam seni gamelan dan Lembaga Muzium Terengganu merupakan tulang belakang dalam memastikan seni itu tidak pupus ditelan zaman.

"Gamelan bukan sahaja perlu dihargai kerana nilai sejarahnya, tetapi keunikannya termasuk dari segi alunan irama, melodi yang merdu dan mengasyikkan serta lenggok tari yang lemah gemalai.

"Kesenian itu mencerminkan kreativiti, nilai serta jati diri masyarakat Melayu itu sendiri," katanya.

100,000 Peserta Dijangka Terlibat Program e-Usahawan, e-Rezeki Tahun Ini


Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan penyertaan 100,000 orang dalam program e-Usahawan dan e-Rezeki menerusi kempen #YOUCANDUIT di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata kempen #YOUCANDUIT di bawah seliaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertujuan meningkatkan taraf ekonomi rakyat khususnya belia dan golongan B40 berpendapatan bawah RM4,000.

"Program perintis e-Usahawan pada 2015 membabitkan 147 pusat pendidikan latihan teknik dan vokasional (TVET) di seluruh negara. Ia turut disertai lebih 400 pensyarah sebagai pelatih induk, seramai 2,300 pelajar serta 260 usahawan mikro.

"Hasilnya, hampir 80 peratus daripada mereka berjaya menjana pendapatan keseluruhan terkumpul hampir RM4 juta dalam masa enam bulan.

"Selain itu, kita juga menyasarkan 45,000 individu yang mendaftar perniagaan menerusi e-Usahawan meraih sasaran jualan terkumpul sebanyak RM21 juta," katanya selepas melancarkan Karnival Kempen #YOUCANDUIT peringkat Terengganu di Hulu Terengganu, semalam.

Kempen #YOUCANDUIT dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuching, Sarawak pada Mac lepas dan Terengganu menjadi negeri kedua pelancaran kempen berkenaan.

Jailani berkata sejak awal tahun ini, seramai 2,700 pelajar TVET dan usahawan mikro mengikuti kursus e-Usahawan dan menghasilkan jualan terkumpul RM2.6 juta.

"Program e-Rezeki menyasarkan golongan B40 atau isi rumah berpendapatan rendah menjana pendapatan secara kerja sambilan dalam talian.

"Sejak diperkenalkan tahun lepas, eRezeki menjana pendapatan tambahan terkumpul lebih RM11.2 juta bagi 16,000 pesertanya dan ia dijangka menyumbang hasil sehingga RM15 juta," katanya.

Menurutnya, sebanyak 66 pusat dan wakil e-Rezeki akan beroperasi tahun ini bagi menyediakan kemudahan melatih golongan B40 melaksanakan tugasan digital.

Sehingga kini seramai 40,000 individu telah mendaftar sebagai peserta e-Usahawan manakala 16,000 orang pula menyertai e-Rezeki.

Friday 27 May 2016

Latihan Tepuk Tangan Bukan Arahan Kementerian Pelajaran - P Kamalanathan


Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya guru dan pelajar di Terengganu melakukan latihan tepuk tangan, kata Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, sebaliknya arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri.

"Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan (berlatih tepuk tangan) sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.

"Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo baharu 'Dengue Patrol 2016' di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Urusan Sanofi Pasteur Malaysia, Singapura dan Brunei, Baptiste de Clarens.

Kamalanathan berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan guru dan pelajar di sebuah sekolah di Terengganu menjalani latihan tepuk tangan.

Arahan itu didakwa dikeluarkan Pengarah Pendidikan Terengganu (JPNT) menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta semua guru dan pelajar menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit.

Sementara itu,  JPT berkata ia  memperkenalkan budaya salam, budaya berterima kasih dan budaya menghargai kepada sesiapa yang memberi sesuatu dengan tepukan.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin, berkata budaya yang sudah diwarisi sejak zaman-berzaman itu segar dalam amalan hidup ke arah kesejahteraan bermasyarakat.

Malah, katanya beliau bertanggungjawab kepada pendidik dan pelajar di negeri ini dalam mendidik budaya yang baik, termasuk menerapkan integriti  di kalangan penjawat awam berkenaan supaya ia dapat menjadi teladan kepada pelajar pula.

“Apa yang saya minta cikgu lakukan ianya merupakan satu permintaan dalam kumpulan tertutup (menggunakan aplikasi WhatsApp) antara saya dan pengetua serta guru besar.

“Permintaan guru untuk bertepuk tangan merupakan satu cara untuk menceriakan sesebuah majlis sama ada di dalam ataupun luar sekolah. Mudah-mudahan amalan yang baik ini menjadi ikutan pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu semalam.

Shafruddin mengulas demikian susulan tersebar mesejnya supaya guru berlatih tepuk tangan menerusi WhatsApp yang kemudiannya di print skrin dan kini menjadi viral.
Tambah beliau lagi, hasil penelitian yang dibuat sebaik isu berkenaan tersebar, golongan pendidik dapat menerima mesej beliau itu secara positif, bagaimanapun ianya dilihat dari sudut negatif oleh penulis di laman blog pembangkang kerajaan yang rata-rata bertindak mengecam tindakan (mesej) itu.

Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam Elemen Transformasi Kemenjadian Murid, pihaknya berhasrat melahirkan Generasi Terengganu Baharu yang memiliki ciri-ciri seperti agama, akhlak, sahsiah; baca, iaitu memanfaatkan masa dan ilmu; jujur dan berintegriti, iaitu tidak mengambil hak orang; bersih; keselamatan diri; budaya sukarelawan; menepati masa; hormat-menghormati; kesihatan dan cergas; sayang-menyayangi,;saling membantu serta mengejar kecemerlangan.

Menurut Shafruddin, elemen Transformasi Kemenjadian Murid itu merupakan perkara keenam dalam pendekatan .`Memperkasakan Transformasi Pendidikan yang diperkenalkan beliau sejurus bergelar pengarah pada 27 April tahun lalu.


Beliau berkata, lima elemen lain yang menjadi teras MTP ialah Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran, Transformasi Guru, Transformasi Sekolah, Transformasi Pejabat Pendidikan daerah dan JPNT serta Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Transformasi Pengetua dan Guru Besar serta Transformasi Kemenjadian Murid.

Saturday 21 May 2016

Empat Berita Palsu Libatkan Bernama, SKMM Giat Lakukan Siasatan

Ahmad Razif bersalam dengan Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus giat menjalankan siasatan berhubung empat laporan berita palsu melibatkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman juga turut membantu siasatan berikutan beliau juga antara mereka yang menerima laporan palsu tersebut menerusi aplikasi WhatApps.

Ahmad Razif berkata pihaknya berharap kerjasama dan maklumat yang diberi kepada SKMM akan melancarkan siasatan itu sekaligus mencari dalang yang terlibat.

"Saya juga berterima kasih kepada SKMM dan Bernama yang sangat serius dalam menangani masalah ini demi menjaga nama baik semua pihak dan berharap siasatan ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan lima pegawai SKMM di kediaman rasmi Seri Iman di sini semalam.

Kunjungan itu bertujuan mendapatkan maklumat daripada Menteri Besar berhubung penyebaran berita palsu kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lawatan rasmi ke Terengganu pada Isnin ini (23 Mei).

Sementara itu, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Peguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata pihaknya sangat mengambil berat aduan Bernama Biro Terengganu mengenai laporan berita palsu yang tersebar sejak Mac lalu dan yang terbaharu melibatkan pemimpin nombor satu negara.

"Ini adalah sesuatu yang sangat serius kerana menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan besar apatah lagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan kredit berita 'Bernama'.

"Setakat ini, siasatan sedang berjalan lancar di mana tiga pegawai SKMM dari Cyberjaya turut 'berkampung' di Terengganu untuk menjalankan siasatan," katanya.

Pada 11 Mac lepas, Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah membuat laporan polis berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lepas, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Beliau sekali lagi membuat laporan polis pada 4 Mei berhubung artikel yang bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

Thursday 19 May 2016

Lawatan PM Ke T'ganu Tidak Ditangguh, Ia Berita Palsu....


Dah tak ada kerja lain ke?

Asyik-asyik sebar berita palsu dan fitnah. Bila agaknya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat tangkap si lahanat ni?

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) semalam  menafikan mengeluarkan sebarang berita yang menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lawatan rasmi ke Terengganu.
  
"Ini kali keempat Bernama digunakan sebagai sumber berita dan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp. Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai berita palsu ini oleh Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan saya berharap tiada sesiapa yang akan percaya mengenainya," katanya semalam.
  
Berita palsu itu menyatakan bahawa lawatan yang sepatutnya berlangsung pada 23 Mei ini terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
  
Zalina Maizan berkata sehingga kini tidak ada seorang pun wartawan Bernama dari Terengganu yang menulis berita sedemikian dan keadaan terbaru ini akan dirujuk kepada SKMM sepertimana laporan palsu sebelum ini.
  
Pada 11 Mac lepas, Zalina Maizan membuat laporan polis berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lepas, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'Pas Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.
  
Beliau sekali lagi membuat laporan polis pada 4 Mei berhubung artikel yang bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.
Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata berita itu adalah palsu dan fitnah.

Sunday 15 May 2016

Peruntukan RM72 Juta Bina Bahru, Naik Taraf Pasar Payang - MB


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada 23 Mei ini, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata Najib dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 8.45 pagi dan memulakan lawatan kerjanya dengan tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang.

"Alhamdulillah, kita dapat peruntukan RM72 juta untuk bina baharu (dan menaik taraf) Pasar Payang. Jadi, Perdana Menteri akan melawat dan melihat model kompleks bangunan itu nanti dan beramah mesra bersama peniaga yang ada," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas itu, Perdana Menteri akan merasmikan Ijtimak Pondok di Universiti Malaysia Terengganu sebelum mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan Barisan Nasional negeri di Duyong Marina & Resort.

Pada 3 petang, beliau dijadual merasmikan Projek Akuapolitan Kuala Nerus di Seberang Takir sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyampaikan sijil penyertaan kepada tujuh wakil murid sekolah yang menyertai Program Empower Akademik ECER dan peserta program Empower ECER Seberang Takir.

Terdahulu, Ahmad Razif merasmikan program gotong-royong Puspanita, Kementerian Pengangkutan dan IM4U Bersama Penduduk Kampung Batin di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Sarippudin Kassim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie.

Saturday 14 May 2016

Kahwin Perdana - Kerajaan Terengganu Peruntuk RM2 Juta


Kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM2 juta bagi menjayakan program perkahwinan perdana melibatkan 217 pasangan muda, yang berlangsung hari ini.

Majlis melibatkan lapan daerah di Terengganu itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di bawah program 'Keluarga Bahagia TTB: Perkahwinan Perdana Tahun 2016.'

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan dan Inovasi yayasan berkenaan, Mohd Fauzi Abdul Ghani berkata, menerusi peruntukan tersebut, setiap pasangan diperuntuk lebih RM9,000 termasuk kelengkapan majlis pernikahan dan resepsi.

"Peruntukan itu juga bagi membiayai program selepas pernikahan dengan mengadakan program berbulan madu dan pemantapan keluarga yang akan dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh empat tahun," katanya kepada media selepas majlis akad nikah 23 pasangan daerah Besut yang diadakan di Masjid Hadhari Jerteh hari ini.

Mohd Fauzi berkata, program sedemikian akan diteruskan pada masa depan kerana dapat membantu pasangan muda yang kurang berkemampuan namun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.



Lokasi  akad nikah  dan majlis resepsi pada 22 Mei akan diadakan di masjid serta dewan yang ditentukan penganjur dan diantaranya bagi Parlimen Besut (Masjid Hadhari, Bandar Jertih), Setiu (Masjid Bandar Permaisuri), Kuala Nerus (Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu-UMT), Kuala Terengganu (Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang), Marang (Masjid Sultanah Nur Zahirah), Hulu Terengganu (Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang), Dungun (Masjid Balai Besar) dan Kemaman di Masjid Sultan Ahmad, Chukai

Sementara itu, di Besut, sebanyak 23 pasangan termasuk dua adik beradik (pengantin perempuan), dinikahkan secara serentak, manakala di Kuala Terengganu melibatkan 33 pasangan; Kuala Nerus (37): Hulu Terengganu (21); Marang (29); Setiu (22); Kemaman (27) dan Dungun (25).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof  berkata, hampir  15,000 jemputan terlibat dengan penganjuran program itu di mana setiap pasangan dibenarkan  mengundang 50 pasangan saudara terdekat.

Katanya,  mereka  terpilih layak menerima pelbagai keistimewaan, termasuk pakaian akad nikah, persalinan pakaian  pengantin, perkhidmatan fotografi dan  pakej berbulan madu selama tiga hari dua malam di mana-mana hotel yang akan ditentukan kemudian.

“Lebih istimewa, setiap pasangan diberi keutamaan mendapatkan perumahan kerajaan dalam tempoh lima tahun usia perkahwinanan, selain layak memohon Skim Pinjaman Modal Perniagaa di bawah Pinjaman Jaya Diri maksima RM20,000/

“Semua pasangan dikenakan yuran  RM1,000 sebagai komitmen penyertaan, selain sebagai bayaran mas kahwin dan sebagai ganti mereka layak menerima Sijil Simpanan Premium dengan nilaian sama,” katanya.

Friday 13 May 2016

Jabatan Perikanan Diminta Labuh Unjam Di Kawasan Sotong Membiak


Kerajaan Terengganu mencadangkan Jabatan Perikanan melabuhkan unjam tiruan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan sotong membiak bagi memastikan kelangsungan hidupan laut berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ketika ini beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan sotong seperti perairan Pulau Kapas di Marang dan Pulau Cepu di Setiu.

"Beberapa ketika yang lalu Jabatan Perikanan telah melabuhkan beberapa unjam terutama di kawasan perairan Rhu Sepuluh (Setiu), tetapi aktiviti itu telah dihentikan sejak 2010.

Jadi kita mintalah jabatan itu terus melabuhkan unjam-unjam terutama di perairan Pulau Kapas dan Pulau Cepu agar spesis sotong sentiasa banyak di laut negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Bulan Candat Sotong Terengganu 2016 di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, kelmarin.


Kira-kira 100 peserta daripada pelbagai pihak dan pelancong menyertai program itu.

Mohd Jidin berkata semenjak program mencandat sotong diperkenalkan di serata dunia dua tahun lepas, sambutan daripada pelbagai pihak khususnya pelancong luar negara terhadap program itu amat memberansangkan.

Katanya, terdapat pelbagai jabatan dan agensi dari luar negeri ini turut menjadikan ia sebagai acara tahunan mereka.

"Kita difahamkan sebanyak 108 buah bot dari daerah Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu hingga ke Besut telah habis di tempah untuk program itu yang bermula pada Mac dan kemuncaknya akhir April dan Mei.

"Kita juga akan memanggil tekong-tekong bot untuk memberi sedikit panduan dan maklumat berhubung kehendak pencandat seperti pergerakan bot dan mencari kawasan-kawasan yang terdapat banyak sotong," katanya.

Bernama

Terengganu Tarik RM27.2 Bilion Nilai Pelaburan Sehingga April


Terengganu menarik pelaburan sebanyak RM27.2 bilion dari 2007 hingga April tahun ini hasil daripada program pembangunan menyeluruh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Dalam kenyataan, ECERDC berkata langkah itu mewujudkan lebih 30,074 peluang pekerjaan di negeri tersebut, merapatkan jurang sosio ekonomi antara ECER dan seluruh Semenanjung Malaysia.

"Di bawah Program Transformasi Ekonomi Terengganu, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik lebih RM3.72 bilion nilai pelaburan dalam kluster bioteknologi dan mewujudkan lebih 5,202 pekerjaan," katanya.

ECERDC berkata satu lagi inisiatif pembangunan utama yang mendorong pertumbuhan Terengganu ialah kluster agriperniagaan, dengan siap fasa pertama PembangunanKluster Bersepadu Herba (HICD) di Pasir Raja, Dungun.

Projek itu melibatkan penanaman pelbagai herba yang bernilai tinggi dan mendapat permintaan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah di kawasan seluas 28.328 hektar.

"Dalam fasa berikutnya, yang dijangka bermula pada Mei ini, kawasan tanaman HICD akan diperluaskan kepada kira-kira 356.11 hektar.

"Projek itu, yang di bawah syarikat Bioalpha Holdings Bhd, dijangka mengeluarkan herba bernilai hampir RM1 juta pada akhir tahun ini," katanya.
"Selain sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 48 peratus daripada jumlah pelaburan, bio-ekonomi dilihat sebagai sektor baharu yang akan melengkapi dan menambah nilai kepada sektor sedia ada seperti minyak dan gas serta pertanian.


Tuesday 10 May 2016

Lapan Kontraktor Tidak Berdaftar, Tujuh Diarah Hentikan Kerja

Lapan kontraktor di Terengganu dikesan tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri ini sepanjang tahun lalu.

Sementara  tujuh kontraktor diarah berhenti kerja manakala lima kontraktor didapati menjalankan kerja melebihi gred selepas 223 projek diperiksa oleh CIDB Terengganu tahun lalu.

Pengarahnya Annis Othman berkata selain itu sebanyak 1,245 pekerja binaan pula didapati tidak mempunyai Kad Pendaftaran Personel Binaan dan dari jumlah itu, 26 kes telah diambil tindakan tatatertib manakala empat kes di bawah tindakan pendakwaan.

Kelmarin (9 Mei), CIDB membuat operasi penguatkuasaan bersepadu di sekitar bandaraya Kuala Terengganu dan hasilnya, ia mengarahkan projek pembinaan sebuah rumah mewah di Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, dihentikan serta merta.
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1244161
Arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 25(1) Akta CIDB 520 (Pindaan) 2011 kerana menjalankan kerja pembinaan atau mengaku sebagai kontraktor tanpa berdaftar dan mendapatkan perakuan pendaftaran sah daripada CIDB.

"Sehingga kontraktor berdaftar dengan CIDB, barulah kita tarik balik arahan henti kerja tersebut. Bagaimanapun, kontraktor tetap akan dikenakan tindakan iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau kompaun tidak lebih RM50,000 agar boleh menjadi pengajaran ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita kelmarin (9 Mei) selepas operasi membabitkan 45 anggota dan pegawai penguat kuasa daripada CIDB, Jabatan Imigresen, Pejabat Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Akademi Binaan Malaysia.

Annis berkata dalam operasi di sebuah tapak pembinaan hotel di Chendering, CIDB mengesan kontraktor menggaji 25 pekerja yang tidak memiliki kad perakuan pekerja binaan atau kad hijau, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 33 (1), Akta 520 (Pindaan) 2011.

Dalam operasi bersepadu itu, Jabatan Imigresen menahan 23 pendatang asing tanpa izin kerana melakukan kesalahan salah guna pas, tiada dokumen dan tinggal lebih masa.


Sunday 8 May 2016

Kerajaan Negeri, PDRM Janji Bantu Keluarga Ahmad Sobri

Fauziah Musa menyiram air ke atas pusara anaknya Allahyarham Lans Koperal Ahmad Sobri Harun yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah di Kampung Bukit Chempaka hari ini.
Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga Lans Koperal Ahmad Sobri Harun, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lepas.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata seorang ahli keluarga Allahyarham telah memohon bantuan kerajaan negeri untuk memudahkan pertukaran kakak mangsa yang bertugas di Pulau Pinang ke negeri ini.

Katanya, permohonan itu dibuat bagi membolehkan kakak Allahyarham menjaga ibu bapa mereka yang telah tua dan tidak sihat memandangkan sebelum ini Allahyarham kerap bersama mereka apabila berkelapangan.

“Saya akan cuba berbincang dengan Menteri terbabit,” kata Ahmad Razif ketika berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk bersama menyambut jenazah Ahmad Sobri yang tiba dari Kuching, pukul 6.20 pagi tadi.

Ahmad Razif turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ahmad Sobri dan berharap mereka tabah melalui dugaan kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada keluarga Ahmad Sobri.

“Antaranya bantuan dari Tabung Amanah Perwira, duit tabung kebajikan sukan dan sosial serta pampasan insuran,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri serta penduduk kampung yang membantu melancarkan urusan pengkebumian Allahyarham.


Allahyarham berkhidmat di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman setelah tamat latihan polis pada 28 Dis 2012, dan bertugas sebagai pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu.

Mayat Ahmad Sobri ditemui terapung di Sungai Batang Lupar, pada pukul 12.04 tengah hari semalam, kira-kira satu kilometer daripada mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dijumpai.

Allahyarham Ahmad Sobri, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak Khamis lepas, dibawa dengan pesawat Charlie C130 diiringi bapanya, Harun Muda dan ibunya, Fauziah Musa serta tiga adik beradiknya.

Jenazah Ahmad Sobri, 26, anak keempat daripada lima beradik kemudiannya disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Bukit Cempaka, di Kuala Nerus.

Ketika di lapangan terbang, suasana pilu menyelubungi perkarangan tempat menunggu dan hampir 200 orang termasuk ahli keluarga dan Menteri Besar sedia menunggu sejak awal pagi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman turut mengiringi jenazah yang diberi penghormatan mengikut tradisi polis.

Ahmad Razif dan Rosli juga menyertai orang ramai untuk solat jenazah sebelum Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah di Kuala Nerus pada pukul 8.20 pagi.


Allahyarham yang bertugas sebagai pengawal peribadi sejak tiga tahun lalu, berkhidmat di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman setelah tamat latihan polis pada 28 Dis 2012.

Friday 6 May 2016

Polis Terengganu Bongkar Kegiatan Dadah Berselindung Atas Rumah Rakit, Bot Nelayan

Polis Terengganu membongkar kegiatan penagihan dan pengedaran dadah yang berselindung di atas bot dan rumah rakit di sekitar kawasan sungai Seberang Takir, di Kuala Terengganu,  semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pihaknya memberkas seramai 11 penagih dan dua daripada mereka berasal dari Thailand.

Katanya dalam operasi yang bermula pukul 6.30 pagi hingga 4 petang itu, pihaknya turut merampas dadah dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM4,000.

"Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan kita berjaya membongkar kegiatan ini yang dipercayai telah bersarang sejak tahun lalu dan menjadikan rumah rakit dan bot sebagai tempat melepaskan gian.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot dan rumah rakit tersebut kita menemui sebanyak 116 biji pil kuda, empat botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 17 gram, ubat batuk sebanyak 250ml," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya dalam operasi yang disertai sembilan pegawai dan anggota itu turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM1,114 dipercayai hasil jualan dadah.

Pihaknya percaya kegiatan yang didalangi seorang lelaki tempatan berusia sekitar 20-an itu menyasarkan golongan nelayan dan penduduk setempat.

"Ketika serbuan, ada di antara penagih bertindak terjun ke dalam sungai termasuk lelaki yang dipercayai tokan dadah bagi meloloskan diri...kita telah mengenal pasti individu berkenaan dan gerakan memburu sedang dijalankan.

"Majoriti mereka yang ditahan ini bekerja sebagai nelayan termasuk dua warga asing yang berusia 30-an itu," katanya.

Difahamkan, rumah rakit dan bot nelayan itu diletakkan secara bersebelahan kira-kira 25 meter dari daratan.

Idris berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka yang berusia 28 hingga 48 tahun mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 12 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B,39 A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah memberkas seramai 1,666 orang penagih berbanding tempoh yang sama tahun lalu hanya 892 orang.


Thursday 5 May 2016

Op Cantas Khas Tonto diperluas ke Johor, Pulau Pinang dan Kedah


Perak, Selangor dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling serius dari segi aktiviti tonto dan pembenterasan terhadap sindiket tonto akan dipergiatkan.

Bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tugas memerangi aktitiviti ton akan dipergiatkan, apa lagi pihaknya  sudah ada senarai profiling.

Pada 26 April lalu, seramai 15 dalang dan ketua sindiket tonto diberkas dalam Op Cantas Khas Tonto di Selangor, Negeri Sembilan serta Perak dengan tujuh daripada­nya disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Lima suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Selepas berjaya menumpaskan sindiket terancang itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memperluas Ops berkenaan ke tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tiga negeri itu juga dikenal pasti kawasan aktif tonto selain Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak yang diberi tumpuan dalam ops fasa pertama.

Selepas ini lebih banyak tangkapan akan dibuat susulan kejayaan awal operasi yang membabitkan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara agensi itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghapuskan sindiket tonto di negara ini terbukti berhasil berdasarkan bidang penguatkuasaan yang berbeza antara kedua-dua agensi itu.

"Ia usaha berterusan, tidak akan terhenti di situ sahaja. Banyak lagi tangkapan yang akan dibuat, buat masa ini aktiviti tonto kendur sekejap, tapi semua tu dah ada dalam strategi kita (untuk menangkap tonto).

"Individu yang terlibat dengan sindiket juga telah dikenal pasti, banyak yang saya tidak boleh dedahkan tapi ia (Ops Cantas Tonto) tetap berjalan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari JPJ ke-70 di Kuala Terengganu semalam.

Yang hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie serta Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azlimin Mat Noor.

“Kita ada banyak benda yang tidak boleh didedahkan tetapi semua usaha itu berjalan, malah apa yang dilakukan bukan sekadar mahu menangani tonto tetapi dalam masa sama menyelesaikan isu kereta klon di samping lesen terbang atau palsu.

Selain penahanan suspek ber­usia lingkungan 21 hingga 46 tahun, turut dirampas adalah 13 buah kereta, tiga lori, 37 walkie talkie dan 13 telefon bimbit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail turut memberi amaran kepada pegawai dan anggotanya yang terbabit menyalurkan maklumat kepada mana-mana pihak supaya berwaspada kerana hukuman berat menanti mereka.

Sumber - Utusan Online & Bernama


Wednesday 4 May 2016

Berita Palsu Politik Di Terengganu, Bernama Difitnah Kali Ke-3

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi mangsa penyebaran berita palsu berkaitan politik Terengganu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam tempoh hampir dua bulan sejak Mac lalu, Bernama telah membuat tiga laporan polis, terbaru membabitkan berita bertajuk 'UMNO Terengganu Berdepan Laluan Sukar Hadapi Pilihan Raya-Veteran'.

Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah berkata beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kerteh pada pukul 5.46 petang semalam dan kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ini merupakan kali ketiga Bernama menjadi mangsa fitnah dengan penyebaran berita palsu yang melibatkan politik di negeri ini. Saya yakin bahawa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengadu domba dengan menyiarkan berita sensasi bagi mencetuskan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.

"Tindakan menjadikan Bernama sebagai sumber berita adalah salah dan ia perlu ditangani supaya tidak berlaku kekeliruan kepada pembaca kerana ia telah menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp," katanya di Kemaman hari ini.

Zalina berkata penyebaran berita palsu ini mengaitkan beberapa tokoh UMNO seperti bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Bakar, bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, bekas Ketua UMNO Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Saya dimaklumkan mengenai berita palsu ini kira-kira pukul 1.20 tengah hari. Apabila saya merujuk menerusi rekod berita kami, memang tiada berita sedemikian dan selepas ia menjadi viral, saya telah dihubungi oleh beberapa pegawai dari Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan kesahihanannya.

"Penulisan sedemikian telah menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak namun saya bersyukur kerana setelah memberi penjelasan bahawa ia adalah berita palsu, mereka dapat menerimanya dengan baik," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Zalina Maizan membuat laporan polis pertama berkaitan artikel bertajuk 'Rosli Sedia Jadi Penggerak Puteri UMNO Terengganu' dan pada 20 April lalu, laporan polis kali kedua dibuat berkaitan artikel 'PAS Terengganu Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri'.

Zalina Maizan berkata beliau amat berharap agar perbuatan tersebut dapat dikesan oleh SKMM secepat mungkin kerana individu yang melakukannya sudah semakin berani dan sentiasa muncul di saat keadaan semasa Terengganu telah tenang daripada krisis.

"Ia bagaikan sengaja ditimbulkan dan pada pendapat saya, pihak ini sengaja menjadikan Bernama sebagai sumber berita bagi meraih perhatian seolah-olah ia berita rasmi. Saya membuat laporan ini bagi menjaga reputasi Bernama sebagai agensi berita yang dihormati dalam dan luar negara," katanya.

Monday 2 May 2016

Terus Bekerja, Segala Kekalutan Telah Berakhir - Ahmad Razif



Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berharap semua pihak dapat bersama-samanya terus bekerja untuk kebajikan rakyat berikutan segala kekalutan dan isu yang berlaku telah berakhir.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua pihak bersama bergerak ke hadapan, terus bekerja untuk kebajikan rakyat dan yang mustahak adalah bekerjasama serta terus memastikan perkhidmatan dan apa sahaja kerja yang kita buat adalah untuk kebaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Besut semalam susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarian bahawa beliau akan terus meneraju kerajaan Terengganu.

Pada kenyataan medianya kelmarin, Ahmad Razif turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai ketua pentadbir negeri.

"Syukur...saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya", kata Ahmad Razif susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Ahmad Razif berkata beliau turut bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan Allah serta berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua," katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif apabila Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Najib hari ini berkata Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu semalam membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

Sunday 1 May 2016

Bagaimana Ahmad Razif Boleh Lupa Menjunjung Kasih Kepada Tuanku...


Semalam (1 Mei) Ahmad Razif Abdul Rahman  disahkan terus menjadi Menteri Besar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.” kata Ahmad Razif.

Memang benar pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, namun selain itu apa kata Najib?

Perdana Menteri  mengesahkan semalam  perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin.


"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib.

Ada perkataan "kata sepakat" dalam pertemuan Najib dan Sultan Mizan.

Apakah jika tiada kata sepakat atau tidak diperkenankan oleh Sultan Mizan, bermakna Ahmad Razif akan dapat meneruskan jawatannya itu?

Mungkin terlalu gembira, Ahmad Razif hanya ingat muka Najib dan lupa ‘perkenan Sultan Terengganu’ itu.

Kenapa Ahmad Razif boleh lupa dan tidak pun menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Terengganu?

Marah, masih dendam atau memang lupa?


Ahmad Razif kena ingat, setiap minggu beliau akan menghadap Tuanku Sultan dan bukan Najib. Malah, banyak perkara terpaksa berdepan dengan istana.

Dengan mupakan jasa Tuanku Sultan begitu sahaja, Ahmad Razif nampaknya meneruskan sikapnya yang sentiasa lupa, seakan berjangkit penyakit lupa dengan Perdana Menteri.

Tidakkah Sultan Terengganu terasa hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Najib ini.

Kita mampu berdoa agar Sultan Mizan tidak terasa hati dengan kenyataan Ahmad Razif hari ini. Mungkin Rabu ini atau Rabu depan, sebelum Mesyuarat  Exco, Ahmad Razif akan menyatakan terima kasihnya kepada Sultan Mizan secara berdepan.

Bagi Najib, "isu itu telah diselesaikan,". Malah. beliau menganggap pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

 "Maka dengan pengumuman ini, saya berharap tiada lagi sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau (Ahmad Razif), saya anggap isu kepimpinan negeri ini selesai," katanya.

Ditanya mengenai pelucutan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, Najib berkata:" itu hak sultan (Sultan Mizan), (saya) tak masuk campur, itu dalam Perlembagaan dan kuasa sultan".

Masa masih panjang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Juga masa masih banyak untuk beberapa acara rasmi dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk tahun ini pada Ogos dan Disember depan.

Ada jaminan daripada Najib atau Putrajaya bahawa Ahmad Razif tidak akan diserang lagi pada sidang DUN akan datang?

Apapun, Ahmad Razif perlu ‘move on’ seperti kata seorangblogger kerana dengan kedudukannya yang sudah terjamin, fokus Ahmad Razif ialah untuk menjamin rakyat dan negeri Terengganu terus maju.

daripada kijangjantan (tajuk asal - Ahmad Razif Lupa Mengucapkan Terima Kasih  Kepada Sultan Mizan?