Friday, 13 May 2016

Jabatan Perikanan Diminta Labuh Unjam Di Kawasan Sotong Membiak


Kerajaan Terengganu mencadangkan Jabatan Perikanan melabuhkan unjam tiruan di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan sotong membiak bagi memastikan kelangsungan hidupan laut berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ketika ini beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan sotong seperti perairan Pulau Kapas di Marang dan Pulau Cepu di Setiu.

"Beberapa ketika yang lalu Jabatan Perikanan telah melabuhkan beberapa unjam terutama di kawasan perairan Rhu Sepuluh (Setiu), tetapi aktiviti itu telah dihentikan sejak 2010.

Jadi kita mintalah jabatan itu terus melabuhkan unjam-unjam terutama di perairan Pulau Kapas dan Pulau Cepu agar spesis sotong sentiasa banyak di laut negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Bulan Candat Sotong Terengganu 2016 di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, kelmarin.


Kira-kira 100 peserta daripada pelbagai pihak dan pelancong menyertai program itu.

Mohd Jidin berkata semenjak program mencandat sotong diperkenalkan di serata dunia dua tahun lepas, sambutan daripada pelbagai pihak khususnya pelancong luar negara terhadap program itu amat memberansangkan.

Katanya, terdapat pelbagai jabatan dan agensi dari luar negeri ini turut menjadikan ia sebagai acara tahunan mereka.

"Kita difahamkan sebanyak 108 buah bot dari daerah Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu hingga ke Besut telah habis di tempah untuk program itu yang bermula pada Mac dan kemuncaknya akhir April dan Mei.

"Kita juga akan memanggil tekong-tekong bot untuk memberi sedikit panduan dan maklumat berhubung kehendak pencandat seperti pergerakan bot dan mencari kawasan-kawasan yang terdapat banyak sotong," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment