Saturday 30 April 2016

Najib Sahkan Ahmad Razif Kekal MB Terengganu


Ahmad Razif Abdul Rahman akan terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Isu itu telah diselesaikan," kata Najib pada sidang media selepas majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 diKuala Lumpur, hari ini.

Najib juga berkata pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

Sebelum ini, Ahmad Razif mengakui reda dan pasrah anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya ditarik balik.

Malahan, dengan apa yang berlaku beliau bertekad untuk terus membuktikan taat setia kepada Sultan Mizan.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah itu.

"Yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya.


mStar

Thursday 28 April 2016

PBSNT Tidak Akan Berkompromi Lagi Dengan Pemain, Jurulatih


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menyerahkan surat amaran kepada barisan pemain termasuk jurulatih pasukan negeri itu berikutan gagal mempamerkan aksi cemerlang.

Timbalan Presidennya Datuk Mazlan Ngah berkata pihaknya tidak akan berkompromi lagi dengan barisan pemain dan pegawai pasukan ekoran kemerosotan prestasi pasukan negeri berkenaan.

"Surat amaran tersebut akan diserahkan kepada barisan pemain petang ini selain kami akan terus meneliti secara terperinci menerusi dua perlawanan lain iaitu menentang Sarawak pada 4 Mei dan T-Team pada 18 Mei," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan kewangan semalam.

Sebelum ini, kekalahan empat kali berturut-turut skuad Penyu dengan dibolosi 13 jaringan ketika bertemu Felda United, Polis Diraja Malaysia, Perak dan Kelantan bukan sahaja mendapat reaksi kurang menyenangkan penyokong setia pasukan Terengganu bahkan juga kerajaan negeri.

Mazlan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menggugurkan mana-mana pemain sama ada tempatan mahupun import yang gagal mencapai tahap prestasi sebagaimana ditetapkan dalam Aras Pencapaian Pasukan (APP) selain memotong gaji mereka.

"Jika masih gagal PBSNT akan mengemukan satu lagi surat amaran terakhir kepada mereka dan perlu segera diperbaiki dalam masa tujuh hari. Sekiranya masih gagal memenuhi kriteria ditetapkan APP gaji pemain, ketua jurulatih dan pegawai pasukan dipotong," katanya.

Mazlan berkata tindakan dan amaran yang dikeluarkan itu bagi memastikan skuad penyu dapat mengembalikan semula reputasi dan tidak terlepas daripada mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Dalam perkembangan lain, Mazlan juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit rombakan dalam barisan skuad Penyu itu menjelang pintu perpindahan kedua pemain kempen Liga Super musim ini.

Beliau turut berharap barisan pemain dapat segera menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Mike Mulvey dalam dua perlawanan terakhir akan datang dengan meraih kejayaan.

Terengganu kini menghuni tangga kelapan selepas sembilan perlawanan dengan hanya mengumpul sembilan mata.

Mara Digital Mall Di Terengganu, Melaka Dijangka Beroperasi Disember Ini


Pusat barangan teknologi maklumat (IT) usahawan Bumiputera, MARA Digital Mall dijangka beroperasi di Terengganu dan Melaka Disember ini, kata Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata pembukaan dua lagi pusat itu adalah selaras dengan usaha kementerian untuk membuka pusat tersebut di setiap negeri seluruh negara.

"Berikutan maklum balas positif diterima daripada orang ramai selepas pembukaannya di Bangunan MARA Kuala Lumpur, kita merancang untuk membuka MARA Digital Mall di semua negeri, di Terengganu dan Melaka dijangka beroperasi Disember tahun ini," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara kelmarin.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam yang mahu tahu bilakah kementerian akan membina pusat perniagaan IT di seluruh negara seperti MARA Digital Mall di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Jazlan berkata, Pusat IT di gitaAnggerik Mall, Shah Alam dan Glomac Mall, Damansara akan memulakan kerja-kerja awalan Jun ini untuk membolehkan usahawan IT Bumiputera memulakan perniagaan mereka.

Menurutnya MARA Digital Mall di Kuala Lumpur sejak dilancarkan Disember tahun lalu telah mencatat jumlah jualan RM4.6 juta dan jumlah jualan dijangka meningkat 5 peratus sebulan.

Katanya, ketika ini pusat jualan tersebut mencatat sehingga 5,000 pengunjung sehari dan jumlahnya meningkat kepada 6,000 hingga 7,000 pengunjung sehari pada hujung minggu.

Wednesday 27 April 2016

Ketua Pembangkang DUN Terengganu 'Tak Ada Telor'?


Oleh  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu)     
  
Saya tidak membuat ulasan kemelut Terengganu walau beberapa kali ditanya hingga keadaan menjadi lebih tenang. Situasi Terengganu agak lebih kompleks daripada apa yang dijangka.

Pelucutan gelaran kebesaran menteri besar Terengganu walaupun mungkin tidak ada kaitan dengan pergolakan politik tempatan, merupakan situasi terkini yang hangat dialami.

Saya telah mengulas tentang perlunya kerajaan negeri menjadi stabil apabila usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru baru ini.

Malangnya ada pihak tertentu menempelak cadangan saya supaya pilihan raya negeri diadakan.

Sebenarnya usul undi tidak percaya itu dibenarkan mengikut perlembagaan.

Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri juga diadakan!


Sejak Datuk Seri Ahmad Said digugurkan sebagai menteri besar oleh Datuk Seri Najib Razak, politik Umno Terengganu bergolak hebat.

Dari segi parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak percaya dahulu lagi parah.

Pada masa itu, daripada segi teorinya, Ahmad Said yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" daripada kerajaan kerana menentang parti.

Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk kerajaan berfungsi.
Tumpang masalah pihak lain.

Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri diadakan.

Keadaan bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan situasi kembali tenang buat sementara.

Situasi sekarang antara istana dan menteri besar dan bukan tidak melibatkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi di DUN dengan komposisi 17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran menteri besar yang juga masih daripada BN.

Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia kononnya untuk menghadapi pilihan raya negeri?

Adakah sekadar menumpang atas isu dan masalah pihak lain. Melainkan Umno Terengganu bergolak hebat, semula itulah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini dan jangan emosi.

Jika hendak bertindak, sepatutnya semasa usul undi tidak percaya dahulu.

Memang diakui Umno bergelora di peringkat pusat dengan masalah Najib dengan timbalan, naib serta bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad serta pengikut-pengikut mereka.

Masalah di pusat sudah tentu akan menjejaskan kedudukan menteri besar Terengganu yang dipilih Najib.

Ini semua menyusahkan rakyat Terengganu dan perlu dicari penyelesaian atau diadakan pilihan raya semula.

Rakyat Terengganu yang menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit Malaysia menjadi mangsa dan menanggung pelbagai derita.

Situasi penuh ketidaktentuan ini harus berakhir demi kesejahteraan rakyat.

Pihak kerajaan dan pembangkang harus memainkan peranan mereka demi masa depan rakyat Terengganu.

Kemelut Umno Terengganu telah lama berlaku dan menjadi lebih ketara selepas Ahmad Said diganti dengan menteri besar sekarang.

“Ramai yang berminat menjadi menteri besar Terengganu, maklumlah bajet tahunan melebihi RM2 bilion setahun dengan penduduk hanya 1 juta berbanding dengan Selangor sekitar RM1.5 billion tetapi penduduk 4.5 juta!

Sangat lumayan habuannya tetapi sejak minyak ditemui 40 tahun dahulu, di Terengganu, rakyat terus menjadi antara tiga negeru termiskin dan kerajaan negeri terus bermewah-mewah.

“Kerana itu Umno negeri terus bergolak merebut kuasa dan kekayaan duit minyak”.

Jika pertukaran menteri besar berlaku, ia belum tentu akan berakhir kerana pergolakan Umno pusat sedang hebat membara!

Kalau pertukaran menteri besar Terengganu juga berlaku, ia hanya akan meredakan keadaan hanya untuk beberapa ketika.


Bukan hanya Terengganu, seluruh negara menghadapi dugaan yang amat hebat.

Mohd Jidin - Henti Spekulasi Saya Sebagai Menteri Besar Baharu


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee (gambar) meminta orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi kononnya beliau akan dilantik Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Katanya, spekulasi seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan akan menyinggung perasaan terutamanya pentadbiran sekarang ini.

“Saya ada baca viral tersebut tetapi nasihat saya cukuplah setakat itu, sebab sebarang keputusan mengenai (perlantikan Menteri Besar) tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita seusai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman hari ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan itu menambah kesemua EXCO dan wakil rakyat Terengganu memberi sokongan penuh kepada pentadbiran Ahmad Razif.

“Menteri Besar kalau nak ikutkan program dia akan berjumpa dengan semua ADUN BN petang ini (tetapi ditangguhkan), malah secara individu Menteri Besar ada membuat perbincangan (dengan wakil-wakil rakyat) dan berjumpa untuk mendapatkan sokongan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Jidin menegaskan bahawa kesemua EXCO dan wakil rakyat Terengganu akan menghormati segala keputusan daripada Istana.

Pada masa yang sama, Jidin memaklumkan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri dan wakil rakyat BN terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baru.

Perdana Menteri dilaporkan akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bagi membincangkan isu berbangkit.

“Sepatutnya Perdana Menteri akan melakukan perjumpaan dengan semua wakil rakyat BN esok di Kuala Lumpur tetapi ditangguhkan kepada tarikh baharu,” katanya.


Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman tidak membatalkan semua acara rasminya seperti yang dilaporkan media.

Penafian itu dibuat Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Rozailan Ibrahim @Mamat menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap penjelasan itu dapat menghentikan semua spekulasi yang tersebar.
“Pentadbiran (pejabat Menteri Besar) ini menafikan spekulasi yang mengatakan bahawa YAB Menteri Besar Terengganu telah membatalkan semua acara rasmi yang melibatkan beliau sepertimana yang tersebar hari ini.

“YAB Menteri Besar akan menjalankan tugas-tugas rasmi seperti biasa. Adalah diharapkan dengan penjelasan ini dapat memberi maklumat yang tepat terhadap pelbagai spekulasi yang tersebar sebelum ini,” katanya.

Semalam, Ahmad Razif dilapor membatalkan semua program rasmi yang sepatutnya dihadiri beliau dalam minggu ini.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai kepada Menteri Besar Terengganu yang turut mendedahkan, semua program itu kini diwakili exco negeri itu.

Menurut pegawai itu, pembatalkan program tersebut mungkin disebabkan kemelut yang sedang dihadapi Ahmad Razif dan pihak Istana ketika ini.

sumber - FMT 

Tuesday 26 April 2016

Ahmad Razif Dalam Keadaan Sulit Menjalankan Tugas Sebagai MB


Daripada hambali1

Dengan kedudukan sekarang, ia amat menyulitkan  Ahmad Razif Abdul Rahman. Ini kerana hubungannya dengan istana renggang, selain diancam oleh undi tidak percaya.

Malah, jika Ahmad Razif terus menjadi Menteri Besar, beliau terpaksa berdepan dua lagi sidang DUN akan datang.

Sidang biasa selama sehari dijangka akan diadakan pada Ogos depan, sementara  sidang khas untuk membentangkan Bajet Kerajaan Negeri pada Disember nanti. Dalam keadaan sekarang, apakah Ahmad Razif tidak bimbang akan ‘diserang lagi’ pada sidang DUN akan datang, selain membentangkan Bajet 2017 yang pastinya akan mengundang pelbagai kemungkinan?

Apa jaminan bahawa usul tidak percaya terhadapnya akan dibentangkan sekali lagi? Kali ini berani atau mampukah Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul tersebut?

Veteran UMNO Terengganu menyatakan sokongan kepada Ahmad Razif baru-baru ini selepas diasak oleh Ahmad Said di sidang DUN Terengganu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dirinya akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

Tujuan apa menghadap tidak diketahui. Untuk memohon supaya pingat dipulangkan atau membincangkan kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar?

Sejauh ini tiada kenyataan rasmi daripada Istana Terengganu dalam isu ini, termasuk sama ada jawatan Menteri Besar itu perlu ditukarkan kepada pemimpin lain.

Perdana Menteri boleh meminta rakyat tidak membuat spekulasi tetapi keadaan politik Terengganu yang kini terumbang-ambing tidak akan mampu untuk menyekat rakyat berbicara mengenainya.

Najib juga perlu mengatasi isu ini segera dalam keadaan beliau sendiripun diserang dalam pelbagai isu, khususnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya dijadual menghadap Sultan Terengganu dalam masa terdekat. Selepas itu, baru saya akan keluarkan kenyataan," katanya kepada pemberita diKuching.

Kebiasaannya apabila ada krisis seperti ini, ia lebih kepada menjamin kerajaan Barisan Nasional (BN) terus stabil dengan melantik Menteri Besar baharu, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sesetengah penganalisis berkata krisis ini menyebabkan kedudukan BN Terengganu dalam bahaya kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.

BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, awal bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif, mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Bagi Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kini "tergantung" selepas Ahmad Razif menafikan bekas MB Datuk Seri Ahmad Said peruntukan di kawasannya. Ahmad Said adalah ADUN Kijal.

"Dengan menafikan peruntukan tersebut kepada Ahmad, menteri besar tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai seorang ADUN BN," dakwa Azan.

BN mempunyai 17 ADUN, termasuk Ahmad, manakala kerusi pembangkang terdiri daripada 14 daripada PAS dan Azan merupakan ADUN PKR tunggal di Terengganu.

Ahmad bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Ahmad mengesahkan Ahmad Razif telah mengambil alih peruntukan untuk DUN Kijal.


Semalam, ada pihak mengatakan insiden penarikan balik pingat terhadap beliau oleh istana Terengganu susah untuk Ahmad Razif jalankan tugas selaku Menteri Besar.

Ini kerana kerana setiap minggu dia perlu menghadap Sultan Mizan untuk memaklumkan perkembangan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) terutama keputusan yang dibuat dan membincangkan hal pentadbiran negeri.

"Kalau Ahmad Razif kekal sebagai MB, rasanya payah. Mungkin tak lama lagi akan ada perubahan kepimpinan negeri, cuma tak pasti melalui kaedah mana, sama ada pilihan raya atau kerajaan perpaduan," katanya ketika dihubungi di Terengganu,” demikian menurut satu ulasan semalam.

Azan  "bersimpati dengan MB. Tetapi saya bersimpati lagi dengan rakyat kerana kerajaan negeri tidak akan dapat memberi tumpuan kepada menjalankan tugasnya."

Perdana Menteri membuat kenyataan selepas hadir dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, calon BN DUN Tanjung Datu di Kuching hari ini bersempena penamaan calon pilihan raya Sarawak ke-11, meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana Terengganu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Portal AMANAH, Malaysia Dateline Sabtu lalu memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Menurut laporan Harian Metro pula, Ahmad Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.

Ahmad Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Satu kejadian yang sama dilaporkan berlaku pada majlis UMNO Dungun malam Sabtu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 serta Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.


Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014. 

Monday 25 April 2016

MB T'ganu Mungkin Berundur Gara-Gara Masalah Dengan Istana?


Drp Teganuku

KUALA TERENGGANU, 25 April, 2016) - Belum dapat dipastikan apakah Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akan terus memegang jawatan Menteri Besar Terengganu atau berundur secara sukarela bagi membuka ruang kepada pelantikan Menteri Besar baru.


Yang pasti kedudukannya kini sukar untuk menjalankan tugasnya. Ini susulan 'tindakannya’ yang dikatakan menyebabkan pihak istana negeri itu murka.


Punca kemurkaan itu tidak penting lagi sekarang.

Persoalannya, apakah Ahmad Razif akan dapat bertahan walaupun dikhabarkan Putrajaya sehingga kini masih ‘mempertahankan’ kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu.


Malah sumber UMNO turut mengatakan Timbalan Perdana Mentert, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberitahu Ahmad Razif mengenai pendirian Putrajaya supaya beliau meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar.


Yang nyata insiden penarikan balik pingat terhadap beliau oleh istana Terengganu pada Jumaat lalu yang disebarkan menerusi media sosial sememangnya berlaku. Ia kini menunggu kenyataan pihak Istana Terengganu mengenai kedudukan atau langkah seterusnya.


"Dalam keadaan sekarang, susah untuk Ahmad Razif jalankan tugas selaku MB kerana setiap minggu dia perlu menghadap Sultan Terengganu untuk memaklumkan perkembangan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) terutama keputusan yang dibuat dan membincangkan hal pentadbiran negeri.


"Kalau Ahmad Razif kekal sebagai MB, rasanya payah.

Mungkin tak lama lagi akan ada perubahan kepimpinan negeri, cuma tak pasti melalui kaedah mana, sama ada pilihan raya atau kerajaan perpaduan," katanya ketika dihubungi di Terengganu,” demikian menurut satu ulasan hari ini.


Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan,  Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua pihak bertenang dan tidak beremosi mengenai perkembangan terbaru di Terengganu
kerana isu ini masih belum jelas. Beliau yakin isu itu dapat diselesaikan.

"Sebagai mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Terengganu, ini bukan perkara yang
tidak pernah kita lalui.

"Yang penting sekarang ialah untuk kita pastikan bahawa apa dia perkara yang boleh
memecah-belahkan kita, kita kurangkan," katanya di Kuala Lumpur semalam.


Sumber memberitahu mStar Online, hubungan antara
istana dan Menteri Besar Terengganu itu kini menimbulkan persoalan selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata majlis yang
diadakan kelmarin dan pagi semalam hanya menyebut Ahmad Razif sebagai 'Yang
Amat Berhormat Menteri Besar, tanpa gelaran lain.

"Ini sudah tentu bertentangan dengan amalan
biasa," kata ADUN Bandar sambil menegaskan bahawa semua pihak perlumenahan diri daripada membuat spekulasi ke atas perubahan menteri besar kerana perkara itu di bawah budi bicara penuh sultan.

"Sebagai ADUN, saya bersimpati dengan MB. Tetapi saya bersimpati lagi dengan rakyat kerana kerajaan negeri tidak akan dapat memberi tumpuan kepada menjalankan tugasnya," katanya.


Portal AMANAH, Malaysia Dateline semalam memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lepas telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.


Menurut laporan Harian Metro pagi semalam, Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.


Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.




Satu kejadian yang sama telah dilaporkan berlaku pada majlis Umno Dungun malam semalam,



Berita Harian memetik sumber sebagai berkata bahawa gelaran itu dibatalkan melalui perintah secara lisan.


Selain itu, Azan turut berkata, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kini "tergantung" selepas Ahmad Razif menafikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said peruntukan di kawasannya. Ahmad Said adalah ADUN Kijal.


"Dengan menafikan peruntukan tersebut kepada Ahmad, menteri besar tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai seorang ADUN BN," dakwa Azan.


Ahmad mengesahkan Razif telah mengambil alih peruntukan untuk DUN Kijal.

BN mempunyai 17 ADUN, termasuk Ahmad, manakala kerusi pembangkang terdiri daripada 14 daripada PAS dan Azan merupakan ADUN PKR tunggal di Terengganu.



Ahmad bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Wednesday 20 April 2016

PBSNT Diarah Kemuka Laporan Kepada Kerajaan Negeri Esok

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarah mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri dengan segera berikutan kemerosotan prestasi pasukan negeri itu dalam Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata laporan itu perlu dikemukakan selewat-lewatnya esok.

Beliau berkata laporan berhubung prestasi skuad Penyu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco minggu depan.

"Meskipun amaran sudah diberi, mutu permainan yang ditunjukkan pemain amat mengecewakan malam tadi.

"Kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco hari ini membuat keputusan agar PBSNT segera menghantar laporan mengenai apa masalah sebenar yang melanda pasukan itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata jika prestasi skuad Terengganu masih tidak menunjukkan peningkatan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengkaji semula dari segi kos pelaburan kepada pasukan itu, musim depan.

Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid...Presiden PBSNT
Katanya kerajaan negeri juga berkemungkinan mengekalkan hanya sebuah pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan, berbanding dua pasukan sekarang - Terengganu FA dan pasukan berstatus kelab, T-Team.

"Tahun depan, kita akan lihat, kemungkinan mengkaji semula kewajaran kita untuk kedua-dua pasukan ini.

"Kita mahukan pasukan terbaik, kalau dua pasukan (Terengganu dan T-Team) tidak bagus, kita akan hanya bentuk sebuah pasukan yang kuat. Kalau prestasi T-Team bagus, kita akan kekalkan pasukan ini," katanya.

Pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus malam tadi, skuad Penyu sekali lagi dirundung malang apabila tewas kepada Perak 2-3.

Kekalahan itu adalah ketiga berturut-turut dialami skuad Penyu yang sebelum ini tewas kepada Felda United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Rozi berkata setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM20 juta bagi pasukan Terengganu, manakala T-Team menerima peruntukan lebih kurang RM10 juta.

Beliau juga menggesa agar PBSNT segera mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan Terengganu, sejak akhir-akhir ini.

Ditanya sama ada pengurusan dan pasukan Terengganu bakal dirombak ekoran kemerosotan prestasi skuad itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dalam urusan tersebut, dan menyerahkan kepada PBSNT bagi menanganinya.

"Saya sentiasa tekankan apa yang dilaburkan itu biarlah pulangannya setimpal kepada kerajaan dan rakyat khususnya peminat bola sepak Terengganu.

Tuesday 19 April 2016

Mesyuarat Agong Tergempar PBSNT - Rozi Akan Mengotakan Kata-Katanya?


Terengganu FA terus dirundung malang semalam apabila tewas 2-3 kepada Perak pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Kekalahan kelima daripada lapan perlawanan dicatat skuad Penyu itu tidak mengubah kedudukan mereka di tangga kelapan carta Liga Super dengan kutipan sembilan mata.

Kekalahan ini mungkin mengundang tindakan drastik kerajaan negeri selepas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat  berkata minggu lalu bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diberi peluang terakhir untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka ketika bertemu Perak, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri semalam.

Menurutnya, jika prestasi pasukan masih sama sebagaimana mana ketika skuad Penyu dibelasah Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka pihaknya tidak teragak-agak mengesa PBSNT mengadakan Mesyuarat Agung tergempar atau melalukan rombakan yang dirasakan perlu bagi memastikan prestasi pasukan dapat segera dipulihkan.

Apakah Rozi akan mengotakan kata-katanya? Apakah aka nada perubahan dalam pucuk pimpinan PBSNT selepas ini?

Rozi sebelum ini berkata: “Kita (kerajaan negeri) memandang serius berhubung kemerosotan prestasi skuad Penyu dan permasalahan  itu (prestasi) masih juga berlaku. Kita bukannya tidak boleh menerima kekalahan tetapi corak permainan yang ditonjolkan amat mengecewakan.

"Saya tidak tahu sama ada mereka ada masalah di peringkat dalaman atau sebaliknya, tetapi kita mahu mereka mengambil tindakan segera menangani apa jua yang berlaku dalam pasukan dan ini adalah peluang terakhir buat PBSNT untuk memulihkan kembali reputasi skuad Penyu,” katanya.

Rabu lalu, Rozi tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan apa yang berlaku terhadap pasukan Terengganu itu.

Menurutnya, beliau bukannya mahu masuk campur di dalam pengurusan PBSNT tetapi keadaan memaksa beliau untuk berbuat demikian kerana ia melibatkan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Beliau sekadar mahu pihak pengurusan PBSNT segera memperbaikinya sebelum ia menjadi lebih parah sekaligus terlepas daripada merangkul sebarang piala musim ini.


Pada aksi malam tadi,  Perak mendahului menerusi rembatan kencang Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadr pada minit ke-22, sebelum Issey Nakajima-Farran menyamakan kedudukan untuk Terengganu FA, selang empat minit kemudian melalui sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan pemain pelawat.

Perak kembali mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Elias Fernandes pada minit ke-56 sebelum beliau menjaringkan gol peribadi kedua, selang tujuh minit kemudian.

Pasukan tuan rumah menjaringkan gol kedua pada minit ke-74 menerusi tandukan Juan Jose Morales, namun tidak disahkan pengadil kerana beliau dikesan menolak pemain pelawat terlebih dahulu.

Terengganu FA akhirnya berjaya meraih gol kedua menerusi Issey Nakajima, namun ia tidak memberi sebarang makna kepada skuad Penyu.

Monday 18 April 2016

Sultan Mizan Rangkul Tempat Ketiga Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 yang berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong semalam (pagi Ahad).


Sultan Mizan yang menggunakan nombor sembilan dan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mencatatkan purata kelajuan 16.257 kilometer per jam (km/j).

Sementara itu, Rebecca Radny juga dari RTES yang mencatatkan 16.258 km/j mendapat tempat kedua dan tempat pertama dirangkul pelumba yang memegang nombor 60 dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET), Muhammad Fuad Hashim dengan catatan 17.949 km/j.

Juara perlumbaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sebuah jam tangan jenis Amaswiss, piala berserta medal manakala naib juara menerima RM15,000 berserta medal dan tempat ketiga menerima RM10,000 dan medal.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut.

Sultan Terengganu itu berkenan menyertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Sabtu malam.

Kejohanan edisi ketiga tersebut disertai 28 peserta termasuk lima peserta antarabangsa dari dua negara iaitu Australia dan Brazil. Acara pelepasan bagi kategori 120 kilometer tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam.

Sultan Mizan yang memakai baju berwarna biru yang memegang nombor sembilan mewakili RTES dan perlumbaan turut disertai Tengku Seri Temenggung Raja, Tengku Datuk Seri Baharuddin Sultan Mahmud yang mewakili Persatuan Ekuin Terengganu.

Kejohanan tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.


Pada kejohanan tersebut, Sultan Mizan bersama pasukannya iaitu Malaysia D turut menduduki tempat ketiga bagi kategori berpasukan manakala tempat pertama dan kedua masing-masing dimenangi pasukan Malaysia A dan pasukan gabungan tiga negara iaitu Australia, Brazil dan Malaysia.

Sementara itu, kuda bernama Presk Minuit yang ditunggang Rebecca berjaya merangkul anugerah Kuda Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM25,000.

Kejohanan edisi ketiga yang disertai 28 peserta termasuk lima peserta Australia dan Brazil tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.

Saturday 16 April 2016

Ceramah Dr Zakir Di Bukit Jalil – 3 Lagi Peluk Islam

PENJAWAT swasta dan warganegara India, Harinder Pal Singh mengucapkan syahadah selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.
Selepas Woo Nina Grace, seorang lelaki Sikh dan seorang wanita tempatan pula terbuka hatinya untuk mengucapkan syahadah, sekali gus memeluk Islam selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.

Penjawat swasta dan warga India, Harinder Pal Singh, ketika tampil mengajukan soalan kepada Zakir, tersentuh dengan penjelasan pendakwa ulung antarabangsa itu.

Harinder, 23, kemudian dengan rela hati memeluk Islam selepas Zakir membuktikan wujud persamaan antara al-Quran dan kitab Singh, bahawa Allah hanya satu dan Nabi Muhammad SAW pesuruhnya.

"Sekarang saya jelas bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," katanya sambil dipeluk hadirin yang membanjiri ceramah Zakir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Dr Zakir turut berkesempatan mendoakan supaya perjalanan Harvinder mendalami ajaran Islam dipermudahkan, selain meminta pelbagai pihak untuk membantunya.

"Apa saja yang anda lakukan sebelum ini akan diampunkan, insya-Allah dan semoga Allah kurniakan anda Jannah," katanya disahut laungan takbir 35,000 orang di stadium berkenaan.

Harinder mengakui dirinya sudah mendalami ajaran Islam daripada rakan dan tokoh agama sejak setahun lalu, namun masih menunggu penjelasan yang akhirnya diutarakan secara jelas oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

"Saya akan terus ikut ceramah Dr Zakir selepas ini dan memasuki kelas agama untuk memahami syariat Islam, selain menguatkan kepercayaan diri terhadap Allah dan rasulnya.

"Kehendak saya untuk memeluk Islam bukan atas paksaan, sebaliknya dilakukan atas penuh kerelaan diri kerana tertarik dengan keindahan dan kesempurnaan agama ini," katanya.

Sementara itu, dua wanita tempatan turut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir dan 35,000 pengunjung ceramah.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka hari ini bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

Orang ramai dilihat tiba seawal 4 petang untuk mendengar ceramah daripada pendakwah Islam itu yang bertajuk 'Is the Quran God's Word?'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Exco Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan antara yang hadir mendengar ceramah berkenaan.

Pasangan kembar beragama Kristian, Darren dan Daryl Cruz, 23, dari Kota Damansara berkata mereka merasa bertuah menghadiri ceramah Dr Zakir pada malam ini selepas mengagumi penceramah itu sejak 2010.

"Kami berdua sering menonton video Dr Zakir di YouTube dan amat kagum dengan hujah beliau yang sememangnya berdasarkan ilmu yang tinggi.

"Malam ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana selain dapat melihat sendiri Dr Zakir, kami dapat memahami sedikit berkenaan al-Quran," kata Darren.

Soon Mei Mei, 22, yang hadir bersama dua rakannya yang berbangsa Cina berkata ia merupakan pengalaman pertamanya mendengar ceramah daripada Dr Zakir.

"Sebelum ini ada pelbagai persepsi mengenai Dr Zakir dalam media sosial sejak beliau mula berceramah di Malaysia dan malam ini saya datang bersama rakan untuk mendengar sendiri ceramah beliau.

Ceramah Dr Zakir banyak memetik ayat al-Quran dan saya terkejut beliau hafal setiap baris dengan baik sehingga mendapat tepukan orang ramai," katanya.

Sumber - Berita Harian & Bernama