Monday 18 April 2016

Sultan Mizan Rangkul Tempat Ketiga Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 yang berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong semalam (pagi Ahad).


Sultan Mizan yang menggunakan nombor sembilan dan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mencatatkan purata kelajuan 16.257 kilometer per jam (km/j).

Sementara itu, Rebecca Radny juga dari RTES yang mencatatkan 16.258 km/j mendapat tempat kedua dan tempat pertama dirangkul pelumba yang memegang nombor 60 dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET), Muhammad Fuad Hashim dengan catatan 17.949 km/j.

Juara perlumbaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sebuah jam tangan jenis Amaswiss, piala berserta medal manakala naib juara menerima RM15,000 berserta medal dan tempat ketiga menerima RM10,000 dan medal.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan tersebut.

Sultan Terengganu itu berkenan menyertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2016 berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Sabtu malam.

Kejohanan edisi ketiga tersebut disertai 28 peserta termasuk lima peserta antarabangsa dari dua negara iaitu Australia dan Brazil. Acara pelepasan bagi kategori 120 kilometer tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam.

Sultan Mizan yang memakai baju berwarna biru yang memegang nombor sembilan mewakili RTES dan perlumbaan turut disertai Tengku Seri Temenggung Raja, Tengku Datuk Seri Baharuddin Sultan Mahmud yang mewakili Persatuan Ekuin Terengganu.

Kejohanan tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.


Pada kejohanan tersebut, Sultan Mizan bersama pasukannya iaitu Malaysia D turut menduduki tempat ketiga bagi kategori berpasukan manakala tempat pertama dan kedua masing-masing dimenangi pasukan Malaysia A dan pasukan gabungan tiga negara iaitu Australia, Brazil dan Malaysia.

Sementara itu, kuda bernama Presk Minuit yang ditunggang Rebecca berjaya merangkul anugerah Kuda Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM25,000.

Kejohanan edisi ketiga yang disertai 28 peserta termasuk lima peserta Australia dan Brazil tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama RTES.

No comments:

Post a Comment