Monday 27 May 2013

Media Baru - Apakah Pemimpin UMNO, BN Mendengar Saranan Syed Ali?


Tidak pasti sama ada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang kalah dalam pilihan raya mendengar atau mengambil, peduli saranan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

Bagi yang kalah, mungkin mereka masih meratap sayu. Juga mungkin ada yang geram kerana sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui. Sementara, bagi yang menang, mungkin sedang bergembira.

Namun kemenangan itu hanya untuk tempoh empat atau lima tahun ini sahaja.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 nanti yang saya jangka dalam tempoh empat tahun dari sekarang, mereka akan ‘sesak nafas’ sekali lagi.

Semalam Syed Ali mencadangkan setiap bahagian UMNO perlu mempertingkat keberkesanan penggunaaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan meskipun bahang pilihan raya umum ke-13 sudah berakhir.

Ini kerana perkembangan media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat.


Beliau berkata tumpuan atau gerak kerja konvensional harus berubah seiring persekitaran politik pada masa ini.

"Pemimpin parti perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut bagi memastikan kita berupaya menyelami denyut nadi rakyat, termasuk memahami aspirasi golongan muda," katanya dalam blog UMNObahagiancheras.blogspot.com semalam.


Syed Ali berkata sudah tiba masanya kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melakukan tranformasi lebih komprehensif sejajar perubahan sikap dan pemikiran rakyat negara ini sebelum rakyat mencari pilihan yang sesuai dengan kehendak, cita rasa dan keperluan mereka.

Tidak tahulah sama ada pemimpin UMNO di peringkat Bahagian masih tidak sedar-sedar pentingnya media sosial dalam konteks yang ‘sebenarnya’.

Mungkin mereka menganggap dengan adanya Facebook, Twitter atau laman web itu sudah cukup. Bagi mereka dengan memaklumkan pergerakan mereka seperti menyerahkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia, baucer buku atau membantu mereka yang daif sudah memadai.

Yang lain serah kepada ‘tentera siber’ melaksanakan tugas mereka. Kalau dibayar dan berfungsi seperti diharapkan tidak apa tetapi kalau 2 kali 5 bagaimana?

Selepas diberikan telefon bimbit, komputer atau peralatan media sosial serta habuan, anggota ‘tentera siber’ diharapkan turun ke ‘medan perang’ tetapi apa yang berlaku, mereka pun melakukan perkara yang sama dengan bosnya itu iaitu sekadar memaklumkan pergerakan dirinya.

Lebih teruk ada yang menggunakan kemudahan untuk kepentingan diri seperti menceritakan masalah peribadi, keluarga atau santai yang tidak sudah-sudah.

Saya tidak terkejut sekiranya ada 20 atau 30 kononnya anggota ‘ tentera siber’ tetapi yang benar-benar menjalankan tugas hanya dua atau tiga kerat.

Sedangkan ‘tentera siber’ pembangkang menyerang dan terus menyerang pemimpin UMNO dan BN sesuka hati mereka tanpa adanya penentangan sewajarnya daripada ‘tentera siber’ yang mendapat pelbagai kemudahan dan habuan.

Bukan sedikit wang dibelanjakan untuk membawa mereka berkursus, berbengkel dengan kononnya pakar-pakar ‘media sosial’ pro-UMNO di ibu negara, beberapa negeri dan beberapa tempat lain oleh pelbagai agensi tetapi akhirnya tiada kesan besar atau untungnya kepada UMNO dan BN dalam pilihan raya lalu. 

Malah, lebih mendukacitakan, ada kalangan yang mendapat kemudahan berulang-ulang kerana mereka adalah individu dan kumpulan yang sama pada setiap kursus atau bengkel.

Ucapan ‘ketua tentera siber’ kononnya boleh membantu sesebuah negeri atau pemimpin tertentu sebenarnya kelentong semata-mata sekadar mendapatkan keuntungan peribadi umpama syarikat MNC yang ‘fly-by-night’.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mahu BN melakukan perubahan dari segi strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk terus kekal relevan pada pilihan raya umum ke-14.

Najib, yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN, berkata landskap politik negara terus berubah dengan pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihat formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan lagi.

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Najib. Rasanya pesta ‘media sosial’ (saya sebut pesta kerana ia hanya himpunan beramai-ramai tanpa kesan positif) seperti yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu sebelum ini tidak wajar diulangi.

Malah pertandingan blog kononnya untuk mencungkil bakat blogger tidak perlu. Hanya membuang masa dan wang ringgit. Banyak contoh menunjukkan selepas pertandingan itu, tiada blogger atau blog yang aktif yang boleh membantu UMNO dan BN mempertahankan kuasa.

Kita menyambut baik kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim, yang menyokong kenyataan Najib, berkata perkara itu harus diteliti dan dibincang secara mendalam selari dengan asas penubuhan BN yang memberi manfaat besar kepada negara.

"Apa yang ada ketika ini sangat baik, cumanya dari segi pendekatan kita perlu tambah baik. BN sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, perlu terus membuat kerja berbanding pembangkang yang sibuk bermain politik," katanya semalam.

Harapan ialah Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO yang diangotai orang muda sewajarnya menggerakan ‘tentera siber’ mereka setanding dengan yang dimiliki pihak lawan.

Tidak perlulah menggelarkan diri dengan nama yang gah tetapi akhirnya tidak ke mana-mana.

Yang penting bukan nama atau kumpulan kerana tanpa bayaran pun ada penggerak media sosial melakukan lebih baik daripada yang menerima bayaran atau menagih bayaran sehingga berlaku pertelingkahan sesama mereka.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak mendakwa kononnya dia memiliki anggota seakan batalion ‘tentera siber’ tetapi rupa-rupanya kumpulan FB yang posting mereka lebih kepada ajakan keluar makan, cerita peribadi dan keluarga selain menggunakan rangkaian untuk berniaga.

Ketua-ketua Bahagian wajar merancang segera untuk menggerakkan penggunaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan dan jika perlu menyerang ‘musuh’ dengan cara berhemah.

Rakyat bencikan maki-hamun dan cerca. Dengan kedudukan di mana media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat, nyatakan perkara sebenar, bukan memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain.

Integriti media sosial UMNO dan BN penting kerana keyakinan dan kepercayaan rakyat akan terhakis sekiranya ia disandarkan kepada andaian dan tohmahan semata-mata.

Jangan ikut cara pembangkang yang memfitnah dan membuat andaian semata-mata kerana sebagai kerajaan, BN mempunyai banyak fakta yang boleh diketengahkan.

Mungkin ia nampak tidak gempar, panas atau sensasi tetapi melalui fakta yang jelas, bewibawa dan tepat, akhirnya rakyat akan sedar yang mana PALSU dan yang mana BENAR.

Ini tidak bermakna bahawa media sosial UMNO dan BN tidak boleh sensasi tetapi SENSASI yang ditampilkan biarlah yang bernas dan berintegriti.

Jika media sosial UMNO dan BN bercakap di landasan yang tepat dan berfakta, kita yakin ia akan diikuti oleh rakyat yang cintakan KEBENARAN.

Dan dengan kebenaran itulah UMNO dan BN akan dihormati, bukan melalui kenyataan rekaan dan tohmahan yang menjadikan rakyat MELUAT dan semakin menjauhkan diri daripada media sosial yang dianggap propaganda parti untuk kepentingan pemimpin yang menaja mereka.

www. hambali1.blogspot.com

Wednesday 8 May 2013

Jawatan Menteri Besar - 'Kun Faya Kun', Jika Untuk Ahmad Said Maka Ahmad Saidlah!!!


"Beliau (Ahmad Said) mendiamkan diri untuk tidak mengeruhan keadaan. Jawatan Menteri Besar atau apa-apa jawatan pun bukan mutlak milik seseorang. Menteri Besar ditentukan oleh pucuk pimpinan dan diperkenankan oleh Sultan. Paling atas yang menentukan ialah Pencipta Alam Semesta. Apa juga kehendaknya akan berlaku. ‘Kun Faya Kun’."

Daripada hambali1

Yang pasti kali ini, tiada rakyat yang ‘cuba tunjuk kuasa’ kepada pihak istana walaupun ada ura-ura Menteri Besar sekarang akan diganti.

Rakyat tenang menunggu keputusan pucuk pimpinan dan rakyat juga bersabar dan menerima apa sahaja keputusan atau perkenan Sultan Terengganu dalam isu perlantikan Menteri Besar yang baru.

Kita rasa teruja dan bangga dengan pendirian Datuk Seri Ahmad Said yang menasihati rakyat Terengganu agar menghentikan segala spekulasi dan khabar angin.

Beliau meminta agar semua rakyat Terengganu untuk bersatu hati dan berpadu tenaga demi kesejahteraan negeri tercinta ini.

Sebagai Pengerusi Barisan Nasional Terengganu beliau berterima kasih kepada semua rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab dalam PRU13 serta berdiri teguh dibelakang kepimpinan parti.

Menurutnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang melakukan pelantikan secara berperingkat untuk ketua menteri dan menteri besar di negeri-negeri yang dimenangi parti komponen itu. Ahmad Said menjelaskan, masih ada beberapa negeri yang belum dilantik ketua menteri dan menteri besar untuk penggal yang baru ini.

"Memandangkan isu perlantikkan Menteri Besar Terengganu kini menjadi topik hangat, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kedudukan perkara ini.


"Bagi negeri Terengganu saya difahamkan Perdana Menteri selaku Presiden Umno akan mengeluarkan surat watikah dalam masa terdekat dan saya meminta agar semua rakyat negeri ini bersabar," katanya, semalam.

Beliau menambah, kelewatan ini turut berpunca daripada kesibukan Najib dalam menguruskan pelantikan menteri besar dan ketua menteri di negeri yang dikuasai BN.

Sebelum ini sejak 6 Mei lalu, beberapa negeri yang dikuasai telah diberikan watikah pelantikan menteri besar.

Dalam pada itu, Ahmad juga menyeru kepada semua pihak menghentikan segala spekulasi dan khabar angin.

Katanya, rakyat Terengganu perlu bersatu hati dan berpadu tenaga demi kesejahteraan negeri Terengganu itu.

Ini kerana bagi negeri Terengganu beliau difahamkan Perdana Menteri selaku Presiden Parti akan mengeluarkan surat watikah dalam masa terdekat.

Berikutan itu, melalui laman Facebooknya,  beliau meminta agar semua rakyat negeri ini bersabar:

“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Berikutan isu perlantikkan Menteri Besar Terengganu yang kini menjadi topik hangat, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kedudukan perkara ini. Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional sedang menguruskan perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional dalam PRU13.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional sedang menguruskan perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang dikuasai oleh Barisan Nasional dalam PRU13. Berikutan kesibukan tugas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mentadbir Negara, perkara ini dilakukan secara berperingkat – peringkat. Saya difahamkan sehingga kini Kedah, Perak, Kedah, Perlis, Melaka dan Sabah telah selesai urusan perlantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. Kini 4 negeri lagi masih menunggu giliran iaitu Pahang, Johor, N.Sembilan dan Terengganu.

Bagi negeri Terengganu saya difahamkan Perdana Menteri selaku Presiden Parti akan mengeluarkan surat watikah dalam masa terdekat dan saya meminta agar semua rakyat negeri ini bersabar.

Dalam hal ini, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional Terengganu berterima kasih kepada semua rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab dalam PRU13 serta berdiri teguh dibelakang kepimpinan parti.

Saya juga menyeru kepada semua pihak menghentikan segala spekulasi dan khabar angin serta meminta agar semua rakyat Terengganu untuk bersatu hati dan berpadu tenaga demi kesejahteraan negeri tercinta ini.

Wassalam.”

Berikutan pendirian ini tidak wajar untuk mengatakan kononnya Ahmad Said akan menjadi ‘katak politik’ yang baru.

Beliau bukan jenis ahli politik yang memberontak tidak tentu pasal kalaupun sikapnya yang kadangkala dianggap dan dilihat ‘keras’.

Sepanjang beberapa hari ini Ahmad Said ‘mendiamkan diri’ dan tidak menunjukkan dirinya sebagai ‘paling layak’ menjadi Menteri Besar. Beliau juga patuh dan sabar menunggu sebarang arahan pemimpin tertinggi parti demi perpaduan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri. 

Apalagi dengan kedudukan yang agak seimbang antara BN dan pembangkang di Terenganu, sebarang keputusan ‘tidak bijak’ oleh pemimpinnya akan menyebabkan Terengganu boleh tumbang kepada pembangkang.

Apa yang dinasihatkan oleh Ahmad Said kepada rakyat dan sikapnya yang ‘patuh’ kepada pucuk pimpinan seharusnya dilihat dan diambil perhatian oleh pemimpin UMNO dan BN pusat.

Kita masih ingat pada suatu ketika, Terengganu berada dalam kemelut politik yang amat kalut akibat penentangan pihak tertentu terhadap perlantikan Ahmad Said.

Walaupun beliau tidak ‘merampas hak sesiapa’ namun beliau dituduh menjadi punca orang lain tidak dilantik menjadi Menteri Besar apabila penolakan dibuat terhadap perlantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Ada pemimpin anggap Ahmad Said sebagai ‘nangka buruk’ yang akan jatuh bila tiba masanya!

Ahmad Said juga tidak menentang dan patuh apabila jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ‘ditarikbalik’ dan diserahkan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein seketika.


Namun, apabila jawatan itu dikembalikan kepadanya, Ahmad Said berusaha ‘berubat penyakit perpecahan dalam UMNO’ Terengganu, selain melembutkan krisis yang berlaku dalam UMNO Bahagian Setiu.

Dan kini, apabila ada cakap-cakap konon beliau akan diganti, Ahmad Said tetap tenang dan tidak melenting.

Beliau mendiamkan diri untuk tidak mengeruhan keadaan. Jawatan Menteri Besar atau apa-apa jawatan pun bukan mutlak milik seseorang.

Menteri Besar ditentukan oleh pucuk pimpinan dan diperkenankan oleh Sultan. Paling atas yang menentukan ialah Pencipta Alam Semesta. Apa juga kehendaknya akan berlaku. ‘Kun Faya Kun’.

Ahmad Said tidak menyediakan dirinya atau melobi untuk menjadi Menteri Besar.

Dia tidak berjuang ke arah itu ketika menjadi wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Apabila dianugerahkan beliau terima dengan azam dan kesedaran ia adalah amanah untuk membangunkan negeri dan rakyat.

Jika ditakdirkan jawatan Menteri Besar ‘ditarik balik’, baginya ia juga adalah takdir.

Namun beliau boleh berdiri tegak dan bangga kerana berjaya menyelamatkan Terengganu daripada krisis kepimpinan UMNO negeri yang serius selain memulihkan hubungan antara ORANG POLITIK dan ISTANA.

Friday 3 May 2013

Cikgu Zubir, Rakyat Biasa Yang Tawarkan Perkhidmatan Untuk Rakyat

 

Bahagian Ketiga:(Sambungan daripada 'Tok Bomoh PAS’ Yang Akan Musnahkan Pembangunan Kuala Terengganu... & Demi Kuala Terengganu - Wawasan Cikgu Zubir Jauh Lebih Baik Daripada Raja Bahrin) (4 Mei 2013)

Cikgu Zubir mempunyai enam lagi agenda yang mahu diperjuangkannya termasuk menjadikan Kuala Terengganu Bandaraya Bersih dan Aman. Ini sangat penting kerana dengan menjadikan bandaraya ini aman dan bersih, ia akan dikunjungi pelancong selain rakyat di Kuala Terengganu akan semakin selera tinggal di bandaraya ini.

Ikuti apa yang diperjuangkan Cikgu Zubir untuk Kuala Terengganu:

7. HUB RAWATAN & KESIHATAN NEGERI


 Ketika ini Kuala Terengganu mempunyai sebuah hospital kerajaan iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (UniSZA) menempatkan klinik-klinik Pakar, Pejabat Pakar, Dewan Bedah Harian, perpustakaan, auditorium dan beberapa unit kecil selain kompleks Rawatan Harian yang mula beroperasi pada 7 April 2003.

SAYA akan berusaha menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat perubatan penting disamping menggalakkan PELANCONGAN KESIHATAN apabila dua lagi hospital dibina di bandar raya ini. Ini berikutan sebuah sebuah hospital swasta baru bernilai RM200 juta akan dibina di Batu Burok. Hospital pakar milik TDM Berhad yang akan dikenali sebagai Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) itu setinggi lapan tingkat dan dilengkapi 130 katil akan menggantikan KTS di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu. Ia bakal menjadi menjadi sebuah hospital pakar terulung di Bandar Raya Kuala Terengganu di mana berupaya memberi rawatan kepada kira-kira 338,000 penduduk.

Selain itu penduduk Kuala Terengganu juga akan mendapat kemudahan perubatan apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mempunyai hospitalnya sendiri di kawasan seluas 100 hektar di kampus utamnya di Gong Badak.

 Hospital berharga kira-kira RM400 juta itu bakal memberi lebih keselesaan kepada pesakit di Kuala Terengganu, selain daerah lain selain kemudahan untuk pelajar perubatan UniSZA menjalani latihan amali. Pembinaan hospital baru itu juga bakal mengatasi masalah kesesakan di UniSZA dan mempercepatkan rawatan bagi pesakit kronik.  

8. HUB HAJI DAN PELANCONGAN

 

Satu usaha gigih dilakukan Kerajaan Negeri yang SAYA sokong dan dokong ialah menjadikan Kuala Terengganu sebagai Hub Penerbangan Haji dan Pelancongan Pantai Timur. SAYA akan berganding bahu dengan rakan-rakan Exco Kerajaan Negeri serta pegawai Kerajaan Negeri bagi menjadikan bandar raya ini sebagai mesra dan gemar dilawati pelancong dalam negeri dan asing.

Dengan pelbagai tarikan seperti Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Muzium Negeri, Pasar Payang, Pulau Warisan, pantai dan sukan antarabangsa, Kuala Terengganu akan semakin teguh sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Pantai.

Selain itu keupayaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud menguruskan tujuh Penerbangan Haji daripada 10 yang dipohon, akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai Hub Penerbangan Haji Pantai TImur secara terus ke Jeddah dan Madinah. Penerbangan ini tidak termasuk untuk menunaikan Umrah yang turut berlepas secara terus ke Madinah melalui LTSM.  

9 KEMUDAHAN AWAM


 Menjadi harapan SAYA agar Bandar Raya Kuala Terengganu mempunyai sistem pengangkutan dan kemudahan asas bertaraf antarabangsa. Dengan kedudukan Kuala Terengganu yang pesat membangun melalui projek Kuala Terengganu City Center yang dibangunkan oleh ECER, selain serta perumahan, kemudahan meletak kereta, laluan dan kemudahan awam yang semakin tersusun, SAYA yakin kehidupan penduduk di bandar raya menjadi lebih selesa dan sejahtera.

Sebagai bandar raya pentadbiran, pelancongan dan sukan, Kuala Terengganu akan menempuh era pembangunan yang tidak pernah terfikir sebelum ini apabila ia mempunyai kemudahan seperti jambatan angkat (draw bridge) di muara Sungai Terengganu, bangunan tinggi di pesisir pantau selain tarikan lain termasuk menyusuri sungai Terengganu hingga ke Kuala Berang.


SAYA menyokong usaha Kerajaan Negeri membina stesen bas dan teksi baru yang lebih tersusun, jeti untuk pelancong yang lebih menarik selain memperindahkan lagi Dataran Shah Bandar, Taman Warisan dan Pulau Wan Man.

10. MENGEKAL DAN MEMPERKAYAKAN WARISAN KUALA TERENGGANU


Warisan bukan sekadar Pasar Payang. Ia lebih banyak daripada itu! Kuala Terengganu akan mengalami proses pembangunan melalui projek KTCC, BN Terengganu akan menjamin tidak satupun warisan negeri akan dikorbankan.

Sebaliknya Barisan Nasonal (BN) Terengganu akan memperkayakan lagi warisan Kuala Terengganu yang telah lama tertumpu di sekitar kawasan muara Sungai Terengganu sejak berabad-abad lamanya. Bagi menjadikan Kuala Terengganu sebagai KOTA WARISAN, ia akan mengekal dan menggemblengkakan warisan budaya di negeri ini


Bangunan utama KTCC akan menggabungkan warisan seni bina tradisi Terengganu dengan aspek-aspek moden bagi pembinaan premis kediaman dan komersil di kawasan tersebut. Ianya selaras dengan Titah Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar rekabentuk bangunan di negeri ini dikekalkan ciri-ciri warisan.


Adalah menjadi keutamaan bagi SAYA dan BN Kuala Terengganu menyokong dan menjamin semua bangunan, termasuk di Kampung Cina dan KTCC yang akan dibangunkan bercirikan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai (Heritage Waterfront City), yang akan mengekalkan kegemilangan sejarah dan budaya negeri Terengganu. Ini akan melonjakkan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar yang moden, namun masih mengekalkan identitinya yang tersendiri.


11  MELAHIRKAN BELIA YANG BERMORAL, BERDISIPLIN & BERWIBAWA



Sebagai negeri yang mempunyai belia yang aktif dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan dan sukan hingga ke peringkat dunia, SAYA akan menghulurkan tenaga ke arah meramaikan lagi jumlah belia cemerlang di bidang berkenaan.

SAYA berharap, belia Kuala Terengganu akan menjadi model kepada belia di daerah lain dalam pencapaian pendidikan dan sukan. Selain itu, belia Kuala Terengganu juga akan diberikan penerangan dan latihan untuk membentuk belia yang bermoral, berdisiplin dan berwibawa.

Selaras dengan menjadikan kawasan Parlimen Kuala Terengganu Hub Penganjuran Sukan Antarabangsa serta Hub Pelancongan, belia di Kuala Terengganu perlu digerakkan untuk merebut peluang dalam bidang berkaitan khususnya dibang latihan dan pekerajaan disediakan.

Selain membuka ruang untuk mendapatkan pengalaman, belia Kuala Terengganu juga akan dilatih sambil bekerja untuk menjadi tenaga mahir dan professional di masa hadapan. SAYA amat yakin dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan di bandar raya ini, belia Kuala Terengganu akan dapat menjalani latihan yang mencukupi untuk menjadi modal insane serta atlet terkemuka negeri, negara dan dunia.

12 BANDAR RAYA YANG BERSIH DAN AMAN

 
Hasrat SAYA ialah melihat Bandar Raya Kuala Terengganu akan menjadi Bandar Raya Bersih dan Aman dapat diwujudkan untuk kehidupan yang lebih berkualiti. Rakyat di Kuala Terengganu seharusnya disedarkan dan digembeleng untuk sama-sama menjadikan Kuala Terengganu ‘sedap dipandang mata’, selain bebas penyakit yang diakibatkan persekitaran yang kotor dan tidak dijaga rapi.

Pendidikan mengenai KEBERSIHAN akan diterapkan setiap masa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan perlu benganding bahu dengan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) menjayakan usaha ini.

Juga menjadi harapan SAYA, Kuala Terengganu bebas jenayah untuk sebagai sebuah ibu negeri yang aman dan selesa untuk didiami. Jika kebersihan dan keamanan dapat diwujudkan di Parlimen Kuala Terengganu, SAYA yakin bandar raya ini akan dikunjungi pelancong dan penduduknya tinggal dalam suasana yang aman dan harmoni.


Amat nyata, 12 perkara yang disebutkan Cikgu Zubir menggambarkan betapa jauh di sudut hatinya, dia mahukan RAKYAT KUALA TERENGGANU menikmati pembangunan selain  kehidupan mereka pula dalam suasana yang aman dan makmur.

Cikgu Zubir tidak menoleh ke belakang untuk menyalahkan sesiapa jika ada kelemahan sebelum ini tetapi berhasrat memperbaiki apa juga kelemahan yang ada.

Sebagai bekas pendidik, Cikgu Zubir mahu rakyat Kuala Terengganu melalui proses pendidikan masyarakat dalam konteks kepenggunaan, kebersihan, sama-sama menjaga keamanan selain menikmati apa juga kemudahan yang ada.

Ternyata Cikgu Zubir bukan seperti Raja Bahrin yang berjuang kerana amarah, dendam dan merasakan peluang untuknya mendapatkan kontrak semakin tertutup apabila sedar ada arahan daripada PIHAK ATASAN yang akan menyekatnya untuk mengumpul kekayaan di Terengganu.

Malah Cikgu Zubir menginsafi diri bahawa kederat yang ada padanya perlu dipergunakan sebaik-baiknya.

Kerana itu bagi melaksanakan amanah, beliau berikrar: “Saya Meletakkan Diri Saya Lebih Rendah Daripada Tapak Kaki Rakyat. Bukan Untuk Dipijak Tetapi Untuk mengangkat mereka (rakyat) tatkala mereka Tidak Berupaya Untuk Bangkit Sendiri”.

Persoalannya, apakah seseorang yang berketurunan RAJA akan memperjuangkan seperti Cikgu Zubir.

Lantas timbul persoalan:

1. Apakah Raja Bahrin yang hidup dengan dunia glamour dan BERDARJAT sebelum ini mampu menjadi WAKIL RAKYAT sebenar-benarnya?

2. Apakah Raja Bahrin mudah didekati rakyat Kuala Terengganu yang pelbagai golongan dari Yang Kaya hingga kepada yang miskin seperti nelayan, pekerja kontrak, pemandu teksi dan lain-lain?

3. Apakah Raja Bahrin akan ‘membuka pintu rumahnya pada waktu malam’ apabila diketuk oleh rakyat?

4. Apakah Raja Bahrin akan menjadi seperti seperti Khalifah Umar yang menjejaki masalah rakyat sesuai dengan dirinya sebagai YB PAS jika dipilih oleh rakyat?

5. Apakah Raja Bahrin sudah benar-benar menjadi 'pemimpin Islam' sejak beliau menyertai PAS atau sekadar mahu jadi calon pilihan raya?

Dari segi ‘BERSIH’ rasanya Cikgu Zubir belum terpalit apa-apa dan dia banyak jasa kepada ibu bapa, pelajar, guru serta orang ramai ketika berkhidmat dengan kerajaan?

Raja Bahrin? Bacalah sendiri kisahnya.

Langkah pertama KONONNYA untuk berbakti kepada rakyat Kuala Terengganu menempuhi pelbagai masalah terhadapnya akibat KERENAH DIRINYA SENDIRI.

Orang Kuala Terengganu tahu siapa Raja Bahrin dalam kes stadium runtuh dan pelbagai isu lain. Cumanya, rakyat tidak suka memperkatakannya kerana DIA BERDARAH RAJA. Masih ada tanda hormat di kalangan rakyat.

Tetapi kalau Cikgu Zubir berada di tempat Raja Bahrin dan bertanding BN, pasti sudah lama dibongkar dan difitnah.

Pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009, belum apa-apa PAS membuat fitnah kepada Datuk Wan Farid Wan Salleh kononnya berkaraoke dengan gadis muda. Apa bentuk kehidupan Raja Bahrin?

Malah, mereka berkempen awal-awal lagi supaya menolak Wan Farid kerana sukar untuk didekati rakyat kerana BERKETURUNAN BANGSAWAN. Sekarang kenapa PAS membisu dengan Raja Bahrin sebaliknya bangga menggelarkan Raja Bahrin sebagai KERABAT DI RAJA dengan PAS cuba menutup PERBUATAN JAHATNYA terhadap Wan Faridseperti dilakukan pada 2009?

Siapa Raja Bahrin? BANGSAWAN atau APA? Sebenarnya lebih tinggi daripada BANGSAWAN. 

Sedangkan Cikgu Zubir 'seperti Mohd Wahid Endut' pada 2009, iaitu calon RAKYAT yang mahu berjuang untuk RAKYAT KUALA TERENGGANU!

Demi Kuala Terengganu - Wawasan Cikgu Zubir Jauh Lebih Baik Daripada Raja Bahrin


Bahagian Kedua (Sambungan daripada 'Tok Bomoh PAS’ Yang Akan Musnahkan Pembangunan Kuala Terengganu..."

Jika Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah kini yang bergelar ‘Tok Bomoh" banyak bercakap mengenai mengekalkan kedudukan Kedai Payang sebagai Warisan, calon Barisan Nasional (BN), Cikgu Mohamad Zubir Embong,  mempunyai wawasan lebih berfokus dan menyeluruh untuk Bandaraya Kuala Terengganu.

Bercakap mengenai cita-cita dan harapannya, mempunyai visi dan wawasannya sendiri untuk membangun dan meletakkan Bandaraya Kuala Terengganu pada sasaran berikut:

1. MENJADIKAN KUALA TERENGGANU SEBAGAI BANDARAYA ANJUNG ILMU
  


Menjadi cita-cita SAYA sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi P.036 Kuala Terengganu, untuk berusaha menjadikan Parlimen Kuala Terengganu pusat kecemerlangan akademik kerana kawasan parlimen itu mempunyai beberapa universiti bertaraf antarabangsa seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi MARA, selain sekolah ternama seperti Sekolah Sultan Sulaiman.

Kebanyak sekolah menengah dan rendah di daerah ini mencapai tahap kecemerlangan sama ada dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Malah, kewujudan beberapa kolej, termasuk Kolej Komuniti dan PTPL turut membantu menjadikan Parlimen Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Anjung Ilmu.


 "Saya impikan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai modal insane yang cemerlang akal budinya dan sentiasa membudayakan konsep Berkasih Sayang, Hormat Menghormati Sesama Insan, demikian tegas Cikgu Zubir.

2. MENYOKONG PEMBANGUNAN KTCC


Sebagai mewakili Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, SAYA akan menjamin projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai Kuala Terengganu City Centre (KTCC) siap dalam tempoh ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk bandar raya ini.

Selain menjadi pusat komersil dan pentadbiran, infrastruktur yang dibangunkan termasuk lebuh raya dan jambatan angkutan (drawbridge) akan menjadi tarikan pelancong ke bandar raya ini.

Ia diyakini menjadi salah satu mercu tanda Negeri Terengganu. Pembangunan di Muara Selatan akan menempatkan kompleks komersil, pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, unit kediaman moden, tarikan membeli-belah, pusat perubatan, percutian serta pendidikan.

KTCC akan menjadi sebuah pusat gaya hidup masyarakat bandar di mana penduduk setempat dapat melibatkan diri dalam industri-industri yang berkaitan dengan hospitaliti, makanan dan hiburan serta sektor-sektor perkhidmatan yang lain.


SAYA amat yakin pembangunan KTCC bakal mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan akan melebihi RM5 bilion, ia dijangka akan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan yang baru.

3. MENEGAKKAN SYIAR ISLAM

Antara 63 buah masjid baru yang dibina di Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM315 juta sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri itu pada 2004 sehingga 2012.
 Sebagai pemimpin Melayu dan Islam, SAYA akan terus bersama pemimpin UMNO dan Barisan Nasional Negeri Terengganu untuk MENJAMIN SYIAR ISLAM terus ditegakkan di negeri ini.

SAYA juga akan bersama pemimpin UMNO dan BN lain memerangi PAS yang menggunakan Islam untuk kepentingan politik. PAS yang sudah lari daripada perjuangannya menegakkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan tidak boleh dibiarkan terus menyeleweng dan meracuni fikiran rakyat.

SAYA juga akan berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Negeri untuk memperbetulkan aqidah umat Islam negeri ini yang terpesong akibat Amanat Hadi dan fatwa-fatwa ‘sesat dan songsang’ pemimpin PAS seperti ahli UMNO kafir, selain menjelaskan isu seperti Kalimah Allah, sembelihan orang Yahudi boleh dimakan dan banyak lagi.


4. MEMPERTAHANKAN HAK ORANG MELAYU BANDAR 
 

SAYA menyokong semua usaha Kerajaan Negeri mempertahankan kedudukan orang Melayu di Bandaraya Kuala Terengganu.

Perjuangan SAYA  selari dengan HASRAT Kerajaan Negeri untuk mengekalkan orang Melayu di dalam bandar dengan memperbanyakkan rumah mampu milik selain menyediakan peluang pekerajaan dan perniagaan yang bersesuaian untuk mereka.

Langkah kerajaan mendirikan rumah mampu milik dan menjual dengan harga yang sudah diberikan subsidi bertujuan menempatkan semula orang Melayu seperti di Pangsapuri Ladang Gemilang Satu dan Dua selain Pangsapuri Tok Pelam sangat dihargai.

Malah, usaha Kerajaan Negeri membeli balik tanah lot orang Melayu yang terjual ketika pembangkang memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004 amat dialu-alukan.

5. MENJAMIN MASYARAKAT TIONGHUA KEKAL DENGAN TRADISI MEREKA 

 
Saya akan berusaha menjamin 20,000 penduduk Tionghua di Bandar Raya Kuala Terengganu terus kekal dengan tradisi mereka selain menyumbang dan menikmati pelbagai pembangunan yang sudah dan bakal dibangunkan.

Kampung Cina akan terus kekal sebagai perkampungan WARISAN namun masyarakat Tionghua akan digalakkan menyertai dan sama-sama menikmati pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTCC), pembinaan KTCC Mall serta Bangunan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu 30 tingkat dan satu lagi blok bangunan di Kampung Tanjung dengan reka bentuk yang sama setinggi 31 tingkat.


SAYA menyokong Menteri Besar mengajak masyarakat Tionghua dalam Parlimen Kuala Terengganu sama-sama berganding bahu membangun dan memajukan kawasan ini

6. PUSAT PENGANJURAN SUKAN BERTARAF ANTARABANGSA 
 

Bandar Raya Kuala Terengganu kini dikenali di serata dunia kerana Monsup Cup.

Sejak dilancarkan pada 2005, setiap Disember Kuala Terengganu menjadi tumpuan peminat dan ahli sukan kejohanan kapal layar yang kini termasuk dalam Kalendar Dunia bagi kejohanan berkenaan.

Sementara pada awal tahun pula Kuala Terengganu menjadi tempat penyudah bagi kejohanan berbasikal antarabangsa Tour de Langkawi sejak dua tahun lalu.


Kejohanan lain di Kuala Terengganu termasuklah City Night Game, kejohanan Cup Prix selain kejohanan memancing yang sangat digemari.

Kerana itu SAYA menyokong apa juga langkah mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Sukan. Kerajaan negeri juga bercadang membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai RM30 juta bagi memenuhi cita rasa golongan muda.

SAYA menyokong usaha melahirkan atlet negeri dan negara dan apabila Terengganu bakal memiliki sekolah sukan terbesar di negara ini yang menempatkan kira-kira seribu pelajar berbanding enam ratus di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, harapan itu semakin menjadi kenyataan.

Sekolah yang dianggarkan melibatkan peruntukan RM80 juta di kawasan seluas 20 ekar dibina bersebelahan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bakal menerima 50 peratus pelajar tempatan dalam pelbagai jenis sukan

Bersambung

'Tok Bomoh PAS’ Yang Akan Musnahkan Pembangunan Kuala Terengganu...



"Raja Bahrin menganggap orang UMNO dan mungkin termasuk sebahagian KERABAT DIRAJA yang tidak menyertai PAS sebagai masih berada dalam ‘KEJAHILAN’ dan ‘SESAT DALAM ISLAM’ kerana tidak menjadi jemaah PAS."

Raja Bahrin atau Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah kini bergelar ‘Tok Bomoh’. Dulu dia disanjung kerana menyelamatkan anak-anaknya dari Australia demi akqidah.

Kita boleh berikan gelaran Tok Bomoh ini selepas dia mengatakan : “BN membawa penyakit aqidah, ekonomi dan masyarakat yang perlu diubati.”

 Baginya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sebagai ‘berpenyakit’. Nampaknya Raja Bahrin ‘dapat mengenali’ dengan jelas ‘penyakit BN dan UMNO’. Namun beliau tidak dapat mengatakan jelas apa sebenarnya ‘penyakit BN dan UMNO’ yang hendak diubati itu.

Yang disebut ialah : “Kerajaan Umno dan BN ini sebenarnya banyak penyakit dan perlu diubati. Jika sukar untuk berubat kita kena ‘buang’ dia pada pilihan raya kali ini,” katanya selepas mengadakan kempen di Pasar Besar Kedai Payang, di Kuala Terengganu.



Tok Bomoh ini jenis ‘bagang rambang’ dan main tuduh seperti pemimpin PAS yang lain sejak kesekian lama. Masuk sahaja PAS, Raja Bahrin terus bertukar watak dan mula mendabik dada dialah orang paling mengetahui ‘penyakit BN dan UMNO’.

Satu perkara yang menjadi topik hangat dalam ceramahnya ialah isu Kedai Payang. Baginya dia mahu terus memelihara Pasar Besar Kedai Payang yang menurutnya ikon Terengganu sekiranya menang pada pilihan raya umum nanti.

Dia menegaskan mahu menyelamatkan seni dan warisan budaya yang mempunyai nilai sejarah tersendiri di negeri ini. Tok Bomoh ini akan berusaha membaik pulih bangunan tersebut sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan di negeri ini.

“Jika kita memerintah, kita tidak akan buang pasar ini dan akan dibaik pulih dengan lebih baik dan cantik, insya ALLAH,” katanya. BN mempunyai perancangannya sendiri untuk isu Pasar Payang ini!

Apa lagi kata Tok Bomoh berkenaan?

Yang lain itu ialah kononnya “BN membawa penyakit aqidah, ekonomi dan masyarakat yang perlu diubati.”

Kesian Raja Bahrin!

Dia berusaha untuk lebih ke depan daripada pemimpin PAS Terengganu yang sudah terkenal seperti Mohd Abdul Wahid Endut dan Dr Azman Ahmad Nawawi yang sebelum ini lantang membawa isu bumbung stadium runtuh, isu parkir bertingkat, isu pakaian sekolah, isu rumah pangsa Ladang dan banyak lagi.

Kini yang tinggal hanya isu Pasar Payang sahaja yang ada di Kuala Terengganu.

Mahu tak mahu, Tok Bomoh ini perlu ambil juga walaupun merasakan isu lain lebih hebat daripada isu Pasar Payang ini. Adalah baik untuk mulakan perbincangan mengenai apa yang dikatakan oleh Tok Bomoh PAS ini mengenai penyakit aqidah, ekonomi dan masyarakat UMNO serta BN yang perlu diubati.

1. Penyakit Aqidah

Seperti kebanyakan orang baru masuk PAS, soal utama disebut ialah AQIDAH.

Dengan kata lain, apabila seseorang yang baru ini ‘masuk Islam kerana masuk PAS’, mereka akan merendah dan mempersoalkan tahap keIslaman orang lain, termasuk imam dan bilal atau tok guru yang yakin dengan perjuangan UMNO/BN.



Raja Bahrin tidak terkecuali. Persoalanannya, apakah kini sejak masuk PAS, Raja Bahrin sudah meninggalkan semua ‘kehidupan sesat dan zaman gelapnya ketika’ tidak menjadi ahli PAS?

Apakah Raja Bahrin sudah ‘mengIslamkan semua ahli keluarganya’ untuk disesuaikan dengan label Islam yang beliau perjuangkan?

Jangan TERKEJUT kerana kalangan orang PAS dan pemimpin PAS sendiri sangsi dengan cara kehidupan Raja Bahrin yang diagung-agungkan oleh PAS sebagai KERABAT DI RAJA.

Raja Bahrin dilihat sebagai mewakili KELUARGA DIRAJA Terengganu. Syukur sekiranya dia meninggalkan ‘kesesatan dan zaman kegelapannya’ sebelum ini dan sudah ‘kembali kepada jalan yang benar dicorakkan oleh PAS’.


Amat nyata daripada kenyataan ini, kita boleh menganggap 'Raja Bahrin menganggap orang UMNO dan mungkin termasuk sebahagian KERABAT DIRAJA yang tidak menyertai PAS sebagai masih berada dalam ‘KEJAHILAN’ dan ‘SESAT DALAM ISLAM’ kerana tidak menjadi jemaah PAS.'

PERSOALANNYA, apakah anaknda saudaranya juga SESAT, JAHIL dan KURANG ISLAM BERBANDING BELIAU?

2. Penyakit Masyarakat UMNO

Siapa masyarakat UMNO? Mereka sudah pasti orang Melayu Terengganu yang beragama Islam! Apabila beliau mengatakan ada penyakit sedang melanda masyarakat UMNO, ini bermakna masyarakat UMNO begitu hina di mata Raja Bahrin? Apakah orang Melayu Terengganu yang beragama Islam hidup dalam keadaan yang tidak diredhai Allah s.w.t?

Menyebut masyarakat UMNO di Terengganu dan perantau Terengganu, Raja Bahrin lupa bahawa mereka juga saudara Islam dan berTuhankan Allah, berkitabkan al-Quran dan beRasulkan Muhammad (s.a.w). Apakah dengan masuk PAS, Raja Bahrin merasakan dirinya lebih mulia, lebih Islam dan diredhai Allah?

Jika beginilah sikap Raja Bahrin, beliau sama sahaja dengan pemimpin PAS lain yang bersikap BANGGA, MENINGGI DIRI dan SOMBONG.

Dengan kata lain, dia dan jemaahnya adalah MANUSIA TERPILIH Allah (orang Yahudi juga mengatakan mereka masyarakat terpilih dan merendahkan manusia lain di muka bumi Allah ini).

Jika Raja Bahrin merasakan dirinya berketurunan RAJA kita faham tetapi kalau dia merasakan dirinya terlalu MULIA disisi Allah kerana merendahkan masyarakat Melayu dan Islam lain yang ada dalam UMNO, maka kepercayaan dan prejudis ini WAJAR DITENTANG! 

 3. Penyakit Ekonomi

Raja Bahrin sebagai arkitek yang berjaya hidup mewah. Kehidupannya bukan seperti orang UMNO biasa yang menjadi guru, penjawat awam, peneroka, penoreh getah, peniaga kecil, peladang, nelayan dan sebagainya yang kehidupan mereka semakin baik akhir-akhir ini TETAPI TIDAK AKAN DAPAT MENGECAPI apa yang dinikmati Raja Bahrin.

Ia tidak akan sama sampai bila-bila kerana masyarakat UMNO adalah PIPIT sementara Raja Bahrin adalah ENGGANG. Selama ini dia mengecapi kemewahan kerana kedudukannya yang rapat dengan ISTANA dan pemimpin UMNO Terengganu.

Dengan kata lain, walaupun sedikit, hasil kekayaannya dalah daripada jasa UMNO dan kedudukannya yang dihormati kerana dia dari circle istana. Kini dia cuba melangkah kepada kehidupan yang baru dan meninggalkan kehidupan lamanya.

Persoalannya, apakah dia sanggup membuang segala bisnes dan hubungan rapatnya dengan ISTANA sebagai cable penting untuk dapatkan projek-projek perniagaannya.

Atau apakah DIA MEMBUANG DIRI kerana marah kepada UMNO dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di atas sebab-sebab tertentu yang beliau sahaja yang mengetahuinya. Yang nyata, ada cakap-cakap mengatakan Raja Bahrin BERHIJRAH ke PAS apabila harapannya untuk mendapatkan projek tertentu gagal.

Ada mengatakan dia gagal kerana arahan pihak ATASAN jangan memberikan lagi projek kepadanya kerana DIA SUDAH KAYA RAYA. Orang lain pun mahu bisnes juga. Pihak atasan itu bukan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan pegawai kanan kerajaan. Ini lebih ATAS lagi.

Malah, Raja Bahrin dikatakan DIHARAMKAN MEMIJAK KAKI ke satu bangunan penting negeri. Ia gara-gara pertikaian KEKELUARGAAN. Akibat pertikaian ini – difahamkan PIHAK ATASAN mengarahkan KERAJAAN NEGERI jangan melayan kerenahnya. Jadi persoalan di sini ialah, orang UMNO tidak berdosa, masyarakat UMNO pun tidak berdosa kepadanya.

TETAPI KENAPA RAJA BAHRIN MENGHINA MASYARAKAT UMNO sedemikian rupa?

Kerana AMARAHNYA? Kerana GERAM & DENDAM? SIFAT TAMAKNYA?

Jika beginilah sikap dan pendiriannya, Raja Bahrin tidak wajar menghukum masyarakat UMNO Terengganu yang langsung tidak berdosa kepadanya.

Amat nyata Tok Bomoh PAS ini sebenarnya SAKIT JIWA dan mahu merubat PENYAKIT AMARAN & TAMAKNYA SENDIRI tetapi untuk mengatakan dirinya SIHAT dan ISLAM, dia menyalahkan masyarakat UMNO di Terengganu ini.

Sungguh TIDAK ADIL dan TIDAK WAJAR Kerabat Diraja melakukan sedemikian. Raja Bahrin boleh mengatakan sesuka hati beliau terhadap masyarakat UMNO tetapi apakah masyarakat UMNO khususnya di Kuala Terengganu akan mengatakan sesuatu bentuk PENGHINAAN kepadanya?

Jawapannya TIDAK kerana masyarakat UMNO dan PEMIMPIN UMNO waras dan berpandangan jauh. Masyarakat UMNO tidak sakit seperti Raja Bahrin.

Masyarakat UMNO adalah orang Melayu yang PEMAAF dan sebagai orang Islam, tidak akan MENGHINA dan MENCERCA seperti yang diperlakukan oleh Raja Bahrin.

Masyarakat UMNO dan rakyat Kuala Terengganu yang PEDIH dan RASA DIHINA oleh Raja Bahrin akan menolak beliau dan akan memenangkan Cikgu Zubir Embong yang mewakili BN pada kerusi Parlimen Kuala Terengganu kali ini.


Cikgu Zubir bekerja bukan untuk MENGKAYAKAN DIRI DAN KELUARGANYA tetapi mempunyai wawasan sendiri untuk membangunkan Kuala Terengganu.

Cikgu Zubir ada perancangannya sendiri untuk Kuala Terengganu bukan kerana api kemarahan, dendam dan bersikap sombong dengan masyarakat Kuala Terengganu.

Siapakah Cikgu Zubir dan apakah matlamat perjuangan Cikgu Zubir untuk Kuala Terengganu?

Bersambung