Saturday 26 February 2011

Terima kasih Menteri Besar Terengganu…Bawa Kamal Saidin, Ruslan...

Oleh Malek Saiful Muda

Sebagai seorang rakyat negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang melantik beberapa orang penceramah terkenal untuk bekerja dengan kerajaan negeri.

Saya mendengar berita ini ketika menghadiri satu majlis perkahwinan saudara sepupu saya di Dungun baru-baru ini, bahawa Menteri Besar telah melantik Ustaz Kamal Saidin, penceramah terkemuka dari Pendang, kedah menjadi Pengawai Khas Agama di Pejabat Menteri Besar.

Pernah dahulu saya mendengar ceramah dari ustaz Kamal Saidin, ternyata keputusan YAB Menteri Besar adalah satu keputusan yang cukup bijak. Cara Ustaz Kamal memberi penjelasan satu-satu isu dan menjawab tohmahan PAS, amat tersusun dan berfakta.
Ketika menghadiri majlis-majlis ceramah di PRK Tenang baru-baru ini, saya dapat mendengar sendiri ceramah Ustaz Kamal Saidin.

Oh! Sungguh hebat dan jikalah ada penyokong PAS yang mendengar Ustaz Kamal berceramah, saya yakin mereka akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno kerana PAS banyak berbohong manakala Umno kurang bercakap tetapi banyak melaksanakan.

Bayangkan, kalau membuang duri di atas jalan Allah janjikan pahala, mustahil jika Umno dan kerajaan membina jalan tidak mendapat pahala.

Hujah-hujah Ustaz Kamal bersahaja tetapi penuh dengan fakta dan beliau juga akan menyebut ayat-ayat Quran serta hadiz nabi, apabila memberi penjelasan. Dia bukan tong kosong, macam penceramah PAS yang membaca sekerat-sekerat ayat Quran, yang boleh menguntungkan PAS.

Khabar terbaru, YAB Menteri Besar khabarnya turut melantik bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohd Fairuz Khairuddin yang dibuang dan diberi tekanan oleh PKR kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sukakannya.

Dr. Mohd Fairuz juga seorang pemidato handal yang cukup hebat tetapi mungkin Umno Pulau Pinang tidak memerlukan khidmatnya menyebabkan Umno Terengganu mengambilnya seperti mana Ustaz Kamal Saidin yang dilihat tidak mahu digunakan sepenuhnya oleh Umno Negeri Kedah.

Saya berharap sangat, setiap DUN di Terengganu menyusun program untuk menjemput Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz untuk berceramah dan menyampaikan pidato mereka.

Amatlah rugi rakyat Terengganu jika melepaskan peluang mendengar ceramah dari kedua-dua tokoh terkemuka ini. Bila-bila pun mereka boleh membidas serangan penceramah PAS yang tidak ada kelulusan agama seperti Naib Presiden PAS, Datuk Mahfudz Omar.
Begitu juga dengan pidato Mohamad Sabu yang banyak mengarut dari fakta, tentunya dengan mudah boleh dibidas oleh Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz.

Saya berharap YAB Menteri Besar Terengganu turut memberi kebebasan untuk Ustaz Kamal Saidin dan Dr. Mohd Fairuz untuk berceramah ke negeri-negeri lain, termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan.

Bagi Kedah dan Pulau Pinang, mungkin penceramah ini tidak diperlukan kerana mereka mempunyai penceramah yang lebih hebat lagi. Itulah sebabnya mereka tidak menghiraukan kedua-dua tokoh hebat ini untuk membantu Umno dan BN di Kedah dan Pulau Pinang hingga Umno dan BN Terengganu nampak kebolehan kedua-dua pemidato ini.

Seorang lagi penceramah yang saya dengar turut menarik perhatian Menteri Besar Terengganu ialah Ruslan Kassim, bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat.

Ruslan Kassim juga merupakan seorang peguam dan berpengetahuan dalam hal-hal agama. Jadi, tidak ada masalah ketiga-tiga penceramah ini jika diletakkan atas satu pentas untuk menyerang PAS.

PAS di Terengganu perlu diserang habis-habisan kerana mereka ternyata tidak mampu untuk mentadbir negeri walaupun sudah pernah diberi kepercayaan untuk memerintah Negeri Terengganu dalam tahun 1999.

Ketiga-tiga penceramah ini perlu juga memberi ceramah di 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana wakil-wakil rakyat itu dahulu memboikot Persidangan DUN dan cuba menjatuhkan kepimpinan YAB Menteri Besar.

Saya difahamkan ke semua 10 ADUN terlibat tidak berkhidmat di kawasan masing-masing sebaliknya sibuk dengan kerja-kerja peribadi masing-masing termasuklah siang dan malam mengadakan mesyuarat untuk memboikot semua aktiviti YAB Menteri Besar dan kerajaan negeri.

Walaupun ada beberapa orang dari 10 ADUN ini sudah tersedar dari kesilapan sendiri, tetapi masih ada yang terus mahu memboikot kepimpinan Menteri Besar.

 Terkini, seorang ADUN dari kawasan Parlimen Marang dikatakan tidak menghadirkan diri dalam satu program yang dihadiri YAB Menteri Besar di kawasan DUN yang diwakili.

Penulis terkenal, Datuk A. kadir Jasin dalam tulisannya mengulas perbuatan 10 ADUN ini menyifatkan ADUN-ADUN ini sebagai kurang cerdik.

Saya mengharapkan dengan kehadiran tiga tokoh terbilang ini, Ustaz Kamal Saidin, Dr. Mohd Fairuz Khairuddin dan Ruslan Kassim akan memberikan input baru kepada kepimpinan Umno di semua peringkat termasuk ahli-ahli parti di kampong-kampung dan kawasan-kawasan pendalaman.
http://citra-bangsa.blogspot.com/ (Sabtu, 19 Februari 2011)

Friday 11 February 2011

Din Adam Akan Ghaib Selepas PRU13

Sebuah blog  pada Sabtu, 5 Februari 2011 menulis mengenai Datuk Din Adam yang merasakan dirinya cerdik dan masih berpengaruh dengan tajuk ‘Din Adam : Kekalkah di DUN Bukit Besi?
Penulisnya, Ujang Saiful Bahari berkata rasanya, jika ada yang tidak dapat menerima hakikat mengenai perlantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, hanyalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Din seorang je.

Dia bukan sekadar tidak terima tapi tenguk muka Ahmad Said pun dia tak mahu.

Rasanya mustahil jika Din sudah bersedia menerima dan reda dengan kehendak Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, melantik semula Menteri Besar Terengganu itu sebagai penerajui Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Maklumlah, manusia bernama Din Adam ini serba mungkin. Dia boleh bersetuju dan dia boleh tidak bersetuju. Mengenali dia secara dekat, memang tahu sikapnya, agak keterlaluan terhadap Ahmad Said sejak awal-awal perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dulu.

Din pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Dungun. Beberapa tahun yang lalu, dia bertindak bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun menentang Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Din kecundang. Ketika timbul cerita ada 10 ADUN di Terengganu bertindak memboikot Persidangan DUN, salah seorang darinya ialah Din. Mengapa ya, Din memilih untuk terlibat memboikot Persidangan DUN Terengganu? Adakah dia kurang cerdik?

Din antara manusia yang menolak tuah. Bila Ahmad Said selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, Din adalah antara ADUN yang dihubungi untuk dilantik menganggotai kerusi Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut cerita yang boleh dipercayai, Din menolaknya. Ada dakwaan mengatakan penasihat Din yang bernama Abdul Mubin Ismail menasihatkan Din usah menerima perlantikan itu. Ada juga yang membawa cerita kononnya Abdul Mubin yang menasihatkan Din supaya menolak perlawaan tersebut mempunyai kenyakinan bahawa Din lebih layak menjadi MB Terengganu dari Ahmad Said.

Entah betul entah tidak cerita ini, tiada siapa yang dapat mengesahkannya kerana beberapa pihak yang mengenali Abdul Mubin mendakwa, budak ini pun dua kali lima dengan Din, sebagai antara yang kurang cerdik.

Ini cerita yang dibawa oleh mereka yang mengaku kenal dengan Din dan kenal dengan Abdul Mubin. Itulah sebabnya, dalam blognya, Abdul Mubin yang dikatakan kurang cerdik ini menjadikan Dr. Rosli Mat Hassan sebagai musuhnya untuk dicincang lumat dan dihancurkan personalitinya.

Teganukini bukan tidak berminat pergi jauh tetapi apa yang mahu diperkatakan mengenai Din ini ialah dia kini bagaikan ‘anjing buruk kepala’ – bersaorangan dan cuba memencilkan diri.

Bukan Teganukini tidak seronok baca tulisan Ujang Saiful Bahri itu tetapi bacalah di sini, kerana cerita Din ini tak akan habis. Apa tidaknya Din tentunya sedar, sebagai seorang yang kalah di peringkat bahagian, dia usahlah bercita-cita atau memasang angan-angan mahu bertanding lagi dalam PRU 13 akan datang.

Jadi berilah peluang kepada orang lain yang masih diterima di bahagian Dungun dan Din bolehlah menjadi tukang tampal poster sebagai langkah membalas budi parti yang pernah meletakkannya sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, beberapa tahun yang lalu.

Kerana malu atau tahu tidak layak dan memang patut digugurkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang, Din terus memboikot Ahmad Said. Pada ketika regu 10 Budak Hitam semuanya sudah ‘kembali’ duduk semeja dan sama-sama menyampaikan e-Book, Din melarikan diri. Kegemarannya bermain golf. Din ‘bisa’. Anak Bukit Besi yang pandai main golf. Sampai ke Indonesia katanya!

Apa yang berlaku akhir-akhir ini lebih menonjolkan kebencian Din kepada Ahmad Said. Isnin lalu, Ahmad Said melawat lombong bijih di Bukit Besi dan dan penyampaian e-Book, Din memang tidak ada. Pada majlis yang sama tahun lalu, Din juga tidak ada.

Malah ketika Ahmad Said melawat lombong pada Januari dan Ogos 2010, Din Adam selaku wakil rakyat Bukit Besi juga tidak ada.

Kini, Din yang selama ini bergantung kepada Datuk Seri idris Jusoh dan kemudian Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah hilang tempat bergantung.

Nak minta nyawa politik dengan Ahmad Said dah tak boleh. Ke mana Din?

Apakah Din akan ghaib seperti Hang Tuah di hulu sungai selepas PRU ke 13 nanti?

"Kipas Le Hambali...Biar Tersengih Mat Said Tu"

Daripada http://hambali1.blogspot.com/
Tajuk asal - “KIPAS LE HAMBALI… KIPAS SI AWANG SELAMAT… BIAR TERSENGIH MAT SAID TU…”

Keratan rencana teganuku mengenai laporan Menteri Besar Terengganu akan bertindak keras terhadap pencuri bijih.
Saya terkejut juga apabila nama saya disebut dengan jelas dalam sebuah blog pemimpin tinggi Terengganu, Rabu lalu (9 Feb 2011) yang membicarakan mengenai langkah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu membanteras kegiatan curi bijih di Dungun.

Pada akhir entri bertajuk "Bila MB Mat Said Ganti Ar Tompel' pemimpin berkenaan menyebut: "Kipas le Hambali… Kipas si Awang Selamat.. biar tersengih Mat Said tu…

Pemimpin PAS Terengganu yang juga pemimpin PAS di Dungun itu bagaikah resah dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mengenai isu berkenaan.

Apakah hanya kerana PAS pembangkang, usaha kerajaan negeri pimpinan Ahmad bersusaha mencegah perbuatan mencuri harta rakyat pun mahu dipersoalkan?

Malah, beliau menganggapnya sebagai berita lawak!

Apakah ia suatu berita lawak apabila kerajaan negeri menyatakan mahu mendakwa pencuri bijih di Bukit Besi dan ia direstui juga oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu lalu?

Pemimpin PAS Terengganu ini mempersoalkan tindakan Menteri Besar berdasarkan laporan teganuku apabila beliau memetik: “Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berang dan berjanji untuk mengheret mereka yang mencuri bijih besi sekitar kawasan lombong di Bukit Besi. Menghairankan, walaupun ada kejadian tetapi seolah-olah tiada laporan mengenai kejadian itu. Apakah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah membuat laporan atau pihak polis tidak dapat bertindak kerana sebab-sebab tertentu?Difahamkan beliau bukan sahaja berang dengan kejadian tetapi pegawai dan mereka yang diberikan amanah menjaga kawasan itu kerana kegiatan perlombongan besar-besaran akan dilakukan tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama kejadian malah sebelum ini pun Menteri Besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Sebelum ini ada pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Dungun yang dipanggil ke Wisma Darul Iman untuk memberikan maklumat mengenai kejadian. Berikutan itu, beliau mengarahkan PTG supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

Selain itu beliau berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya. "Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan) yang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam. Ahmad Said menegaskan integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai takbir dan penjawat awam.

Ketika melawat kawasan lombong berkenaan semalam, tiada kelihatan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bersama Menteri Besar dan begitu juga pada penyampaian e-Book kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi.”


Menurut Saiful Bahri, “ini satu lagi berita lawak. Betapa hebat si ketam nak ajar anak berjalan betul. Siasatan belum bermula, awal-awal lagi pegawai sudah dipersalahkan. Isu rasuah dan salah-guna kuasa Datuk Ahmad Said masih belum dibicarakan. Rakyat masih ingat sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan MB, bagaimana BPR ketika itu sibuk dengan fail salah-laku Mat Said.”

Tambah pemimpin PAS itu: “Hari ini beliaulah yang paling berintegriti kononnya… pirahhh!!! Nak jaga harta awam konon!!! Kalau melibatkan orang lain tak cukup tanah cari. Ke lubang cacing korek. Tapi kalau pimpinan UMNO… Tunggulah Rimau Mat Said bertanduk dulu…

Saiful Bahari, selain mempersoalkan kredibiliti Ahmad Said turut mengemukakan tiga perkara iaitu:

1. Siapa pemilik 3 syarikat yang dapat mengusahakan bijih-besi di Bukit Besi tu? Menurutnya, YB Bukit Besi sendiri pun tak tahu dan rakyat Dungun dan khususnya rakyat Bukit Besi juga ingin tahu.

2. Munasabah dah YB Din Adam boikot program MB. Calon memang konpem tak dapat dah. Team Deris katakan. Mat Said pergi berleter kat orang kampong Bukit Besi tu nak bagitau YB diorang tak buat kerja le tu… Adun pemalas. Lari dok Gong Badak bersemayam disinggah-sana mewah. Nak kipas le calon baru tu. Ketua Pemuda Bahagian kot. Ejas-ejas le kot tu…

3. Begitulah lakonan lawak pimpinan UMNO. Sama macam AR Tompel. Nak ambil tindakan undang-undanglah… nak report SPRM lah… nak bagitau betapa jujur & amanah le tu kononnya. Sedangkan rakyat semua sudah tahu. UMNO ni merupakan Parti MLM. Siapa diatas dialah dapat boucher serta bonus dan dividen besar. Rakyat yang dok galas dacing dan telan UMNO kat kampong tu.. dapat le asaaappp…


Nampak sangat sikap Saiful Bahri ini seperti ada dendam dan kebencian amat sangat kepada kerajaan pimpinan Ahmad Said apabila mempersoalkan tindakan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau seolah-olah tidak setuju dan tidak percaya Ahmad Said bersungguh-sungguh, sedangkan satu mesyuarat tertinggi diadakan pada pagi Selasa lalu apabila pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis turut dipanggil.

Ahmad Said sudah tidak boleh sabar sebab sudah banyak kali memberitahu pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Dungun bahawa isu kecurian bijih ini perlu diatasi segera kerana ia harta rakyat. Apakah menjaga harta rakyat bukan kewajipan dan dituntut oleh Islam?

Dengan membangkitkan isu Ahmad Said disiasat SPRM ketika mahu diangkat menjadi Menteri Besar, ini jawapannya:

1. Kalau ada kes, pastinya Ahmad Said dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dan tidak jadilah beliau sebagai Menteri Besar;
2. Kalau ada kes kuat, pastinya pemimpin Putrajaya, termasuk Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO mengheretnya ke mahkamah; dan

3. Apakah istana yang melantik beliau itu ‘buta dan tuli’ itu sengaja memejamkan mata mahukan Ahmad Said membuta tuli? Apakah Saiful Bahri mencabar keputusan Sultan Mizan Zainal Abidin melantik Ahmad Said dengan mengatakan Tuanku tidak mengendahkan moral dan ‘keburukan’ Ahmad Said apabila merestui dan bersetuju melantiknya sebagai Menteri Besar?


Tanggapan Saiful Bahri terhadap Ahmad Said rasanya dibuat berdasarkan pertimbangan tidak adil apabila mengaitkan kenyataan Ahmad Said yang membawa pencuri pasir dan mereka yang bersekongkol dengannya ke muka pengadilan. Apakah tindakan Ahmad Said ini salah?

Atau apakah Saiful Bahri tahu siapa mereka dan cuba membela mereka?

Mengenai sama ada Datuk Din Adam tahu mengenai tiga syarikat yang melombong sekarang ini, saya tidak pasti. Itu antara Din dan Menteri Besar.

Tetapi apa yang berlaku pada hari Ahmad Said melawat lombong bijih itu dan penyampaian e-Book, Din memang tidak ada. Pada majlis yang sama tahun lalu, Din juga tidak ada.

Dan ironinya, ketika Ahmad Said melawat lombong pada Januari dan Ogos 2010, Din Adam selaku wakil rakyat Bukit Besi juga tidak ada.

Walaupun tidak ada, apakah Saiful Bahri mahu teganuku melaporkan Din hadir?

Perkara ini ditimbulkan kerana ketika penyampaian di beberapa kawasan lain yang ADUNnya sebelum ini dikatakan ‘tidak sebulu’ dengan Ahmad Said hadir. Ia termasuk di Ajil, Alor Limbat dan Paka.

Kenapa pula di Bukit Besi ADUNnya tidak ada. ‘Ustaz’ Saiful Bahri boleh tolong jawab bagi pihak Din?

Saiful Bahri dok kipas Tok Guru Nik Aziz ke?

Thursday 3 February 2011

Yahya Khatib Mohamad : Makan Berkawan Tapi …

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

RAMAI juga yang tergamam. Tergamam bila nama Yahya Khatib Mohamad (gambar kiri) disebut sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandang Datuk Seri Ahmad Said yang kembali menyandang jawatan pengerusi.

Maklumlah, di luar sana, tidak ramai yang mengenali Yahya. Dia antara pemimpin yang paling junior di kalangan ketua-ketua bahagian di Terengganu.

Suatu ketika, Yahya pernah mahu digugurkan dari jawatan Exco Kerajaan Negeri kerana ‘ingkar’ nasihat Menteri Besar supaya jangan bertanding jawatan ketua bahagian, kerana Umno Terengganu secara keseluruhannya masih belum tenang dengan pelbagai pergolakan.

Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mengambil tindakan terhadap Yahya kerana beberapa sebab yang Ahmad sahaja tahu mengenainya.

Yahya memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Marang apabila dia mengalahkan Datuk Abd Rahman Bakar, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, bekas Ahli MT dan bekas Ahli Parlimen Marang.

Abd Rahman tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu apabila Datuk Seri Idris Jusoh (gambar kanan)selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berjaya menyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi

Bahawa Abd Rahman perlul digugurkan.

Tempat Abd Rahman digantikan dengan Datuk Dr. Ramzi Zuber yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu. Dr. Ramzi tewas di tangan Datuk Seri Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan bekas Menteri Besar Terengganu.

Sehingga hari ini, tiada siapa yang mengetahui apakah sebabnya Idris tidak mahu Abd Rahman bertanding semula sedangkan sejarah politik Terengganu, Abd Rahmanlah satu-satunya calon Umno yang mampu menewaskan Abd Hadi dalam pilihan raya.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Abd Rahman bukan sahaja kehilangan jawatan Timbalan Menteri, Ahli MT dan Ahli Parlimen Marang, malahan, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Marang juga dirampas Yahya.

Waktu Yahya menewaskan Abd Rahman, ramai pemerhati politik menyifatkan Yahya sebagai orang kuat Idris yang terpengaruh dengan aura Idris untuk mengusai politik Terengganu.

Namun, sebagai salah seorang Exco di dalam kabinet Kerajaan Negeri Terengganu, ramai yang melihay Yahya sekarang sudah menjadi penyokong Ahmad Said kerana kata mereka, mustahil Yahya makan kawan ketika orang lain makan berkawan.

Satu perkara yang Yahya kena buat apabila dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ialah menjalankan kerja-kerja parti bagi tujuan membantu kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang mungkin terlalu sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar.

Jangan pula Yahya membuat kerja-kerja yang bertujuan memperkuatkan politiknya seperti yang pernah dia lakukan ketika mahu menentang Abd Rahman di Marang dulu. Ini tidak akan menguntungkan Umno Negeri Terengganu, jika ia dilakukan.

Yahya kena yakin bahawa jika ditakdirkan dia akan menjadi Menteri Besar Terengganu, sampai masanya, ia akan tercapai juga.

Tetapi, jika dia sibuk menyusun agenda peribadi, bukan sahaja dia tidak akan Berjaya malahan, Umno akan musnah kerana di Terengganu akan berlaku satu kapal dua nahkoda kelak.

Sebagai orang baru menerajui bahagian, Yahya kenalah belajar dari cara Ahmad Said bermain politik. Beliau bukan sahaja tidak bercita-cita menjadi Menteri Besar, malahan tidak membuat kerja-kerja yang menuju ke kerusi itu.

Tetapi atas kehendak Allah, akhirnya Ahmad Said dapat juga kerusi Menteri Besar walaupun ada pihak-pihak yang berhempas pulas mahu menjatuhkannya.

Tiada kuasa lain yang lebih besar dari kuasa Allah. Apabila Allah mengkehendaki Ahmad Said menjadi Menteri Besar, tiada kuasa lain yang mampu menghalangnya.

Hari ini, jika ada cakap-cakap yang mengatakan Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar, ia bukan datangnya dari sumber yang layak dipercayai tetapi dari kalangan mereka yang ‘gila talak’.

Yahya kena memainkan peranan untuk meredakan keadaan ini. Yahya kena proaktif membendung usaha-usaha pihak tertentu yang tidak habis-habis lagi mahu memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Yahya kena mempertahankan kepimpinan Ahmad kerana semua keputusan dibuat berdasarkan keputusan bersama.

Jangan hendaknya mereka yang berada di sekeliling Ahmad dan disekeliling Yahya mempunyai pandangan yang berbeza hingga menyebabkan rakyat mentafsirkan hubungan antara Yahya dan Ahmad seperti ada masalah.

Hari ini, Yahya kenalah menyokong tindak-tanduk Ahmad, seperti mana Ahmad dahulu, tidak pernah membantah tindak-tanduk Idris ketika Idris menjadi Menteri Besar.

Inilah keperluan menjadi pemimpin Umno dan BN. Lihat sahaja gandingan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Mereka dilihat selangkap dan sederap dalam menerajui Umno dan Kerajaan Persekutuan.

Jangan wujudkan ruang yang membolehkan pembangkang menuduh ada masalah antara Najib dan Muhyiddin.

Begitu jgualah di Terengganu, usah ada ruang antara Ahmad dan Yahya hingga ruang itu nantinya akan digambarkan oleh mereka yang berkepentingan mengatakan Ahmad dan Yahya akan berbalah akhirnya nanti.

Yahya kena ingat bahawa jawatan yang disandangnya itu adalah jawatan yang cukup tinggi kerana ia pernah disandang oleh Idris, ketika Tun Abdullah menjadi Pengerusi dahulu, pernah juga disandang oleh Tengku Putera Teng Awang ketika Idris menjadi Pengerusi dahulu dan pernah disandang Ahmad ketika jawatan Pengerusi disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein dahulu.

Selamatkan Pelajar - PAS, Pembangkang Jangan Pandai Mengkritik Sahaja

Empat pelajar yang tiba dengan Gulf Air pagi Khamis.

Daripada http://hambali1.blogspot.com/ (3 Feb 2011)

Apakah yang dilakukan oleh pembangkang, khususnya PAS Terengganu dalam misi membawa pulang pelajar dari Mesir?
Sekadar membuat bising dan tidak boleh bertindak apa-apa?
Sedangkan kerajaan negeri Terengganu, pimpinan Datuk Seri Ahmad Said berusaha berbagai cara sama ada melalui kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat.
Sejak beberapa hari lalu, beliau melakukan pelbagai cara sama ada menghubungi Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar serta pihak-pihak lain untuk membawa pulang pelajar Terengganu di Mesir.
Menurut laporan teganuku, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sudah mengarahkan pentadbiran negeri membuka seketeriat di Jeddah bagi memantau misi membawa pulang pelajar Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertindak pantas mewujudkan Seketeriat Terengganu di Jeddah yang di anggotai oleh Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Yayasan Terengganu dan Pegawai Majlis Agama Dan Adat Terengganu (MAIDAM).

Pentadbiran Negeri diwakili oleh Ustaz Haji Lukema Meri Saleh, Yayasan Terengganu diwakili oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Abdullah dan MAIDAM diwakili oleh Ustaz Yaacob bin Abdullah. Beliau seterusnya berkata pegawai bekenaan akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut tempoh yang akan ditetapkan.

Ketiga-tiga pegawai ini telah berlepas dari Kuala Terengganu Ke KLIA jam 10.00 pagi hari ini (3Febuari 2011) dan meneruskan penerbangan ke Jeddah jam 3.00 petang hari yang sama menggunakan Saudi Arabian airalines 3811 dan dijangka akan tiba diJeddah jam 16.40 petang waktu Arab Saudi.

Mazlan seterusnya berkata Seketeriat Negeri juga telah ditubuhkan yang diketuai oleh Datuk Haji Wan Ahamad bin Wan Muda Tmbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan Razali Mahmud Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (Tajaan) dilantik sebagai setiausaha. Pejabat Seketeriat negeri telah dibuka di Pejabat Yayasan Terengganu.

Mazlan seterusnya berkata kerajaan juga telah menyediakan laman web bagi kerajaan mengeluarkan maklumat mengenai perkembangan misi membawa pulang pelajar Terengganu yang akan menjadi kemudahan kepada orang ramai mengtahui perkembangan misi berkenaan.

Bagi ibubapa dan masyarakat awam yang ingin mengetahui mutakhir usaha kerajaan negeri Terengganu dalam Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu boleh mengetahuinya melalui laman rasmi kerajaan Terengganu, http://mesir.terengganu.gov.my./

Selain itu, pelayar juga boleh mendapatkan maklumat di blog http://misipulang.blogspot.com/.

Laman yang dibangunkan sejak kelmarin itu hari ini melaporkan empat pelajar Terengganu dari Kaherah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangs (KLIA) Sepang pagi semalam.

Mereka tiba dilapangan terbang KLIA dari Khaherah, Mesir dengan menaiki penerbangan syarikat Gulf Air.
Mereka adalah pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Maidam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kenapakah pemimpin pembangkang tidak berusaha bersama-sama kerajaan negeri dalam gerakan menyelamat ini?

Apa faedah yang pelajar boleh dapat daripada 'kebisingan' yang bersifat politik itu?

Adalah lebih baik ketika anak-anak Terengganu dan yang lain amnya berada dalam kritikal ini, PAS atau pembangkang tidak cuba 'meneguk di air keruh'.

Duduklah semeja dan carilah jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan negeri Terengganu berusaha gigih membawa pelajar pulang.

Kalaupun tidak mampu, janganlah mengkritik dan menuduh kerajaan dengan pelbagai kata-kata, lebih baik berdiam diri dan sama-sama mendoakan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir dalam keadaan selamat.

UMNO TERENGGANU KINI SEPAKAT?

Oleh Ahmad Hj Ishak (Rabu, 2 Feb 2011)

MEMBACA Buletin teganukita, dalam keluaran khasnya, terpegun juga saya membaca kenyataan YB Abdul Halim Jusoh, ADUN Permaisuri yang menyifatkan perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu merupakan perlantikan yang menyeluruh.

Katanya, ia merupakan sesuatu yang strategic pihak Pusat untuk memberi peluang pemimpin tempatan menerajui parti di negeri masing-masing.

“Keputusan ini memang tepat dan InsyaAllah, Datuk Seri Ahmad Said mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

“Saya yakin beliau akan mendapat sokongan semua pemimpin Umno di peringkat bahagian dan kawasan serta mampu memenangi hati rakyat hingga ke akar umbi,” dia dipetik sebagai berkata.

Abdul Halim yang selama ini dikatakan terlibat dengan Geng 10 atau 10 Budak Hitam nampaknya sudah bersedia untuk berubah, dari menjadi penentang Menteri Besar kepada menjadi penyokong.
Barangkali dia sudah letih mengikut kawan-kawannya yang lain, yang tidak pernah mahu bersama-sama Menteri Besar di dalam membangunkan negeri, hingga Presiden Umno terpaksa menarik perlantikan Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dengan menyerahkannya kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebagai seorang Menteri Besar, memang lazimnya diiringi dengan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri. Ia bukan sahaja berlaku di Terengganu, malahan boleh dikatakan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Umno memang turut dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Malangnya, di Terengganu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang pernah diberi kepada Menteri Besar ditarik balik kerana ada permainan kotor beberapa pihak, termasuk mereka yang berjawatan kanan dalam politik bahagian di Terengganu membuat cerita yang bukan-bukan hingga menyebabkan pucuk pimpinan Umno di Kuala Lumpur ‘merampas’ jawatan tersebut dari Ahmad Said.

Apabila Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu diambil dari Ahmad untuk diserahkan kepada Hishammuddin, mulalah tersebar SMS palsu mendakwa jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar juga akan ditarik balik.

Lepas satu SMS tersebar, satu lagi demi satu SMS disebarkan mereka yang dikaitkan dengan golongan yang tidak berpuashati dengan perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu.

Namun, Ahmad yang merupakan seorang ahli politik yang sudah biasa dengan pelbagai halangan dan rintangan tetap bersabar dan meneruskan kepimpinan dalam onak dan duri.

Akhirnya, pucuk pimpinan nampak, kehadiran Hishammuddin di Terengganu bukan sahaja gagal malahan menyebabkan Umno Terengganu kelihatan bercelaru kerana orang-orang yang tidak dikehendaki di Terengganu dilantik oleh Hishammuddin menjadi pegawai-pegawainya.

Dengan tindakan pantas Najib menarik balik jawatan itu dari Hishammuddin dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Ahmad Said, hari ini, rata-rata wakil rakyat dan kepimpinan Umno bahagian-bahagian di Terengganu berjanji mahu sepakat untuk menjamin BN akan terus menang dan berkuasa di Terengganu.

Yang pasti, musuh Umno negeri yang ketara, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri mengakui beliau akan bersama-sama kepimpinan Ahmad dan tidak akan meruntuhkan apa yang sudah dibangunkannya di Terengganu selepas ini.

Ramai yang mengharapkan Idris mengotakan janjinya. Ramai juga yang mengharapkan Idris sendiri berusaha memujuk sembilan lagi ADUN yang bersama-samanya menjadi pengacau kepada kepimpinan Ahmad Said selama ini.

Kata mereka, jika Idris benar-benar ikhlas, beliau tentunya tidak akan menimbulkan onar dan kacau bilau dalam Umno Terengganu kerana selama beliau menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said adalah penyokongnya yang paling ketara.

Malangnya, apabila Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar dan dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Idris merupakan satu-satunya ketua Umno bahagian yang tidak mahu hadir dalam mesyuarat perhubungan Umno negeri hinggalah Presiden Umno melantik Hishammuddin menggantikan Ahmad Said.

Mudah-mudahan, Idris kini sudah berubah. Mudah-mudahan kini Idris sudah sanggup mengajak kawan-kawannya termasuk Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam kembali ke pangkal jalan, dari menjadi penentang Datuk Seri Ahmad Said kepada menjadi penyokong Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu.

Abdul Halim sendiri perlu menjelajah ke seluruh Terengganu untuk menceritakan kesilapannya menjadi penentang kepimpinan Umno Negeri dan Menteri Besar kerana terikut-ikut kehendak kawan-kawannya yang kononnya mahu Idris menjadi Menteri Besar.

Sebagai seorang ADUN di Terengganu, menjadi satu kesalahan besar kepada seseorang (ADUN) yang tidak menghadirkan diri ke Persidangan DUN Terengganu. Malahan, boleh dikenakan tindakan, jika siasatan mendapati mereka bersalah dan sengaja memboikot persidangan DUN.

Persidangan DUN diadakan adalah atas perkenan Baginda Sultan. Jika mereka memboikot Persidangan DUN bermakna mereka memboikot Baginda Sultan. Apakah mereka masih tidak mahu menerima hakikat bahawa Sultan sudah melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu?

Ada juga dakwaan mengatakan beberapa ADUN, mungkin juga termasuk ADUN Permaisuri memboikot kehadiran Menteri Besar ke kawasan DUN masing-masing hanya kerana mereka ini mahu menunjukkan taat setia mereka kepada Idris Jusoh.

Apakah tindakan ini boleh dilupakan begitu sahaja? Apakah perbuatan ini boleh dimaafkan hanya kerana mereka sudah sedar kini? Apakah tidak perlu apa-apa tindakan dikenakan kepada tindakan yang kurang cerdik ini?

Mudaha-mudahan, tahun 2011 ADUN-ADUN di Terengganu dan semua ketua Umno bahagian, termasuk Idris Jusoh sudah bersembahyang sunat taubat memohon ampun dari Alah kerana hati mereka yang tidak jujur dan ikhlas hingga sanggup mengkhianati Umno dan kerajaan negeri.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa mereka dan ramai yang percaya Datuk Seri Ahmad Said tentunya sedia memaafkan perbuatan budak-budak yang kurang cerdik ini kerana manusia mana yang sempurna dan terlepas dari melakukan kesilapan.