Thursday, 3 February 2011

UMNO TERENGGANU KINI SEPAKAT?

Oleh Ahmad Hj Ishak (Rabu, 2 Feb 2011)

MEMBACA Buletin teganukita, dalam keluaran khasnya, terpegun juga saya membaca kenyataan YB Abdul Halim Jusoh, ADUN Permaisuri yang menyifatkan perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu merupakan perlantikan yang menyeluruh.

Katanya, ia merupakan sesuatu yang strategic pihak Pusat untuk memberi peluang pemimpin tempatan menerajui parti di negeri masing-masing.

“Keputusan ini memang tepat dan InsyaAllah, Datuk Seri Ahmad Said mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

“Saya yakin beliau akan mendapat sokongan semua pemimpin Umno di peringkat bahagian dan kawasan serta mampu memenangi hati rakyat hingga ke akar umbi,” dia dipetik sebagai berkata.

Abdul Halim yang selama ini dikatakan terlibat dengan Geng 10 atau 10 Budak Hitam nampaknya sudah bersedia untuk berubah, dari menjadi penentang Menteri Besar kepada menjadi penyokong.
Barangkali dia sudah letih mengikut kawan-kawannya yang lain, yang tidak pernah mahu bersama-sama Menteri Besar di dalam membangunkan negeri, hingga Presiden Umno terpaksa menarik perlantikan Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dengan menyerahkannya kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebagai seorang Menteri Besar, memang lazimnya diiringi dengan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri. Ia bukan sahaja berlaku di Terengganu, malahan boleh dikatakan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Umno memang turut dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Malangnya, di Terengganu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang pernah diberi kepada Menteri Besar ditarik balik kerana ada permainan kotor beberapa pihak, termasuk mereka yang berjawatan kanan dalam politik bahagian di Terengganu membuat cerita yang bukan-bukan hingga menyebabkan pucuk pimpinan Umno di Kuala Lumpur ‘merampas’ jawatan tersebut dari Ahmad Said.

Apabila Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu diambil dari Ahmad untuk diserahkan kepada Hishammuddin, mulalah tersebar SMS palsu mendakwa jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar juga akan ditarik balik.

Lepas satu SMS tersebar, satu lagi demi satu SMS disebarkan mereka yang dikaitkan dengan golongan yang tidak berpuashati dengan perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu.

Namun, Ahmad yang merupakan seorang ahli politik yang sudah biasa dengan pelbagai halangan dan rintangan tetap bersabar dan meneruskan kepimpinan dalam onak dan duri.

Akhirnya, pucuk pimpinan nampak, kehadiran Hishammuddin di Terengganu bukan sahaja gagal malahan menyebabkan Umno Terengganu kelihatan bercelaru kerana orang-orang yang tidak dikehendaki di Terengganu dilantik oleh Hishammuddin menjadi pegawai-pegawainya.

Dengan tindakan pantas Najib menarik balik jawatan itu dari Hishammuddin dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Ahmad Said, hari ini, rata-rata wakil rakyat dan kepimpinan Umno bahagian-bahagian di Terengganu berjanji mahu sepakat untuk menjamin BN akan terus menang dan berkuasa di Terengganu.

Yang pasti, musuh Umno negeri yang ketara, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri mengakui beliau akan bersama-sama kepimpinan Ahmad dan tidak akan meruntuhkan apa yang sudah dibangunkannya di Terengganu selepas ini.

Ramai yang mengharapkan Idris mengotakan janjinya. Ramai juga yang mengharapkan Idris sendiri berusaha memujuk sembilan lagi ADUN yang bersama-samanya menjadi pengacau kepada kepimpinan Ahmad Said selama ini.

Kata mereka, jika Idris benar-benar ikhlas, beliau tentunya tidak akan menimbulkan onar dan kacau bilau dalam Umno Terengganu kerana selama beliau menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said adalah penyokongnya yang paling ketara.

Malangnya, apabila Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar dan dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Idris merupakan satu-satunya ketua Umno bahagian yang tidak mahu hadir dalam mesyuarat perhubungan Umno negeri hinggalah Presiden Umno melantik Hishammuddin menggantikan Ahmad Said.

Mudah-mudahan, Idris kini sudah berubah. Mudah-mudahan kini Idris sudah sanggup mengajak kawan-kawannya termasuk Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam kembali ke pangkal jalan, dari menjadi penentang Datuk Seri Ahmad Said kepada menjadi penyokong Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu.

Abdul Halim sendiri perlu menjelajah ke seluruh Terengganu untuk menceritakan kesilapannya menjadi penentang kepimpinan Umno Negeri dan Menteri Besar kerana terikut-ikut kehendak kawan-kawannya yang kononnya mahu Idris menjadi Menteri Besar.

Sebagai seorang ADUN di Terengganu, menjadi satu kesalahan besar kepada seseorang (ADUN) yang tidak menghadirkan diri ke Persidangan DUN Terengganu. Malahan, boleh dikenakan tindakan, jika siasatan mendapati mereka bersalah dan sengaja memboikot persidangan DUN.

Persidangan DUN diadakan adalah atas perkenan Baginda Sultan. Jika mereka memboikot Persidangan DUN bermakna mereka memboikot Baginda Sultan. Apakah mereka masih tidak mahu menerima hakikat bahawa Sultan sudah melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu?

Ada juga dakwaan mengatakan beberapa ADUN, mungkin juga termasuk ADUN Permaisuri memboikot kehadiran Menteri Besar ke kawasan DUN masing-masing hanya kerana mereka ini mahu menunjukkan taat setia mereka kepada Idris Jusoh.

Apakah tindakan ini boleh dilupakan begitu sahaja? Apakah perbuatan ini boleh dimaafkan hanya kerana mereka sudah sedar kini? Apakah tidak perlu apa-apa tindakan dikenakan kepada tindakan yang kurang cerdik ini?

Mudaha-mudahan, tahun 2011 ADUN-ADUN di Terengganu dan semua ketua Umno bahagian, termasuk Idris Jusoh sudah bersembahyang sunat taubat memohon ampun dari Alah kerana hati mereka yang tidak jujur dan ikhlas hingga sanggup mengkhianati Umno dan kerajaan negeri.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa mereka dan ramai yang percaya Datuk Seri Ahmad Said tentunya sedia memaafkan perbuatan budak-budak yang kurang cerdik ini kerana manusia mana yang sempurna dan terlepas dari melakukan kesilapan.

No comments:

Post a Comment