Monday 25 December 2017

Sikap Berbaik Dengan UMNO, Berkecuali PAS Makan Diri...


Strategi “berkecuali” PAS di peringkat nasional dan negeri memakan diri kerana penyokong mula semakin mempertikaikan sikap pimpinan PAS terhadap seteru lama, UMNO.
Strategi berkecuali kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyebabkan PAS dilihat tidak konsisten dari segi pendirian dan berpolitik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata penyokong PAS di Terengganu mula pelik.
 “Mereka seperti sebahagian komponen BN kerana sering kali berkecuali di Parlimen dan tidak membantah di Dewan Undangan Negeri, “ tegasnya.
Raja Bahrin menambah kecurigaan penyokong PAS Terengganu disedari pimpinan parti Terengganu.
“Mereka lihat wakil rakyat mereka baik di Parlimen atau DUN tidak mengambil peluang,” tambahnya. “Mereka sekarang lebih faham kenapa ahli Amanah keluar dari PAS,” katanya kepada FMT.
Negeri Pantai Timur itu dianggap kubu kuat Hadi, yang pernah menjadi menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004. Selepas sepenggal memerintah, BN merampas Terengganu dari PAS pada pilihan raya umum 2004 (PRU11) apabila memenangi 28 kerusi berbanding 4 yang dimenangi PAS dan terus bertahan hingga ke hari ini.
Terengganu di bawah Hadi antara lain menyaksikan pengkanunan enakmen jenayah syariah dan pengukuhan institusi pendidikan Islam.
Raja Bahrin berkata sentimen agama yang menjadi “senjata” PAS di Terengganu tidak lagi menyengat para pengundi, seperti mana dalam pilihan raya terdahulu.
“Banyak isu yang mereka guna sebagai daya tarikan sudah tidak begitu menarik lagi,” katanya. “Isu yang paling klasik adalah rang undang-undang 355 (Akta Mahkamah Syariah). Dulu mereka berarak sana sini nak bawa RUU355 tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa.”
Presiden PAS membawa usul peribadi pada Mei 2016 meminta kerajaan membentangkan rang undang-undang meminda akta tersebut, bagi meningkatkan hukuman maksimum kesalahan jenayah syariah daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan rotan.
Menurut Raja Bahrin, ramai penyokong PAS di Terengganu yang mencari alternatif politik mula mendekati Pakatan Harapan.
Pemerintahan BN di Terengganu ditandai dengan krisis penukaran menteri besar, bermula pada 2008 apabila Datuk Seri Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, dan pada 2014 apabila Ahmad Said memberi laluan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman.
“Rakyat Terengganu bijak membuat penilaian tentang tawaran serta kebolehan PAS, kalau nak banding dengan 24 bulan lepas dengan 12 bulan kebelakangan ini, sikap pengikut PAS amat jauh beza, mereka senang didekati.”
Untuk rekod pada PRU13, PAS memenangi 14 daripada 32 kerusi DUN sementara UMNO 17 dan PKR 1.