Showing posts with label Raja Bahrin. Show all posts
Showing posts with label Raja Bahrin. Show all posts

Tuesday, 25 September 2018

APA DILAKUKAN OLEH RAJA BAHRIN UNTUK PELAN TINDAKAN NEGERI?



Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sudah membuatkan kerajaan PAS Kelantan tidak tidur lena  apabila mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan (MTPK) .

Majlis  itu yang akan menyelaras, memantau dan mencadangkan pembangunan negeri, dianggap oleh PAS Kelantan sebagai pengekalan dasar dasar “kerajaan dalam kerajaan” yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kebimbangan PAS ditunjukkan melalui amaran yang dikeluarkan oleh PAS Kelantan yang menganggap MTPK itu tidak ubah seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan - agensi pusat yang menyelaras, memantau dan mengawal rapi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pada 19 September lalu, tindakan HARAPAN ini sesuatu yang tidak membawa kebaikan untuk rakyat Kelantan, apa lagi kerajaan negeri.

Tetapi bagaimana dengan HARAPAN Terengganu?

Apakah mereka melakukan perkara yang sama?

Tidak sama sekali. Malah, pemimpin PAS Terengganu tidak bimbang langsung dengan kepimpinan HARAPAN Terengganu kerana Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad tidak berbuat apa-apa.

Bukan sahaja tidak pernah berfikir atau berbincang mengenai perkara ini dengan pemimpin PKR dan BERSATU, malah beliau sudah ‘menghadap’ Menteri Besar Terengganu, kononnya untuk menjadi ‘jambatan antara Posit dan negeri’.

Bertemu untuk mencari peluang atau cuba mencari popularity, namun ternyata beliau silap. Ia dengan pembangkang, bukan dengan sekutu seperti PKR dan BERSATU.

Siapa beri mandat kepada beliau untuk melakukan demikian? Dia sendiri!

Jadi tidak pelik sekiranya HARAPAN Terengganu dilihat lemah, berbanding HARAPAN Kelantan di mana pemimpin PAS Kelantan terpaksa mengungkit dengan mengatakan,  “Pemimpin PH Kelantan, khususnya AMANAH, semasa bersama PAS menentang kewujudan JPP.”


Kebimbangan dan kemarahan PAS Kelantan kepada usaha HARAPAN Kelantan itu menyebabkan Che Abdullah (gambar atas) mengatakan “Mereka tidak mahu gangguan semasa berada dalam kerajaan negeri tapi menjadi pendokong bila mereka tidak berada dalam kerajaan negeri.”

Beliau mengecam langkah HARAPAN di mana dilaporkan Majlis Presiden PH bersetuju dengan cadangan penubuhan MTPK  dan cadangan itu akan diangkat kepada perdana menteri.

Menurut Timbalan Pengerusi PH Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah, “JPP akan menjadi urusetia majlis ini.”

Sebagai rekod, JPP Kelantan ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas kerajaan BN tewas di negeri itu pada pilihan raya umum 1990, dan bertanggungjawab secara langsung kepada unit penyelarasan pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan JPP sebagai membazir dan perlu ditutup kerana kewangan boleh disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

JPP juga bukan perkara baru di Terengganu kerana selepas kekalahan BN pada 1999, Wang Ehsan disalurkan melalui agensi berkenaan selepas Kerajaan Posit membayar sekali sahaja royalty kepada kerajaan Terengganu.

Dengan tiadanya hala tuju dan pelan  pembangunan daripada HARAPAN untuk Terengganu menyebabkan penyokong tertanya-tanya, apa sebenarnya peranan gabungan itu di negeri Terengganu?

Malah mereka yang mula tertarik dengan HARAPAN - khususnya BERSATU dan PKR kini bingung dengan sikap HARAPAN yang disebabkan oleh tindak tanduk Raja Bahrin itu.

Di pihak Raja Bahrin pula, apakah sekadar mendapat jawatan Pengerusi Negeri untuk membolehkan beliau dilantik sebagai senator dan kini TImbalan Menteri?

Jawatan untuk diri dan partinya semata-mata dan membiarkan PKR dan BERSATU terkapai-kapai?

Monday, 4 June 2018

'Jambatan' Mungkin Tidak Perlu DiBina, Raja Bahrin Tersungkur?


Apa akan jadi jika ‘jambatan’ Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS dan Kerajaan Pusat tidak akan pernah terbina?

Apakah pemimpin Pakatan Terengganu akan kecewa, apa lagi yang ‘gila-gila melobi’ untuk menjadi ‘jambatan’ itu?

Sudah pasti ‘jambatan yang mahu dibina itu’ perlu ada persetujuan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan satu lagi institusi penting yang tidak boleh diipandang sebelah mata  iaitu ISTANA.

Ini bermakna, ‘jika ‘jambatan’ itu mahu dibina, walaupun istana tidak campur tangan, individu yang mahu dilantik sebagai ‘jambatan’ itu perlu mendapat restu istana untuk pentadbiran yang licin dan bersefahaman.

Mentelaah pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Perdana Menteri kelmarin, pastinya meresahkan pemimpin PH Terengganu yang mengharapkan mereka dijadikan ‘jambatan’ antara negeri berkenaan dan Putrajaya.


Hasrat Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad  yang begitu kuat melobi untuk menjadi ‘jambatan’, antara kerajaan PAS Terengganu dan Putrajaya, khususnya dalam konteks pembangunan negeri itu, kini mungkin tergugat.

Penerimaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perimintaan untuk bertemu beliau oleh pemimpin PAS Terengganu menggambarkan kerajaan PH amat bersikap terbuka.

Ini kerana sejauh ini belum ada pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar lain, kecuali kunjungan hormat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg minggu lalu.

Raja Bahrin tentu tertanya-tanya apakah masih ada peluang untuknya dilantik sebagai wakil Putrajaya, termasuk Menteri dalam urusan pembangunan dan membina semula Terengganu.

Yang pasti Dr Mahathir memberikan ruang untuk berbincang banyak perkara dalam konteks memperkukuh hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.


Hasrat  dan bayangan impak positif itu dilihat akan mampu memperkukuh hubungan Kuala Terengganu dengan  Putrajaya yang berbeza pendekatan politik  selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Apa yang penting perbincangan keperluan untuk memperkukuhkan hubungan antara negeri dan Pusat mendapat respons positif daripada Perdana Menteri,” katanya.


Pertemuan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh veteran parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Walaupun ia pertemuan tidak rasmi dan tiada agenda khusus dibincangkan namun sedikit sebanyak, sudah ada persefahaman tertentu antara kerajaan negeri PAS dan Putrajaya yang dipimpin PH.

Jika hasil pertemuan yang impaknya dilihat positif, pasrtinya ia suatu cabaran besar bukan sahaja kepada hasrat Raja Bahrin tetapi juga Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris yang baru-baru ini dilaporkan oleh media, turut berhasrat menjadi ‘jambatan’.

Apakah jambatan itu tidak akan pernah terbina hasil kunjungan Menteri Besar Terengganu ini?

Apakah kerajaan PAS Terengganu memerlukan Raja Bahrin dan Razali bagi tujuan ini sedangkan hubungan boleh dibuat secara terus?

Usaha untuk menjadi ‘jambatan’ dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan lobi Raja Bahrin dapat dilihat dengan jelas apabila beliau ‘berani untuk menunjukkan muka kepada Menteri Besar Terengganu barubaru ini.

Beliau sevara terbuka menyatakan hasratnya untuk jadi ‘jambatan’ itu.

Pemimpin AMANAH dan pemimpin parti  itu sebelum PRU14 dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ dan kehadirannya pada PRU14 ditolak mentah-mentah oleh pengundi yang memberikan kemenangan kepada PAS.

Raja Bahrin menggunakan Pemuda Pakatan Harapan (Ketuanya adalah daripada AMANAH) untuk melobi, termasuk menganggotai Kabinet, Malah  turut menggunakan Dewan Perniagaan Cina Terengganu bagi tujuan itu.

Sebagai rekod, AMANAH mendapat ‘telur’ di semua tiga kerusi Parlimen dan 12 DUN yang ditandinginya walaupun mengatakan begitu positif mulanya, sekurang-kurangnya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disertai Raja Bahrin sendiri.

Pada ketika Raja Bahrin dan beberapa pihak di Terengganu melihat PAS Terengganu akan berada dalam keadaan sukar untuk rapat dengan Putrajaya, jalan yang dirintis oleh Dr Ahmad Samsuri jangan terlalu jauh perbezaannya.

Beliau sedar bahawa biarpun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 agak unik apabila pentadbiran negara bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan, selain ada negeri diperintah PAS dan BN, soal hubungan negeri dan Pusat harus diperkukuhkan.

Baginya apa yang penting hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan harus terjalin erat demi kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Mengenai soal tuntutan royalti minyak Dr Ahmad Samsuri apabila ditanya apakah beliau turut timbulkan dalam pertemuan itu, enggan mengulas mengenainya dengan menyifat pertemuan dengan Perdana Menteri adalah di atas kapasiti peribadi.

Malah menurutnya selepas ini ada lagi pertemuan dan pada 7 Jun nanti iaitu satu Mesyuarat Majlis Kewangan yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri semua menteri besar.

Monday, 25 December 2017

Sikap Berbaik Dengan UMNO, Berkecuali PAS Makan Diri...


Strategi “berkecuali” PAS di peringkat nasional dan negeri memakan diri kerana penyokong mula semakin mempertikaikan sikap pimpinan PAS terhadap seteru lama, UMNO.
Strategi berkecuali kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyebabkan PAS dilihat tidak konsisten dari segi pendirian dan berpolitik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata penyokong PAS di Terengganu mula pelik.
 “Mereka seperti sebahagian komponen BN kerana sering kali berkecuali di Parlimen dan tidak membantah di Dewan Undangan Negeri, “ tegasnya.
Raja Bahrin menambah kecurigaan penyokong PAS Terengganu disedari pimpinan parti Terengganu.
“Mereka lihat wakil rakyat mereka baik di Parlimen atau DUN tidak mengambil peluang,” tambahnya. “Mereka sekarang lebih faham kenapa ahli Amanah keluar dari PAS,” katanya kepada FMT.
Negeri Pantai Timur itu dianggap kubu kuat Hadi, yang pernah menjadi menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004. Selepas sepenggal memerintah, BN merampas Terengganu dari PAS pada pilihan raya umum 2004 (PRU11) apabila memenangi 28 kerusi berbanding 4 yang dimenangi PAS dan terus bertahan hingga ke hari ini.
Terengganu di bawah Hadi antara lain menyaksikan pengkanunan enakmen jenayah syariah dan pengukuhan institusi pendidikan Islam.
Raja Bahrin berkata sentimen agama yang menjadi “senjata” PAS di Terengganu tidak lagi menyengat para pengundi, seperti mana dalam pilihan raya terdahulu.
“Banyak isu yang mereka guna sebagai daya tarikan sudah tidak begitu menarik lagi,” katanya. “Isu yang paling klasik adalah rang undang-undang 355 (Akta Mahkamah Syariah). Dulu mereka berarak sana sini nak bawa RUU355 tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa.”
Presiden PAS membawa usul peribadi pada Mei 2016 meminta kerajaan membentangkan rang undang-undang meminda akta tersebut, bagi meningkatkan hukuman maksimum kesalahan jenayah syariah daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan rotan.
Menurut Raja Bahrin, ramai penyokong PAS di Terengganu yang mencari alternatif politik mula mendekati Pakatan Harapan.
Pemerintahan BN di Terengganu ditandai dengan krisis penukaran menteri besar, bermula pada 2008 apabila Datuk Seri Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, dan pada 2014 apabila Ahmad Said memberi laluan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman.
“Rakyat Terengganu bijak membuat penilaian tentang tawaran serta kebolehan PAS, kalau nak banding dengan 24 bulan lepas dengan 12 bulan kebelakangan ini, sikap pengikut PAS amat jauh beza, mereka senang didekati.”
Untuk rekod pada PRU13, PAS memenangi 14 daripada 32 kerusi DUN sementara UMNO 17 dan PKR 1.

Thursday, 12 January 2017

AMANAH Bimbang China Pengaruhi Keputusan PRU14


Komentar oleh Datuk Raja Bahrin Shah
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu)

Pihak pembangkang telah dituduh bersikap anti Negara China kerana pendirian kita menyoal pelaburan dan cara kontrak dirunding dengan mereka. Sebenarnya isu ini sengaja dikelirukan.

Kami bukan anti Negara China tetapi kami anti monopoli ekonomi mana-mana negara dan kebergantungan tinggi Malaysia kepada negara tersebut. Umno dan BN berjinak dengan Negara China kerana wangnya dan manfaat yang berkaitan dengannya untuk terus kekal berkuasa selepas PRU yang akan datang walaupun risikonya tinggi kepada kedaulatan negara kita.

Motif ini mesti kita faham.

Sekarang ini pun, Malaysia telah menunjukan sikap terlalu tunduk kepada kuasa besar China dengan menyepi di Parlimen, isu kapal peronda China mencerobohi perairan Malaysia Timur dan juga keputusan Tribunal antarabangsa di Hague yang telah menolak tuntutan Negara China di perairan Laut China Selatan.

Malahan cadangan Negara ASEAN lain untuk menyokong keputusan Tribunal Hague tidak dipersetujui oleh Malaysia. Dalam masa yang sama Kerajaan Malaysia telah persetujui untuk membenarkan Syarikat dari Negara China membina serta menyerahkan pengurusan pelabuhan di Kuantan, Melaka, Johor Bharu dan Bagan Datoh.

Projek Keretapi Pantai Timur berharga RM 55 Billion juga akan diserahkan kepada syarikat Negara China. Inilah monopoli dan kebergantungan kepada Negara China yang dibantah oleh kami. Negara Afrika yang bergantung kepada Negara China telah mengalami masalah tersendiri mereka.

Apabila sebuah negara atau pemimpin terlalu banyak mempunyai kebergantungan ekonomi serta kewangan daripada negara lain, soal kedaulatan negara tersebut akan dipersoal.
Apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menunjukkan kecenderungan yang terlalu rapat dengan pimpinan Negara China Komunis, banyak tanda tanya telah timbul tentang kebijaksanaannya.

Presiden baru kuasa besar Amerika, Donald Trump, pun telah disoal tentang kecenderungan dan hubungan yang terlalu rapat dengan Presiden Putin dan Negara Russia.

Penglibatan anak Trump dan penyokong kuatnya, Rex Tillerson, yang ada kaitan perniagaan dengan Russia juga dipersoalkan.

Anak Najib juga telah menyertai rombongan bersama ahli perniagaan pada kunjungan Najib ke Negara China sementara Jho Low, sahabat akrab anak Najib, yang dicari oleh pihak berkuasa Amerika kerana isu 1MDB, juga dipercayai berada di negara China.

Yang menjadi kebimbangan rakyat Amerika adalah pengaruh dan tekanan politik dan komersial yang akan dikenakan oleh Russia ke atas Donald Trump dengan hubungan yang ada.

Begitu jugalah kekhuatiran kami rakyat Malaysia seperti juga di Amerika dimana pengaruh Russia dipercayai telah membantu Trump menang. Rakyat Malaysia juga khuatiri pelaburan besar, kontrak serta wang Negara China akan mempengaruhi keputusan PRU14 untuk memenangkan Najib dan BN.

Dimanakah kedaulatan negara kita untuk memilih pemimpin secara bebas dan adil tanpa pengaruh luar? Selepas pihak tertentu menang, apakah tuntutan dari kuasa luar yang telah mempengaruhi keputusan PRU?

Kebimbangan rakyat Amerika terhadap Russia sekarang akan dialami juga oleh rakyat Malaysia terhadap kuasa besar Negara China dan Perdana Menteri, BN jika dipilih pada PRU14.

Kerana itulah kami hari ini membantah monopoli komersial dan kebergantungan yang amat tinggi Malaysia kepada Negara China. Bukan kerana ianya Negara China, tetapi kerana ianya melibatkan kedaulatan Negara Malaysia memilih pemimpin tanpa pengaruh luar dan selepas PRU14 untuk kita bebas membuat keputusan sendiri tampa apa- apa tekanan luar.
Itulah kedaulatan yang kami berhak miliki sebagai sebuah Negara yang betul-betul Merdeka.


12 Januari 2017

Saturday, 26 November 2016

Hakikatnya Malaysia 'Kalah Teruk 0-5' Di Myanmar - Raja Bahrin


"Jika usul kekejaman dan pembunuhan orang Islam di Myanmar dibenarkan dibahas, semua anggota Parlimen boleh menyuarakan pendapat mereka mengenai isu "genocide" yang makin meruncing."

Oleh RAJA BAHRIN SHAH
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara)

Myanmar 5, Malaysia 0 – itulah keputusan sebenar Piala AFF Suzuki 2016 di Yangoon, walaupun keputusan perlawanan bola sepak antara Myanmar dan Malaysia di atas padang malam tadi adalah kalah 0-1.

Satu daripada lima gol itu sebenarnya adalah akibat jaringan sendiri!

Gol pertama: Ia adalah keputusan tidak bijak Kabinet Malaysia untuk meneruskan perlawanan dalam pertandingan yang tidak penting berbanding dengan pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya yang turut dikutuk keras oleh negara bukan Islam.

Gol kedua: Keputusan tidak bertanggungjawab untuk mendedahkan pemain skuad bola sepak Malaysia kepada bahaya untuk ke Yangon dalam suasana bandar raya tersebut digegarkan beberapa letupan bom baru baru ini. Ini adalah alasan yang cukup untuk menarik diri.

Gol ketiga: "Memaksa" pemain bolas sepak kita terus beraksi semasa mereka tertekan dengan pengetahuan rakyat Islam di Myanmar sedang di bunuh beramai-ramai oleh tentera kerajaan negara itu. Dan sehari sebelum beraksi menentagn Myanmar, satu demonstrasi besar diadakan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur.


Gol keempat: Sikap hipokrit (munafik) kerajaan Malaysia yang kononnya mengetuai gerakan Global Movements of Moderates - kononnya mendukung prinsip kesederhanaan - tetapi tidak bertindak mengikut cara sepatutnya terhadap keganasan ekstremis agama di Myanmar membunuh rakyat Islam mereka sendiri.

Gol kelima: Inilah yang merupakan gol jaringan sendiri! Ia berkait tindakan tidak membenarkan usul mengenai kekejaman ke atas etnik Rohingya dibawa anggota Parlimen Kuala Terengganu untuk dibahas di Dewan Rakyat.

Jika usul kekejaman dan pembunuhan orang Islam di Myanmar dibenarkan dibahas, semua anggota Parlimen boleh menyuarakan pendapat mereka mengenai isu "genocide" yang makin meruncing.

Ini boleh dijadikan asas kukuh untuk Malaysia menarik diri daripada perlawanan tersebut.

Masalah ini semuanya berpunca daripada sikap lemah kerajaan yang tiada polisi luar negara yang baik dan tegas.

Jika isu tuntutan kawasan kita di Laut China Selatan oleh China yang telah ditolak oleh tribunal antarabangsa pun kita membisu, jangan diharap hendak membela orang lain.

Negara sendiri pun tidak terbela!

(Sumber -  Malaysiakini)



Sunday, 17 July 2016

Meraikan Kemenangan Rakyat – Apakah PAS Terengganu Anggap Ia Satu Jenayah?


Yang diraikan adalah kemenangan Rakyat. Bukan kemenangan Kerajaan atau Pembangkang. Tidak ada apa yang perlu sinis di sini kerana saya meraikan rakyat yang menunjukan kesyukuran mereka.”

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membidas kenyataan Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang melabel Pengerusi AMANAH Terengganu itu sebagai individu yang suka mencari publisiti berbanding menjaga kebajikan awam.

Raja Kamarul berpendapat Amzad seorang yang berfikiran sempit membuat dakwaan tersebut.

Apakah  hanya kerana beliau menghadiri majlis kesyukuran peniaga stesen bas Kuala Terengganu bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, ia bertujuan mencari publisiti?

Apa yang PAS lakukan untuk membantu peniaga di terminal bas berkenaan?

“Ini sangat menghairankan ramai pihak kerana PAS yang didakwa sebagai parti yang berdisiplin nampaknya tidak mengambil berat kenyataan timbalan presiden (Tuan Ibrahim).

“Saya sebagai Ahli Parlimen menulis surat bantahan kepada pihak berkuasa. Sebagai wakil rakyat adalah untuk meraikan kemenangan rakyat iaitu peniaga-peniaga yang berjaya menyelamatkan bangunan stesen bas dan perniagaan mereka,’ katanya.

Katanya, tujuan beliau menghadiri majlis itu pun selepas dijemput pihak peniaga stesen bas yang bersyukur dengan ubah suai-rombakan stesen bas telah di batalkan.

“Kalau ibu dan bapa berbalah sekali pun, kalau anak meminta mereka bersama meraikan sesuatu, sudah sepatutnya mereka meraikan permintaan itu


Itulah tanggung jawab dan kematangan. Kalau Pas sering melaungkan politik matang mereka patut faham pekara ini.”

Yang di raikan adalah kemenangan rakyat. Bukan kemenangan kerajaan atau pembangkang,” jawab Raja Kamarul yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam kenyataan kepada FMT.

Justeru beliau meminta pemimpin PAS itu supaya menghormati pandangan dan seruan pemimpin teringginya (Tuan Ibrahim) dan bukan berpolitik sehingga nasib rakyat terbiar.

Amzad sebelum ini memuat naik gambar Raja Kamarul memotong kek bersama Menteri Besar negeri itu dengan menyatakan ia sebagai satu aksi mencari publisiti.

“Pada kebiasannya, saya tidak berhasrat menjawab komen dari anak-anak muda kerana memahami sikap dan kematangan adakalanya tidak memerlukan reaksi. Tetapi kerana diulangi isu yang sama, saya terpanggil untuk memberi respon sekadar menimbulkan kefahaman yang lebih matang kepada pihak berkenaan.
  
“Saya ingin mengulas isu gambar memotong kueh di Majlis Keshukuran Peniaga Stesyen Bas Kuala Terengganu yang dikeluarkan oleh Saudara Haji Amzad Hashim dalam FB beliau pada 14 Julai 2016.

“Gambar Menteri Besar Terengganu dan saya memotong kek di tunjuk berulang kali seolah satu jenayah telah berlaku ! Semua tahu yang majlis dianjur oleh peniaga stesyen Bas tanda kesyukuran rancangan Kerajaan membuat ubah suai Terminal Bas Kuala Terengganu itu telah di batalkan," ujurnya.

Tuan Ibrahim awal minggu ini menyeru parti pembangkang berdamai supaya tidak menghampakan rakyat yang mengharapkan perubahan. Seruan itu disambut baik pemimpin pembangkang yang lain.

Sunday, 26 June 2016

Raja Bahrin - Kenapa Polis Diam Isu 'Kafir Harbi'?


Tidak ada apa yang hendak dihairankan dengan kenyataan mufti Pahang apabila mengistiharkan DAP sebagai kafir harbi, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Kata beliau, ini kerana, sejak tahun lepas lagi, Parti Amanah Negara (AMANAH) membantah kenyataan 'ulama' dari sebuah negeri di utara tanah air yang "menghalalkan darah" mereka yang tidak sehaluan dengan partinya.

Namun, Raja Kamarul berkata, tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa polis ekoran laporan tersebut.

“Nampak gayanya mufti kerajaan negeri Pahang (pimpinan Umno) bebas membuat kenyataan walaupun betapa bahaya kenyataan kafir harbi yang membolehkan yang dituduh di hapuskan.

“Nampaknya ahli PAS yang menjadi penasihat kepada Umno juga kebal dari tindakan dengan kenyataan halal darah terhadap lawan mereka.

“Jadi apa yang hendak dihairankan tindakan mufti dari negeri kerajaan Umno. Bukankah PAS juga menjadi penasihat pada Umno," tanya Raja Kamarul dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang merupakan Mufti Pahang telah menggelar DAP sebagai 'kafir harbi' kerana menentang langkah langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan menerusi pembentangan rang undang-undang anggota persendirian oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan Abdul Rahman ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Menurut Pengerusi AMANAH negeri Terengganu itu lagi, keadaan tersebut berbeza dengan tindakan anggota militan Islamic State (IS) yang membuat ugutan keganasan melalui video dari seberang laut dengan pihak polis memberi amaran keras.

“Apabila mereka yang membuat ugutan dan kenyataan menghasut keselamatan berada di depan mata dalam negara, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sepatutnya,” kata Raja Kamarul.

Justeru, Raja Kamarul mempersoalkan sejauh manakah seriusnya kerajaan dalam perkara sedemikian.

“Adakah kerajaan serius menangani isu extremis agama yang berada didepan mata.

"Adakah kerajaan menunggu insiden yang tidak diingini berlaku sebelum bertindak," tanya beliau.

Friday, 3 June 2016

Pemimpin, Penyokong AMANAH Berakhlak Rendah, Tidak Bermoral?


Parti Amanah Negara (AMANAH) kecewa dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berhubung dakwaan DAP ‘memberi arak’ kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata Nik Abduh tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian berikutan majoriti di dalam AMANAH beragama Islam.

“Istilah ‘memberi arak’ dan ‘mabuk’ memberi gambaran seolah olah kami (AMANAH) dihukum berakhlak rendah dan tidak bermoral.

“Walaupun kata-kata itu dikeluarkan atas rasa marah kepada DAP, ianya tidak harus di keluarkan dalam cara itu. Apatah lagi kita sudah berada diambang bulan ramadhan yang mulia di mana tutur kata lidah patut dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda PAS itu Rabu lalu (1 Jun) mendakwa DAP 'memberi arak' kepada sesetengah bekas ahli PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.

‎Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, DAP sebenarnya sombong sehingga mereka tidak sedar kesombongan sendiri. Katanya, DAP menuduh beliau bersikap sedemikian.

"Saya nak beritahu DAP yang sombong sehingga dia tak tahu dia sombong, sehingga dia kata saya pula sombong. DAP sombong, pertama saya nak tanya dalam c‎erita kita bersama dulu siapa yang mula serang terhadap presiden PAS? DAP.

"Siapa yang memecahkan PAS sampai sesetengah ahli PAS mabuk pindah jadi AMANAH? DAP yang bagi arak sehingga mereka tubuhkan AMANAH. Itu tanda DAP angkuh‎‎," katanya pada sidang media sempena Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu.

Raja Bahrin menasihatkan agar Nik Abduh menjaga nama baik ayahnya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Menjelang Ramadhan yang mulia, pimpinan tertinggi yang berpendidikan agama, tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata tidak sopan sesama Islam.

“Kalau Nik Abduh tidak berhasrat menghormati kami rakan sesama Islam dan Melayu dari AMANAH, sekurang-kurangnya peliharalah nama harum dan baik ayahanda Nik Aziz yang merupakan seorang ulama dan negarawan yang banyak menunjukkan contoh pekerti dan akhlak yang amat mulia,” katanya.

Wednesday, 27 April 2016

Ketua Pembangkang DUN Terengganu 'Tak Ada Telor'?


Oleh  Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu)     
  
Saya tidak membuat ulasan kemelut Terengganu walau beberapa kali ditanya hingga keadaan menjadi lebih tenang. Situasi Terengganu agak lebih kompleks daripada apa yang dijangka.

Pelucutan gelaran kebesaran menteri besar Terengganu walaupun mungkin tidak ada kaitan dengan pergolakan politik tempatan, merupakan situasi terkini yang hangat dialami.

Saya telah mengulas tentang perlunya kerajaan negeri menjadi stabil apabila usul undi tidak percaya dikemukakan di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru baru ini.

Malangnya ada pihak tertentu menempelak cadangan saya supaya pilihan raya negeri diadakan.

Sebenarnya usul undi tidak percaya itu dibenarkan mengikut perlembagaan.

Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri juga diadakan!


Sejak Datuk Seri Ahmad Said digugurkan sebagai menteri besar oleh Datuk Seri Najib Razak, politik Umno Terengganu bergolak hebat.

Dari segi parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak percaya dahulu lagi parah.

Pada masa itu, daripada segi teorinya, Ahmad Said yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" daripada kerajaan kerana menentang parti.

Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk kerajaan berfungsi.
Tumpang masalah pihak lain.

Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri diadakan.

Keadaan bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan situasi kembali tenang buat sementara.

Situasi sekarang antara istana dan menteri besar dan bukan tidak melibatkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi di DUN dengan komposisi 17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran menteri besar yang juga masih daripada BN.

Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia kononnya untuk menghadapi pilihan raya negeri?

Adakah sekadar menumpang atas isu dan masalah pihak lain. Melainkan Umno Terengganu bergolak hebat, semula itulah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini dan jangan emosi.

Jika hendak bertindak, sepatutnya semasa usul undi tidak percaya dahulu.

Memang diakui Umno bergelora di peringkat pusat dengan masalah Najib dengan timbalan, naib serta bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad serta pengikut-pengikut mereka.

Masalah di pusat sudah tentu akan menjejaskan kedudukan menteri besar Terengganu yang dipilih Najib.

Ini semua menyusahkan rakyat Terengganu dan perlu dicari penyelesaian atau diadakan pilihan raya semula.

Rakyat Terengganu yang menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai ringgit Malaysia menjadi mangsa dan menanggung pelbagai derita.

Situasi penuh ketidaktentuan ini harus berakhir demi kesejahteraan rakyat.

Pihak kerajaan dan pembangkang harus memainkan peranan mereka demi masa depan rakyat Terengganu.

Kemelut Umno Terengganu telah lama berlaku dan menjadi lebih ketara selepas Ahmad Said diganti dengan menteri besar sekarang.

“Ramai yang berminat menjadi menteri besar Terengganu, maklumlah bajet tahunan melebihi RM2 bilion setahun dengan penduduk hanya 1 juta berbanding dengan Selangor sekitar RM1.5 billion tetapi penduduk 4.5 juta!

Sangat lumayan habuannya tetapi sejak minyak ditemui 40 tahun dahulu, di Terengganu, rakyat terus menjadi antara tiga negeru termiskin dan kerajaan negeri terus bermewah-mewah.

“Kerana itu Umno negeri terus bergolak merebut kuasa dan kekayaan duit minyak”.

Jika pertukaran menteri besar berlaku, ia belum tentu akan berakhir kerana pergolakan Umno pusat sedang hebat membara!

Kalau pertukaran menteri besar Terengganu juga berlaku, ia hanya akan meredakan keadaan hanya untuk beberapa ketika.


Bukan hanya Terengganu, seluruh negara menghadapi dugaan yang amat hebat.

Sunday, 20 September 2015

Apakah Raja Bahrin Akan Dilaknat Oleh Allah Akibat Bai'ah?


Walaupun isu Bai’ah tidak lagi mahu diperkatakan oleh pemimpin PAS, namun kesan kenyataan pemimpin PAS sebelum ini membuatkan kita menunggu untuk ‘melihat apakah mereka yang keluar PAS dan menyertai Parti Amanah Negara dan PKR benar-benar akan dilaknat Allah s.w.t.’?

Biarpun jauh di sudut hati kecil kita berdoa agar kesemua mereka ‘tidak dilaknat Allah’ namun ‘fatwa’ dan kenyataan keras Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaikan peringatan yang wajar dipandang berat oleh mereka yang sudah dan akan meninggalkan PAS.

Di Terengganu, sudah pasti  semua mata tertumpu kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu - Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Berdasarkan sumpah atau Bai’ahnya, memang Raja Bahrin mengundang dia mendapat bala. Hakikatnya tiada siapa boleh membantunya melainkan dirinya sendiri.

Beberapa pemimpin PAS amat berharap Raja Bahrin tidak dilaknat oleh Allah. Jika pun mahu bergerak di atas landasan politik yang lain, beliau perlu memohon keampunan Allah.

Persoalannya apakah sumpah itu terpakai atau seseorang boleh terlepas apabila melakukan beberapa cara mengatasi Bai’ah jika berlaku perlanggaran seperti yang dilafazkan sebelum ini?

Raja Bahrin baru-baru ini berhujah, individu yang melanggar Bai’ah boleh menebus Bai’ah dengan memerdekakan seorang hamba, memberi makan kepada 10 orang miskin dan berpuasa selama tiga hari.

Tambahnya di dalam Surah Al-Maidah ayat 89, telah dinyatakan secara jelas cara menebus Bai’ah.


Baru-baru ini Hadi sekali lagi memberi ingatan dan mengulangi gesaan supaya wakil rakyat parti itu meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Peringatan keras Hadi dibuat kepada semua calon PAS pada pilihan raya umum lepas melafazkan Bai'ah bersumpah, dan mereka akan dilaknati Allah SWT jika melanggar bai'ah itu.

Menurut Hadi: “PAS sebagai parti Islam membuat bai'ah dengan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, para pemimpinnya dan calon-calon pilihan raya dengan sumpah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi. Semasa berbai'ah, kita sebut sebagai calon Parti Islam Semalaysia (PAS) dan tidak disebut PKR atau DAP. Ini diucapkan setiap calon sama ada yang menang atau kalah.”

Amat nyata,  PAS mewajibkan dalam bai'ah jika dipecat keluar parti, mereka kena letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Adun. Ini disebut dalam bai'ah itu," jelas Abdul Hadi semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai 19 September 2015 lalu.

Hadi berkata gesaannya merujuk kepada tindakan beberapa wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah, parti baharu yang diterajui bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

Apakah kerana peringatan ini beberapa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu takut untuk menyertai Amanah?

Sehingga kini hanya Raja Bahrin yang berani mengisytiharkan dirinya menyertai Amanah dan akan kekal sebagai Ahli Parlimen.

Bukan Hadi sahaja, malah Pesuruhjaya PAS negeri, Satipul Bahri Mamat turut mahukan Raja Bahrin melepaskan kerusi Parlimen Kuala Terengganu Bai’ah yang ditandatanganinya pada 18 April 2013 di Rusila,Marang sebelum PRU 13.

Pada 7 September lalu, Raja Bahrin menegaskan beliau menyertai Amanah dan tidak akan melepaskan kerusi Parlimen yang didudukinya hanya kerana desakan daripada beberapa pihak terutamanya PAS negeri Terengganu.

Katanya, masalah yang timbul hari ini merupakan masalah dalaman parti dan tidak perlu membabitkan rakyat kerana dengan perletakkan jawatan beliau akan menyebabkan pembaziran jika diadakan pemilihan semula melalui pilihan raya.

“Kita (Ahli Parlimen Amanah) tidak akan letak jawatan, dan saya nak kata disini kalau kita ingat masa PRK Kajang dahulu, PAS ada menyebut ia tidak perlu diadakan kerana ianya adalah masalah dalaman PKR iaitu antara PKR dan (Tan Sri) Khalid Ibrahim masa itu.

“Jadi PAS kata tidak perlu PRK, maka sekarang masalah saya dengan PAS bukan masalah dalaman PAS, ini masalah dalaman parti. Jadi tidak perlu PRK kerana melibatkan masalah dalaman, kalau setiap kali ada masalah dalam timbul kena ada PRK, bila masa orang hendak bekerja?,” kata Raja Bahrin.

Justeru beliau meminta PAS  lebih beristiqamah dalam hal seumpama ini kerana jika dahulu berkata demikian maka hari ini juga mereka perlu istiqamah.

Friday, 3 May 2013

Cikgu Zubir, Rakyat Biasa Yang Tawarkan Perkhidmatan Untuk Rakyat

 

Bahagian Ketiga:(Sambungan daripada 'Tok Bomoh PAS’ Yang Akan Musnahkan Pembangunan Kuala Terengganu... & Demi Kuala Terengganu - Wawasan Cikgu Zubir Jauh Lebih Baik Daripada Raja Bahrin) (4 Mei 2013)

Cikgu Zubir mempunyai enam lagi agenda yang mahu diperjuangkannya termasuk menjadikan Kuala Terengganu Bandaraya Bersih dan Aman. Ini sangat penting kerana dengan menjadikan bandaraya ini aman dan bersih, ia akan dikunjungi pelancong selain rakyat di Kuala Terengganu akan semakin selera tinggal di bandaraya ini.

Ikuti apa yang diperjuangkan Cikgu Zubir untuk Kuala Terengganu:

7. HUB RAWATAN & KESIHATAN NEGERI


 Ketika ini Kuala Terengganu mempunyai sebuah hospital kerajaan iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (UniSZA) menempatkan klinik-klinik Pakar, Pejabat Pakar, Dewan Bedah Harian, perpustakaan, auditorium dan beberapa unit kecil selain kompleks Rawatan Harian yang mula beroperasi pada 7 April 2003.

SAYA akan berusaha menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat perubatan penting disamping menggalakkan PELANCONGAN KESIHATAN apabila dua lagi hospital dibina di bandar raya ini. Ini berikutan sebuah sebuah hospital swasta baru bernilai RM200 juta akan dibina di Batu Burok. Hospital pakar milik TDM Berhad yang akan dikenali sebagai Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) itu setinggi lapan tingkat dan dilengkapi 130 katil akan menggantikan KTS di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu. Ia bakal menjadi menjadi sebuah hospital pakar terulung di Bandar Raya Kuala Terengganu di mana berupaya memberi rawatan kepada kira-kira 338,000 penduduk.

Selain itu penduduk Kuala Terengganu juga akan mendapat kemudahan perubatan apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mempunyai hospitalnya sendiri di kawasan seluas 100 hektar di kampus utamnya di Gong Badak.

 Hospital berharga kira-kira RM400 juta itu bakal memberi lebih keselesaan kepada pesakit di Kuala Terengganu, selain daerah lain selain kemudahan untuk pelajar perubatan UniSZA menjalani latihan amali. Pembinaan hospital baru itu juga bakal mengatasi masalah kesesakan di UniSZA dan mempercepatkan rawatan bagi pesakit kronik.  

8. HUB HAJI DAN PELANCONGAN

 

Satu usaha gigih dilakukan Kerajaan Negeri yang SAYA sokong dan dokong ialah menjadikan Kuala Terengganu sebagai Hub Penerbangan Haji dan Pelancongan Pantai Timur. SAYA akan berganding bahu dengan rakan-rakan Exco Kerajaan Negeri serta pegawai Kerajaan Negeri bagi menjadikan bandar raya ini sebagai mesra dan gemar dilawati pelancong dalam negeri dan asing.

Dengan pelbagai tarikan seperti Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Muzium Negeri, Pasar Payang, Pulau Warisan, pantai dan sukan antarabangsa, Kuala Terengganu akan semakin teguh sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Pantai.

Selain itu keupayaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud menguruskan tujuh Penerbangan Haji daripada 10 yang dipohon, akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai Hub Penerbangan Haji Pantai TImur secara terus ke Jeddah dan Madinah. Penerbangan ini tidak termasuk untuk menunaikan Umrah yang turut berlepas secara terus ke Madinah melalui LTSM.  

9 KEMUDAHAN AWAM


 Menjadi harapan SAYA agar Bandar Raya Kuala Terengganu mempunyai sistem pengangkutan dan kemudahan asas bertaraf antarabangsa. Dengan kedudukan Kuala Terengganu yang pesat membangun melalui projek Kuala Terengganu City Center yang dibangunkan oleh ECER, selain serta perumahan, kemudahan meletak kereta, laluan dan kemudahan awam yang semakin tersusun, SAYA yakin kehidupan penduduk di bandar raya menjadi lebih selesa dan sejahtera.

Sebagai bandar raya pentadbiran, pelancongan dan sukan, Kuala Terengganu akan menempuh era pembangunan yang tidak pernah terfikir sebelum ini apabila ia mempunyai kemudahan seperti jambatan angkat (draw bridge) di muara Sungai Terengganu, bangunan tinggi di pesisir pantau selain tarikan lain termasuk menyusuri sungai Terengganu hingga ke Kuala Berang.


SAYA menyokong usaha Kerajaan Negeri membina stesen bas dan teksi baru yang lebih tersusun, jeti untuk pelancong yang lebih menarik selain memperindahkan lagi Dataran Shah Bandar, Taman Warisan dan Pulau Wan Man.

10. MENGEKAL DAN MEMPERKAYAKAN WARISAN KUALA TERENGGANU


Warisan bukan sekadar Pasar Payang. Ia lebih banyak daripada itu! Kuala Terengganu akan mengalami proses pembangunan melalui projek KTCC, BN Terengganu akan menjamin tidak satupun warisan negeri akan dikorbankan.

Sebaliknya Barisan Nasonal (BN) Terengganu akan memperkayakan lagi warisan Kuala Terengganu yang telah lama tertumpu di sekitar kawasan muara Sungai Terengganu sejak berabad-abad lamanya. Bagi menjadikan Kuala Terengganu sebagai KOTA WARISAN, ia akan mengekal dan menggemblengkakan warisan budaya di negeri ini


Bangunan utama KTCC akan menggabungkan warisan seni bina tradisi Terengganu dengan aspek-aspek moden bagi pembinaan premis kediaman dan komersil di kawasan tersebut. Ianya selaras dengan Titah Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar rekabentuk bangunan di negeri ini dikekalkan ciri-ciri warisan.


Adalah menjadi keutamaan bagi SAYA dan BN Kuala Terengganu menyokong dan menjamin semua bangunan, termasuk di Kampung Cina dan KTCC yang akan dibangunkan bercirikan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai (Heritage Waterfront City), yang akan mengekalkan kegemilangan sejarah dan budaya negeri Terengganu. Ini akan melonjakkan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar yang moden, namun masih mengekalkan identitinya yang tersendiri.


11  MELAHIRKAN BELIA YANG BERMORAL, BERDISIPLIN & BERWIBAWA



Sebagai negeri yang mempunyai belia yang aktif dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan dan sukan hingga ke peringkat dunia, SAYA akan menghulurkan tenaga ke arah meramaikan lagi jumlah belia cemerlang di bidang berkenaan.

SAYA berharap, belia Kuala Terengganu akan menjadi model kepada belia di daerah lain dalam pencapaian pendidikan dan sukan. Selain itu, belia Kuala Terengganu juga akan diberikan penerangan dan latihan untuk membentuk belia yang bermoral, berdisiplin dan berwibawa.

Selaras dengan menjadikan kawasan Parlimen Kuala Terengganu Hub Penganjuran Sukan Antarabangsa serta Hub Pelancongan, belia di Kuala Terengganu perlu digerakkan untuk merebut peluang dalam bidang berkaitan khususnya dibang latihan dan pekerajaan disediakan.

Selain membuka ruang untuk mendapatkan pengalaman, belia Kuala Terengganu juga akan dilatih sambil bekerja untuk menjadi tenaga mahir dan professional di masa hadapan. SAYA amat yakin dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan di bandar raya ini, belia Kuala Terengganu akan dapat menjalani latihan yang mencukupi untuk menjadi modal insane serta atlet terkemuka negeri, negara dan dunia.

12 BANDAR RAYA YANG BERSIH DAN AMAN

 
Hasrat SAYA ialah melihat Bandar Raya Kuala Terengganu akan menjadi Bandar Raya Bersih dan Aman dapat diwujudkan untuk kehidupan yang lebih berkualiti. Rakyat di Kuala Terengganu seharusnya disedarkan dan digembeleng untuk sama-sama menjadikan Kuala Terengganu ‘sedap dipandang mata’, selain bebas penyakit yang diakibatkan persekitaran yang kotor dan tidak dijaga rapi.

Pendidikan mengenai KEBERSIHAN akan diterapkan setiap masa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan perlu benganding bahu dengan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) menjayakan usaha ini.

Juga menjadi harapan SAYA, Kuala Terengganu bebas jenayah untuk sebagai sebuah ibu negeri yang aman dan selesa untuk didiami. Jika kebersihan dan keamanan dapat diwujudkan di Parlimen Kuala Terengganu, SAYA yakin bandar raya ini akan dikunjungi pelancong dan penduduknya tinggal dalam suasana yang aman dan harmoni.


Amat nyata, 12 perkara yang disebutkan Cikgu Zubir menggambarkan betapa jauh di sudut hatinya, dia mahukan RAKYAT KUALA TERENGGANU menikmati pembangunan selain  kehidupan mereka pula dalam suasana yang aman dan makmur.

Cikgu Zubir tidak menoleh ke belakang untuk menyalahkan sesiapa jika ada kelemahan sebelum ini tetapi berhasrat memperbaiki apa juga kelemahan yang ada.

Sebagai bekas pendidik, Cikgu Zubir mahu rakyat Kuala Terengganu melalui proses pendidikan masyarakat dalam konteks kepenggunaan, kebersihan, sama-sama menjaga keamanan selain menikmati apa juga kemudahan yang ada.

Ternyata Cikgu Zubir bukan seperti Raja Bahrin yang berjuang kerana amarah, dendam dan merasakan peluang untuknya mendapatkan kontrak semakin tertutup apabila sedar ada arahan daripada PIHAK ATASAN yang akan menyekatnya untuk mengumpul kekayaan di Terengganu.

Malah Cikgu Zubir menginsafi diri bahawa kederat yang ada padanya perlu dipergunakan sebaik-baiknya.

Kerana itu bagi melaksanakan amanah, beliau berikrar: “Saya Meletakkan Diri Saya Lebih Rendah Daripada Tapak Kaki Rakyat. Bukan Untuk Dipijak Tetapi Untuk mengangkat mereka (rakyat) tatkala mereka Tidak Berupaya Untuk Bangkit Sendiri”.

Persoalannya, apakah seseorang yang berketurunan RAJA akan memperjuangkan seperti Cikgu Zubir.

Lantas timbul persoalan:

1. Apakah Raja Bahrin yang hidup dengan dunia glamour dan BERDARJAT sebelum ini mampu menjadi WAKIL RAKYAT sebenar-benarnya?

2. Apakah Raja Bahrin mudah didekati rakyat Kuala Terengganu yang pelbagai golongan dari Yang Kaya hingga kepada yang miskin seperti nelayan, pekerja kontrak, pemandu teksi dan lain-lain?

3. Apakah Raja Bahrin akan ‘membuka pintu rumahnya pada waktu malam’ apabila diketuk oleh rakyat?

4. Apakah Raja Bahrin akan menjadi seperti seperti Khalifah Umar yang menjejaki masalah rakyat sesuai dengan dirinya sebagai YB PAS jika dipilih oleh rakyat?

5. Apakah Raja Bahrin sudah benar-benar menjadi 'pemimpin Islam' sejak beliau menyertai PAS atau sekadar mahu jadi calon pilihan raya?

Dari segi ‘BERSIH’ rasanya Cikgu Zubir belum terpalit apa-apa dan dia banyak jasa kepada ibu bapa, pelajar, guru serta orang ramai ketika berkhidmat dengan kerajaan?

Raja Bahrin? Bacalah sendiri kisahnya.

Langkah pertama KONONNYA untuk berbakti kepada rakyat Kuala Terengganu menempuhi pelbagai masalah terhadapnya akibat KERENAH DIRINYA SENDIRI.

Orang Kuala Terengganu tahu siapa Raja Bahrin dalam kes stadium runtuh dan pelbagai isu lain. Cumanya, rakyat tidak suka memperkatakannya kerana DIA BERDARAH RAJA. Masih ada tanda hormat di kalangan rakyat.

Tetapi kalau Cikgu Zubir berada di tempat Raja Bahrin dan bertanding BN, pasti sudah lama dibongkar dan difitnah.

Pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009, belum apa-apa PAS membuat fitnah kepada Datuk Wan Farid Wan Salleh kononnya berkaraoke dengan gadis muda. Apa bentuk kehidupan Raja Bahrin?

Malah, mereka berkempen awal-awal lagi supaya menolak Wan Farid kerana sukar untuk didekati rakyat kerana BERKETURUNAN BANGSAWAN. Sekarang kenapa PAS membisu dengan Raja Bahrin sebaliknya bangga menggelarkan Raja Bahrin sebagai KERABAT DI RAJA dengan PAS cuba menutup PERBUATAN JAHATNYA terhadap Wan Faridseperti dilakukan pada 2009?

Siapa Raja Bahrin? BANGSAWAN atau APA? Sebenarnya lebih tinggi daripada BANGSAWAN. 

Sedangkan Cikgu Zubir 'seperti Mohd Wahid Endut' pada 2009, iaitu calon RAKYAT yang mahu berjuang untuk RAKYAT KUALA TERENGGANU!