Monday 30 January 2017

Siapa ‘Kontraktor Baik Hati’ Yang Hadiahkan 'Ceiba Chodatii' Kepada MB?


Kecil bagi Kerajaan Negeri, Ahmad Razif atau JKR mengenai isu pokok dari Brazil ini tetapi besar bagi rakyat untuk ketahui ketelusan dan ‘baik hati’ kontraktor yang ‘menghadiahkan’ tiga pokok 'Ceiba Chodatii' itu.
  
Rakyat Terengganu patut bersyukur dan berterima kasih kepada kontraktor utama projek Bandar Baharu Kuala Nerus kerana menghadiahkan tiga pokok 'Ceiba Chodatii'.

Jarang sekali kita temui kontraktor yang baik hati seperti ini. Sudah semestinya kerajaan Terengganu dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif gembira dengan ‘keikhlasan kontraktor’ berkenaan.

Malah, seluruh rakyat Terengganu pastinya bangga dengan kebijaksanaan kerajaan negeri memilih dan memberikan projek kepada kontraktor yang ‘sangat prihatin’ seperti ini.

Mungkin di masa akan datang, perbanyakkan lagi kontraktor baik hati seperti ini di Terengganu untuk mendapat lebih banyak ‘hadiah atau sumbangan’ dalam apa juga bentuk.

Semalam Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menafikan pembelian pokok 'Ceiba Chodatii' yang menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus melibatkan sebarang kos kewangan kerajaan negeri.

Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud menegaskan,  pembelian pokok yang diimport dari Brazil itu ditanggung kontraktor utama projek itu.
 
Ia juga tidak termasuk dalam skop projek.

Baik sungguh hati kontraktor berkenaan, namun ingin juga diketahui siapa kontraktor berkenaan?

Apa kerja yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap kontraktor baik hati itu di Kuala Nerus?

Berapa jumlah atau nilai projek yang diberikan?

Menteri Besar mesti jawab persoalan ini selepas JKR sudah mendedahkan bahawa ia bukan melibatkan wang negeri.

Apakah pokok benang emas Brazil itu dihadiahkan kepada daerah Kuala Nerus atau kepada Menteri Besar yang kebetulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir?
  
JKR semalam meminta  orang ramai tidak lagi membuat sebarang spekulasi liar berhubung isu pokok berkenaan.

Untuk mengelakkan spekulasi liar, Ahmad Razif juga perlu telus  untuk memberitahu untuk apa dan kenapa pokok 'benang sutera' berkenaan dihadiahkan.

Apakah sebagai ‘membalas budi kerana kontrak’ atau memang itu sebahagian perjanjian penawaran kontrak untuk syarikat korporat berkenaan.

Atau ia memang ‘ derma ikhlas’ daripada kontraktor utama projek Bandar Baharu Kuala Nerus.

Isu tiga pokok dari Brazil itu menjadi tular di media sosial selepas ada pihak  mendakwa penanaman tiga batang pokok berkenaan sebagai mercu tanda bandar Kuala Nerus merupakan satu pembaziran kerana difahamkan pokok berkenaan berharga RM180,000 sebatang.

Malah  jika Pergerakan Pemuda UMNO  Terengganu mahu membantu kerajaan negeri dan Menteri Besar untuk nampak telus, cubalah cari jawapan untuk dimaklumkan kepada orang ramai, kontraktor manakah yang ‘baik hati’ itu.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar sepatutnya mencari  jawapan telus terlebih dahulu sebelum menggesa kerajaan negeri supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah berhubung isu pokok berkenaan.

Selepas dikenal pasti syarikat korparat mana yang menghadiahkan pokok berkenaan dan ia memang ‘derma ikhlas’ seperti derma keluarga Diraja Arab dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  maka jika mempunyai asas kukuh, sewajarnya syarikat berkenaan dan kerajaan negeri bolehlah menyaman pihak yang ditakrifkan sebagai ‘pembawa fitnah’.

Malah, jika mahu, Ahmad Razif sendiri pun boleh saman pihak yang menimbulkan isu ini.

Jangan mudah menuduh pihak yang membangkitkan perkara itu sebagai tidak berasas. Malah  dengan saman jangan diharap ia akan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar tidak sewenang wenangnya membuat fitnah menerusi media sosial.

Yang baik ialah Menteri Besar, kerajaan negeri dan juga syarikat korporat berkenaan mengajar erti ketelusan dengan tampil ke hadapan dan menjelaskan kepada rakyat kenapa dan untuk apa  hadiah itu di berikan, selain kenapa di Seberang Takir?

Jika Johari mengharapkan agar kerajaan negeri akan dapat segera memulakan proses undang-undang bagi membawa si pelaku ke muka pengadilan, Johari dan semua pihak terlibat dalam isu 'Ceiba Chodatii' tampil ke hadapan untuk menjelaskannya kepada rakyat secara terbuka.


Kecil bagi Kerajaan Negeri atau Ahmad Razif mengenai isu pokok dari Brazil ini tetapi besar bagi rakyat untuk mengetahui ketelusan dan ‘baik hati’ kontraktor yang ‘menghadiahkan’ tiga pokok 'Ceiba Chodatii' itu.


Ada berani Ahmad Razif, Kerajaan negeri dan JKR sendiri untuk mendedahkannya?

Sunday 29 January 2017

Di Mana PPBM Dalam Konteks Kerjasama Pembangkang Di Terengganu...


Apakah PAS akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) di Terengganu untuk pilihan raya umum akan datang bagi menumbangkan UMNO/Barisan Nasional  (BN)?

Persoalan ini masih berlegar di pemikiran pemimpin tertinggi PPBM di Kuala Lumpur serta kumpulan ‘pemimpin penaja Terengganu’ yang semakin menyerlahkah  wajah-wajah mereka akhir-akhir ini.

Bagi pemimpin PAS, mereka seakan sudah menetapkan pendiriannya – boleh bekerjasama atau PAS bersendirian menempuhi PRU kali ini.

PPBM mempunyai beberapa pilihan untuk bertanding di Terengganu, sama ada berpakat dengan PAS atau Pakatan Harapan (PH).

Memanglah PPBM tidak akan sama sekali berpakat dengan UMNO/BN kerana matlamat penubuhan PPBM ialah menggantikan UMNO/BN di negara ini, termasuk Terenganu.

Apa yang menjadi masalah mengenai kerjasama di Terenganu, seperti juga di pusat ialah kediudukan di mana PAS langsung tidak mahu bekerjasama dengan DAP, juga AMANAH.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menegaskan Jumaat lalu bahawa PAS menolak pelewaan Lim Kit Siang untuk bersama DAP menghadapi BN  pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, selagi pemimpin veteran parti itu bersikap menentang Negara Islam.

DAP tidak menunjukkan sikap positif serta masih menentang Negara Islam, tegas Hadi.

Beliau berkata, ia termasuklah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang DAP tidak bersetuju dengan pindaan tersebut. Lagipun, pelawaan pemimpin veteran DAP itu yang mahu berbaik semula dengan PAS bukan perkara baharu, demikian kata Hadi.

“Dia (DAP) acap kali doh nok berbaik ini, keluar pun acap kali doh. Dia (Lim Kit Siang) tidak ada tunjuk bukti yang dia terima secara positif, dia masih menentang Negara Islam. Termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 pun dia (DAP) tak setuju. Itu ‘benda’ (perkara) yang berkait dengan prinsip, kita kena sedar.

“Sekadar untuk menang pilihan raya? Kita (PAS) bukan nak menang pilihan raya sahaja, kita nak buat perubahan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, kelmarin, mengenai kenyataan Lim Kit Siang mempelawa PAS bersama DAP untuk menghadapi BN, hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa PAS dan DAP mempunyai agenda parti masing-masing selain  PAS tidak boleh bersama dengan mana-mana parti yang bercanggah dengan agenda mendaulatkan Syariat Islam.

“Memang dia (DAP) ada agenda, kita (PAS) pun ada agenda. Kalau agenda bercanggah (dengan Islam) tak bolehlah,” tegasnya.
Berbalik kepada kerjasama pembangkang di Terengganu, ternyata ia masih samar, apa lagi tidak akan berlaku kerjasama PAS dan AMANAH.

Ini sudah pasti. Ini bermakna PPBM sahaja yang boleh menjadi rakan kepada kepada PAS jika ia mahu bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi membentuk kerajaan baru selepas PRU-14.

Persoalannya di mana PPBM di Terengganu ketika ini?

Sudah wujudkah ia? Di mana ia akan bertanding dan bagaimana jentera pilihan rayanya?

Persoalan juga ialah kerjasama yang bagaimana?

Apakah PPBM akan diberikan ruang untuk bertanding di semua kerusi yang dimenangi oleh UMNO?

Untuk rekod, UMNO memenangi 17 kerusi DUN dan empat Parlimen pada PRU-13 sementara PAS menang 14 kerusi selain empat kerusi Parlimen (bagaimanapun Kerusi Parlimen Kuala Terengganu sudah dimiliki oleh AMANAH).

Atau PAS akan memberikan enam hingga lapan kerusi sahaja yang dilihatnya sukar untuk menang, sementara di kerusi yang dijangka dimenanginya (baki kerusi  UMNO) ketika ini akan ditandingi oleh PAS?

Apakah PAS akan menilai kerjasama dengan PPBM sebagai ‘rakan sebenar’ atau ‘ekornya sahaja’ dengan keyakinan PAS akan mendapat sekurang-kurangnya 20 kerusi pada PRU-14?

Banyak persoalan masih berlegar dan yang pasti kemunculan PPBM pada pilihan raya kali ini bukan untuk mencukupkan kuota pertandingan semata-mata.

Ia membawa misi untuk perubahan demi rakyat. Misi membela dan menyelamatkan rakyat!

Gerakan ini sudah pasti melangkaui sekadar menjadi ‘ekor kepada PAS’ sebaliknya sebagai ‘rakan dalam kerajaan negeri’.


Apakah PAS akan bersetuju dengan hasrat PPBM itu atau kerjasama hanya untuk PAS jadikan PPBM sebagai ‘anak tangga’ bagi  menguasai pemerintahan di Terengganu.

Sunday 22 January 2017

Rakyat Terengganu Tolak PAS, UMNO/BN Pada PRU-14?


Benarkah rakyat Terengganu, termasuk orang Cina hanya punyai pilihan antara PAS atau UMNO/Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang?

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat dengan penuh yakin mengatakan demikian dan seolah-olah hanya dua parti itu sahaja yang akan bertanding di Terengganu pada PRU-14.

Bagaimana dengan Pakatan Harapan yang disertai oleh PKR, DAP dan AMANAH?

Apa pula peluang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Apakah pembangkang lain, selain PAS  tidak akan mengambil peluang daripada kelemahan UMNO/BN dan celarunya dasar dan tindak-tanduk pemimpin PAS ketika ini?

Bagaimana Satiful boleh begitu yakin bahawa dua parti itu sahaja akan bertanding?

Apakah rundingan antara PAS dan  PPBM sudah muktamad dan rundingan kerjsama antara mereka gagal?

Kalaupun tidak mungkin bekerjasama dengan PAS, apakaah PPBM akan membiarkan UMO dan PAS bermaharajalela di Terengganu.

Walaupun  ‘nampak tenang’ di pihak PPBM tetapi ia mungkin akan muncul secara tiba-tiba untuk mengejutkan PAS dan UMNO/BN.

Atau apakah PAS merasakan ia sudah tidak perlu bekerjasama dengan pembangkang lain, termasuk PPBM.

Kenyataan Satipul menunjukkan PAS bongkak dan mendahului keadaan pada ketika rundingan PAS-PPBM sedang berlangsung.


Satiful juga jangan perkecilkan peranan PKR dan AMANAH di Terengganu kerana kesombongan PAS mungkin akan menjeratkan dirinya.

Laporan portalrasmi PAS hari ini memetik  Satipul sebagai berkata, rakyat Terengganu termasuk masyarakat Cina hanya ada dua pilihan sama ada mengundi PAS atau BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

“Jika masyarakat Cina di Batu Lima, Dungun ini tidak suka kepada PAS maknanya masyarakat Cina akan sokong UMNO-BN. Jika masyarakat Cina ini pula tolak UMNO-BN, ianya tidak ada parti lain melainkan PAS sahaja.

“Dari dahulu lagi PAS ini berlawan dengan UMNO-BN, jadi tak timbul (dakyah) kata PAS mahu baik dengan UMNO. Jika tidak PAS, UMNO dan jika tidak UMNO, PAS.

“Tahun ini (2017) mungkin akan ada pilihan raya dan di Terengganu ini yang akan berlawan, PAS dengan UMNO(BN) sahaja,” kata beliau  berucap pada Program Sambutan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Batu Lima, Paka, Dungun, Jumaat 20 Januari 2017.

Satiful jangan lupa masa masih panjang dan jangan perkecilkan peranan parti pembangkang lain yang  mungkin akan mendapat sokongan rakyat hasil ‘meluatnya’ mereka dengan PAS dan UMNO/BN.

Juga apa-apa sahaja boleh berlaku. PAS jangan terlalu banggakan diri kononnya ia paling kuat di Terengganu ketika ini.

Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka mengingatkan rakyat seluruhnya agar dapat membuat perubahan pada PRU14 akan datang. Persoaalannya, apakah perubahan itu hanya boleh dilakukan semata-mata melalui PAS?

Bagaimana dengan Pakatan Harapan atau PPBM?

Satiful boleh optimis . PAS boleh yakin dengan kemampuan bahawa ia mampu menang dan kembali memerintah Terengganu buat kali ketiga.

Apakah UMNO/BN juga tidak boleh optimis?

Perlu diingat, PAS dengan RUU dan Akta 355 mungkin akan kekal berkhayal, malah ‘serangan ganasnya’ terhadap DAP boleh memakan dirinya sendiri bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di tempat lain.

Kata Satiful: “Pada pilihan raya akan datang ini dan mungkin tahun ini (2017) pilihan raya, tidak kiralah bila tarikhnya tapi PRU14 ini harap masyarakat rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya kena buat perubahan.

“Insya’Allah, PAS akan memerintah Terengganu Darul Iman buat kali ketiga dengan izin-Nya,” tegasnya dihadapan lebih 300 hadirin.

Itu sekadar harapan Satiful.

Realitinya rakyat  Terengganu termasuk pengundi Cina akan turut melihat kepada pilihan lain, bukan sekadar sama ada  memilih PAS atau Umno-BN.

Benar PAS  telah wujud sejak tahun 1951 lagi dan pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1959 dan 1999.

Bagaimana pula dengan UMNO/BN? Apakah jika berlaku kemunculn terbaru PPBM, ia tidak boleh melakar sejarah yang mengejutkan?


Rakyat Terengganu sudah menolak PAS banyak kali. Buktiknya kemenangan PAS pada  tahun 1999 yang membolehkn Datuk  Seri Abdul Hadi Awang  menjadi Menteri Besar Terengganu pun  tidak kekal lama.

Apakaah orang Cina tidak tolak PAS pada 2004 sehinggakan PAS hanya menang empat (4) kerusi DUN sahaja?

Jika PAS mengatakan masyarakat Cina sudah ada di Terengganu dua kali semasa PAS memerintah negeri pada tahun 1959 dan 1999, bagaimana pula dengan 1964, 1969, 1974,1978 dan seterusnya hingga 1995?

Juga bagaimana dengan 2004, 2008 dan 2013?

Persoalannya ialah, apakah pilihan raya kali ini undi Cina akan berpihak kepada PAS dan bukan UMNO/BN? Atau apakah rakyat, termasuk pengundi Cina akan mngintai pilihan lain?

Mungkinkah mereka akan mencri alternatif dan pilihan itu ialah Pakatan Harapan dan PPBM...

Saturday 14 January 2017

Ahmad Razif, UMNO Sengaja Biarkan PAS Ambil Isu Rakyat???

Ir.Saiful Azmi menerima dokumen, aduan dari pembeli rumah yang teraniaya.
"Apakah 138 pembeli rumah yang gagal disiapkan ini bukan Melayu, Islam dan rakyat Terengganu di bawah naungan pentadbiran UMNO/BN dan Menteri Besar?"

Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sengaja memberi ruang untuk parti pembangkang, khususnya PAS mengkritik pentadbiran negeri dan UMNO/BN.

Dengan menyepi dan tidak memberikan jawapan kepada isu pembeli Rumah Mampu Milik Taman Sri Gemilang Fasa II Kerteh menggambarkan betapa penakut dan dayusnya Ahmad Razif untuk menyelesaikan kemelut.

Usahkan bertemu pembeli atau wakil mereka, menjawab surat pun tidak!

Membuka jalan kepada PAS mengambil alih isu ini akan menjadikan UMNO/BN sebagai parti yang langsung tidak mempedulikan masalah rakyat.

Apakah Ahmad Razif mensabotaj partinya UMNO dan BN apabila membisu dalam isu ini?

Apakah 138 pembeli rumah yang gagal disiapkan ini bukan Melayu, Islam dan rakyat di bawah naungan pentadbiran kerajaan UMNO/BN dan Menteri Besar?

Selaku Menteri Besar, wajarkah Ahmad Razif bertindak begini?

Berikutan itu, PAS mahu Kerajaan Negeri bertanggungjawab bagi menyelesaikan kemelut ini.

Laporan teganukini 20 Januari 2017
Ketua Pemuda PAS DUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, pentadbiran Ahmad Razif perlu mengambil inisiatif tersebut kerana Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) yang melantik pemaju terbabit.

Blog ini pada 10 Januari lalu menyebut bahawa  Ahmad Razif seperti buat pekak telinga dan membutakan matanya kepada rintihan 138 pembeli rumah mampu milik berkenaan.

Walaupun Jawatankuasa Bertindak sudah menghantar surat kepada beliau  pada bulan April 2016 meminta dibuat siasatan dan tindakan sewajarnya, malangnya hingga kini tiada apa-apa jawapan.

Apakah ini cara Pejabat Menteri Besar dan Ahmad Razif berurusan dengan rakyat?

Susulan daripada berita kemelut pembeli Rumah Mampu Milik Taman Sri Gemilang Fasa II Kerteh yang disiarkan dalam laman portal www.buletinonline.net baru-baru ini, Ir Saiful mencadangkan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menyelesaikan kemelut tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, seorang dariapada pembeli rumah tersebut telah berjumpa dengan beliau dan meluahkan kekecewaannya dengan masalah yang dihadapinay, dan mohon jasa baik PAS umtuk membantunya.

Laporan BuletinOnline 13 Januari 2017.
Sehubungan itu, Ir Saiful Azmi berkata, beliau telah mengatur satu pertemuan diantara sebahagian pembeli rumah tersebut dengan pihak Lujnah Udang Undang & Hak Asasi (LUHAM) dari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil.

“Pemuda PAS DUN Kemasik juga menggunakan media sosial untuk mengenengahkan isu tersebut dengan harapan dapat membuka mata pihak terbabit tampil ke depan dan menyelesaikannya,” ujarnya lagi.

Beliau sangat simpati dengan nasib pembeli rumah itu kerana ada diantara mereka yang telah berhutang, menggadai barang kemas dan meminjam wang untuk membayar wang pendahuluan rumah, projek yang tergandala itu.

“Seorang pembeli memaklumkan telah menggadaikan barang kemasnya bagi mendapatkan wang tunai untuk menyelesaikan wang pendahuluan tersebut,”kata beliau.

Justeru, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman itu berjanji akan terus bersama para pembeli untuk menuntut keadilan dan hak mereka.

“Atas nama sesama orang Melayu dan Islam, sesuatu kemungkaran itu wajib dicegah, saya memberikan komitmen saya untuk sama-sama berjuang dengan mereka yang teraniaya, bagi menuntut keadilan,”tambahnya.

Berkaitan dengan kemelut ini Jawatankuasa Bertindak yang mewakili penduduk baru-baru ini mengadakan mengadakan pertemuan dengan Anggota Lujnah Undang – Undang dan Hak Asasi (LUHAM), Badan Perhubungan PAS Negeri, Kamaruzzaman A Wahab selaku Ketua Lujnah untuk mendapat nasihat dari sudut perundangan.

LUHAM berjanji berusaha supaya wang pendahuluan di bayar balik berserta ganti rugi kerana melanggar perjanjian dengan pembeli.

Sebahagian daripada pembeli rumah yang kini terbengkalai.

Thursday 12 January 2017

Benarkah Di Terengganu, ‘Murid Cerdik, Cik Gu Bodoh’ ???

 

Siri PERTAMA -  UMRAH GURU

Kes penipuan ‘umrah guru’ yang diperkatakan dengan meluas di Terengganu akhir-akhir ini sebenarnya memperlihatkan perlunya suatu bentuk perjuangan pembelaan demi membantu GURU-GURU dan semua yang ‘kena tipu’.

Melihat bagaimana guru-guru mudah ditipu dan seolah-olah ‘bodoh’ kerana mudah ditipu, maka tidak pelik jika ada pihak tertentu mengatakan di Terengganu ini ‘Murid Cerdik, Guru Bodoh’.

Murid tidak ikut pun guru ‘kencing berdiri’ tetapi merasakan guru mereka ada yang seperti ‘ketam mengajar bagaimana untuk berjalan betul’.

Kenapa jadi begini dan kenapa dikatakan begini?

Bukan mahu merendah-rendahkan guru di Terengganu yang bertungkus lumus mengajar dan memberikan ilmu yang baik kepada murid mereka hingga pencapaian cemerland pelajar Terengganu dalam apa juga peperiksaan.

Dengan kejayaan murid Terengganu yang setiap tahun mendapat keputusan cemerlang, agak pelik apabila guru-guru dengan mudah ‘ditipu’ oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan – Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBKT) – dengan menyerahkan wang dan dijanjikan tajaan untuk menunaikan umrah.

Benarkah guru-guru ‘bodoh’ dan mudah ditipu dengan mudah?

Tidak sama sekali.

Guru-guru adalah manusia terpilih yang kerjaya mereka suci bersih. Mendidik anak bangsa supaya menjadi rakyat yang bijak, cemerlang dan berintegriti.

Begitulah juga di kalangan hampir 5,000 orang yang dilaporkan ditipu oleh pihak yang kononnya mahu menguruskan pakej umrah ini.


Kalangan guru dan pak-pak cik, mak cik , atok dan nenek-nenek menyerahkan wang mereka sebanyak RM3,990 pula ditaja.

Lebih meyakinkan peserta umrah kerana ia mendapat restu PEJABAT PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU (JPNT).

Memang JPNT terlibat kerana ada dokumen dan personaliti tertentu terbabit secara langsung. Jika tidak polis tidak akan mengambil dua kakitangan penting JPNT untuk disoalsiasat.

Dalam istilah korporat dan undang-undang, mereka yang menyerahkan wang itu memang berniat baik, penuh kepercayaan dan penuh ‘SUCI HATI’. Diulangi, dengan penuh SUCI HATI.

Bermakna, kalau tidak dikempen dan seolah-olah ada jaminan kerajaan (JPNT itu apa?) mereka mengeluarkan wang dari tabung, korek bantal atau keluarkan daripada nak untuk membayar pendahuluan sebanyak RM3,000.

Namun malangnya kepercayaan mereka, niat baik mereka dan ‘suci hati’ mereka dikhianati oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Blog ini tidak mahu menghukum atau menamakan siapa pengkhianat kepada guru dan penyumbang yang berniat menunaikan umrah itu.

Tidak adil menghukum sesiapa, termasuk individu  lagipun siasatan polis sedang dilakukan.
Namun sehingga kini, yang diketahui ialah YPKT menjalankan kerja mereka mengutip tabungan melalui persetujuan dan galakan JPNT.

Penipuan ini memilu dan memalukan.

Bagaimana insan mulia sebegini boleh dijadikan alat oleh mereka yang rakus dan tamak.
Isunya sekarang, siapa mempertahan dan membela guru-guru selepas duit mereka lesap dan umrah tidak dapat ditunaikan?

Apabila menyebut kerjasama JPNT, bermakna kalaupun bukan 100 peratus JPNT terbabit tetapi ia sudah menjadi sebahagian program kerajaan.

Bermakna JPNT perlu bertanggungjawab. Kalaupun tidak dapat menjamin penabung dapat tunaikan umrah, setidak-tidaknya RM3,000 itu dipulangkan.

Malah, JPT perlu meminta maaf kepada guru-guru kerana kegagalan ini kerana mereka terlibat sama, tetapi usahkan meminta maaf, nampak sangat cuba lepas tangan.
Kerajaan negeri pula apa yang diharapkan?

Kenyataan Menteri Besar yang tidak kena mengena dengan penajaan ini terus ‘menggelapkan harapan’ penyumbang yang terdiri ramai daripada guru-guru untuk mendapat pembelaan.

Sewajarnya kerajaan negeri tidak ‘lepas tangan’ kerana banyak program YBNT juga engadakan program dengan Yayasan Terengganu, yang menjadi salah satu daripada agensi penting kerajaan negeri.

Namun kepada siapa mahu diharapkan?

Kementerian Pelajaran yang mendapat aduan daripada mereka yang teraninya juga bersikap mendiamkan diri.

Mungkin mahu membela JPNT dan menganggap jabatan itu ‘bersih dan bebas’ daripada kes penipuan ini.

Ironinya, guru-guru yang menyokong kerajaan selama ini bagaikan tiada harga – low class – bagi pemimpin UMNO negeri, termasuk kalangan muda apabila membisu seribu bahasa.

Mujurlah dalam kesepian sokongan itu, muncul Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar, Azam Ismail membuat kenyataan membela guru yang teranianya ini dengan menyebut Kerajaan Terengganu mesti bertanggungjawab terhadap kerugian 4,800 orang peserta ekoran dakwaan kes penipuan umrah itu.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu mempersoalkan bagaimana YBNT boleh diberi kepercayaan mengendalikan umrah yang didakwanya tidak cukup syarat pengendalian.

Malah, ADUN Bandar itu mendakwa badan itu membelakangkan fungsi pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

Kenyataan Azan itu menggambarkan bagaimana kes guru yang dianianya ini langsung tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa, khususnya pemimpin UMNO, kerajaan negeri serta Kementerian Pelajaran sendiri.

Lantas timbul pertanyaan, siapa dan bagaimana penipuan ini boleh terjadi?

Juga siapa di belakang mereka?

Ikuti ulasan seterusnya dalam SIRI KEDUA  nanti.

AMANAH Bimbang China Pengaruhi Keputusan PRU14


Komentar oleh Datuk Raja Bahrin Shah
(Ahli Parlimen Kuala Terengganu)

Pihak pembangkang telah dituduh bersikap anti Negara China kerana pendirian kita menyoal pelaburan dan cara kontrak dirunding dengan mereka. Sebenarnya isu ini sengaja dikelirukan.

Kami bukan anti Negara China tetapi kami anti monopoli ekonomi mana-mana negara dan kebergantungan tinggi Malaysia kepada negara tersebut. Umno dan BN berjinak dengan Negara China kerana wangnya dan manfaat yang berkaitan dengannya untuk terus kekal berkuasa selepas PRU yang akan datang walaupun risikonya tinggi kepada kedaulatan negara kita.

Motif ini mesti kita faham.

Sekarang ini pun, Malaysia telah menunjukan sikap terlalu tunduk kepada kuasa besar China dengan menyepi di Parlimen, isu kapal peronda China mencerobohi perairan Malaysia Timur dan juga keputusan Tribunal antarabangsa di Hague yang telah menolak tuntutan Negara China di perairan Laut China Selatan.

Malahan cadangan Negara ASEAN lain untuk menyokong keputusan Tribunal Hague tidak dipersetujui oleh Malaysia. Dalam masa yang sama Kerajaan Malaysia telah persetujui untuk membenarkan Syarikat dari Negara China membina serta menyerahkan pengurusan pelabuhan di Kuantan, Melaka, Johor Bharu dan Bagan Datoh.

Projek Keretapi Pantai Timur berharga RM 55 Billion juga akan diserahkan kepada syarikat Negara China. Inilah monopoli dan kebergantungan kepada Negara China yang dibantah oleh kami. Negara Afrika yang bergantung kepada Negara China telah mengalami masalah tersendiri mereka.

Apabila sebuah negara atau pemimpin terlalu banyak mempunyai kebergantungan ekonomi serta kewangan daripada negara lain, soal kedaulatan negara tersebut akan dipersoal.
Apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menunjukkan kecenderungan yang terlalu rapat dengan pimpinan Negara China Komunis, banyak tanda tanya telah timbul tentang kebijaksanaannya.

Presiden baru kuasa besar Amerika, Donald Trump, pun telah disoal tentang kecenderungan dan hubungan yang terlalu rapat dengan Presiden Putin dan Negara Russia.

Penglibatan anak Trump dan penyokong kuatnya, Rex Tillerson, yang ada kaitan perniagaan dengan Russia juga dipersoalkan.

Anak Najib juga telah menyertai rombongan bersama ahli perniagaan pada kunjungan Najib ke Negara China sementara Jho Low, sahabat akrab anak Najib, yang dicari oleh pihak berkuasa Amerika kerana isu 1MDB, juga dipercayai berada di negara China.

Yang menjadi kebimbangan rakyat Amerika adalah pengaruh dan tekanan politik dan komersial yang akan dikenakan oleh Russia ke atas Donald Trump dengan hubungan yang ada.

Begitu jugalah kekhuatiran kami rakyat Malaysia seperti juga di Amerika dimana pengaruh Russia dipercayai telah membantu Trump menang. Rakyat Malaysia juga khuatiri pelaburan besar, kontrak serta wang Negara China akan mempengaruhi keputusan PRU14 untuk memenangkan Najib dan BN.

Dimanakah kedaulatan negara kita untuk memilih pemimpin secara bebas dan adil tanpa pengaruh luar? Selepas pihak tertentu menang, apakah tuntutan dari kuasa luar yang telah mempengaruhi keputusan PRU?

Kebimbangan rakyat Amerika terhadap Russia sekarang akan dialami juga oleh rakyat Malaysia terhadap kuasa besar Negara China dan Perdana Menteri, BN jika dipilih pada PRU14.

Kerana itulah kami hari ini membantah monopoli komersial dan kebergantungan yang amat tinggi Malaysia kepada Negara China. Bukan kerana ianya Negara China, tetapi kerana ianya melibatkan kedaulatan Negara Malaysia memilih pemimpin tanpa pengaruh luar dan selepas PRU14 untuk kita bebas membuat keputusan sendiri tampa apa- apa tekanan luar.
Itulah kedaulatan yang kami berhak miliki sebagai sebuah Negara yang betul-betul Merdeka.


12 Januari 2017

Wednesday 11 January 2017

Umrah Tipu- Apakah Pegawai Pelajaran Negeri Akan Dikenakan Tindakan?

ROSLI AB. RAHMAN (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan kes disyaki penipuan pakej umrah oleh Yayasan Bakti Negara Terengganu ketika sidang akhbar di IPK Terengganu di Kuala Terengganu, 29 Disember lalu.
Isu penipuan ‘pakej umrah guru’ semakin menarik.

Terkini polis Terengganu sudah memanggil Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bersama seorang lagi pegawainya bagi membantu siasatan berhubung penipuan pakej umrah yang melibatkan guru di negeri ini.

Percakapan pengarah berkenaan, Shafruddin Ali Hussin dan pegawainya direkodkan oleh polis tiga hari lalu.

Ada dakwaan mengatakan JPNT bersekongkol dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 'berkempen' melalui satu surat diedarkan kepada guru-guru.

Apakah akan ada tindakan susulan siasatan terhadap pengarah berkenaan?


Polis Terengganu dalam menjalankan siasatan terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT), turut menerima bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Ia  bagi mengesan transaksi aliran wang serta aset yang diperolehi daripada suspek

Kesemua suspek kini masih dalam tahanan reman bersabit laporan penipuan pakej yang sama dilaporkan di beberapa daerah lain di negeri ini.

Setakat ini polis Terengganu menerima lebih 200 laporan berhubung penipuan YPNT itu di beberapa daerah di Terengganu termasuk Besut, Kuala Terengganu dan Marang.

 Pada 3 Januari lalu, Polis Besut berkata lebih ramai mangsa penipuan pakej umrah yang diuruskan YBNT dijangka tampil membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata sehingga kini pihaknya telah menerima 40 laporan berhubung kes penipuan itu yang melibatkan 4,000 mangsa dengan nilai wang kutipan sebanyak RM14.2 juta sejak 21 Nov lepas.

Menurut Mohd Zamri, pihaknya mendapati ramai mangsa tampil membuat laporan selepas tersebarnya berita dua suspek terlibat dengan kes tersebut ditahan minggu lepas.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Ia melibatkan 4,800 orang mangsa kerugian berjumlah kira-kira RM14.2 juta. 

Ekoran laporan itu, pada 27 Disember lepas dua orang individu iaitu pengarah dan akauntan NGO berkenaan ditahan reman bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman pada sidang media hari ini berkata: "Kita juga menerima bantuan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mengesan transaksi aliran wang serta aset yang diperolehi daripad suspek.

Blog ini pada  27 Disember 2016  lalu mengemukakan pertanyaan apa kedudukan JPNT dlam penyiasatan polis apabila ia ternyata  bekerjasama menaja pakej itu, malah turut berkempen guru-guru agar menyertai pakej umarah tajaan YBKT?

Apakah mereka ‘bebas daripada siasatan dan tindakan’ pada ketika ramai guru yang teraninaya akibat kerjasama itu?

Blog ini menganggap kegagalan YBNT dengan kerjasama JPNT dalam penganjuran pakej umrah itu  membuka mata dan menimbulkan banyak persoalan, apalagi Kerajaan Negeri pernah menolak untuk bekerjasama dengannnya.


Dengan tajuk laporan Pakej Umrah Gagal - Kenapa Hanya YBNT, Tidak JPNT, Pengarah DiSiasat? turut merasa pelik apabila Facebook YBNT sudah dipadamkan di mana maklumat serta gambar yang dipaparkan mengenai kegiatannya selama ini turut dipadamkan.

Pada awal November lalu, wujud viral mengatakan NGO  itu melalui kerjasama dengan JPNT gagal menghantar sebilangan besar guru-guru menunaikan umrah dan disyaki berlaku penipuan.

Berikutan itu, blog ini menyiarkan keresahan guru-guru dan mengemukakan pertanyaan bagaimana JPNT beria-ia turut bekerjasama dengan YBNT dan apa tindakan jabatan itu untuk membela guru-guru yang teranianya?

Blog ini turut mengemukakan pertanyaan, apakah JPNT terlibat kerana ada tuduhan mengenainya yang merupakan tuduhan berat.

“Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini. “ demikian laporan blog ini.

Malah ada dakwaan bahawa ada  peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini turut membabitkan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini diketahui umum dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan YBKT apabila kempen-kempen yang memaklumkan pakej ini kepada guru-guru pada Ramadan lalu dibuat melalui satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT.


Tuesday 10 January 2017

Macam Mana Rakyat Tidak Marah Kepada MB, Kerajaan BN Negeri...

 

Jangan salahkan rakyat jika muak dan marah dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman seperti buat pekak telinga dan membutakan matanya kepada rintihan 138 pembeli rumah mampu milik Taman Seri Gemilang Fasa II Kerteh.

Jawatankuasa Bertindak sudah menghantar surat kepada beliau  pada bulan April 2016 meminta dibuat siasatan dan tindakan sewajarnya.

Tetapi malangnya hingga kini tiada apa-apa jawapan.

Apakah ini cara Pejabat Menteri Besar dan Ahmad Razif berurusan dengan rakyat?

Jangan pula jawap surat hilang atau tidak sampai ke meja beliau. Alasan yang berulang kali seperti ini diberikan sebelum ini,  akan menambahkan lagi kemarahan rakyat.

Kini pembeli hanya mampu melihat dan menggeleng kepala dengan sikap kerajaan negeri yang tidak memberikan jawapan kepada pertanyaan pembeli berkenaan.

Ini projek kerajaan negeri dan walaupun ia mungkin diluluskan ketika Menteri Besar sebelum ini tetapi sebagai penyambung tugas berkenaan, Menteri Besar jangan lepas tangan.

Kesinambungan pentadbiran oleh kerajaan BN perlu ditunjukkan dan jika ada masalah atau penyelewengan, ambil tindakan sewajarnya.

Membisu seribu bahasa memang menyebabkan rakyat 'hangin' dan membuat berbagai tanggapan. Siapa rugi? Pastinya UMNO - BNlah.

Projek penswastaan perumahan itu adalah antara Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu bersama pemaju swasta dan setakat ini hanya tiang-tiang sahaja yang berdiri.

Pembeli menerima surat tawaran daripada  syarikat MF Teknik Sdn. Bhd. pada tahun 2011 dengan harga jualan RM68,000.00.

Pembeli membayar wang pendahaluan sekitar RM8,000 dan kini sudah masuk tahun 2017, di manaselama enam tahun berlalu, rumah tersebut terbengkalai.

Antara pembeli yang kecewa.
Berikutan itu pembeli menuntut keadilan dari Menteri Besar agar campur tangan dan membantu mennyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

Ahmad Razif kena ambil perhatian kerana majoriti pembeli rumah berkenaan adalah daripada  golongan berpendapatan rendah, yang mengharapkan rumah itu dapat menjadi ‘rempat beteduh’ meraka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Mohd Rozik Daud berkata, sebagai rakyat, dan pembeli rumah itu, beliau sangat terkilan dan rasa tertipu dengan keadaan yang berlaku.

“Kami bersepakat menubuhkan Jawatankuasa Bertindak dimana saya telah dilantik sebagai jurucakap untuk menuntut keadilan dan hak kami sebagai pembeli,”kata beliau kepada Buletin Online.

Jangan marah kalau mereka mengadu kepada parti lawan kerana UMNO-BN jelas tidak mempedulikan nasib malang mereka. Memalukan ia diakibatkan oleh pentadbiran kerajaan BN.


Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan antaranya membuat laporan Polis terhadap syarikat pemaju, SE Purnama Development Sdn Bhd.

Beliau dimaklumkan, Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengarahkan pemaju membayar balik wang pendahuluan.

Namun sehingga ke hari ini tiada apapun yang dibuat oleh pemaju, selain rumah tidak siap, mereka tidak mendapat pulangan walau se sen pun.

Malang sungguh nasib mereka apabila Pejabat Menteri Besar turut berdiam diri yang tidak diketahui punca mengapa.

“Malang sungguh sehingga kini………tiada apa-apa jawapan daripada  Menteri Besar,”ujarnya kesal.

Jawatankuasa berkenaan turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri merangkap ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman (gambar kanan).

“Sehingga kini juga kami masih menunggu……..dan masih menunggu maklumbalas,”kata beliau lagii.

Mohd Rozik menegaskan, pembeli sudah muak dengan keputusan dan janji pelbagai pihak setelah lebih 6 tahun menunggu rumah tersebut siap.

Justeru itu, pihaknya telah telah mengadakan pertemuan dengan Anggota Lujnah Undang – Undang dan Hak Asasi (LUHAM), Badan Perhubungan PAS Negeri, Kamaruzzaman A Wahab selaku Ketua Lujnah untuk mendapat nasihat dari sudut perundangan.

Kamaruzzaman (gambar kiri) mengesahkan, pihaknya telah berjumpa dengan kumpulan berkenaan di mana perjumpaan kali pertama adalah pada 20 Disember lalu dan yang kedua pada Ahad 8 Januari, 2017.

“Projek Rumah Mampu adalah projek yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan swasta diberikan mandat untuk pembinaannya.

“Syarikat tersebut sudah ambil duit daripada  pembeli tapi rumah tak siap-siap……. LUHAM dalam proses memulakan tindakan kepad syarikat tersebut…….Kita sedang kumpul semua pembeli,”ujarnya.

LUHAM akan berusaha supaya wang pendahuluan di bayar balik berserta ganti rugi kerana melanggar perjanjian dengan pembeli.

Ini antara sikap Pejabat Menteri Besar Terengganu hari ini yang melaung-laungkan Transformasi Terengganu Baharu tetapi cara mentadbir negeri masih tidak berpihak kepada rakyat.

Monday 2 January 2017

Kantong Kewangan Kerajaan UMNO-BN ‘Parah’, Sila Jawab Ahmad Razif...


Sejak lebih setahun lalu, kedudukan kewangan negeri Terengganu dikatakan goyah, malah ada ketika di peringkat kritikal.

Kerajaan negeri berusaha ‘menyorok kedudukan ini’, namun kenyataan pemimpin pembangkang, khususnya PAS begitu lantang.

Pemimpin kerajaan khususnya di kalangan EXCO dan pegawai kerajaan negeri 'membisu' seolah-olah mengiakan sahaja dakwaan pembangkang itu.

Kerajaan negeri pada  25 Ogos 2016 lalu bersempena dengan pertukaran seramai 52 pegawai dalam rombakan pentadbiran negeri yang berkuat kuasa 5 September menyebut ia engan me­ngambil kira aspek ke­kananan, prestasi dan kesesuaian jawatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, bekas Pegawai kewangan Negeri berharap melalui perubahan itu akan melonjak semangat baharu, membentuk satu gerakan bersama membawa perubahan ke arah meningkatkan kualiti pentadbiran negeri dan perkhidmatan untuk rakyat.

Sebelum itu Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengumumkan penstrukturan semula portfolio anggota mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas

Penstrukturan berkenaan yang berkuat kuasa 1 Ogos bagaimanapun tidak menampakkan kedinamikan mengubah kedudukan kewangan negeri yang tenat sebaliknya lebih kepada ‘pembolotan kuasa’ melalui penyusunan semula anggota EXCOnya oleh Ahmad Razif bagi kepentingan tertentu.

Persoalan tetap berlegar, apakah kesan segera daripada  segi kantong kerajaan negeri dan bagaimana pengurusannya selepas dua langkah ini?

Persoalan mengenai kantong kewangan negeri yang ‘kering’ banyak diperkatakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di ceramah PAS, umpamanya pada 14 Mac  lalu di mana kedudukan kewangan negeri dikatakan goyah, yang dibimbangi berkemungkinan daripada tiadanya perancangan kewangan yang baik sebelum ini.

Beberapa soalan bertulis daripada wakil rakyat PAS telah ditolak dan ada juga yang dijawab tetapi jawapan itu meninggalkan beberapa persoalan lain terhadap kedudukan kewangan negeri.

Antara soalan yang ditolak ialah jumlah hutang kerajaan negeri, pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah di Kampung Pasir Putih Mercang, peruntukan projek-projek yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri dan pusat, rancangan bantuan kerajaan kepada pengusaha IKS kerana kegawatan ekonomi serta berapa kos lawatan Menteri Besar dan EXCO ke Mesir.

Kegagalan kerajaan untuk menjawab persoalan-persoalan ini, memberikan impak negatif kepada rakyat kerana itu semua melibatkan kewangan negeri iaitu wang rakyat Terengganu.

Manakala antara jawapan tulus ikhlas kerajaan pula ialah kerajaan hanya akan membaiki kerosakan Dewan Sivik Buluh Gading yang bernilai RM400 ribu yang rosak itu, sekiranya kewangan kerajaan sudah stabil.

Sekiranya sudah stabil, bayangkanlah hanya RM400,000 sahaja..

Dan terbaru, Pas mendakwa kedudukan kewangan kerajaan UMNO-BN parah sehinggakan rakyat yang sepatutnya mendapat kemudahan rawatan perubatan percuma, dipaksa menanggung beban tersebut.

Laporan media rasmi PAS, BuletionOnline semalam (2 Januari 20167) memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang  kesal kerana, para rakyat yang ingin mencuci luka di hospital akibat kencing manis atau kemalangan terpaksa membeli ubat sendiri, kerana tiada stok ubat tersebut di hospital.

Ini membuktikan kebenaran kebimbangan PAS bahawa kewangan kerajaan UMNO dan BN yang ‘parah’, sangat serius sehinggakan rakyat yang sepatutnya mendapat kemudahan rawatan perubatan percuma, dipaksa menanggung beban tersebut.

“Pelik, rawatan hospital cuci luka  tapi bawak ubat sendiri, peruntukan ke mana dibelanjakan, “(sedangkan) Tabung Darul Iman dalam Bajet 2013 dulu pesakit kronik (ada peruntukan) RM10 juta,”soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap  kepada orang ramai pada program ‘Street Dakwah’ anjuran Ameerah Kawasan Dungun, di Taman Permainan Kanak-Kanak Pantai Teluk Lipat Dungun pada Jumaat 30 Disember lalu.

Katanya,  kemudahan kewangan dari Tabung Darul Iman yang ditubuhkan semasa PAS menjadi kerajaan negeri perlu di hebahkan kepada mesyarakat dan mereka yang memerlukannya boleh membuat permohonan.

“Tabung Darul Iman untuk sakit kronik seperti (sakit) jantung, (perubatan melibatkan) proses pembedahan yang melibatkan belanja besar,

“JKKK kena maklum……kena umum di masjid supaya, masyarakat tahu tempat rujukan, masyarakat kena ambil peluang untuk (mendapat bantuan) rawatan tersebut,”jelas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun.

Apa yang disebutkan oleh Alias ini memperkukuhkan dakwaan PAS Mac lalu bahawa pada satu soalan lisan oleh ADUN Bukit Payung, menjawab bahawa pihaknya merancang untuk meminta syarikat GLC negeri bagi menaja beberapa orang pelajar kesan daripada kegawatan yang berlaku.

Kerajaan turut mengakui kegagalan mengagihkan wang saraan kepada pelajar-pelajar yang sepatutnya telah menerimanya pada Januari lalu.

Walaupun pada 12 Januari tahun lalu, MB berjanji akan menyegerakan bantuan kepada pelajar-pelajar luar negara dengan jumlah bantuan sebanyak RM 1 juta kepada mereka yang tidak mendapat mana-mana pinjaman, tidak diketahui sejauh mana perkara itu sudah diselesaikan.

Isunya jika ketika itu yang mendapat  pinjamanpun belum menerimanya, bagaimanapun pula dengan yang berbelanja sendiri.

Dengan kedudukan mata wang Ringgit merudum, isu ini nampaknya sangat dekat dengan rakyat khususnya pelajar dan ibu bapa mereka.

dapat, macamana dengan yang tak dapat?

Semua itu dikatakan menjadi tanda-tanda kegoyahan kedudukan kewangan negeri yang boleh dianggap sebagai ‘tidak sedap duduk’. Kita faham akan keadaan ini disebabkan oleh keadaan ekonomi dunia dan Terengganu yang begitu bersandarkan kepada hasil minyak, teruk terpukul dengan keadaan semasa.

“Nak mengharapkan hasil industri zoo menggantikan hasil petroleum, nampaknya tinggal menjadi bahan ketawa orang,” demikian ulasan BuletinOnline.

Namun, sebelum menyalahkan keadaan ekonomi dunia, rakyat diminta membuat sedikit tinjauan mengenai beberapa perkara.

Dalam satu laporan berita awal Januari  tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menangguhkan projek-projek mega di negeri Terengganu yang mana bagi mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan.

Akan tetapi sehingga kini, Ahmad Razif  gagal mengumumkan, projek mega manakah yang ditangguhkan.


Projek Pulau Bebas Cukai Kenyir akan diteruskan menggunakan bajet 2016 yang telah diluluskan , Projek Pembinaan Semula Pasar Payang RM76 juta sedang dalam peringkat akhir mendokumentasikan tender, T-Team atau Terengganu FC masih diberikan RM3 juta.

Projek laluan bertingkat masuk ke kampong Menteri besar di Seberang Takir, kelihatannya terus berjalan, Draw Bridge di muara Sungai Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu dan kampung MB kita di Seberang Takir pula setakat ini tiada kenyataan rasmi akan ditangguhkan.

Tetapi status terkini hutang negeri dengan pusat tidak didedahkan, pendapatan negeri tahun ini merosot sehingga 30 peratus.

Apa yang rakyat fikirkan agaknya? Dan semua projek yang saya sebut tadi, adalah projek mega di Terengganu.

Jadi, dimanakah lagi projek yang dikatakan mega yang akan ditangguhkan?

Atau adakah ini semua projek yang menguntungkan pihak tertentu yang mahu tidak mahu, mesti dilaksanakan juga sebelum sesuatu yang terjadi kepada kedudukan seseorang?

Tidak dinafikan, kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah penjimatan bagi menghadapi keadaan yang dijangka agak kritikal ini.

Namun kelihatannya yang kena berjimat cermat ialah agensi-agensi kerajaan dan juga rakyat jelata yang menerima bantuan, manakala kerajaan tetap dengan agenda mereka, meneruskan projek-projek mega yang telah mereka jalankan.

Langkah sumbang ini tidak membantu kedudukan kewangan negeri kerana projek-projek mega inilah yang menjadi penyebab kepada ketirisan kewangan negeri secara besar-besaran.

Apabila begini tindakan kerajaan, ianya kelihatan seperti rakyat dan agensi kerajaanlah sebagai penyebab kewangan negeri menjadi teruk. Harapnya ini bukan tindakan meng’kambinghitam’kan rakyat Terengganu.


Selepas mengenakan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2, apakah pendapatan yang sudah dijana oleh kerajaan negeri dan bagaimana dengan hasil lain seperti pelancongan selepas Menteri Besar sendiri menerajui portfolio berkenaan?

Juga pertanyaan ialah, apa gantian untuk kehilangan hampir RM100 juta setahun selepas menyerahkan telaga minyak dalam wilayah Terengganu kepada Pahang?

juga dengan mendapat restu dan hubungan baik Ahmad Razif dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, apakah bantuan khusus kerajaan Pusat dalam konteks kewangan untuk kerajaan negeri?

Tidak kurang pentingnya, kemanakah perginya berbillion wang kerajaan negeri ketika zaman kegemilangan petroleum dahulu?

Benarkah Tabung Warisan mempunyai simpanan mutlak, bukan atas kertas apabila ada dakwaan ia sudah dibelanjakan ketika pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said?

Jika masih ada, bukan ini masa yang sesuai untuk digunakan sebahagiannya untuk kegunaan rakyat?

Jika sudah kering, apa tindakan kerajaan negeri untuk mendapatkannya semula?


Apa jawapan Ahmad Razif dan Nawawi mengenai persoalan ini?