Monday 2 January 2017

Kantong Kewangan Kerajaan UMNO-BN ‘Parah’, Sila Jawab Ahmad Razif...


Sejak lebih setahun lalu, kedudukan kewangan negeri Terengganu dikatakan goyah, malah ada ketika di peringkat kritikal.

Kerajaan negeri berusaha ‘menyorok kedudukan ini’, namun kenyataan pemimpin pembangkang, khususnya PAS begitu lantang.

Pemimpin kerajaan khususnya di kalangan EXCO dan pegawai kerajaan negeri 'membisu' seolah-olah mengiakan sahaja dakwaan pembangkang itu.

Kerajaan negeri pada  25 Ogos 2016 lalu bersempena dengan pertukaran seramai 52 pegawai dalam rombakan pentadbiran negeri yang berkuat kuasa 5 September menyebut ia engan me­ngambil kira aspek ke­kananan, prestasi dan kesesuaian jawatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, bekas Pegawai kewangan Negeri berharap melalui perubahan itu akan melonjak semangat baharu, membentuk satu gerakan bersama membawa perubahan ke arah meningkatkan kualiti pentadbiran negeri dan perkhidmatan untuk rakyat.

Sebelum itu Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengumumkan penstrukturan semula portfolio anggota mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas

Penstrukturan berkenaan yang berkuat kuasa 1 Ogos bagaimanapun tidak menampakkan kedinamikan mengubah kedudukan kewangan negeri yang tenat sebaliknya lebih kepada ‘pembolotan kuasa’ melalui penyusunan semula anggota EXCOnya oleh Ahmad Razif bagi kepentingan tertentu.

Persoalan tetap berlegar, apakah kesan segera daripada  segi kantong kerajaan negeri dan bagaimana pengurusannya selepas dua langkah ini?

Persoalan mengenai kantong kewangan negeri yang ‘kering’ banyak diperkatakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di ceramah PAS, umpamanya pada 14 Mac  lalu di mana kedudukan kewangan negeri dikatakan goyah, yang dibimbangi berkemungkinan daripada tiadanya perancangan kewangan yang baik sebelum ini.

Beberapa soalan bertulis daripada wakil rakyat PAS telah ditolak dan ada juga yang dijawab tetapi jawapan itu meninggalkan beberapa persoalan lain terhadap kedudukan kewangan negeri.

Antara soalan yang ditolak ialah jumlah hutang kerajaan negeri, pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah di Kampung Pasir Putih Mercang, peruntukan projek-projek yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri dan pusat, rancangan bantuan kerajaan kepada pengusaha IKS kerana kegawatan ekonomi serta berapa kos lawatan Menteri Besar dan EXCO ke Mesir.

Kegagalan kerajaan untuk menjawab persoalan-persoalan ini, memberikan impak negatif kepada rakyat kerana itu semua melibatkan kewangan negeri iaitu wang rakyat Terengganu.

Manakala antara jawapan tulus ikhlas kerajaan pula ialah kerajaan hanya akan membaiki kerosakan Dewan Sivik Buluh Gading yang bernilai RM400 ribu yang rosak itu, sekiranya kewangan kerajaan sudah stabil.

Sekiranya sudah stabil, bayangkanlah hanya RM400,000 sahaja..

Dan terbaru, Pas mendakwa kedudukan kewangan kerajaan UMNO-BN parah sehinggakan rakyat yang sepatutnya mendapat kemudahan rawatan perubatan percuma, dipaksa menanggung beban tersebut.

Laporan media rasmi PAS, BuletionOnline semalam (2 Januari 20167) memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang  kesal kerana, para rakyat yang ingin mencuci luka di hospital akibat kencing manis atau kemalangan terpaksa membeli ubat sendiri, kerana tiada stok ubat tersebut di hospital.

Ini membuktikan kebenaran kebimbangan PAS bahawa kewangan kerajaan UMNO dan BN yang ‘parah’, sangat serius sehinggakan rakyat yang sepatutnya mendapat kemudahan rawatan perubatan percuma, dipaksa menanggung beban tersebut.

“Pelik, rawatan hospital cuci luka  tapi bawak ubat sendiri, peruntukan ke mana dibelanjakan, “(sedangkan) Tabung Darul Iman dalam Bajet 2013 dulu pesakit kronik (ada peruntukan) RM10 juta,”soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap  kepada orang ramai pada program ‘Street Dakwah’ anjuran Ameerah Kawasan Dungun, di Taman Permainan Kanak-Kanak Pantai Teluk Lipat Dungun pada Jumaat 30 Disember lalu.

Katanya,  kemudahan kewangan dari Tabung Darul Iman yang ditubuhkan semasa PAS menjadi kerajaan negeri perlu di hebahkan kepada mesyarakat dan mereka yang memerlukannya boleh membuat permohonan.

“Tabung Darul Iman untuk sakit kronik seperti (sakit) jantung, (perubatan melibatkan) proses pembedahan yang melibatkan belanja besar,

“JKKK kena maklum……kena umum di masjid supaya, masyarakat tahu tempat rujukan, masyarakat kena ambil peluang untuk (mendapat bantuan) rawatan tersebut,”jelas beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun.

Apa yang disebutkan oleh Alias ini memperkukuhkan dakwaan PAS Mac lalu bahawa pada satu soalan lisan oleh ADUN Bukit Payung, menjawab bahawa pihaknya merancang untuk meminta syarikat GLC negeri bagi menaja beberapa orang pelajar kesan daripada kegawatan yang berlaku.

Kerajaan turut mengakui kegagalan mengagihkan wang saraan kepada pelajar-pelajar yang sepatutnya telah menerimanya pada Januari lalu.

Walaupun pada 12 Januari tahun lalu, MB berjanji akan menyegerakan bantuan kepada pelajar-pelajar luar negara dengan jumlah bantuan sebanyak RM 1 juta kepada mereka yang tidak mendapat mana-mana pinjaman, tidak diketahui sejauh mana perkara itu sudah diselesaikan.

Isunya jika ketika itu yang mendapat  pinjamanpun belum menerimanya, bagaimanapun pula dengan yang berbelanja sendiri.

Dengan kedudukan mata wang Ringgit merudum, isu ini nampaknya sangat dekat dengan rakyat khususnya pelajar dan ibu bapa mereka.

dapat, macamana dengan yang tak dapat?

Semua itu dikatakan menjadi tanda-tanda kegoyahan kedudukan kewangan negeri yang boleh dianggap sebagai ‘tidak sedap duduk’. Kita faham akan keadaan ini disebabkan oleh keadaan ekonomi dunia dan Terengganu yang begitu bersandarkan kepada hasil minyak, teruk terpukul dengan keadaan semasa.

“Nak mengharapkan hasil industri zoo menggantikan hasil petroleum, nampaknya tinggal menjadi bahan ketawa orang,” demikian ulasan BuletinOnline.

Namun, sebelum menyalahkan keadaan ekonomi dunia, rakyat diminta membuat sedikit tinjauan mengenai beberapa perkara.

Dalam satu laporan berita awal Januari  tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menangguhkan projek-projek mega di negeri Terengganu yang mana bagi mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan.

Akan tetapi sehingga kini, Ahmad Razif  gagal mengumumkan, projek mega manakah yang ditangguhkan.


Projek Pulau Bebas Cukai Kenyir akan diteruskan menggunakan bajet 2016 yang telah diluluskan , Projek Pembinaan Semula Pasar Payang RM76 juta sedang dalam peringkat akhir mendokumentasikan tender, T-Team atau Terengganu FC masih diberikan RM3 juta.

Projek laluan bertingkat masuk ke kampong Menteri besar di Seberang Takir, kelihatannya terus berjalan, Draw Bridge di muara Sungai Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu dan kampung MB kita di Seberang Takir pula setakat ini tiada kenyataan rasmi akan ditangguhkan.

Tetapi status terkini hutang negeri dengan pusat tidak didedahkan, pendapatan negeri tahun ini merosot sehingga 30 peratus.

Apa yang rakyat fikirkan agaknya? Dan semua projek yang saya sebut tadi, adalah projek mega di Terengganu.

Jadi, dimanakah lagi projek yang dikatakan mega yang akan ditangguhkan?

Atau adakah ini semua projek yang menguntungkan pihak tertentu yang mahu tidak mahu, mesti dilaksanakan juga sebelum sesuatu yang terjadi kepada kedudukan seseorang?

Tidak dinafikan, kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah penjimatan bagi menghadapi keadaan yang dijangka agak kritikal ini.

Namun kelihatannya yang kena berjimat cermat ialah agensi-agensi kerajaan dan juga rakyat jelata yang menerima bantuan, manakala kerajaan tetap dengan agenda mereka, meneruskan projek-projek mega yang telah mereka jalankan.

Langkah sumbang ini tidak membantu kedudukan kewangan negeri kerana projek-projek mega inilah yang menjadi penyebab kepada ketirisan kewangan negeri secara besar-besaran.

Apabila begini tindakan kerajaan, ianya kelihatan seperti rakyat dan agensi kerajaanlah sebagai penyebab kewangan negeri menjadi teruk. Harapnya ini bukan tindakan meng’kambinghitam’kan rakyat Terengganu.


Selepas mengenakan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2, apakah pendapatan yang sudah dijana oleh kerajaan negeri dan bagaimana dengan hasil lain seperti pelancongan selepas Menteri Besar sendiri menerajui portfolio berkenaan?

Juga pertanyaan ialah, apa gantian untuk kehilangan hampir RM100 juta setahun selepas menyerahkan telaga minyak dalam wilayah Terengganu kepada Pahang?

juga dengan mendapat restu dan hubungan baik Ahmad Razif dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, apakah bantuan khusus kerajaan Pusat dalam konteks kewangan untuk kerajaan negeri?

Tidak kurang pentingnya, kemanakah perginya berbillion wang kerajaan negeri ketika zaman kegemilangan petroleum dahulu?

Benarkah Tabung Warisan mempunyai simpanan mutlak, bukan atas kertas apabila ada dakwaan ia sudah dibelanjakan ketika pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said?

Jika masih ada, bukan ini masa yang sesuai untuk digunakan sebahagiannya untuk kegunaan rakyat?

Jika sudah kering, apa tindakan kerajaan negeri untuk mendapatkannya semula?


Apa jawapan Ahmad Razif dan Nawawi mengenai persoalan ini?

No comments:

Post a Comment