Saturday 31 December 2016

TMT2017 - Impak Positif Kerajaan Terengganu Dilancar Secara Rasmi

Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) memasukkan plak merasmikan Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pulau Duyong di Kuala Terengganu malam semalam.
Visit Beautiful Terengganu 2017' (TMT2017) dilancarkan di Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di Kuala Terengganu dalam suasana penuh warni-warni pada ketika beberap daerah lain di negeri sedang dilanda banjir

Enam daerah yang dilanda banjir ialah Hulu Terengganu, Besut, Kemaman, Setiu, Marang dan Dungun. Jumlah mangsa dipindahkan menjangkau kepada 3,321 orang daripada 1,050 keluarga pada tengah malam semalam.

TMT2017 dianggap akan mecipta rekod, memahat sejarah apabila seramai 3,000 orang pelancong luar negara iaitu negara ASEAN bakal membanjiri Terengganu mulai lusa (2 Januari)  hingga 4 Januari ini.

Ia dianggap sebagai permulaan yang terbaik kepada usaha kerajaan negeri mengisythiarkan 2017 sebagai Tahun Melawat Terengganu (TMT 2017).

Dilaporkan oleh media kerajaan negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meletakkan asas yang kuat, iaitu dengan menerajui sendiri portfolio pelancongan dengan penekanan yang cukup tinggi diberikan untuk menjana pendapatan rakyat dan ‘pemain-pemain’ industri yang berimpak tinggi ini kepada kecemerlangan ekonomi negeri.

Kunjungan 3,000 pelancong diandaikan berbelanja sekurang-kurangnya RM1,000 tunai seorang dalam tempoh tiga hari itu, bermakna sudah RM3 juta mengalir ke tangan peniaga-peniaga, belum termasuk lagi bayaran penginapan di hotel.

itulah antara kehebatan TMT2017 yang dilancarkan semalam dalam keadaan di mana ketika ini enam daerah di Terengganu sedang dilanda banjir.

Apa yang diharapkan banjir tidak akan menutup jalan bagi perjalanan bas yang mengangkut pelancong berkenaan apa lagi harapan Ahmad Razif untuk membuktikan bahawa usaha beliau yang menerajui sendiri portfolio pelancongan itu mencapai matlamat.

Laporan Harian Metro semalam menyebut, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Terengganu sudah menjangkau kepada 3,321 orang daripada 1,050 keluarga pada tengah malam.

Angka 2,980 adalah mangsa dipindahkan sehingga jam 10 malam.
Kesemua mereka itu dipindahkan ke 43 pusat pemindahan selepas satu lagi pusat pemindahan di Surau Kampung Padang Setar, Hulu Telemong di Hulu Terengganu dan dua pusat pemindahan baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La serta Surau Seberang La di Besut dibuka.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu,gov.my, pada 12 tengah malam ini, jumlah itu menjadikan mangsa banjir di Hulu Terengganu kini meningkat kepada 2,026 orang daripada 695 keluarga di 22 pusat pemindahan berbanding 1,733 orang sebelum ini.

Jumlah mangsa di Besut pula meningkat kepada 256 orang daripada 107 keluarga di lima pusat pemindahan berbanding 191 orang daripada 50 keluarga di tiga pusat pemindahan, pada kira-kira 9 malam tadi.

Selain itu, jumlah mangsa dipindahkan di Marang kekal seramai 360 orang daripada 89 keluarga manakala di Kemaman juga tidak berubah dengan 380 orang daripada 84 keluarga.

Begitu juga keadaan di Dungun, apabila jumlah yang dipindahkan kekal dengan 82 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Bagaimanapun, mangsa yang dipindahkan di Setiu menurun apabila tinggal 217 orang daripada 56 keluarga di empat pusat pemindahan berbanding 234 orang daripada 68 keluarga apabila mangsa Dewan Sivik Chalok dibenarkan pulang.

Turut dilaporkan semalam, lebih 2,000 pelajar di Terengganu dan Kelantan terpaksa melupakan hasrat untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun baru 2017 selepas 48 buah sekolah tidak dapat beroperasi ekoran banjir yang melanda kedua-dua negeri semalam.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, penutupan 37 buah sekolah di negeri ini melibatkan lima daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Dungun.

“Daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 22 sekolah kebangsaan dan tiga sekolah menengah terlibat. Enam sekolah ditutup kerana dilanda banjir manakala selebihnya kerana dijadikan pusat pemindahan,” katanya.

Mengenai TMT2017 itu, dilaporkan juga urusetia yang diketuai sendiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin turut  menyusun yang terbaik bersama Forte Hospitality Management Sdn.Bhd demi melihat peniaga-peniaga Terengganu mengambil manfaat dan faedah dari kehadiran pelancong yang begitu ramai itu.

“Kerajaan menyediakan keperluan-keperluan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Terengganu, yang akan memperolehi faedahnya ialah peniaga dan usahawan pelancongan, oleh itu layanlah pelancong itu dengan cara yang terbaik,”ujarnya.

Malah seorang penulis begitu yakin bahawa “ bukan RM3 juta dibelanjakan, mungkin sampai RM5 juta ditunaikan di Terengganu kerana menurut Forte yang mengurus kedatangan pelancong dari Singapura, Thailand, Myanmar dan Filipina bahawa pelancong berjumlah 3,000 orang itu kelas pertengahan, bukannya ‘budget tours’.”

Sementara itu, pada majlis pelancaran malam semalam, Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan TMT2017 diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda, Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Nadhirah Zahrah; Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria serta Setiausah Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Baginda seterusnya berkenan menyaksikan gimik pelancaran sebagai simbolik kepada penyempurnaan acara itu.

Gimik berupa persembahan air TMT2017 menyediakan pelbagai kegiatan di Pulau Warisan di Kuala Terengganu  antaranya termasuk permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan kesenian, gerai pameran dan jualan serta aktiviti Motofest Terengganu.


Sempena perasmian itu, pertunjukan bunga api dilakukan di muara sungai Terengganu selain persembahan percikan air berwarna-warni.

Ahmad Razif berkata industri pelancongan Terengganu mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan.

"Kejayaan industri ini boleh menjadi penampan kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu selain turun naik harga minyak di pasaran global.

"Industri pelancongan adalah industri yang saling berkait. Sifatnya yang 'menjalin hubungan' antara sesama manusia dan antara manusia dengan alam, meletakkan industri ini sebagai industri yang menjanjikan banyak peluang jayadiri untuk rakyat," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Menurutnya kerajaan negeri yakin penganjuran TMT 2017 bakal memberikan impak positif kepada kerajaan serta peniaga, pemandu teksi, pengusaha restoran dan pengusaha hotel di negeri ini. 

Thursday 29 December 2016

Bila Boleh Pindah - Peniaga Pasar Kedai Payang Keliru...


Peniaga Pasar Payang Kuala Terengganu menghadapi kemelut berdepan dengan masalah tempoh perpindahan tidak ditetapkan secara khusus.

Sama ada ia disengajakan atau ada permasalahan tertentu berkait dengan pengurusan projek pembangunan baharu pasar tersebut tidak diketahui secara jelas.

Difahamkan ketika ditemui, pihak terbabit cuba melepaskan diri daripada  mengambil tanggungjawab menyelesaikan permasalahan infrustruktur pasar itu yang tidak terurus dengan baik dalam tempoh perpindahan yang tidak diketahui bila akan bermula.

Kebocoran atap pasar amat ketara terutama bila berlaku hujan lebat dan berpanjangan di musim tengkujuh menyebabkan air hujan melimpah ke lantai pasar berkenaan. Dengan permasalahan ini, peniaga dan pengunjung menerima tempiasnya.

Mereka tidak selesa, apalagi Tahun Melawat Terengganu 2017 akan bermula tidak lama lagi. Sepatutnya pembangunan baharu pasar payang dibuat lebih awal untuk tujuan tersebut.

Notis perpindahan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diberikan kepada peniaga pasar itu sejak 15 September 2009 tetapi sampai sekarang tempat perpindahan perniagaan sementara di peringkat persiapan tapak.

Kenapa perkara tersebut berlaku, tidak diketahui secara mendalam, mungkin kerana Kerajaan Terengganu kekurangan wang.

Baru-baru ini Kerajaan Terengganu menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat dari negara China untuk projek pembangunan baharu pasar tersebut dan Bazar Warisan yang berhampiran bernilai hampir RM100 juta.

Semua peniaga menyambut baik usaha tersebut tetapi kerajaan perlu menyelesaikan pengurusan pasar berkenaan dengan baik supaya tidak menimbulkan masalah kepada peniaga dan pengunjung pasar itu apa lagi ketika menyambut ketibaan tahun melawat Terengganu tidak lama lagi.



Sudah pasti para pelancong dari dalam dan luar negeri mahukan keselesaan ketika berkunjung ke pasar berkenaan.

Difahamkan seramai 3,000 pelancong dari negara China akan berkunjung ke Terengganu, Januari ini.

Apakah persiapan yang selayaknya dibuat ketika mereka berkunjung ke pasar berkenaan ketika projek pembangunan pasar itu sedang bermula, manakala pasar Payang sedia ada bermasalah dengan kebocoran atap semasa hujan dan pengurusan pasar tidak cekap.

Ada peniaga mempamerkan barangan perniagaan di tempat yang boleh menggangu laluan pengunjung.
Sepatutnya pihak MBKT terus membuat pemantauan terhadap pasar berkenaan walaupun pasar itu akan dibaiki dan dipercantikkan untuk kemudahan semua pihak.

Tidak sepatutnya pengurusan pasar menjadi caca marba kerana ia dalam proses pembangunan semula, sepatutnya kawalan dan penguatkuasaan dibuat berterusan selagi pasar itu digunakan seperti biasa.

Sementara itu, semua peniaga di Bazar Warisan akan dipindahkan ke kawasan perniagaan sementara di Taman Shah Bandar Kuala Terengganu mulai bulan Februari 2017, masing-masing diberikan sebuah kabin untuk mereka meneruskan perniagaan di situ.

Pembangunan semula bazar berkenaan difahamkan akan bermula Februari 2017 dan notis pemindahan ke tempat baharu telah disampaikan kepada peniaga bazar itu.

Kerajaan negeri itu berjanji mereka terbabit akan diberi pelepasan dari membayar sewa dan bill elektrik, dalam ertikata ia diberi percuma oleh kerajaan tersebut.

Kebanyakan peniaga di bazar berkenaan menjalankan perniagaan menjual kain dan pakaian berteraskan batik Terengganu.

Peniaga di bazar itu kebanyakannya berpendapat, tidak menjadi masalah besar untuk mereka berpindah di tapak perniagaan sementara itu demi kebaikan bersama.

Tuesday 27 December 2016

Pakej Umrah Gagal - Kenapa Hanya YBNT, Tidak JPNT, Pengarah DiSiasat?

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu adalah penaja bersama YBNT.
Isu kegagalan sebuah pertubuhan kerajaan (NGO) Terengganu, Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) membuka mata dan menimbulkan banyak persoalan, apalagi Kerajaan Negeri pernah menolak untuk bekerjasama dengannnya.

Namun, bagaimana pula dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang bekerjasama menajanya, malah turut berkempen guru-guru agar menyertai pakej umarah tajaan YBKT?

Apakah mereka ‘bebas daripada siasatan dan tindakan’ pada ketika ramai guru yang teraninaya akibat kerjasama itu?

Aneh juga kini apabila Facebook YBNT sudah dipadamkan di mana maklumat serta gambar yang dipaparkan mengenai kegiatannya selama ini dipadamkan.

Diviralkan melalui Whatsapp beberapa hari kebelakangan ini bahawa satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jertah pada 29 Ogos lalu oleh seorang penadu, Roslen Bt Khalis, Pengurus Syarikat Interleisure Sdn Bhd di Kuala Lumpur bahawa:

“Pada 29/08/2016, pengadu yang merupakan Pengurus Syarikat  Interleisure Sdn Bhd telah dilantik oleh *Yayasan Bakti Negara Terengganu* *(YBNT)* yang beralamat di Besut, T'ganu untuk menguruskan jemaah umrah dengan harga pakej seorang jemaah adalah RM6,990.00. Pengarah YBNT iaitu En Adam telah menyerahkan kepada pengadu surat lantikan untuk menguruskan jemaah umrah seramai (300) orang tersebut. En Adam telah memberikan cek deposit sebanyak RM150 000.00 yang bertarikh 16/10/2016 dan apabila pengadu ingin menunaikan cek tersebut didapati cek tersebut adalah cek tendang. Apabila perkara diberitahu kepada En Adam,En Adam telah memberitahu bahawa akaun syarikatnya mengalami masalah kewangan. Walaubagaimanapun, pada 19/10/2016 En Adam telah memberikan kepada pengadu sebanyak RM 50,000.00 dan bayaran selebihnya akan dibayar kemudian oleh En Adam.Namun pengadu hanya dapat menghantar (07) jemaah sahaja untuk menunaikan umrah dan pengadu merasakan dirinya telah diperdayakan oleh En Adam.”

Berikutan itu melalui butir tangkapan *Kg Raja Rpt 6447/16* Nama OKT: *Mohd Adam Bin Mohd  Ghazali berusia 28 tahun dari Kg Pasir Tawar Jabi, berjawatan *Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT)* akan dihadapkan di esok di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu untuk tahan reman.

Bersamanya ialah  OKT: Johari Bin Rahman berusia 28 tahun berlamat di Kampung Padang Lengkuas, Jerteh yang merupakan Akauntan YBNT.

Tahanan reman empat hari...
Semalam Bernama melaporkan, dua  lelaki termasuk seorang pengarah direman selama empat hari bagi membantu kes penipuan umrah membabitkan kira-kira 3,000 mangsa dengan nilai jutaan.

Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sinar Online melaporkan kedua-duanya menyerah diri di balai polis Besut, kelmarin.

Akhbar sebelum ini melaporkan YBNT mengesahkan kenyataan berkaitan kegagalannya menguruskan kira-kira 2,000 jemaah menyertai pakej umrah disediakannya.

Sebelum ini YBKT dengan bangganya mengatakan pihaknya sudah memberikan berbagai bentuk bantuan dengan menyebut lebih 30,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di Terenganu  mendapat manfaat daripada kewujudannya.

Pengarah eksekutifnya, Mohd Adam Mohd Ghazali pernah berkata, pihaknya memperuntukkan RM14.9 juta pada tahun ini (2016) bagi membiayai program tanggungjawab sosial korporat, khususnya program meningkatkan prestasi pelajaran dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut tidak termasuk bantuan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, fakir miskin selain bantuan pendidikan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Itu laporan media 28 Julai lalu.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, bagaimana yayasan itu mempunyai bajet begitu banyak untuk dibelanjakan?

Apakah pihak berkuasa akan menyiasat punca kewangan yang diperolehi dan jika ia berbentuk sumbangan, bagaimana ia dibelanjakan?

Benarkah pelajar yang mendapat untung atau pemilik dan pemegang amanah kepada NGO ini?

Mengejutkan, pada awal November lalu, wujud viral mengatakan yayasan itu melalui kerjasaa dengan JPNT gagal menghantar sebilangan besar guru-guru menunaikan umrah dan disyaki berlaku penipuan.

Berikutan itu, blog ini menyiarkan keresahan guru-guru dan mengemukakan pertanyaan bagaimana JPNT beria-ia turut bekerjasama dengan YBNT dan apa tindakan jabatan itu untuk membela guru-guru yang teranianya?

Blog ini turut mengemukakan pertanyaan, apakah JPNT terlibat kerana ada tuduhan mengenainya yang merupakan tuduhan berat.

“Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini. “ demikian laporan blog ini.

Malah ada dakwaan bahawa ada  peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini turut membabitkan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini diketahui umum dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan YBKT apabila program umrah ini dimaklumkan kepada guru-guru pada Ramadan lalu, smelalui satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT.

Ia diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

Pada surat itu diberitahu bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000. Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT.

Pertanyaan ialah:

1.      Apakah Menteri atau Menteri Pelajaran sudah bertindak menyiasat pegawai JPNT kerana terlibat, termasuk berkempen dalam program ini?

2.      Apa tindakan Kementerian terhadap Pengarah JPNT yang dilihat terbabit secara langsung dalam memujuk guru-guru menyertai program ini?

3.      Jika beliau tidak disabitkan, apakah usahanya untuk membantu guru-guru yang teranianya?

4.      Apakah guru-guru dan perserta terbabit sudah mendapat pulangan wang kerana gagal menunaikan umrah?

5.      Apakah tindakan terhadap NGO ini dan apakah siasatan lanjut akan dilakukan terhadap pertubuhan, selain pemilik dan kakitangannya?

Pada ketika JPNT dikaitkan  dengan  kes penipuan ini, pada 14 Disember lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendedahkan, Kerajaan Negeri pernah menolak tawaran mengadakan usaha sama dengan yayasan itu.

Ini kerana kerajaan negeri perlu teliti sebelum menerima sebarang bentuk usaha sama daripada mana-mana pihak, lebih-lebih lagi pihaknya tidak dapat mengenal pasti secara jelas sumber dana diperoleh yayasan terlibat.

Malah Menteri Besar Terengganu meminta mana-mana pihak yang merasa mereka dianiaya perlu menggunakan saluran sewajarnya termasuk membuat laporan polis.

Laporan Sinar Harian sebelum ini menyebut YBNT menafikan telah menipu seramai 2,418 peserta yang kebanyakannya adalah guru untuk mengikuti program umrah anjuran yayasan tersebut.

Pengarah Eksekutifnya mendakwa, punca penangguhan dan pindaan tarikh penerbangan ke tanah suci itu disebabkan pihaknya lewat menerima sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat daripada beberapa syarikat korporat.

Menurutnya, daripada keseluruhan peserta, seramai 1,218 orang ditaja sepenuhnya YBNT, baki 1,200 orang lagi hanya perlu membayar sebahagian atau kurang daripada kos sebenar, sementara selebihnya ditaja yayasan tersebut. 

Sunday 11 December 2016

Pakej Umrah JPNT/YBNT Tidak Menjadi, Apakah Wujud Unsur Penipuan?


Penipuan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terenganu (JPNT)? Ini tuduhan berat.

Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini.

Satu laporan menyebut, dikatakan cuti hujung tahun kali ini dianggap tidak bermakna bagi ratusan guru di Terengganu akibat masalah yang boleh dianggap sebagai  penipuan pakej Umrah.

Lebih mengejutkan ia dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini dalam pengetahuan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini dikatakan dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan Yayasan Bakti Negeri Terengganu YBNT.

Menurut laporan yang diviralkan sejak beberapa hari yang lalu, program ini dianggap penipuan kerana walaupun mulanya dikatakan ia akan membabitkan seramai yang mungkin, iaitu mececah 2,000 orang, namun akhirnya tidak sampai 300 orang sahaja yang terpilih.

Pakej ini dimaklumkan kepada guru-guru apabila pada Ramadan lalu, satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

“Diberitakan bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000.

“Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT,” menurut laporan berkenaan.

Pengarah JPNT...apakah beliau ketahui?
Memandangkan surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah JPNT dan disahkan sendiri oleh pegawai JPNT, maka berduyun-duyun guru yang menelefon YBNT meminta kuota tersebut dan diluluskan.

Difahamkan lebih 2,000 orang terlibat terdiri dariapda kalangan guru dan keluarga terdekat serta komuniti.

Berikutan itu, bayaran diminta dimasukkan ke dalam akaun YBNT Resort pada hari yang sama untuk mengelakkan kuota tersebut dibatalkan.

Mereka dikatakan memasukkan wang bayaran melalui Bank Muamalat di Kuala Terengganu.

Menjadikan guru-guru berminat dan yakin dengan program Umrah ini ialah apabila ada gambar kononnya majlis menandatangani MOU antara YBNT dan JPNT di Facebook rasmi JPNT.

Antara  September dan  November dikatakan  JPNT menyediakan tempat berupa dewan sekolah untuk diadakan taklimat di seluruh daerah secara berperingkat.

Dilaporkan pada majlis itu berbagai ‘janji manis’ ditabur oleh pihak penganjur.

Bagaimanapun menjelang bulan lalu (November), masalah mula kelihatan.
“Biarpun  tarikh berangkat bermula pada 27 Disember ini, namun peserta tidak diberitahu ejen mana yang akan menguruskan pemergian mereka.

“Dalam suasana kelam kabut,  JPNT dikatakan sekali lagi menyediakan tempat untuk penyerahan beg iaitu di PPD Setiu dan Dewan Sek Keb Sultan Sulaiman 1.

“Turut dimaklumkan ialah tarikh dan ejen yang akan menguruskan dan peserta mulalah  membuat persiapan awal,” menurut laporan itu.

Malah, mengejutkan peserta pada 27 November 2016, iaitu tarikh sepatutnya kumpulan awal  berlepas,  malangnya hanya tujuh (7) orang sahaja yang terbabit.

“Peserta lain ditangguhkan dan sejak itu ada kalangan peserta ada yang mengambil inisiatif sendiri menelefon ejen yang dimaklumkan kononnya akan menguruskan pemergian mereka.

“Mengejutkan apabila ejen diberitakan diberi cek kosong oleh YBNT dan tidak dapat membawa jemaah yang ditetapkan. Ejen tersebut adalah CS Holidays, HBY Travel, Bahrumazi Travel dan Interlesure Travel,” kata laporan itu.

Dilaporkan juga, peserta yang menyiasat dan cuba untuk mencari  kebenaran dianggap sebagai  musuh oleh peserta lain kerana mereka lebih percayakan YBNT yang memberitahu bahawa  ejen membuat hal.

Mengejutkan, dikatakan pegawai JPNT turut memberi amaran kepada peserta yang tahu akan maklumat sebenar.

Ada kenyataan daripada  JPNT bahawa  hanya 287 orang sahaja dipilih dan yang lain JPNT dilaporkan  “lepas tangan”  kerana dikatakan berurusan terus dengan YBNT.

“Apa yang menjadi persoalan kepada peserta ialah jika hanya 287 sahaja bawah tanggungjawab JPNT kenapa mereka bersusah payah mengeluarkan surat rasmi ke sekolah untuk taklimat, menyediakan kemudahan tempat kepada YBNT untuk taklimat?

“Juga kenapa pegawai JPNT dan PPD sendiri turun padang pada  majlis sebelum itu?” tanya peserta.

Laporan itu berkata penanguhan demi penangguhan dilakukan sehinggalah keluar kenyataan rasmi dari pada YBNT bahawa  semua tajaan umrah tahun 2016 dibatalkan.

Duit RM3,000 boleh dituntut mulai minggu ketiga Januari.

Dilaporkan seorang ketua Sektor JPNT sekali lagi memberikan amaran dan teguran untuk mengambil tindakan atas luahan peserta dan ini menyebabkan peserta daripada  kalangan guru tertekan.

“Kami dikatakan membuat onar dan masalah,” dakwa peserta.

Berikutan itu sebilang peserta  mohon siasatan terhadap  mereka yang terlibat dalam penganjuran program ini.

Malah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diminta menyiasat dan  menyelongkar perkara ini kerana ia sudah menjadi buah mulut di negeri ini.


Mereka juga mendesak pihak tertentu agar tidak mengugut akan mengenakan tindakan displin kepada peserta yang menuntut hak selepas menyertai pakej Umrah itu.

Siasatan perlu dilakukan segera untuk membersihkan JPNT dan Pengarahnya agar institusi pendidikan yang disanjung mulia di negeri ini dipertahankan.

Yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan.

Juga jika dakwaan ini sengaja diadakan, buat laporan polis segera dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Thursday 8 December 2016

Sesudah Kembali Menjadi ‘Datuk Seri’, Jangan Membisu Dengan Soalan PAS


Selepas lebih dua minggu  sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)  Terengganu sementara Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan kembali Darjah Kebesaran Negeri Terengganu kepada Ahmad Razif Abd Rahman semalam, diharap Menteri Besar itu  boleh menjawab permasalahan rakyat yang ditimbulkan oleh PAS.

Dengan bergelar Datuk Seri Ahmad Razif sekarang (bukan lagi Encik atau Haji Ahmad Razif), Menteri Besar Terengganu itu kini pasti sudah mendapat kembali keyakinan untuk memerintah Terengganu dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Ahmad Razif sejak ditarik pingat Datuk dan Datuk Seri pada 22 April lalu kelihatan tidak bermaya dan berada dalam kedudukan yang begitu low profile.

Namun kini pastinya tidak lagi.

Sejak semalam Ahmad Razif mungkin sudah bangkit semula.

Dia akan menjawab semua perkara yang ditimbulkan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah pada 4 Disember lalu melalui portal media rasminya, BuletinOnline.

Kata Mohd Nor dalam tulisannya, "Pasukan UMNO Terengganu menerusi ketuanya YAB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman jelas dilihat tidak bersemangat atau tidak mahu ataupun tidak tahu untuk menyelesaikan masalah rakyat Terengganu dengan bersungguh-sungguh."

Mohd Nor - soalan belum berjawab
Berikutan itu  PAS Terengganu amat kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh wakil-wakil UMNO yang dari dahulu menunjukkan sikap yang sama, iaitu sambil lewa atau langsung tidak menjawab persoalan yang wakil pembangkang lontarkan bagi kesejahteraan rakyat.

Ini termasuk juga sikap menolak soalan-soalan pembangkang.

Kata Mohd Nor, “Suka PAS nyatakan di sini bahawa antara isu-isu yang masih menjadi misteri ialah seperti isu royalti petroleum yang diketengahkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat, sehingga kini UMNO berdolak dalih bagi menyelamatkan diri daripada diketahui oleh rakyat yang mereka telahpun secara rasmi seperti yang dinyatakan oleh Petronas, tidak lagi berhak keatas semua telaga minyak dan gas yang berada di luar tiga batu nautika kiraan ketika air surut setelah kerajaan pusat meminda Akta Laut 750, sedangkan Sarawak menikmati pulangan yang jauh lebih lumayan daripada royalti itu.”

Satiful timbulkan isu royalti petroleum.
Selain itu, juga ditanya ialah kenapakah RM30 juta yang diperuntukkan kepada DUN-DUN yang dimenangi UMNO sahaja?

“Adakah tidak layak rakyat di DUN-DUN yang dimenangi pembangkang turut menerimanya?” tanya Mohd Nor.

Beliau turut mengemukakan soalan mengenai isu perbelanjaan Projek Bebas Cukai Kenyir yang sehingga kini difahamkan telah menelan belanja sehingga RM800 juta lebih dengan ada beberapa infrastruktur yang sepatutnya dibiayai oleh kerajaan pusat, tetapi Terengganu yang tanggung.

Selain itu, Taman Ilmu yang sehingga kini masih belum boleh digunakan dengan belanja kira-kira RM400 juta, turut tidak menarik minta UMNO bagi menjawab persoalan itu.

Juga tidak terlePAS ialah isu Jerteh Souq, yang didakwa tidak diluluskan dalam mesyuarat Exco itu, tiada langsung kelihatan walau sebatang tiang ‘piling’ di tapak yang dicadangkan bernilai lebih RM70 juta.

Malah stesen bas ekspress yang dibina di situ juga (menggunakan bajet lain), masih belum boleh diguna bernilai kira-kira RM5 juta, kata Mohd Nor.

Bukan itu sahaja, Mohd Nor turut mempersoalkan perihal  cukai hasil galian bumi Terengganu seperti besi, emas dan sebagainya yang hanya berjumlah RM800 ribu lebih selama tujuh tahun, seperti yang disoal oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Terengganu, Dr. Alias Razak.

“Soalan itu bagaikan hilang bersama angin yang lalu, tanpa jawapan,” tegas Mohd Nor..

Sementara ketidakseimbangan bajet yang sangat jelas dibangkitkan oleh Dr Alias iaitu bagi pembangunan ekonomi diperuntukkan hanya RM77 juta sahaja berbanding dengan peruntukan yang melibatkan bayaran ‘one off’ pula menghampiri RM700 juta. Tetapi tidak dijelaskan kenapa?

Pemberian kepada seluruh Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) sebanyak RM5 juta juga menjadi tandatanya kerana tidak dilayan.

Kawasan Bebas Cukai Kenyir.
Soalan berkenaan hutang kerajaan negeri oleh YB Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim ditolak.

Apa yang ditakutkan untuk memaklumkan hutang negeri?

Sehingga tahun 2015, hutang negeri telah mencapai lebih RM900 juta itu kita maklum, tetapi kita mahu tahu jumlah terkini.

Dengan bajet tahunan semenjak dahulu mencapai RM2 billion setahun, kenapakah masih ada hutang yang sebegitu besar?

Menurut Mohd Nor,  Hishamuddin juga membangkitkan berkenaan ‘deffered payment’ iaitu pembayaran bertangguh, yang akan membuatkan kerajaan negeri sentiasa berhutang sehingga satu jangka waktu yang ditetapkan, juga didiamkan kerajaan.

Janji 41 ribu peluang kerja yang kemudiannya didedahkan oleh Hishamuddin sebenarnya hanya 254 peluang sahaja, dijawab acuh tak acuh oleh MB. Kata beliau itu kiraan yang sudah tidak digunakan lagi bagi mengiranya malah menjanjikan lagi peluang kerja baru dalam bajet beliau.

Sedangkan dalam jawapan bagi soalan Chukai UMNO memaklumkan 458 orang telah diberhentikan kerja. Entah-entah peluang kerja terbaharu ini termasuk dalam 41 ribu yang dia sebut dahulu?

Mohd Nor turut mempersoalkan kenapa soalannya  berkaitan IQT dan KQT juga tidak dijelaskan sepenuhnya oleh Menteri Besar setelah Exco Pendidikan sendiri keliru dengan status institusi itu walaupun sudah dibantu MB bagi menjawabnya.

Hishamuddin, ADUN Tepoh.
Perkara lain ditimbulkan Mohd Nor ialah berkenaan asrama Kusza (kenapa masih guna nama Kusza?) yang bernilai RM88 juta yang saya tanya siapakah yang mesti membiayainya, juga tidak kedengaran jawapannya.

Paling memeningkan apabila Ir. Rosli Othman Exco Infrastruktur menjawab bahawa projek tebatan banjir yang salah satunya terletak di Bukit Payong akan dibawa ke RMK 12 selePAS gagal disiapkan semenjak RMK 10 lagi.

Tetapi dalam satu jawapan bertulis beliau  pula, UMNO menyatakan  tiada projek di RMK10 gagal disiapkan. “Yang mana satu betul?” tanya Mohd Nor.

Mohd Nor berkata soalah ADUN Cukai, Hanafiah Mat pula berkenaan bas amphibia (dua alam) yang dijanjikan, masih tidak muncul-muncul bernilai RM6 juta. Zoo Kemaman, Projek Kenyir masih mendapat suntikan dana oleh kerajaan sedangkan tiada pulangan dan diketahui sebagai projek membazir.

Mohd Nor mendakwa, Kilang Eastern Steel sudah tidak beroperasi lagi, jadi bagaimana satus projek aliran sungai ke sana dari Jambatan Bukit Kuang? \

Masalah bekalan air di Kuala Terengganu dan Marang, diakui oleh Exco kerana masalah kekangan kewangan, tetapi belanja kerajaan entah kemana-mana.

Inilah bukti bahawa UMNO Terengganu adalah golongan menghabiskan duit rakyat kemudian tak mahu jawab di dalam Dun.

Mereka melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

PAS sudah berjuang bagi mengambil peduli akan setiap perbelanjaan yang UMNO lakukan, tetapi PAS disekat dengan mereka menggunakan peraturan Dun dan juga mendiamkan diri, tidak menjawab persoalan-persoalan rakyat yang PAS bawakan.


“Rakyat lihatlah sendiri sikap UMNO....” dan kerana itu beliau mengajak rakyat bersama-sama PAS, untuk jatuhkan kerajaan UMNO yang tidak bertanggungjawab di Terengganu.

Monday 5 December 2016

Henti-Hentilah Pujuk PAS, Dia Memang Sudah Tidak Mahu...


Untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang belum matang dan sejahtera berpolitik sebagai pembangkang, sudah-sudahlah!

Udah-udah dan hentilah fikir pasal mahu 'barbaik-baik' dengan PAS.

Lupakan hasrat mahu bekerjasama sebagai pembangkang bersama-sama  PAS.

Tidak ada gunanya. PAS merasakan jauh lebih kuat daripada PPBM dan kepimpinannya mereka kini berada seiringan dan setaraf Perdana Menteri.

Masakan tidak, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak mempelawa PPBM atau AMANAH, kalaupun tidak PKR dan DAP, untuk menyertai solidarity membela etnik Rohingya di Tasek Titiwangsa, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Bukan senang untuk duduk di sebelah Perdana Menteri, seperti sukarnya membuat temujanji bermain untuk Najib bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat yang akan tamat tempoh pentadbirannya akhir bulan ini, Barrack Obama di Hawaii dua tahun lalu.

Dr Mahathir dan Muhyiddin kena ingat dan tidak lupa kedudukan ini.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih dilihat ‘berdarjat’ berbanding pemimpin PPBM dan AMANAH, apa lagi mereka itu dilihat musuh politik oleh Najib.

Hadi lebih berpengaruh dan dilihat mampu membantu UMNO dan Barisan Nasional dan sudah terbukti sebelum ini pun PAS menyokong Najib dalam banyak perkara.

Malah PAS tidak menentang Bajet 2017 dan tidak menyertai BERSIH 5. Bukankah itu tanda Hadi amat selesa dengan Najib berbanding Dr Mahathir atau Muhyiddin – apa lagi dengan pemimpin AMANAH yang dilihat ‘menderhaka kepada PAS’.

Sudah terang lagi bersuluh, UMNO adalah pilihan PAS walaupun pemimpin parti itu termasuk  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Timbalan Presiden PAS itu boleh  menegaskan apa sahaja, umpamanya mustahil bagi parti itu mengadakan kerjasama politik dengan Umno kerana ia pada asasnya melibatkan rundigan kerusi.

Menyifatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu sebagai fitnah yang dicanang pihak tertentu, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak mungkin melePASkan kerusi yang dimenangi kepada Umno.

"Umno tidak mungkin dapat mengizinkan sebilangan besar kerusi-kerusi yang dimenangi mereka untuk dilePASkan ke tangan PAS begitu sahaja, dan sudah PAStinya PAS juga tidak akan melePASkan kerusi-kerusi menangnya yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding apa yang Umno ada," katanya dalam sau kenyataan kelmarin.

Di sebalik apa yang ditegaskan oleh Tuan Ibrahim, hakikat yang harus ditelan oleh Dr Mahathir serta Muhyiddin ialah,  PAS tidak memerlukan PPBM  untuk bekerjasama sebaliknya akan terus menerajui Gagasan Sejahtera sebagai satu lagi blok politik pembangkang.

Dalam masa yang sama PAS boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu-isu melibatkan kebajikan rakyat dan kepentingan umat Islam.

Dengan dan faham apa yang ditegaskan oleh PAS itu dan kalau tidak faham juga tidak tahulah apa nak dikatakan dengan sikap PPBM ini.

Orang sudah tidak suka, kenapa masih mahu tergila-gila memujuk mereka?

Ingat pesanan ini, bagi PAS, menerusi Gagasan Sejahtera, ia  membawa politik matang dan sejahtera yang mengkritik dasar-dasar kerajaan dan memberikan cadangan penyelesaian.


Semalam Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menasihati Mahathir agar terus bersama Pakatan Harapan dan belajar menjadi pembangkang yang tegar.

Dr Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata Dr Mahathir baru sahaja belajar menjadi pembangkang dan kerana itu kena belajarlah menjadi pembangkang tegar seperti Pakatan Harapan yang membangkang apa sahaja dan bermain politik kepartian sepanjang masa.

Sindiran itu dibuat sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa PPBM tidak akan menunggu PAS lebih lama untuk bersama-sama dalam Pakatan Harapan bagi menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir juga menegaskan,  tarikh akhir akan diberikan kepada PAS untuk membua keputusan sama ada mahu bersama Pakatan Harapan atau tidak.

Kini jelas, tiada lagi tarikh akhir atau tunggu keputusan PAS kerana segala-galanya sudah jelas dan nyata.


PAS menolak kerjasama dengan PPBM. Noktah. Tamat cerita!