Sunday 11 December 2016

Pakej Umrah JPNT/YBNT Tidak Menjadi, Apakah Wujud Unsur Penipuan?


Penipuan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terenganu (JPNT)? Ini tuduhan berat.

Penipuan apa dan benarkah dakwaan ini? Menteri Pelajaran dikatakan sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini.

Satu laporan menyebut, dikatakan cuti hujung tahun kali ini dianggap tidak bermakna bagi ratusan guru di Terengganu akibat masalah yang boleh dianggap sebagai  penipuan pakej Umrah.

Lebih mengejutkan ia dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh JPNT sendiri dan tidak diketahui sama ada perkara ini dalam pengetahuan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hassan atau sebaliknya.

Program ini dikatakan dianjurkan melalui usahasama antara JPN dan Yayasan Bakti Negeri Terengganu YBNT.

Menurut laporan yang diviralkan sejak beberapa hari yang lalu, program ini dianggap penipuan kerana walaupun mulanya dikatakan ia akan membabitkan seramai yang mungkin, iaitu mececah 2,000 orang, namun akhirnya tidak sampai 300 orang sahaja yang terpilih.

Pakej ini dimaklumkan kepada guru-guru apabila pada Ramadan lalu, satu surat tawaran mengerjakan umrah usahasama JPNT dan YBNT diedarkan kepada semua sekolah negeri Terengganu yang ditandatangani oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

“Diberitakan bahawa YBNT akan menempah pesawat khas untuk membawa jemaah ini dan pakej sebenar melebihi RM6,000.

“Guru-guru yang layak diminta membayar sebanyak RM3,000 sahaja dan selebihnya akan ditaja oleh YBNT,” menurut laporan berkenaan.

Pengarah JPNT...apakah beliau ketahui?
Memandangkan surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah JPNT dan disahkan sendiri oleh pegawai JPNT, maka berduyun-duyun guru yang menelefon YBNT meminta kuota tersebut dan diluluskan.

Difahamkan lebih 2,000 orang terlibat terdiri dariapda kalangan guru dan keluarga terdekat serta komuniti.

Berikutan itu, bayaran diminta dimasukkan ke dalam akaun YBNT Resort pada hari yang sama untuk mengelakkan kuota tersebut dibatalkan.

Mereka dikatakan memasukkan wang bayaran melalui Bank Muamalat di Kuala Terengganu.

Menjadikan guru-guru berminat dan yakin dengan program Umrah ini ialah apabila ada gambar kononnya majlis menandatangani MOU antara YBNT dan JPNT di Facebook rasmi JPNT.

Antara  September dan  November dikatakan  JPNT menyediakan tempat berupa dewan sekolah untuk diadakan taklimat di seluruh daerah secara berperingkat.

Dilaporkan pada majlis itu berbagai ‘janji manis’ ditabur oleh pihak penganjur.

Bagaimanapun menjelang bulan lalu (November), masalah mula kelihatan.
“Biarpun  tarikh berangkat bermula pada 27 Disember ini, namun peserta tidak diberitahu ejen mana yang akan menguruskan pemergian mereka.

“Dalam suasana kelam kabut,  JPNT dikatakan sekali lagi menyediakan tempat untuk penyerahan beg iaitu di PPD Setiu dan Dewan Sek Keb Sultan Sulaiman 1.

“Turut dimaklumkan ialah tarikh dan ejen yang akan menguruskan dan peserta mulalah  membuat persiapan awal,” menurut laporan itu.

Malah, mengejutkan peserta pada 27 November 2016, iaitu tarikh sepatutnya kumpulan awal  berlepas,  malangnya hanya tujuh (7) orang sahaja yang terbabit.

“Peserta lain ditangguhkan dan sejak itu ada kalangan peserta ada yang mengambil inisiatif sendiri menelefon ejen yang dimaklumkan kononnya akan menguruskan pemergian mereka.

“Mengejutkan apabila ejen diberitakan diberi cek kosong oleh YBNT dan tidak dapat membawa jemaah yang ditetapkan. Ejen tersebut adalah CS Holidays, HBY Travel, Bahrumazi Travel dan Interlesure Travel,” kata laporan itu.

Dilaporkan juga, peserta yang menyiasat dan cuba untuk mencari  kebenaran dianggap sebagai  musuh oleh peserta lain kerana mereka lebih percayakan YBNT yang memberitahu bahawa  ejen membuat hal.

Mengejutkan, dikatakan pegawai JPNT turut memberi amaran kepada peserta yang tahu akan maklumat sebenar.

Ada kenyataan daripada  JPNT bahawa  hanya 287 orang sahaja dipilih dan yang lain JPNT dilaporkan  “lepas tangan”  kerana dikatakan berurusan terus dengan YBNT.

“Apa yang menjadi persoalan kepada peserta ialah jika hanya 287 sahaja bawah tanggungjawab JPNT kenapa mereka bersusah payah mengeluarkan surat rasmi ke sekolah untuk taklimat, menyediakan kemudahan tempat kepada YBNT untuk taklimat?

“Juga kenapa pegawai JPNT dan PPD sendiri turun padang pada  majlis sebelum itu?” tanya peserta.

Laporan itu berkata penanguhan demi penangguhan dilakukan sehinggalah keluar kenyataan rasmi dari pada YBNT bahawa  semua tajaan umrah tahun 2016 dibatalkan.

Duit RM3,000 boleh dituntut mulai minggu ketiga Januari.

Dilaporkan seorang ketua Sektor JPNT sekali lagi memberikan amaran dan teguran untuk mengambil tindakan atas luahan peserta dan ini menyebabkan peserta daripada  kalangan guru tertekan.

“Kami dikatakan membuat onar dan masalah,” dakwa peserta.

Berikutan itu sebilang peserta  mohon siasatan terhadap  mereka yang terlibat dalam penganjuran program ini.

Malah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diminta menyiasat dan  menyelongkar perkara ini kerana ia sudah menjadi buah mulut di negeri ini.


Mereka juga mendesak pihak tertentu agar tidak mengugut akan mengenakan tindakan displin kepada peserta yang menuntut hak selepas menyertai pakej Umrah itu.

Siasatan perlu dilakukan segera untuk membersihkan JPNT dan Pengarahnya agar institusi pendidikan yang disanjung mulia di negeri ini dipertahankan.

Yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan.

Juga jika dakwaan ini sengaja diadakan, buat laporan polis segera dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

1 comment:

  1. bagaimana boleh sebuah yayasan mengutip duit awam sehingga jutaan ringgit {berdasarkan lebih 2000 peserta terlibat dgn bayaran RM3000 seorang}dgn tanpa sebarang resit penerimaan dan JPNT pula bagaikan menggalakkan guru-guru menyertainya...?

    ReplyDelete