Sunday 20 September 2015

Apakah Raja Bahrin Akan Dilaknat Oleh Allah Akibat Bai'ah?


Walaupun isu Bai’ah tidak lagi mahu diperkatakan oleh pemimpin PAS, namun kesan kenyataan pemimpin PAS sebelum ini membuatkan kita menunggu untuk ‘melihat apakah mereka yang keluar PAS dan menyertai Parti Amanah Negara dan PKR benar-benar akan dilaknat Allah s.w.t.’?

Biarpun jauh di sudut hati kecil kita berdoa agar kesemua mereka ‘tidak dilaknat Allah’ namun ‘fatwa’ dan kenyataan keras Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaikan peringatan yang wajar dipandang berat oleh mereka yang sudah dan akan meninggalkan PAS.

Di Terengganu, sudah pasti  semua mata tertumpu kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu - Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Berdasarkan sumpah atau Bai’ahnya, memang Raja Bahrin mengundang dia mendapat bala. Hakikatnya tiada siapa boleh membantunya melainkan dirinya sendiri.

Beberapa pemimpin PAS amat berharap Raja Bahrin tidak dilaknat oleh Allah. Jika pun mahu bergerak di atas landasan politik yang lain, beliau perlu memohon keampunan Allah.

Persoalannya apakah sumpah itu terpakai atau seseorang boleh terlepas apabila melakukan beberapa cara mengatasi Bai’ah jika berlaku perlanggaran seperti yang dilafazkan sebelum ini?

Raja Bahrin baru-baru ini berhujah, individu yang melanggar Bai’ah boleh menebus Bai’ah dengan memerdekakan seorang hamba, memberi makan kepada 10 orang miskin dan berpuasa selama tiga hari.

Tambahnya di dalam Surah Al-Maidah ayat 89, telah dinyatakan secara jelas cara menebus Bai’ah.


Baru-baru ini Hadi sekali lagi memberi ingatan dan mengulangi gesaan supaya wakil rakyat parti itu meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Peringatan keras Hadi dibuat kepada semua calon PAS pada pilihan raya umum lepas melafazkan Bai'ah bersumpah, dan mereka akan dilaknati Allah SWT jika melanggar bai'ah itu.

Menurut Hadi: “PAS sebagai parti Islam membuat bai'ah dengan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, para pemimpinnya dan calon-calon pilihan raya dengan sumpah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi. Semasa berbai'ah, kita sebut sebagai calon Parti Islam Semalaysia (PAS) dan tidak disebut PKR atau DAP. Ini diucapkan setiap calon sama ada yang menang atau kalah.”

Amat nyata,  PAS mewajibkan dalam bai'ah jika dipecat keluar parti, mereka kena letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Adun. Ini disebut dalam bai'ah itu," jelas Abdul Hadi semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai 19 September 2015 lalu.

Hadi berkata gesaannya merujuk kepada tindakan beberapa wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah, parti baharu yang diterajui bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu.

Apakah kerana peringatan ini beberapa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu takut untuk menyertai Amanah?

Sehingga kini hanya Raja Bahrin yang berani mengisytiharkan dirinya menyertai Amanah dan akan kekal sebagai Ahli Parlimen.

Bukan Hadi sahaja, malah Pesuruhjaya PAS negeri, Satipul Bahri Mamat turut mahukan Raja Bahrin melepaskan kerusi Parlimen Kuala Terengganu Bai’ah yang ditandatanganinya pada 18 April 2013 di Rusila,Marang sebelum PRU 13.

Pada 7 September lalu, Raja Bahrin menegaskan beliau menyertai Amanah dan tidak akan melepaskan kerusi Parlimen yang didudukinya hanya kerana desakan daripada beberapa pihak terutamanya PAS negeri Terengganu.

Katanya, masalah yang timbul hari ini merupakan masalah dalaman parti dan tidak perlu membabitkan rakyat kerana dengan perletakkan jawatan beliau akan menyebabkan pembaziran jika diadakan pemilihan semula melalui pilihan raya.

“Kita (Ahli Parlimen Amanah) tidak akan letak jawatan, dan saya nak kata disini kalau kita ingat masa PRK Kajang dahulu, PAS ada menyebut ia tidak perlu diadakan kerana ianya adalah masalah dalaman PKR iaitu antara PKR dan (Tan Sri) Khalid Ibrahim masa itu.

“Jadi PAS kata tidak perlu PRK, maka sekarang masalah saya dengan PAS bukan masalah dalaman PAS, ini masalah dalaman parti. Jadi tidak perlu PRK kerana melibatkan masalah dalaman, kalau setiap kali ada masalah dalam timbul kena ada PRK, bila masa orang hendak bekerja?,” kata Raja Bahrin.

Justeru beliau meminta PAS  lebih beristiqamah dalam hal seumpama ini kerana jika dahulu berkata demikian maka hari ini juga mereka perlu istiqamah.

No comments:

Post a Comment