Monday 13 June 2016

Mohamed, UMNO Sudah Tidak Relevan Di DUN Cukai???


Analisis DUN Chukai...

Sudah banyak kali terdengar cakap-cakap kononnya Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Chukai, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tidak melaksanakan tugas beliau dengan baik.

Kerana itu UMNO Terengganu perlu memperkemaskan jentera parti khususnya  sebagai usaha menjamin UMNO dan kerajaan berfungsi dengan baik.

Cerita mengenai kegagalan Wan Ahmad Nizam bukan rahsia. Ini kerana ia kerap 'diratip’ oleh seorang pemimpin UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Bahagian Kemaman sendiri.

Wan Ahmad Nizam yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 di DUN Cukai tetapi kalah dikatakan tidak mempunyai perancangan dan pelan tindakan yang sesuai dan berpengaruh untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Selain itu penyelaras DUN Chukai sebelum ini, juga dikatakan tidak berfungsi dan kerana itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman perlu bertindak segera.

Berikutan itu Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera (gambar aas) dilantik sebagai Penyelaras DUN Chukai yang baru, menggantikan Ahmad Fikry Ibrahim.

Mohamed yang diberikan mandat selama setahun oleh Menteri Besar meminta rakyat dan pemimpin politik di Kemaman, khususnya di Chukai  melihat perlantikannya sebagai sesuatu yang positif.

Persoalannya, apakah langkah ini sudah terlambat dan tidak relevan lagi?

Hanafiah...Mohamed tidak relevan lagi
Bagi ADUN PAS Chukai,  Hanafiah Mat pula, beliau menyifatkan pelantikan Mohamed sebagai Penyelaras DUN tersebut adalah petunjuk ‘indeks perbalahan’ dalam parti UMNO.

Menurutnya, ‘pergelutan’ dalaman UMNO memberikan isyarat bahawa ‘parti usang’ itu sudah semakin ditolak rakyat.

Dalam kenyataannya baru-baru ini (9 Jun), Hanafiah berkata pelantikan itu sekaligus membuatkan rakyat Chukai semakin ‘geli geleman” dengan UMNO.

Ini kerana penduduk Chukai bukan sahaja menolak UMNO  tetapi turut menolak kehadiran UMNO-Barisan Nasional (BN) dipersada politik parlimen Kemaman.

“UMNO sudah tidak relevan di Chukai...pertukaran penyelaras DUN ini juga membuktikan UMNO sudah ketandusan pemimpin khususnya di Chukai dan amnya di Kemaman,”jelasnya.

Katanya, dalam saat rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang melampau dan ramai yang hilang pekerjaan akibat kejatuhan harga minyak, peminpin UMNO  masih seronok untuk ‘melebarkan’ kehidupan masing-masing.

Mohamed berucap pada satu majlis.
Sebaliknya, bekas Exco Kerajaan Negeri, itu baru-baru ini menolak spekulasi bahawa perlantikannya sebagai Pegawai Penyelaras DUN Chukai yang baharu sebagai ‘tanda awal’ beliau akan dipilih semula sebagai calon BN  pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga bekas ADUN Chukai selama dua penggal (2004-2013) menegaskan perlantikan itu bukan bermakna beliau mahu menjadi  calon pilihan raya pada pilihan raya umum ke-14.

Menurutnya, umurnya yang sudah 65 tahun, sudah tidak sesuai untuk diangkat semula.

“Apa yang saya fikirkan hanyalah untuk memastikan segala program kerajaan negeri untuk rakyat di DUN Chukai berjalan dengan tersusun, sama seperti sebelum ini,” katanya.

Mohamed turut mengatakan beliau sedia bekerjasama dengan d dan sesiapa sahaja bagi memperkasakan kedudukan parti itu di kawasan tersebut.

“Saya boleh berbincang dengan beliau (Wan Ahmad Nizam), kami boleh duduk bersama. Kita perkemaskan parti bermula dari akar iaitu di peringkat cawangan-cawangan serta sayap-sayap.

Wan Ahmad Nizam kalah di DUN Cukai pada pilihan raya ke-13
“Kita perlu lupakan seketika perselisihan pendapat kerana itu soal prinsip masing-masing. Apa yang penting UMNO dan parti kompenen BN di DUN Chukai perlu bangkit semula pada pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Perlantikan Mohamed menimbulkan berbagai pertanyaan apakah ini bermakna program parti dan kerajaan negeri sejak dua tahun kebelakangan ini benar-benar tidak berjalan di DUN berkenaan atau rekaan semata-mata?

Kenapa terjadi sedemikian? Apakah orang yang diamanahkan untuk menjaga dan memastikan kerja parti dan kerajaan tidak dilakukan dengan tersusun?

Atau apakah ada perebutan kuasa di Bahagian UMNO Kemaman apabila Datuk Seri Ahmad Said dilihat menentang Menteri Besar secara terbuka dan ada orang tertentu yang bercita-cita mahu menjadi Ketua Bahagian?

Juga apakah di Kemaman sekarang ada politik ‘kerat mengerat sesame sendiri’ termasuk di kalangan muda yang melihat bahawa ada dua DUN yang berpotenasi bertukar calon, iaitu Chukai dan Kijal yang kini disandang oleh Ahmad Said?

Ada yang begitu yakin mengatakan Ahmad Said tidak akan terpilih lagi mewakili Kijal dan cakap-cakap itu menyebabkan ‘perang dalaman’ seperti yag dikatakan oleh Hanafiah semakin hangat.

PAS tidak rugi apa-apa di Kemaman tetapi jika perang ini tidak reda dan Ahmad Razif gagal menanganinya dengan baik, kedudukan UMNO Kemaman mungkin menghadapi saingan atau tentangan hebat daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Bersediakah Ahmad Razif sebagai Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri kehilangan satu atau dua DUN lagi pada PRU-14???

No comments:

Post a Comment