Saturday 24 June 2017

Campur Tangan Asing Dalam 1MDB - Hadi Mahu Kelirukan Rakyat?


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu hari ini mempersoalkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai  campur tangan asing dalam isu 1Malaysia Development Berhad(1MDB).

Kenyataan itu disifatkan cuba  kelirukan minda rakyat yang mahukan kebenaran dengan putar belit kononya wujud ancaman daripada negara asing yang mahu mencampuri urusan dalam negara melalui 1MDB.

PPBM Terengganu melihat kenyataan pemimpin Barisan Nasional (BN)/UMNO bahawa wujudnya campur tangan asing dalam kes 1MDB dan akhir-akhir ini disokong pula oleh Presiden PAS sebagai satu strategi politik ugut dan menakut nakutkan rakyat untuk berdepan pilihan raya umum yang ke 14.

Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris berkata dengan kedudukan di mana rakyat semakin berang dengan tekanan sara hidup dan kerajaan gagal menanganinya dengan baik, faktor ancaman luar adalah strategi dipilih untuk tambat penggundi agar menang dalam pilihanraya.


“Harapan mereka ialah apabila ancaman luar dilihat akan menggugat keselamatan negara, rakyat akan bersatu kembali dan mempertahankan kerajaan. Sekarang ini Presiden PAS nampaknya turut terpengaruh dan terperangkap dengan taktik jahat BN/UMNO ini,” katanya dalam kenyataan media di Facebooknya.

Razali menegur Hadi dan meminta beliau jangan menakut-nakutkan rakyat kononnya wujud ancaman luar pada ketika kerajaan Barisan Nasional (BN)N/UMNO gagal menangani isu 1MDB, termasuk mendedahkan kepada umum laporan Jawatan Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menyifatkan  kenyataan Hadi sebagai tersasar dan ‘preemptive’, Razali menepis pendapat pemimpin PAS yang menyifatkan mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik sebagai “tidak beriman dan budiman”.

Beliau mempersoalkan apakah Hadi mendapat  maklumat yang tepat mengenai isu 1MDB atau pun hanya bersumberkan pimpinan atasan UMNOo/BN khususnya Perdana Menteri.


“Rakyat boleh menilai dan membandingkan tuduhan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dengan hasil siasatan PAC untuk mengetahui kedudukan dan apa yang sebenarnya belaku dalam 1MDB. Itu pun jika kerajaan benar-benar telus tetapi jelas tiada ketelusan dengan sebahagian besar AJK PAC di lantik ke Kabinet di penghujung siasatan. 

Sepatutnya Hadi lebih tegas meminta kerajaan mendedahkan laporan itu kepada umum selain melihat kekekangan maklumat dalaman terlebih dahulu seperti laporan PAC ini, sebelum menuduh pihak luar campur tangan dalam isu 1MDB ini,” katanya.

Pemimpin PPBM itu meminta Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia perlu lebih agresif dan proaktif dalam menyiasat kes 1MDB ini.

Dengan membiarkan kes ini berlanjutan dan dengan pendedahan semakin banyak di luar negara, kerajaan akan semakin terhimpit dan terpaksa meminta pihak lain seperti PAS untuk membantu menyokong mereka, kata beliau.

Yang pasti bantuan seperti ini tidak akan ke mana-mana kerana akhirnya rakyat akan menilai kepada banyak fakta mengenai 1MDB yang masih dirashiakan, Selain itu pelaku-pelaku penting dalam kes ‘kecurian dan pengubahan wang haram’ seperti Jho Lho masih bebas tanpa sebarang tindakan, tegas Razali.


Beliau tidak melihat sebarang campur tangan asing dalam isu 1MDB kerana sehingga kini tiada bukti konkrit wujudnya campur tangan asing, sama ada oleh Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg atau juga negara-negara lain seantero dunia.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh negara berkenaan ialah untuk melindungi pasaran dan sistem kewangan mereka daripada penipu wang. 

“Dengan mengatakan usaha Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat itu sebagai cubaan AS untuk mencampuri urusan dalam negara Malaysia, apakah kita juga tidak mencampuri urusan dalam negara mereka?

Juga apakah kita mahu melihat ‘kecurian, rompakan dan pengubahan wang haram’ dengan jumlah keseluruhan AS$7 bilion itu hilang begitu sahaja?

Bukankah ini wang rakyat yang sewajarnya dipulangkan kepada rakyat?” tanya beliau.

Razali turut menyatakan kebimbangannya jika ada campur tangan asing dalam skandal 1MDB.

Malah katanya, PPBM Terengganu menentang sekeras kerasnya sebarang campur tangan asing dalam politik negara. “Kami istikhomah dengan demokrasi berparliment dan bersiap siaga menunggu tarikh pilihanraya ke14 di umumkan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment