Monday 19 October 2015

LPT2 - Kemalangan Maut Berterusan Berkaitan Unsur Paranormal?


Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut lebih 80 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.

Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.

Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solathajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu malam tadi bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.

Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.

Semalam, LPT2 terus meragut nyawa. Kali ini melibatkan seorang pengawal keselamatan yang maut dalam nahas di Kilometer 317.9 berhampiran Plaza Tol Kerteh.

Dalam kejadian pukul 1.25 pagi semalam, Samsuhaimi Che Mat, 46, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan 60 Fastaqim yang diadakan di Kota Bharu tercampak dari motosikal yang diboncengnya selepas melanggar pembahagi jalan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, mangsa yang membonceng motosikal rakannya, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, semasa berkonvoi bersama 10 buah motosikal dalam perjalanan ke Chenor, Pahang.

Berikutan itu, Kerajaan Terengganu akan mengambilbeberapa langkah segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut berterusan di LPT2.

Ahmad Razif berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meletakkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sepanjang laluan tersebut.

Katanya langkah lain yang akan dicadangkan ialah memperbanyakkan papan tanda amaran dan meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti kawasan berisiko serta mencadangkan pihak polis memasang perangkap had laju.

"Langkah yang dilaksanakan ini bagi memberi peringatan kepada pengguna dan sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Plaza Tol Ajil semalam.

Menurut Ahmad Razif faktor kelalaian antara punca yang dikenal pasti berlakunya kemalangan maut sehingga meragut banyak nyawa dan kebanyakan kes itu berlaku pada waktu siang.

Katanya laporan LLM dan polis mendapati 70 peratus kemalangan berlaku kerana kecuaian pengguna, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes.

"Kita dapati faktor utama akibat kelalaian dan bukannya faktor jalan serta kebanyakan kes itu berlaku pada jalan yang lurus dan pada waktu siang.

Bagaimanapun kerajaan negeri memberi jaminan laluan sepanjang LPT 2 itu selamat digunakan dan kawasan beralun juga telah diperbaiki.

Ahmad Razif berkata jumlah kenderaan juga bertambah dan hampir 25 ribu kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari.

Jelas beliau, pihaknya akan memastikan elemen keselamatan terus dipertingkatkan termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk di kawasan rawat dan rehat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif.

Mengikut statistik PDRM sehingga 16 Okt sebanyak 82 kes kematian telah direkodkan di sepanjang laluan tersebut melibatkan 1,989 kes kemalangan. Jumlah tersebut tidak termasuk 3 kes maut pada 18 dan 19 Okt.


No comments:

Post a Comment