Thursday 19 November 2015

Polis Siasat Kes Kematian Buruh Selepas Tahan Semula Tiga Suspek Tembak Adun



Polis membuka semula siasatan satu kes bunuh di Hulu Terengganu tahun lepas susulan penahanan semula tiga suspek kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat Alias Abdullah dan kes tembakan seorang lelaki di Pulau Kambing.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu mulai hari ini untuk siasatan lanjut kes bunuh itu.

"Bagi kes 27 Nov tahun lepas, polis telah dimaklumkan mengenai penemuan satu rangka manusia di dalam salur pembentung air di laluan Aring-Kenyir. Hasil siasatan awal kes itu mendapati tiada bukti ditemui daripada pekerja buruh berusia 29 tahun itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Dengan perkembangan terbaharu ini, kita mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

"Seorang daripada tiga suspek itu telah mendapat arahan tuduh mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971)," katanya.

Rosli berkata daripada 10 suspek yang ditahan sebelum ini, lima daripada mereka telah dibebaskan kelmarin.

Manakala dua lagi dibebaskan hari ini (semalam) termasuk seorang yang dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan bagi menyelesaikan kes-kes berkenaan dan polis telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai dapat membantu siasatan," katanya.

Pada 9 Okt lepas, Alias, 51, maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong, Marang selepas pulang daripada solat Jumaat.

Dalam kes 27 Ogos lepas, seorang lelaki berusia 28 tahun nyaris maut selepas terkena tembakan penjenayah yang dipercayai cuba melarikan kenderaan pacuan empat roda miliknya dalam kejadian di Jalan Hiliran Pulau Kambing.

No comments:

Post a Comment