Tuesday 17 November 2015

Tindakan Ke Atas Guru Cuai Dalam Kes Buli di Besut


Tindakan tegas akan diambil ke atas guru sebuah sekolah di Besut jika didapati ada unsur kecuaian pihak sekolah berhubung kes buli yang menjadi viral di laman sosial.

Exco Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan di mana guru sekolah berkenaan turut disiasat.

"Kita akan siasat jika ada kecuaian guru dan guru besar sekolah itu. Kita akan lihat kenapa tiada ustaz atau ustazah mengawasi keadaan sehingga terjadinya insiden berkenaan," katanya ketika diminta mengulas video yang tersebar di laman sosial sejak 2 hari lepas.

Video berdurasi 6 minit 29 saat itu memaparkan sekumpulan murid lelaki memukul seorang murid lain yang lengkap berpakaian pengawas di surau sekolah berkenaan.

Menerusi rakaman video itu, seorang murid tahun 4 dan 5 pelajar tahun 5 yang berpakaian sukan menumbuk , menyepak, memijak bahu dan memaksa mangsa mencium stokin.

Polis Besut berkata semalam, pihaknya akan menyiasat dan mengesan individu yang terbabit

Superintendan Khaled Che Lah, berkata bapa mangsa sudah membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, jam 9 pagi kelmarin.

Beliau berkata, bapa mangsa turut mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah mengenai kejadian menimpa anak lelakinya itu.  

 "Kita ada menerima laporan kejadian dan kita akan melakukan siasatan terperinci.  Malah, kita juga turut mengesan individu yang menyebarkan rakaman video berkenaan untuk disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan video itu di laman sosial," katanya.

Berdasarkan keterangan pada video berkenaan yang dipaparkan di sebuah laman sosial, penulisnya mendakwa mangsa adalah saudara terdekatnya dan kerap menjadi mangsa buli di sekolah itu.

"Setiap hari minta duit dari si mangsa. Kalau tidak beri kena pukul. Setiap hari kena ugut suruh jangan beritahu sesiapa, kalau tidak, kena pukul. Patutlah mangsa sejak darjah empat dan lima dulu asyik minta tukar sekolah. Tetapi tidak mampu nak cakap sebab apa nak tukar sekolah.

 "Hati ayah dan ibu mana tak terasa tengok anak dipukul, disepak. Selama ini mangsa ke sekolah dalam ketakutan. Nak beritahu ibu bapa tak berani. Pernah sekali mengadu pada ibu dan ibu mengadu pada seorang guru sekolah, tetapi hanya dipandang ringan.  

 "Sebaliknya mangsa dipukul oleh pembuli kerana bertindak membocorkan rahsia. Cikgu sekarang benda berlaku di sekolah pun tak ambil pusing. Sedangkan budak sekolah rendah saja. Pelik," kata penulis itu yang memperkenalkan dirinya sebagai saudara terdekat.

Ghazali selanjutnya berkata jika terbukti wujudnya kecuaian, pihaknya tidak keberatan mengambil tindakan ke atas guru yang terbabit termasuk dipecat atau ditukar.

"Bagaimanapun kes ini perlu disiasat lebih terperinci dan kita akan putuskan nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata pihaknya akan mengikut SOP yang  ditetapkan untuk menyiasat kes berkenaan.


"Kita juga akan turut memberikan kaunseling kepada mangsa untuk mengatasi trauma yang dialami dan 1 perjanjian menyelesaikan perkara itu dengan cara baik akan dilakukan. Namun ianya bergantung kepada budi bicara keluarga mangsa," katanya. 

No comments:

Post a Comment