Thursday 24 May 2018

PAS Perlu Bersih Imej ‘Khianat Kepada Rakyat Terengganu’ Terlebih Dahulu...



Sebelum melangkah lebih jauh, ada dua isu yang sewajarnya dilihat dengan teliti oleh Kerajaan Negeri pimpinan PAS Terengganu sekarang.

Ini bukan main-main. Ia melibatkan wang rakyat dan ‘khianat terhadap rakyat Terengganu’.

Pertama isu kehilangan wang RM432 juta daripada bayaran royalti minyak oleh Petronas dan Kerajaan Pusat pada tahun 2000 kepada kerajaan negeri.

Kesan daripada ini Putrajaya memutuskan royalti dihentikan dan digantikan dengan Wang Ihsan.

Kedua ialah kes saman berkaitan kontrak membalak sekitar RM1 bilion (RM1,000 juta) oleh Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu).terhadap kerajaan negeri yang belum selesai.

Sebagai rekod, penerbangan balak berkenaan bagi tujuan membina empangan kedua mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu yang mana telah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum 1999 duhulu.

Kedua-duanya melibatkan  jumlah yang besar dalam konteks wang rakyat Terengganu.


Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar  dan Setiausaha Kerajaan Negeri  Datuk A. Rahman Yahya jangan cuba ‘menyorok dua isu besar ini di bawah permaidani’.

Dengan kedudukan di mana kantong Kerajaan Negeri dikatakan  hampir kosong (tiada peninggalan banyak oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini), kerajaan PAS mungkin  hanya boleh membayar gaji kakitangan awam negeri itu setakat Julai, dua isu ini juga akan menjadi ‘ancaman getir’ kepada kerajaan PAS Terengganu.

Dengan dua isu ini semakin menghambat kerajaan PAS pimpinan Dr Ahmad Shamsuri, adalah elok jika dua isu di atas yang dianggap ‘tunggakan lapuk’ kerajaan PAS terdahulu diambil kira dan perlu diselesaikan.

Jangan lupa kerajaan PAS terdahulu adalah pimpinan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sebagai bekas Setiausaha Politik Hadi sebelum ini, Dr Ahmad Shamsuri perlu membersih imej bekas bosnya!

Amat nyata dua kes ini menjadi pertanyaan rakyat Terengganu terhadap sejuah mana bersih dan integriti kerajaan pimpinan PAS dahulu dan sekarang..

Kerajaan PAS tidak boleh menafikan lagi pengkhianatan terhadap rakyat itu yang berlaku ketika  PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Apakah duit rakyat akan digunakan untuk membayar saman RM1 bilion?

Jika tidak apakah cukup untuk PAS atau Hadi  membayarnya jika benar ia ada kira-kira RM200 juta yang diberikan oleh UMNO!

Saman  yang dibuat oleh syarikat konsesi balak iaitu Riyapadu terhadap kerajaan negeri kerana menamatkan perjanjian penerbangan balak di Tasik Kenyir yang ditarik balik ketika PAS memerintah Terengganu.

Jangan lupa, Kerajaan Negeri kalah dalam saman itu dan telah diputuskan oleh mahkamah agar membayar sebanyak RM 1.0 bilion kepada Riyapadu walaupun ada usaha untuk berunding untuk mengurangkan kadar bayaran itu’.

Yang nyata akibat daripada pengurusan yang tidak cekap (kerajaan PAS) dengan menamatkan kontrak atau perjanjian konsesi tersebut dan rakyat Terengganu – termasuk yang tidak menyokong PAS - menanggungnya hari ini.

Dalam konteks wang royalti, seperti disebut oleh bekas wartawan, Hambali Abdul Latiff melalui Facebooknya, dalam kesibukan SPRM menyiasat kes-kes penyelewengan wang rakyat, tidak bolehkah siasatan dibuka semula terhadap kehilangan wang RM432 juta - Wang Royalti - ketika kepimpinan PAS Terengganu 2000-2004?


Katanya, wang yang tidak diketahui hilangnya berlaku ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi menteri besar Terengganu.

Hambali mengemukakan pertanyaan, “Bagaimana wang rakyat Terengganu sebanyak itu boleh dipejamkan mata begitu sahaja?”

Kata Hambali, memang kes ini tidak besar berbanding penyelewengan dalam isu 1MDB, Felda atau sebagainya yang berbilion ringgit. Namun RM432 juta pada awal tahun 2000 jika dinilai dengan kedudukan mata wang sekarang, ia lebih RM1bilion,

Malah, katanya kehilangan wang ini jauh lebih besar daripada tuduhan kononnya pemimpin PAS sekarang menerima wang 1MDB sebanyak RM90 juta dan ada mengatakan sampai RM200 juta.

Masa belum lama bagi kes RM432 juta itu. Ia berlaku 18 tahun lalu dan Perdana Menteri sekarang - Tun Dr Mahathir Mohamad - juga adalah Perdana Menteri ketkia itu dan semestinya kes ini masih diingati dengan jelas oleh ‘orang tua 92 tahun itu’.

Apakah Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus menyepikan diri?

Apakah mereka tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap wang yang hilang kira-kira RM2 bilion itu?

Rakyat Terengganu perlu melihat kes ini dengan teliti kerana ia membabitkan wang mereka!

No comments:

Post a Comment