Monday 18 July 2016

Rasuah - Dapat RM1,000 Didenda RM20,000, Penjara Enam Bulan

Mohd Nawi dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000 semalam.
Gara-gara  menerima wang RM1,000 sebagai dorongan mengubah keputusan air kencing milik daripada seorang lelaki  yang dikatakan positif dadah, seorang anggota polis dihukum penjara dan denda.

Polis berkenaan yang  berpangkat sarjan dihukum enam bulan penjara dan dikenakan denda RM20,000 selepas mengaku meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,000, tiga tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Nawi Daud, 53, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, berdepan hukuman penjara sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mohd Nawi mengaku salah meminta suapan RM1,000 daripada Muhammad Ameer Izzuddin Samsol, 23, di sebuah rumah di Taman Mulia Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, kira-kira jam 8 malam, pada 12 Januari 2013.

Mohd Nawi mengaku meminta wang itu sebagai dorongan mengubah keputusan air kencing milik Muhammad Ameer Izzuddin yang dikatakan positif dadah.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sejurus pengakuan salah Mohd Nawi direkodkan, Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM10,000 atau dua minggu penjara sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Mohd Nawi mengaku salah menerima suapan daripada Muhammad Ameer Izzuddin sebanyak RM1,000 di hadapan sebuah bank di Jalan Baru Pak Katak, Dungun, kira-kira jam 6 petang, pada 14 Januari 2013.

Dengan itu, Mohd Nawi mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi kesalahan itu, jika disabit kesalahan dia boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Susulan pengakuan salah bagi kesalahan itu, Asmadi menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau dua minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Bagaimanapun, Asmadi mengarahkan hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan berjalan secara serentak bermula semalam.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh, manakala Mohd Nawi diwakili peguam bela, Hasif Hasan.

No comments:

Post a Comment