Tuesday 19 July 2016

Bos Gaurus Bangkit Untuk Menang Besar Tewaskan PKNS FC 4-1

PEMAIN Perak, Xhevahir Sukaj (kanan) membuat rembatan ke arah gawang gol PKNS FC.
Pasukan Perak menampilkan kebangkitan dengan kemenangan besar 4-1 ke atas PKNS FC dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia 2016 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

The Bos Gaurus yang sebelum ini tewas 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu lepas, mempamerkan aksi bertenaga malam ini dan berada di hadapan menerusi sepakan penalti Elias Fernandes De Oliviera pada minit ke-47, sebelum Xhevahir Sukaj dan Fazrul Hazli menghukum kesilapan benteng pertahanan pasukan pelawat, masing-masing pada minit ke-50 dan 51.

Elias Fernandes terus meletakkan pasukan tuan rumah di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-64, manakala PKNS FC meraih gol tunggal menerusi Gonzolo Manuel Soto pada minit ke-89.

Pemain Perak, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri mengawal bola sebelum merembat ke gawang PKNS untuk gol ketiga Perak.
Terengganu dan T-Team pula akan beraksi malam ini di mana Terengganu akan menentang Felda United di tempat lawan, sementara T-Team akan menentang Kedah di tempat sendiri iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Perlawanan yang turut dijangka menarik malam ini ialah Kelantan menentang Selangor di Shah Alam.

Kuala Lumpur pula semalam mencipta kejutan dalam Kumpulan B Piala Malaysia apabila membenam Pahang 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Ismail Zakaria itu muncul pendahulu Kumpulan B untuk sekurang-kurangnya 24 jam kerana satu lagi perlawanan, Selangor dan Kelantan hanya akan berlangsung esok.

Penjaga Gol Kuala Lumpur Soffuan Tawil berjaya menghalang tandukan pemain Pahang FC Matthew Thomas Daviesdi Stadium Selayang.

Menentang pasukan Tok Gajah yang beraksi dalam Liga Super, The Hawks nyata berada dalam kelas yang tersendiri apabila mereka lebih banyak mencipta peluang dan menguasai permainan meskipun merehatkan lima tonggak mereka pada aksi itu.
 Skuad ibu kota menjaringkan gol menerusi Leonardo Moreira pada minit ke-10 diikuti Jonathan Zorrila pada minit ke-53. 

Dalam satu lagi saingan Kumpulan C, JDT sekadar seri 1-1 menentang PDRM, hasil gol sendiri pemain lawan, K Reuben pada minit ke-70, sebelum Safuwan Baharudin menyamakan kedudukan untuk PDRM pada masa tambahan, di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Turut meraih kemenangan pertama ialah Negeri Sembilan yang menewaskan Melaka 3-2 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

R Aroon Kumar (kiri) bersaing merebut bola dengan R Surendran (kanan).
Biarpun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Yashir Armando Pinto pada minit ke-12, pemain import tuan rumah, Alexender Moreton Smith bertindak cemerlang apabila menyumbat masuk dua gol pada minit ke-26 dan 37.

Walaupun Negeri Sembilan beraksi dengan 10 pemain selepas Hariri Safii dilayangkan kad merah kerana mengasari Yashir Armado pada minit ke-32, semangat pasukan tuan rumah tidak luntur dan mereka memperoleh gol ketiga menerusi Henrique De' Silva pada minit ke-39.

Pada separuh masa kedua, Melaka merapatkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 melalui Ferris Danial.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, pula menyaksikan Johor Darul II terikat 0-0 ketika menerima kunjungan Sarawak dalam saingan Kumpulan A.

No comments:

Post a Comment