Monday 21 November 2016

BERSIH5 – Lebai PAS Tak Payah Ugut, Bertindak Sahaja Kepada Yang ‘Biadap’...

Dr Syed Azman sertai BERSIH 5.0 (Gambar Twitter Dr Syed Azman)
Lebai PAS tidak payah berdolak-dalik dan main ugut-ugut kononnya ahli parti itu turun BERSIH 5.0 mungkin berdepan tindakan.

Sudah jelas PAS tolak BERSIH5 dan anggapnya sebagai biadap, jadi tunggu apa lagi?

Semua yang turun menyokong BERSIH5  adalah kalangan yang biadap kepada parti dan Presiden PAS.

Sah sudah yang  datang BERSIH5 itu bersedia untuk digelar ‘biadap’ dan bersedia untuk dikenakan tindakan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang jangan lengah-lengah lagi. Tak payah cakap pusing keliling macam ‘ke....’

Kenakan tindakan tegas bukan ugutan. Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli dan pemimpin PAS lain.

Jangan dengar apa yang dikatakan oleh anggota Majlis Syura PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa  PAS walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.

Ini pendapat mahu berdiplomasi tetapi kenyataan Hadi sudah terang dan jelas.
Malah, Ketua Penerangan PAS , Nasruddin Hassan Tantawi turut  menegaskan bahawa keputusan PAS jelas bahawa parti itu tidak akan sertai Himpunan Bersih 5 maka ahli PAS juga mesti mematuhinya.

Tidak payahlah anggota parlimen Kuala Nerus itu cuba mengambil hati pemimpin PAS yang sedia ke gelanggang BERSIH dengan mengatakan  beliau menyerahkan kepada pimpinan untuk memutuskan sekiranya terdapat sebarang tindakan yang akan diambil.

"Kita tak turun BERSIH secara rasmi tapi tak halang (anggota) untuk pergi," kata Dr Mohd Khairuddin kepada pemberita di perkarangan Dewan Rakyat semalam.

Kata-katanya, "Itu kita akan lihatlah oleh pimpinan macam mana keadaan," hanya mahu meredakan keadaan.

Semalam Hadi kata PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang menyertai perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.


Rujukkan segera mereka itu kepada jawatankuasa disiplin. Tunggu aduan? Tidak payah kerana terang lagi bersuluh ada ahli dan pemimpinnya sertai BERSIH5.

Apa lagi bukti yang mahu dibawa kerana jelas mereka menyertai perhimpunan itu. Ada gambarpun.

Malah mereka bangga di perhimpunan itu apabila dengan sengaja meletakkan di Facebook muka mereka atau diberikan kebenaran untuk gambar disiarkan.

Lebai PAS jangan berdolak-dalik. Jangan jadikan PAS pula ‘biadap’ apabila bersekongkol dengan pemimpin dan ahlinya yang ‘biadap’.

Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memang antara yang hadir dalam acara itu, selain bekas ketua pengarang organ rasmi PAS Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.

Apa pula status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Syed Azman Syed Nawawi yang turut menyertai BERIH5?

Mungkin ada lagi yang menyertai BERSIH5 dan bersedia dikenakan tindakan kerana mereka tahu pemimpin utama sudah memberi amaran.


Hadi yang bercakap kepada pemberita  pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam mengulangi pendirian PAS untuk menolak percubaan mana-mana pihak untuk mencetuskan sesuatu di luar sistem demokrasi.

"Jika ada aduan... parti tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokong PAS yang akur keputusan parti dengan tidak hadir ke perhimpunan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Aduan apa Hadi? Bertindaklah untuk membuktikan PAS parti Islam yang akan menghukum bagi mereka yang menentang arus dan tidak mematuhi keputusan ketua dan jemaah.

Larangan sudah dikeluarkan tetapi mereka ingkar. Apa hukuman terhadap yang ingkar kepada ketua Parti Islam?

Nyata sudah, Hadi sendiri mengatakan, "Kita tidak mahu (dalam) demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi,", jadi tidak ada sebab lagi untuk berlengah.

Kerana itu tidak payahlah Lebai PAS berpusing-pusing, belok kiri dan kanan dalam hal ini.


Bertindaklah. Sama-sama kita lihat apa kesan kepada imej PAS dana pa keputusan mereka yang dikenakan tindakan.

No comments:

Post a Comment