Saturday 20 August 2016

Najib - Jangan Remehkan ‘Ribut Dalam Cawan’, Ia Boleh Merebak...


Hanya ‘ribut dalam cawan’ dan ‘perselisihan adik beradik?’

Jangan remehkan kemelut yang melanda Terengganu, demikian pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau turut memberi amaran walaupun kemelut di Terengganu ibarat 'ribut dalam cawan', ia boleh merebak sekiranya ahli UMNO negeri itu tidak bersatu.

Alamt berbahaya jika ahli UMNO tidak berpegang pada satu ikatan.

Berikutan itu, Najib meminta seluruh kepemimpinan dan rakyat Terengganu memberi kepercayaan penuh kepadanya selaku Presiden UMNO untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman pula turut berjanji segala permasalahan dalaman yang melanda UMNO Terengganu akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan ia tidak membantutkan perjuangan UMNO.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerus itu menegaskan, konflik dalaman yang berlaku hanyalah perselisihan adik beradik, dan beliau yakin semua ahli UMNO Terengganu tetap sayang dan cintakan kepada parti.


"UMNO Terengganu sudah melalui perjalanan yang cukup lama, sudah merasai pengalaman yang penuh berliku, sudah menghadapi situasi yang sangat memeritkan, ‘ tegasnya.

Ahmad Razif berkata UMNO negeri sudah mempunyai agenda untuk menjayakan dan memastikan pada pilihan raya umum akan datang UMNO Terengganu akan menang dengan cemerlang.

"Ia juga sebagai hadiah terbaik kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang tidak putus-putus memberi semangat kepada kita di saat UMNO negeri berhadapan dengan konflik dalaman," katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri mengingatkan supaya jangan ada pihak yang cuba dan sanggup menebuk kapal sehingga boleh menyebabkan ia tenggelam.

Katanya, dalam menangani kemelut yang sentiasa menjadi isu di negeri ini, beliau berharap rakyat Terengganu akan terus memberi kepercayaan kepadanya dalam memikirkan kaedah untuk memperbaiki keadaan.

Najib mengakui  telahpun bersemuka dengan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut dilakukan secara berperingkat dan beliau sentiasa berlapang dada untuk mendengar setiap keluhan mereka bagi memastikan UMNO Terengganu terus stabil.


"Tak usahlah kita serabut sangat kepala...cukup. Saya tengok orang Terengganu ini banyak sangat serabut...serah perkara ini kepada saya sebagai perdana menteri dan presiden parti.

"Saya akan fikir yang terbaik...saya pun dah jumpa dari hati ke hati dengan setiap ADUN...belum habis lagi, dalam proses. Saya nak tahu apa sebenarnya, saya nak dapatkan gambaran terbaik, mudah-mudahan ada permuafakatan," katanya.

Najib berkata dalam memimpin, beliau sentiasa mengamalkan perbincangan sesama ahli dan tidak akan membuat keputusan secara bersendiri malah tidak pernah memaksa pihak lain mengiayakan sahaja cadangannya.

Namun, beliau berharap sekiranya terdapat ketidakpuasan hati terhadap pemimpin, ia hendaklah dibangkitkan dengan cara yang beradab.

Bagi beliau kaedah muafakat dan syura yang menjadi pegangan kepemimpinannya, ketegangan politik di negeri penyu itu boleh diselesaikan dengan baik.


"Mudah-mudahan kalau ada muafakat akan selesai," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Kuala Terengganu dan Pertandingan Pusat Daerah Mengundi UMNO Terengganu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu semalam.


Najib berkata, menerusi prinsip syura yang diamalkan dalam kepemimpinannya, beliau tidak akan membuat keputusan secara sendiri, sebaliknya dengan cara melakukan rundingan bersama.

Selain itu, katanya, adalah penting dalam mana-mana pertubuhan untuk bergantung dan taat kepada satu nakhoda sahaja yang menjadi antara satu ramuan untuk memperoleh kemenangan dan kejayaan termasuk dalam kepemimpinan politik.

"Dalam mana-mana pertubuhan kena ada satu nakhoda sahaja sama ada kapten peringkat negeri atau Pusat. Nakhoda itu adalah seorang yang kita perlu taat padanya supaya organisasi kita kuat. "Nakhoda pun kena ambil kira dan dengar anak buah.

Kena ada semangat berpasukan dan kerjasama yang baik atas semangat syura, maka bahtera kita akan lancar," katanya.

"Oleh itu, marilah kita serahkan soal kepemimpinan ini kepada saya dan pihak yang berkenaan. Niat saya tiada lain, selain hendak pastikan UMNO dan BN lebih kukuh," katanya.

Najib berkata, Terengganu yang disifatkannya sebagai 'swing state' mempunyai kekuatan untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang, namun perlu mengelakkan pergeseran sesama sendiri yang boleh menjejaskan peluang berkenaan.

"Berbeza dengan Kelantan, kita kalah sejak 1990 sampai hari ini...26 tahun, Terengganu ini ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Ada masa kita menang cemerlang, ada masa kita menang sipi-sipi," katanya.

"Angin yang bertiup hari ini ke arah mana? Angin yang bertiup hari ini ke arah BN menang? Kalau nak menang...buatlah cara nak menang.


 Jangan nak 'baloh-baloh' (berbalah) sesama sendiri," tegas Presiden UMNO itu.

No comments:

Post a Comment