Tuesday 9 August 2016

Terima Kasih PAS Tolak Ahmad Said, Bolehkah Berkongsi Dengan UMNO?


Rakyat Terengganu kena tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 untuk mengetahui siapa akan membentuk kerajaan negeri.

Dalam tempoh setahun atau mungkin 18 bulan akan datang, rakyat boleh menilai parti yang wajar mereka pilih untuk perintah negeri.

Walaupun ketika ini persaingan antara PAS dan UMNO (Barisan Nasional), namun  dalam tempoh setahun, bentuk persaingan mungkin akan bertukar.

Ini kerana ada beberapa kemungkinan.

Dengan wujudnya parti baharu - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – yang menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) , jika diluluskan pendaftarannya,  sudah pasti persaingan akan menjadi semakin sengit.

Alignmen politk mungkin berubah. Apalagi jika ada perubahan kepimpinan dalam UMNO Terengganu itu sendiri, dalam masa terdekat.

PAS yang menganggap cara terbaik menyelesai krisis politik UMNO tanpa menyusahkan pelbagai pihak terutamanya rakyat,  akan sabar menunggu PRU akan datang.


Apakah kemungkinan senario dalam setahun ini?

1.      UMNO akan mempunyai masa untuk ‘memperbetulkan’ sebarang kelemahan atau kekurangan yang ada untuk menghadapi persaingan dalam PRU-14 melalui perubahan-perubahan tertentu yang akan dilaksanakan;

2.      Wujudnya parti baharu akan menjadikan kerjasama pembangkang akan lebih mantap dengan adanya PKR, AMANAH dan DAP dalam pakatan berkenaan;

3.      PAS belum pasti akan menyertai pakatan itu dengan adanya AMANAH dan parti baharu.

4.      PAS yang tidak boleh lagi bekerjasama dengan PKR Terengganu dan AMANAH mungkin akan berjuang bersendirian dengan IKATAN, dan

5.      PAS berkongsi kerusi dengan BN untuk membentuk kerajaan campuran.

Melihat kepada suasana sekarang, rasanya jalan yang akan dipilih oleh PAS ialah berjuang bersendirian.

UMNO juga tidak ada sebab untuk berkongsi kerusi dengan PAS.

Rasanya PAS juga tidak akan memilih untuk berkongsi kerusi dengan UMNO kerana sejarah sebelum ini menunjukkan PAS memang ‘tamak’.

Dia tidak akan berkongsi dengan sesiapa untuk membentuk kerajaan negeri.

Apa lagi PAS amat yakin akan dapat mengalahkan BN pada PRU-14, tanpa melihat realiti politik baru di Terengganu.

Ini bermakna BN hanya boleh bernafas lega dalam tempoh 12 hingga 18 bulan ke hadapan ini. 

Ahmad Razif sudah terselamat daripada ancaman PAS dan Ahmad Said ketika ini tetapi tidak pasti apakah apabila ada ‘pembaharuan politik BN' Terengganu tidak lama lagi, beliau tidak akan terjejas.

PAS juga tidak  mudah melepaskan kerusi kepada PKR seperti dalam pilihan raya umum lalu.

PKR mendakwa, PAS mulanya berjanji untuk menyerahkan kepada PKR kerusi Bukit Besi, Kota Putera dan satu kerusi dalam Parlimen Kual Nerus, selain DUN Bandar.

Pertikaian di mahkamah membuktikan dakwaan PKR itu benar, khususnya di DUN Bukit Besi.

Jika demikian, apakah PAS akan bekerjasama dengan pihak lain daripada parti pembangkang? Tidak mungkin.

PAS sudah membuktikan ia tidak akan bekerjasama dengan sesiapa, termasuk dengan ADUN UMNO jika ada kejadian lompat parti.

PAS Terengganu jelas patuh dengan pendirian PAS Pusat yang melarang berkerjasama dengan 'pemberontak UMNO' (Ahmad Said) untuk menggulingkan Ahmad Razif.


Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengakui ini adalah kerana parti itu berpegang kepada pendirian bahawa proses untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui cara demokrasi menerusi pilihan raya umum.

"Dalam isu kemelut politik di Terengganu, PAS pada asasnya selari dengan pendirian Presiden PAS bahawa proses pilihan raya untuk memilih teraju negeri dan negara harus dilakukan melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya umum.

"PAS bagaimanapun buat masa ini belum memikirkan untuk bersekutu dengan mana-mana pemimpin Umno, sebaliknya akan bersama PKR dalam pakatan pembangkang dan Parti Ikatan dalam Blok Ketiga," katanya dipetik Mingguan Malaysia kelmarin.

Kerjasama yang disebut oleh Takiyuddin itu mungkin di negeri lain pada ketika ini tetapi mungkin tidak langsung pada pilihan raya umum akan datang.

Malah, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut mengatakan, jika berlaku pilihan raya negeri (PRN), seluruh negara akan tumpu ke Terengganu.

Bererti jentera dari seluruh negara akan turun bantu BN. Begitu juga dengan PAS. Rasanya soal jentera dan duit tidak lagi jadi masalah kepada PAS, kecuali di pihak ‘ketiga; iaitu Pakatan Harapan.

Kerana itu Abdul Wahid Isnin lalu, rakyat diajak supaya ‘cool down’ dan mereka boleh tunjuk siapa sebenarnya yang mereka mahu mentadbir negeri Terengganu.

Menteri Besar dan UMNO Terengganu sewajarnya berterima kasih kepada PAS kerana tidak menunjukkan keinginan langsung untuk ‘merampas kuasa’ walaupun pembangkang ada kerusi yang cukup ‘untuk’ melakukan sesuatu.

Dengan PAS ada 14 kerusi, PKR 1 bermakna mereka sudah ada 15 kerusi, Cuma memerlukan satu atau dua lagi kerusi untuk menjadikan menjadikan DUN Terengganu terumbang-ambing. Namun PAS bermain ‘politik matang’.

Dalam pilihan Raya Umum Ke-13, BN hanya mencatatkan kemenangan tipis di Terengganu dengan menguasai 17 kerusi DUN manakala PAS (14) dan satu kerusi PKR.

PAS tidak mahu menangguk di air keruh dalam keadaan krisis politik BN Terengganu ketika ini apabila bekas Menteri Besar, Datuk  Seri Ahmad Said menyerang secara terbuka pentadbiran Negeri Terengganu.

Banyak pendedahan dibuat mengenai kelemahan dan penyewengan takbir urus sehingga  Ahmad Said pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, namun PAS tetap dengan pendiriannya, tidak akan campur urusan rumahtangga parti lain.

Rakyat juga memerhati, dengan sikap PAS ketika ini yang tidak menunjukkan minat untuk memerintah walaupun ada ruang dan peluang, apakah mereka juga bersedia selepas PRU-14.

Juga dengan pelbagai perkembangan terbaru mengenai PAS selepas ini, rakyat akan dapat menilai sejauh mana kejujuran pemimpin PAS yang kononnya mampu menjadi pengganti kepada BN sekarang.

Juga paling penting, jika berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru di kebanyakan DUN Terengganu, bukankah itu akan memberikan kelebihan kepada BN?

Apakah PAS sekali lagi akan berputih mata?

Ia akan menyesal kerana tidak menggunakan ruang dan peluang yang tersedia untuk mereka mengambil alih kerajaan negeri ketika ini gara-gara kononnya ia mengamalkan budaya ‘politik matang dan sejahtera’ yang diperkenalkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

No comments:

Post a Comment