Wednesday 3 August 2016

Apa Pilihan Najib Atasi Krisis Menteri Besar, Politik Terengganu?


"Beranikah Najib ‘mencampakkan Ahmad Razif’ sedangkan ada perkara yang sebelum ini disebut ‘rahsia besar’ di kongsikan antara mereka berdua. Beranikah Najib berbuat demikian dan tidakkah nanti ‘rahsia besar; itu akan diletupkan oleh Ahmad Razif?"

Khabarnya sudah dua kali Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menghantar pesanan kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman supaya ‘berhenti dengan sukarela’.

Pesanan itu disampaikan melalui seorang Ketua Bahagian di Terengganu. Namun apa jawapan Ahmad Razif? “Kamulah yang berhenti daripada menjadi....” (sengaja dibiarkan menjadi tanda tanya).

Beberapa Ketua Bahagian UMNO Terengganu memang tahu hal ini, atau mungkin sudah kesemuanya.  Dia dah jadi ‘known secret’.

Mendengar khabar ini, teringat kepada apa yang pernah berlaku pada pertengahan 1990-an apabila Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu menghantar pesanan melalui Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Tan Sri Mohamed Rahmat kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Menteri Besar Terengganu itu diminta berundur untuk membuka laluan kepada Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor yang bertanding di Dewan Undangan Negeri Kampung Raja (kini Kota Putera) yang dihantar ke negeri untuk menjadi Menteri Besar.

Wan Mokhtar buat-buat tidak faham dan Yusof terpaksa menunggu selama lima tahun. tetapi apa yang terjadi? Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu kalah pada pilihan raya umum tahun itu kepada PAS yang membolehkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentuk kerajaan.

Pertanyaan ialah, selepas kira-kira 20 tahun menjelang, iaitu pada pilihan raya umum 2018 (jika tidak tahun hadapan), apakah sejarah akan berulang?

Tan Sri Wan Mokhtar pada majlis Hari Raya. Paling kiri Datuk Mohad Awang Tera.
Keadaannya lebih kurang sama, jika pada 1995, BN Terengganu sepatutnya mendapat Menteri Besar baharu tetapi pada 205-2016, Menteri Besar baharu yang menggantikan Datuk Seri Ahmad Said ‘tidak menjadi seperti diharapkan’ dan kini diminta berhenti oleh ‘sebilangan pemimpin UMNO’ sendiri.

Jika faktor lama dan Terengganu memerlukan ‘pendekatan baru kepimpinan dan pembangunan’ apabila Dr Yusof diminta menggantikan Wan Mokhtar,  kali ini kerajaan negeri melalui ‘Transformasi Terengganu Baharu’ dilihat gagal memenuhi ikrar dan slogannya sendiri.

Slogan berdegar-degar namun isinya tiada dan apa yang dinikmati dan akan dinikmati oleh rakyat Terengganu adalah hasil ‘buah tangan’ Wan Mokhtar, Datuk Seri Idris Jusoh dan aduan semula oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Apa pembangunan yang ditunjukkan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman yang boleh dibanggakan oleh rakyat Terengganu sejauh ini?

Rakyat rata-rata masih bercakap mengenai pembangunan yang diperkenalkan oleh Ahmad Said melalui pentadbirannya 'Merakyatkan Pembangunan' khususnya pembangunan di luar bandar.

Rakyat juga masih tidak melupakan 'kemesraan' Ahmad Said yang sering melawat rakyat di kampung tidak kira pada musim buah-buah, Ramadan, Hari Raya atau juga ketika banjir.

Razif? Menteri Besar protokol dan perlukan khalayak ramai untuk sesuatu majlis.

Ahmad Razif kononnya mahu memperbetulkan kelemahan pembangunan yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Betulkah? Bukankah ‘bagai tikus membaiki labuselain memberhentikan banyak program yang diperkenalkan tetapi tiuada alternatif diperkenalkan.

“Transformasi Terengganu Baharu’ tidak dijiwai oleh pentadbir negeri, malah masalah-masalah yang dihadapi umpamanya pembangunan Jerteh Souq, Taman Ilmu, Tasik Kenyir serta pembanguan umpamanya Bandar Baru Kijal di Kemaman banyak menjadi gajah putih.

Apakah ia memang tidak berpotensi atau sengaja dilakukan demi ‘memperlekehkan’ Ahmad Said?

Dalam isu kebersihan pun, selepas beberapa kali kerajaan tempatan diingatkan meletakkan keutamaan soal kebersihan, ia masih menjadi tanda tanya.

Rakyat dapat melihat dan merasai apa yang diusahakan oleh Ahmad Said, umpamanya pelebaran jalan empat lorong dari Kemaman ke Jerteh, rumah mampu milik serta pembangunan semula Kuala Terengganu, termasuk pembinaan kondo dalam bandar.

Pemberhentian e-Book kononnya akan memperkenalkan kelas maya juga tidak menjadi. Sampai sekarang, walaupun Menteri Besar ini bekas EXCO pendidikan, tidak menunjukkan sebarang kesan terhadap pendekatan pendidikan yang kononnya akan lebih baik daripada era Idris atau Ahmad Said.

Isu pembinaan Pasar Payang yang kononnya diperhalusi belum menampakkan sebarang hasil, sebaliknya pembangunan di muara Sungai Terengganu yang diilhamkan Ahmad Said  yang dikatakan Menteri Besar sekarang turut ‘merasai habuannya’ sedang berjalan dan dapat dilihat dengan jelas.

Eloklah jika Najib cepat-cepat atasi masalah kepimpinan di Terengganu kerana pentadbiran parti juga tidak bergerak.

Ahmad Razif menjalankan pentadbiran kerajaan dan parti melalui ‘pecah dan perintah’.

Beliau dikatakan sering ‘membohongi’ ADUN dengan pelbagai janji – menabur berbagai janji dengan ADUN tetapi apabila bertemu ‘Wan Ahamadnya” (istilah yang diberikan kepada lima atau enam penasihat Ahmad Razif terdiri daripada penjawat awam, abangnya serta orang parti yang mendapat habuan) betukar menjadi lain.

Akhir-akhir ini beliau cuba dapatkan sokongan dan nasihat bekas ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid dengan melantik beliau mengetuai sebuah agensi di bawah Pejabat Menteri Besar, sedangkan Rosol ini memang mempunyai rekos tidak baik dengan istana.

Selain itu pelantikan itu dilihat menganggu-gugat DUN Ajil yang kini diwakili Ghazali Taib iaitu EXCO Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas .

Di Kijal, kerana marahkan Ahmad Said, beliau melantik seorang Pegawai Penyeleras DUN, sedangkan bekas Menteri Besar itu yang menjadi ADUN adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Wajarkah begini?

Lebih pelik, peruntukan untuk DUN Kijal disekat melalui wakil rakyatnya sebaliknya ditadbir oleh Pejabat Menteri Besar melalui Pegawai Penyelaras DUN yang dilantik.

Di DUN Cukai, Ahmad Razif sengaja meletakkan Datuk Mohd Awang Tera sebagai Penyelaras DUN tanpa berunding dengan Ketua Bahagian. Sedangkan bekas ADUN itu dikatakan mensabotaj calon Barisan Nasional dalam pilihan raya umum  lalu dengan meminta rakyat di kawasan itu menyokong PAS.

Segala-galanya kerana beliau tidak dicalonkan semula kerana Ahmad Said meletakkan Setiausaha Politiknya bertanding di kerusi berkenaan. Sepatutnya yang mensabotaj parti dipecat daripada parti tetapi Ahmad Razif meletakkan beliau di tempat yang lebih baik.

Contoh terbaru dalam konteks perubahan EXCO dan cadangan melantik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan EXCO. INi keputusan peribadi beliau.

la juga dalam konteks perubahan pelantikan Pegawai Penyelaras DUN dan Parlimen. ya hanya mendapatkan pandangan ‘Wan Ahamadnya’.

Malah, dalam konteks untuk mendapatkan sokongan bagi memecat Ahmad Said daripada UMNO, Ahmad Razif yang sedar beliau tidak mendapat sokongan penuh kepimpinan UMNO Terengganu dan kalangan ADUNnya sendiri, sanggup meminta ADUN pembangkang.

Diberitakan beliau meminta ADUN tersebut menulis surat sokongan untuknya bagi ditunjukkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang terbaru untuk meyakinkan anggota majlis itu bahawa beliau juga mendapat sokongan pembangkang bagi tujuan itu.

Bagaimanapun ADUN berkenaan enggan berbuat demikian kerana tidak mahu mencampuri ‘urusan rumah tangga orang lain’, selain tidak sampai hati berbuat demikian kepada Ahmad Said yang dikenalinya begitu lama.

Hakikatnya Ahmad Razif kini berada dalam ‘ketakutan’ amat sangat akan kehilangan kerusi Menteri Besar.

Selepas pingat kebesarannya di tarik balik, beliau bagaikan ‘orang meracau’ kerana menyedari kini sokongan istana sudah tidak ada untuknya, kecuali hanya Perdana Menteri.

Dan lebih ‘meracau’ apabila permintaannya untuk memecat Ahmad Said tidak dilayan sementara di Terengganu, lebih ramai ADUN tidak lagi menyokongnya kerana perbuatannya sendiri, iaitu ‘sering berbohong’.

Kini ‘bola di kaki Najib’ sama ada dia mahu menyelamatkan Ahmad Razif atau UMNO Terengganu.

Cumanya, sanggupkan Najib ‘mencampakkan Ahmad Razif’ sedangkan ada perkara yang sebelum ini disebut ‘rahsia besar’ di kongsikan antara mereka berdua. Beranikah Najib berbuat demikian dan tidakkah nanti ‘rahsia besar; itu akan diletupkan oleh Ahmad Razif?

Mengadakan pilihan raya negeri yang baharu banyak kemungkinan. Ia memerlukan persetujuan istana dan membuka ruang kepada perdebatan banyak isu semasa ketika kempen. Najib dan Barisan Nasional pastinya mahu mengelakkanya kerana banyak persediaan perlu disediakan untuk menjawabnya.

Selain menghabiskan tenaga dan wang, pilihan raya negeri juga dengan sendirinya menyebabkan pembangkang akan dapat mengatur strateginya lebih lebih cepat untuk tujuan merampas Terengganu pada ketika UMNO negeri terumbang ambing.

Caranya mungkin menukar kepimpinan UMNO negeri dengan dipegang oleh pemimpin Posit atau oleh pemimpin UMNO negeri lain yang mempunyai rekod pentadbiran bahagian dan pilihan raya yang cemerlang.

Najib tahu siapa dan orang itu perlulah dihormati kerana Bahagian UMNOnya teguh.

Yang dilantik jangan seperti Ahmad Razif, walaupun Ketua Bahagian Kuala Nerus , hanya DUN Sebarang Takir sahaja dimiliki UMNO tetapi tiga yang lain berada di tangan PAS.

Malah percaturan politik oleh pemimpin UMNO Terengganu perlu bijak.

Falsafah yang perlu ialah ‘jangan membuat musuh tetapi dapatkan kawan dan rakan politik seramai mungkin’ jika mahu memenangi hati pemimpin semua peringkat UMNO di Terengganu.

Siapakah di kalangan Ketua Bahagian yang memiliki ciri-ciri ini? 

No comments:

Post a Comment