Tuesday, 28 January 2014

Siapa Memanipulasi Media - Aktivis Media ProPAS Atau Pejabat Menteri Besar?


Pembetulan siaran akhbar perbuatan memanupulasi media?

Siapa cuba memanipulasikan media, Pejabat Menteri Besar atau kumpulan aktivis media proPAS? 

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Rosli Zakaria sudah menyatakan dengan jelas dan mengakui kesilapan apabila menyebut: Selain itu, beliau menjelaskan perubahan hanyalah pada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, bukan Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Kata beliau: “Lawatan ini tiada kena mengena dengan YDSM dan ia dikendalikan melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).

“Kesilapan siaran media yang mengatakan lawatan itu dianjurkan YDSM sehingga menimbulkan salah faham adalah tidak disengajakan dan amat dikesali.” katanya.

Jelas dan tepat! Rosli mengakui kesilapan pihaknya dan sudah memperbetulkan fakta.

Jadi apa yang dimaksudkan manipulasi oleh Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) seperti yang disiarkan melalui blog proPAS itu?

Kenyataan hanya berbeza pada nama sahaja, bukan isi dan maksud.


Apakah Dr Azman Ibrahim (atas) mempunyai niat yang tersembunyi dan tidak baik apabila mengatakan “saya bimbang ada pihak yang berdolak dalih tentang suatu kenyataan sebenarnya berhubung isu pemergian Menteri Besar ke benua Antartik…yang paling teruk adalah pejabat MB sendiri seolah-olah memanupulasi pihak media terutama agensi Bernama, agensi rasmi negara.”?

Amat nyata yang cuba memanipulasikan kenyataan ialah Dr Azman. Sebagai pemimpin Dr Azman jangan cuba menangguk di air keruh!

Untuk makluman, Rosli yang pernah menjadi wartawan dan Ketua Biro New Straits Times lebih mengetahui dan bertanggungjawab mengenai kerjanya.

Sedangkan apakah pengalaman Dr Azman sebagai pengamal media yang memboleh dan melayakkannya dari segi pengalaman sebagai Pengerusi aktivis berkenaan?

Baca apa yang dinyatakan oleh Rosli Zakaria melalui pembetulan kenyataan akhbar berkenaan:




Lawatan ke Antartika yang diketuai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebenarnya dikendalikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria berkata, lawatan itu tiada kaitan dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini.
“Lawatan ini tiada kena mengena dengan YDSM dan ia dikendalikan melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti).
“Kesilapan siaran media yang mengatakan lawatan itu dianjurkan YDSM sehingga menimbulkan salah faham adalah tidak disengajakan dan amat dikesali,” katanya.
Ahmad dijadualkan pulang ke Terengganu pada 2 Februari ini selepas menamatkan lawatan kerja selama 15 hari di sana.
Terdahulu, YDSM melalui kenyataan medianya menafikan menganjurkan lawatan Menteri Besar Terengganu ke Antartika.
Katanya, yayasan hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemulihan alam sekitar negeri.
Bandingkan dengan apa yang disebut oleh Dr Azman: 

Isu Antartika; Pejabat Menteri Besar Jangan Berdolak Dalih, Memanupulasi Media

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Dr Azman Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan baru yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar Terengganu berhubung isu pemergian Dato’ Seri Ahmad Said ke Antartika.

Beliau mempersoalkan bagaimana dalam masa dua minggu pejabat yang menjadi pusat pentadbiran negeri boleh mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung isu tersebut. “saya bimbang ada pihak yang berdolak dalih tentang suatu kenyataan sebenarnya berhubung isu pemergian Menteri Besar ke benua Antartik, “yang paling teruk adalah pejabat MB sendiri seolah-olah memanupulasi pihak media terutama agensi Bernama, agensi rasmi negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan terbaru pejabat Menteri Besar yang membuat ‘pusingan U’ berhubung penglibatan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dalam ekspedisi yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Tenologi dan Inovasi. Menurutnya pada minggu lalu, bertarikh 15 Januari, 2014, pejabat MB dan Ahmad Said sendiri mendakwa perjalanannya adalah inisiatif bersama YDSM.

Pada 24 Januari, Bernama melaporkan, pejabat YDSM sebaliknya menafikan penglibatan Yayasan tersebut dan menjelaskan ia hanya terlibat kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri.

Setelah penafian itu, barulah pejabat MB khasnya Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria tiba-tiba mengakui pula, ia silap dilaporkan oleh pihak media. “ia adalah sesuatu yang amt serius, dan memalukan pejabat Menteri Besar Terengganu, bahkan sekiranya dakwaan Rosli benar bahawa ia adalah kesilapan siaran media.

“Rosli selaku Setiausaha Akhbar kepada MB perlu menyatakan dengan jelas, adakah pihak pejabat MB yang melakukan kesilapan atau pihak media yang silap,”jelasnya.

Katanya, selaku seorang aktivis media, beliau terpanggil untuk mengenengahkan isu tersebut bagi melindungi semua penggiat media, agar tidak diperkotak katikkan oleh orang politik.

“kalau silap, mengaku silap dan minta maaf, kalau pihak media silap atau kedua-dua silap, minta maaf kepada rakyat, “supaya rakyat tidak hilang kepercayaan kepada media dan agar rakyat tidak dipersalahkan sekiranya membuat sebarang komen yang ‘tajam’ dalam media sosial,”tambahnya.
Amat nyata apa yang cuba dispinkan oleh Dr Azman ini tidak menjadi kerana yang ikhlas menyatakan kesilapan dan memperbetulkan kenyataan akhbar adalah di pihak Rosli.

Yang kita nampak pemimpin pembangkang atau juga NGO PAS berusaha menpersoalkan lawatan Menteri Besar ke Antartika untuk memesongkan pemikiran rakyat dengan harapan rakyat mempersoalkan Menteri Besar.

Cara murahan mendapatkan sokongan politik seperti ini akan menyebabkan rakyat pula mempersoalkan mereka balik, 'apakah niat dan kerja baik Datuk Seri Ahmad Said wajar dipersoal, dicerca dan diperhodohkan sedemikian rupa?"

Friday, 24 January 2014

Lawatan ke Antartika - Ahmad Said Tidak Amanah, Berbohong Kepada Rakyat Terengganu?


"Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam. Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!"

Penafian oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) semalam bahawa ia tiada kena mengena dengan lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika memang sewajarnya diumumkan.

Ini kerana YDSM memang tidak terlibat dengan sebarang program atau rancangan di luar negara.

Sebaliknya YDSM hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.

Apakah Ahmad Said selaku Menteri Besar bercakap bohong dan menipu rakyat Terenggnu mengenai lawatannya ke khutub selatan itu?

Apakah Ahmad Said sebagai Menteri Besar sudah melanggar etika beramanah dan bercakap benar di mana pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah?

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan tidak wajar Ahmad Said menyalahgunakan nama Yayasan Diraja Sultan Mizan sebagai ‘justifikasi’ kepada lawatan beliau ke Antartika.

Beliau menegaskan, lawatan tersebut tidak ada kena mengena dengan negeri dan rakyat Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah memohon penjelasan daripada Menteri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh YDSM melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail semalam.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM, kata Mohd Nor.

Sultan Terengganu melancarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan pada 19 Julai 2012 di Universiti Malaysia Terengganu. 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Dr Kahiruddin Aman Razali pula , berkata penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan berhubung penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika mewajarkan mempertikaikan kedudukan beliau.

“Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar,” kata Khairuddin.

Tegasnya, pemerintah melibatkan etika beramanah dan bercakap benar dan pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah.

Penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail memang tepat dan wajar untuk menjaga nama baik YDSM yang apabila memperkatakan yayasan berkenaan sudah pasti akan menarik sama nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Nama YDSM dan Sultan Terengganu tidak wajar dipergunakan sewenang-wenangnya, apa lagi jika YDSM dan Sultan Terengganu tidak terlibat langsung dengan lawatan itu.

Datuk Seri Haji Ahmad Said di majlis MoU antara National Antartic Research Center of Malaysia dengan Institut Antartico Chileno.
Bagaimanapun, oleh kerana YDSM dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) adalah dua entity berbeza, Mohd Azrul tidak menyebut langsung mengenai pembabitan YPASM dalam isu lawatan itu.

Apa yang kita dapat lihat dan baca ialah kritik dan persoalan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS Terengganu khususnya berasaskan kepada mungkin kesilapan pada kenyataan akhbar oleh Pejabat Menteri Besar pada 15 Januari 2014 lalu yang mengarahkan kepada penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu. Sebaliknya Pejabat Menteri Besar semalam sudah memperbetulkan kenyataan sebelum ini dengan merujuk YDM kepada YPASM. Malah kesilapan itu diakui 'tidak disengajakan dan amaat dikesali'.

Jadi sudah jelas penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu tepat dan Menteri Besar membuat lawatan itu dikendalikan YPASM di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Amat jelas, tidak wajar isu penafian YDSM dijadikan bahan untuk menghentam Ahmad Said.

Kita sewajarnya menunggu 'tuan badan' pulang dan menjelaskan segala-galanya.

Jangan kita mempergunakan kesilapan kenyataan Pejabat Menteri Besar itu ‘menghodohkan’ kerajaan negeri dan Ahmad Said. Juga jangan buat prasangka melulu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang datang daripada parti yang mendakwa memperjuangankan Islam.

Memetik kenyataan Khairuddin sekali lagi : “Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar.”

Yang kita hairan ialah kenapa pegawai pentadbir negeri yang mengetahui mengenai lawatan ini, termasuk SUK sesiapa juga tampil memperjelaskan isu ini.

Kenapa mereka terus MENGUNCI MULUT?

Atau apakah SUK, dua timbalannya atau sesiapa sahaja yang maklum mengenai lawatan dan perbelanjaan MERAHSIAKAN SESUATU?

Di mana mereka yang sering mendakwa ‘orang kuat dan yang rapat dengan Menteri Besar’ dalam kekalutan seperti ini? Jika kesemua mereka ‘mendiamkan diri’ akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah Ahmad Said ke Antartika ‘melalui PINTU BELAKANG’ tanpa pengerahuan pegawai utama kerajaan negeri?

Di manakah ‘ikatan rapat’ antara Menteri Besar dan penjawat awam negeri Terengganu yang dikatakan rapat selama ini.

Tentunya di waktu seperti inilah mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Negeri perlu tampil menjelaskan isu ini.

Sidang media Menteri Besar sebelum ke Antartika 15 Januari lalu . Di kanan beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Kita lihat bagaimana Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sering bercakap mengenai isu yang sama dan KSN menjelaskan bagaimana 11 langkah penjimatan yang menjadi kecaman beberapa pihak diperjelaskan dengan begitu baik oleh KSN.

Perlu ada penjelasan yang baik mengenai ‘kemelut lawatan ini’ ini daripada kerajaan negeri kerana serangan yang ditujukan kpada Ahmad Said bukan ke atas dirinya tetapi kepada kedudukannya sebagai Menteri Besar. Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam.

Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!

Kita melihat beberapa Exco Kerajaan Negeri berusaha menjawab isu ini tetapi jawapaan mereka masih kabur.

Mereka juga seolah-oleh tidak diberikan ‘pengetahuan secukupnya’ mengenai lawatan ini?

Rasanya dengan makluman bahawa YPASM yang terbabit dalam lawatan ini ‘mencerahkan sedikit suasana’.
Namun jawapan yang jelas dan tepat tetap diperlukan untuk menafikan tuduhan bahawa Ahmad Said tidak beretika, tidak amanah dan menipu rakyat Terengganu khususnya.

Kita tunggu jawapan Ahmad Said, kerajaan negeri dan mungkin selepas ini akan ada kenyataan daripada YPASM untuk menafi, mematahkan serangan pembangkang selain memberitahu rakyat bahawa lawatan ke Antartika itu sangat BERBALOI untuk kepentingan iklim, kajian khutub, akademik serta penyelidikan untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya.

Juga Ahmad Said perlu buktikan bahawa pemikiran ke hadapannya perlu disambut oleh rakyat Terengganu dengan sikap dan pemikiran yang se arah dengannya, bukan pemikiran pembangkang yang terus berusaha mencemuh, memperkecil serta mencerca usaha beliau demi memaju dan mengangkat pemikiran dan martabat negeri ke satu tahap yang lebih maju dan ke hadapan berbanding sekarang.




BR1M 3.0 Kepada 7.9 Juta Rakyat Diagihkan Pertengahan Februari


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan mula diagihkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia yang layak pada pertengahan Februari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan pemberian BR1M ini ia akan dapat meringankan beban rakyat yang sedang menghadapi kenaikan harga barangan pada masa ini.

"Majlis Tertinggi (MT) Umno mengambil maklum bahawa BR1M akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi iaitu pada pertengahan bulan Februari, ia akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika mengumumkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion bagi melaksanakan BR1M 3.0.

Pada tahun ini, pemberian bantuan itu akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya juga, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Najib berkata tidak dinafikan bahawa rakyat mengalami masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi pelbagai program serta langkah yang sedang dan akan diambil.

Presiden Umno itu berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat juga sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang ditubuhkan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Di samping itu, kita turut melihat masalah rantaian bekalan yang wujud di mana pihak pemborong yang menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar (harga) yang berpatutan.

"Kita juga mengambil maklum kesan dari musim tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga, namun dengan langkah yang diambil kerajaan kita akan bendung perkara ini," katanya.

Najib berkata MT Umno juga memberikan sokongan padu dan sepenuhnya kepada semua dasar kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat memandangkan asas ekonomi negara masih teguh

"Dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara malah di luar negara," katanya.

Wednesday, 22 January 2014

'PKBM Perguna, Layan Kami Seperti Anak Tiri' - Pelumba Basikal Terengganu

Salah seorang pelumba yang mendakwa PKBM bersikap berat sebelah, Mohd. Zamri Salleh bercakap kepada wartawan selepas dia dan beberapa pelumba profesional lain mengadakan perjumpaan dengan Khairy Jamaluddin di Putrajaya kelmarin.
Selepas satu isu, timbul satu lagi rasa tidak puas hati terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila beberapa pelumba mendakwa mereka selama ini berasa telah dipergunakan dan dilayan seperti anak tiri.

Dakwaan itu serius kerana dibuat di hadapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar oleh kumpulan sembilan pelumba senior acara lebuh raya dalam pertemuan mereka di sini semalam, yang bertujuan meminta beliau campur tangan.

Salah seorang pelumba yang menyertai perjumpaan itu, Mohd. Harrif Salleh mendakwa, PKBM telah bersikap berat sebelah hingga menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir atlet berbasikal negara yang berasakan mereka tidak diberi layanan secara adil oleh badan induk sukan tersebut.

PKBM hanya berfungsi untuk pelumba dia sahaja, tetapi pelumba profesional macam saya dan Anuar (Manan) mereka tidak pernah ambil peduli.

"Walaupun kami berdua telah mencipta banyak kejayaan di pentas antarabangsa, kami tetap tidak diendahkan. “Setiap kali ada temasya besar seperti Sukan Olimpik atau Sukan SEA, nama kami sering tercicir. Alasan mereka, kami adalah pelumba pecut dan mereka pula lebih memerlukan pelumba acara bukit...kami tidak boleh terima alasan tersebut," katanya ketika kepada wartawan selepas pertemuan itu. 

Menurut Harrif, dia dan Anuar, yang merupakan rakan sepasukan dalam Terengganu Cycling Team (TSG) berasa sering dipergunakan oleh PKBM setiap kali mereka berhasrat untuk meraih slot bagi temasya seperti Sukan Olimpik.

Nama kami akan berada dalam senarai (awal), tetapi apabila tiba masa pemilihan dibuat pelbagai alasan diberi bagi menafikan peluang kami untuk mewakili Malaysia.

Walaupun saya merupakan pelumba profesional, saya masih berminat untuk mewakili negara, tetapi peluang tidak diberi," ujarnya.

Anuar pula memberitahu, terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh PKBM boleh dipertikaikan jika mengambil kira pencapaian antara pelumba profesional dan pelumba di bawah PKBM. “Jurang masih wujud, saya mendapati prestasi kami sebagai pelumba profesional lebih baik daripada pelumba Malaysia.

Jika tak ada pilihan saya lebih selesa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada berurusan dengan PKBM. MSN lebih memahami perkembangan karier kami," tegasnya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Khairy, Anuar melahirkan rasa terharu terhadap kesudian Menteri Belia dan Sukan itu untuk bertemu dengan pelumba-pelumba lebuh raya yang kini berasakan diri mereka disisihkan oleh PKBM. “Saya berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) kerana sudi mendengar masalah kami. Saya tidak menyangka beliau sebagai menteri bersedia untuk mendengar keluhan kami ini," katanya. 

Sementara itu Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan meneliti segala masalah serta cadangan yang diluahkan oleh barisan pelumba berbasikal lebuh raya negara sebelum dapat mengambil tindakan susulan.

Khairy berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan segera hasil daripada perjumpaan tertutup bersama pelumba berkenaan tanpa mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak lain, termasuk PKBM.

Hasil perjumpaan yang berlangsung pagi tadi (semalam), ada sebahagian daripada mereka yang merupakan pelumba profesional telah meluahkan pandangan serta cadangan bagaimana untuk meningkatkan (kualiti) program acara lebuh raya negara.

Jadi, saya maklumkan kepada mereka bahawa perkara berkenaan akan dibincangkan bersama wakil PKBM dan pelumba lebuh raya negara pada satu forum khas (nanti)," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Keempat, 2014 di Kuala Lumpur.

Utusan Online

Tuesday, 21 January 2014

Suap Kangkung 'Ke Mulut Najib' - ADUN Machang Bubuk Enggan Mohon Maaf


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk Lee Khai Loon bertegas mempertahankan perbuatannya menyuapkan kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dia enggan memohon maaf atas perbuatannya itu walaupun dinasihatkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sendiri sebagai seorang Melayu tidak berasa terhina dengan simbolik kangkung malah menganggapnya sebagai tindak balas kepada isu kenaikan harga barang yang merupakan masalah mempengaruhi semua kaum.

Lee - Enggan Minta Maaf
Beliau mengulangi,  salah satu objektif acara tersebut adalah bagi menagih keprihatinan Najib memahami kesusahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang dan tidak bertujuan menghina sesiapa. “Saya tidak akan tunduk kepada kenyataan perkauman dan keganasan Umno.

Mereka adalah pencetus kepada apa yang berlaku baru-baru ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Lim atas keprihatinan beliau tetapi saya juga amat marah dengan tindakan Umno dan penyokongnya yang selalu memainkan isu perkauman untuk mengalihkan fokus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (semalam).

Kit Siang dalam satu kenyataan semalam, mendesak Lee memohon maaf supaya kumpulan ekstremis tidak menjadikan insiden itu sebagai modal mencetuskan tragedi berdarah seperti apa yang berlaku semasa 13 Mei 1969.

Katanya, Lee perlu mempertimbangkan permohonan maaf itu berikutan terdapat pihak tertentu termasuk dirinya melihat perbuatan tersebut sebagai melampau, kasar dan tidak sensitif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk perlu mempertimbangkan permohonan berikutan 'flash mob' berkenaan isu kangkung yang diadakan.


Kit Siang berkata, Lee perlu mempertimbangkan permohonan maaf, " terutamanya kepada mereka yang tersinggug dan sensitif dengan isu itu termasuk saya sendiri.

"Satu perkara yang penting untuk dipertimbangkan adalah tiada pihak akan mencari alasan untuk memutarbelitkan keadaan sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang boleh mencetuskan 13 Mei kedua di negara ini," katanya.

Menurutnya, keyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 'flash mob' kangkung bukan isu besar adalah benar jika dibandingkan dengan tarian punggung di depan rumah Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.

"Tarian punggung lebih buruk jika dibandingkan dengan 'flash mob' kangkung tetapi Umno tidak pula tampil menentang dan mengutuk tindakan itu.

"Lee perlu memohon maaf berikutan insiden itu dan saya berharap satu persefahaman baik akan wujud dikalangan ahli politik dan aktivitis supaya semua pihak menghormati sensitiviti antara agama, bangsa, budaya serta politik," katanya.

Sebaliknya Lee menegaskan, bantahan yang dibuat Umno pada hujung minggu lalu adalah satu perbuatan perkauman yang dipenuhi dengan keganasan, kekerasan serta mengundang rasa tidak puas hati rakyat berbilang kaum.

“Dalam pelbagai himpunan yang diadakan Umno dan sekutunya, perhimpunan mereka seringkali penuh dengan perkauman dan keganasan. Orang ramai berasa tidak puas hati dan membantah perbuatan Umno tersebut. “Ini bermakna kad perkauman yang sering dipermainkan tidak berkesan serta politik negara kita berada dalam trend yang progresif dan matang,” katanya.

Lee yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan berkata gerakan rakyat membantah kenaikan harga barang dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mendesak

Putrajaya mendengar keluh kesah rakyat perlu diteruskan.


Sabtu lalu, kira-kira 600 ahli Umno berhimpun di Seberang Jaya, Pulau Pinang membawa sepanduk provokatif mengancam mengulangi tragedi 13 Mei sekiranya isu kangkung terus dimainkan.

Antara sepanduk yang dibawa termasuklah yang tertera ayat "Menghina PM seperti menghina Melayu", "Melayu Pulau Pinang bertahan kerana makan kangkung", "ABCD Asal bukan Cina DAP" dan "DAP musuh Islam”.

Selain itu terdapat juga sepanduk berbunyi, "Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969... adakah anda mahu lagi?"

Pemimpin Umno negeri juga antara yang kelihatan menyertai kumpulan tersebut bertindak mengutuk Lee dalam ucapannya di hadapan sebuah kompleks membeli belah di negeri itu.

Setiausaha Umno Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir memberi amaran kepada Lee dan Pakatan Rakyat (PR) supaya tidak merendahkan pemimpin, agama Islam, polis dan institusi Melayu lain.

"Sekiranya kami hilang kesabaran, jangan salahkan kami," katanya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya pula berkata aksi flash mob yang dianjurkan Lee itu tidak membantu menyelesaikan masalah.

Katanya gambar program parodi itu tersebar ke Timur Tengah, di negara yang begitu menghormati Najib dan ia menyebabkan imej Perdana Menteri terjejas teruk.

Shabudin memberi amaran kepada Lee bahawa raja Melayu merupakan simbol Islam dan Perdana Menteri merupakan pemimpin Melayu nombor satu di negara ini.


Sunday, 19 January 2014

Ahmad Said Ke Antartika - Ke Arah Merealisasikan Stesen Kajian Sains Khutub Berskala Besar


Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi ini menggambarkan sokongan padu terhadap usaha yang dijalankan di peringkat Pusat dan global dan lebih penting untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati...Memorandum Persefahaman antara INACH dan YPASM membuka laluan kerjasama ke arah menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika."

Daripada hambali1

What business does the Terengganu Menteri Besar have in Antarctica which justifies a jolly cruise to the Antartica?

Ini pertanyaan Tony Phua. Apa pula yang mengatakan : ‘Ahmad Said Tukar Bidang Baru’, ada mengatakan ‘Mat Said Belanja Jutaan Ringgit Berlayar ke Antartika, Rakyat Makan Kangkung’, "Mungkin Ahmad Said Akan Bawa Balik Seekor Beruang ‘Polar’?" dan ramai mengatakan lawatan itu hanya ‘membazir’.

Tony turut mempersoalkan lawatan kerja Menteri Besar Terengganu itu dan menganggapnya suatu pembaziran besar.

Menurutnya, ia ia tidak bertepatan dengan keadaan rakyat yang sering diingatkan untuk mengikat perut selain mempersoalkan rasional di sebalik lawatan 15 hari itu.

Katannya: Beliau bukan Menteri Sains dan Teknologi atau Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Ahmad tidak boleh berkata tujuan ke sana untuk misi pelaburan asing atau menarik pelancong melainkan hanya melihat penguin di sana.

Ahmad juga tidak boleh memberi alasan meragukan seperti mana bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo ke Disneyland bagi mengkaji taman tema dengan mengunjungi Mickey Mouse dan rakan-rakan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Batu Burok yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata Ahmad Said tiada hak menyalahgunakan wang rakyat dengan alasan ianya “lawatan saintifik” kerana Terengganu merupakan antara negeri termiskin dan ramai di kalangan rakyatnya yang hidup dalam serba kedaifan.

"Beliau seharusnya mengenepikan kesombongan dan keangkuhan sebagai menteri besar yang berkuasa sebelum rakyat Terengganu menurunkan beliau dengan kuasa rakyat.

“Saya menggesa Ahmad segera membatalkan ekspedisi ke Antartika dan kembali memberi tumpuan kepada kemelut rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) Ahmad Amzad Hashim berkata, Ahmad Said bukan saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Beliau berpendapat, penglibatan ‘orang politik’ akan merencatkan kelancaran misi yang dianggap besar oleh kerajaan itu.

“Saya rasa kalau betul pun ekspedisi ini nak dibuat, hantar saja ahli-ahli sains dan mesti dibiayai oleh Kementerian yang berkenaan."

Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan peranan Menteri Besar Terengganu itu dalam mengetuai delegasi Malaysia ke Antartika.

Ketua Pemuda PSM Edwin Michael berkata Terengganu berdepan dengan pelbagai isu alam sekitar, seperti hakisan pantai dari Besut hingga ke Kemaman dan pembalakan haram

 Selain itu, katanya, rakyat Malaysia berdepan dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang negara, sedangkan manfaat daripada lawatannya nampaknya "meragukan" .

Kenyataan-kenyataan di atas adalah sebahagian yang menentang pemergian Ahmad Said ke Antartika.

Walaupun pelbagai kritikan, sindirian dan kata-kata nista terhadapnya, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sudah berlepas dari KLIA kira-kira jam 10.40 malam kelmarin (18 Januari 2014) bagi mengetuai lawatan ke Antartika anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YDSM).

Dalam kenyataannya Rabu lalu, menteri besar itu sudah menegaskan bahawa lawatan kerja selama 15 hari bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).

Chile akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.

Kesediaan dan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu kepada penyelidikan di Antartika besar maknanya dari segi penyelidikan untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut.

Malah penyelidikan yang amat rapat dengan kehidupan kita seharian - tidak kiralah sama ada di Terengganu atau Malaysia amnya - adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

Kesediaan Kerajaan Terengganu melalui kepimpinan Ahmad Said membuka mata banyak pihak kerana Terengganu kini bersama-sama kerajaan.


Malaysia dan rakyat negara ini untuk membongkar misteri saintifik yang tersembunyi di benua sejuk itu. Ia bukan sahaja akan mambawa kebaikan kepada negara tetapi dengan keyakinan Kerajaan Negeri melalui Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  untuk menyertai penyelidikan ini membawa suatu era baru dalam bidang akademik dan saintifik di Terengganu.

Kita berharap dengan lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kira-kira 10 hari ke Antartika itu akan memberikan kefahaman saintifik yang berguna kepada beliau.

Pepatah Inggeris mengatakan ‘seeing is believing’ pastinya akan memberikan suatu pendedahan dan kefahaman yang lebih mendalam kepada Ahmad Said.

Pemergiannya ditemani bekas Naib Canselor UMT, Profesor Aziz Deraman dan pastinya akan memudahkan
Menteri Besar untuk mengetahui dengan lebih jelas isu berkaitan Antartika ini.

Mungkin perjalanan agak jauh iaitu Kuala Lumpur – Amsterdam – Santiago (Chile) – Antartika kemudian kembali. Namun kita yakin ia akan mendatangkan manfaat kepada Menteri Besar dan rakyat Terengganu yang jelas akan lebih dekat dengan misteri saintifik di Antartika itu.

Lebih memudahkan usaha ini kerana pada Oktober tahun 2011, Malaysia menandatangani Antarctic Treaty System (ATS) 1959 dan menjadi ahli Madrid Protocol yang memberi rangka kerja bagi pengurusan dan pentadbiran Antartika serta kerjasama antara semua pihak dan ahli ATS.

Penyertaan Malaysia dalam ATS 1959 itu memberi peluang yang sangat luas kepada saintis negara ini untuk menyertai komuniti penyelidikan antarabangsa dalam sains Antartika melalui Badan Bertindak Antartika dan Pusat Penyelidikan Antartika Nasional bertempat di Universiti Malaya sebagai pusat rujukan penyelidikan saintis Malaysia.

Sejak ia dimulakan pada 1999 hingga kini lebih 31 projek penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk sains atmosfera, polar mikrobiologi, ekologi, remote sensing, geo sains, dasar dan pengurusan Antartika berjaya dilaksanakan oleh penyelidik negara.

Manakala sebanyak 151 penerbitan saintifik telah dihasilkan dan 105 graduan dan graduan lanjutan telah mendapat latihan dalam program ini. Mungkin ramai daripada belum faham dan mengerti kenapa penyelidikan di Antartika itu penting dan kaitan dengan kehidupan kita seharian, tidak kiranya sama ada di Malaysia atau Terengganu khususnya.

Sedangkan, benua Antartika di Khutub Selatan merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut.

Untuk lebih meyakinkan bahawa usaha penyelidikan ini memang sesuatu yang akan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia khususnya dalam hubungan antara Tropika dan Antartika, inisiatif menubuhkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM) Dr Ahmad Ibrahim berkata pada 5 Julai 2012, sebuah yayasan akan ditubuhkan bagi mengumpul dana bagi membantu saintis tempatan menjalankan penyelidikan berskala besar di benua Antartika.

Yayasan itu yang dinamakan 'Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan' yang merupakan kerjasama antara kerajaan dengan ASM akan mengumpul dana bagi membina fasiliti penyelidikan negara di Antartika yang akan digunakan saintis tempatan. berkata saintis

Malaysia telah mula menjalankan penyelidikan di Antartika sejak 1999, tetapi terpaksa menumpang fasiliti dan kelengkapan penyelidikan di Pangkalan Scott yang dikendalikan oleh New Zeland.

"Kita telah menyertai Triti Antartika pada 2011 dan kita memerlukan pusat penyelidikan sendiri agar dapat memudahkan saintis negara menjalankan kajian dan penyelidikan khusus untuk kepentingan sains negara," katanya selepas ditemu bual dalam rancangan terbitan Radio 24 di Kuala Lumpur. Katanya sejak 1999 hingga 2010, 62 ekspedisi saintifik telah dilakukan melibatkan 60 penyelidik.



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada 19 Julai 2012  melancarkan yayasan berkenaan di UMT yang turut dihadiri Ahmad Said serta bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (Dr Maximus kini Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ). Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Pada majlis pelancaran yayasan berkenaan, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan Anugerah Penyelidikan Antartika Sultan Mizan kepada tiga orang penyelidik iaitu Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin (UMT); Dr Chong Chur Wie (Internasional Medical Universiti) dan Abiramy a/p Krishnan (UMT).

Sultan Mizan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah meluluskan penubuhan YPASM berkenaan selain menghargai sokongan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan.

Sultan Terengganu menyatakan kegembiraannya kerana yayasan itu dapat dilancarkan setelah genap tujuh bulan selepas lawatan Baginda ke Antartika iaitu pada November 2011.

Ini membuktikan bahawa wujudnya komitmen serta sokongan ikhlas daripada kerajaan terhadap program penyelidikan Antartika oleh rakyat Malaysia sambil menggesa sektor swasta dan pihak-pihak tertentu menyokong dan bekerjasama dengan yayasan itu dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan Malaysia dalam penyelidikan saintifik di Antartika.

Bagi Sultan Terengganu, kewujudan yayasan ini akan memberi ruang bagi pembiayaan penyelidikan di Antartika di samping menyediakan peluang untuk menjalankan penyelidikan saitifik yang bermanfaat kepada manusia.

Malah dalam titahnya, Sultan Mizan berharap lebih ramai lagi terutama penyelidik muda menyertai usaha ini. Lebih menggembirakan apabila yayasan berkenaan turut menerima suntikan dana lebih RM12 juta bagi membiayai penyelidikan Antartika serta aktiviti yayasan itu.


Kerajaan Malaysia telah menyumbangkan RM10 juta dan dana sepadan dengan jumlah maksimum sebanyak RM500,000 setiap tahun manakala kerajaan Terengganu sebanyak RM2 juta dan selebihnya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UMT) RM100,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) RM50,000. 

Pembabitan UMT dan kesediaan kerajaan Terengganu menaja penyelidikan di Antartika ini adalah era baru bagi negeri ini kerana ia akan mengembang dan mempertingkatkan lagi penyelidikan sains di Antartika serta pembangunan sains global di negara ini.

Keputusan UMT itu sangat dialu-alukan lebih-lebih lagi bersedia menubuhkan unit penyelidikan Tropika-Antartika di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran atau INOS.

Sejauh ini UMT sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan penyelidikan bagi menyokong perkembangan akademik yang mapan.

Dengan penubuhan INOS oleh UMT itu, ia akan memudahkan kerja menyelaras program penyelidikan melibatkan perbandingan dan interaksi antara tropika dan Antartika.

Selain itu, penubuhan INOS secara tidak langsung menunjukkan komitmen tinggi daripada penyelidik tempatan dan Terengganu dalam menjayakan program berkaitan Antartika selaras dengan pelbagai usaha termasuk Kerajaan Pusat dalam bidang ini.

Malah dengan komitmen dan sokongan kerajaan negeri terhadap penyelidikan sains di Antartika, kita yakin hasil penyelidikan melalui yayasan dan UMT akan menghasilkan pengetahuan baru selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi masyarakat berilmu.

Sultan Terengganu sendiri menyatakan bangganya kerana yayasan ini adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di negara ini bagi membantu aktiviti-aktiviti penyelidikan sains kutub.

Dr. Maximus turut menyarankan kerajaan-kerajaan negeri,sektor swasta dan individu untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan yayasan ini bagi menjamin penyelidikian melibatkan perbandingan dan interaksi antara tropika dan Antartika dijayakan dengan jaya dan berkesan.

Amat nyata, saranan Menteri berkenaan diberikan perhatian mendalam apabila lawatan kerja Menteri Besar dan rombongannya itu menjurus kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang dapat menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

"Lawatan yang bersifat eksplorasi saintifik itu merupakan susulan daripada lawatan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 yang mahu melihat lebih banyak universiti tempatan melibatkan diri dalam penyelidikan di benua sejuk itu," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar, Rabu (16 Januari 2014) lalu.

Kenyataan itu berkata UMT yang akan mengikuti ekslorasi itu telah meletakkan seorang penyelidik di sebuah stesen di Antartika yang dikendalikan Korea Selatan selama tiga bulan.

Ahmad Said turut memberitahu sidang media pada Rabu lalu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalin kerjasama strategik dengan Chile. 

Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi itu menggambarkan sokongan padu terhadap usaha yang dijalankan di peringkat pusat dan global dan lebih penting ia merupakan usaha untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.

Menteri Besar dijangka menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara INACH dan YDSM bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di benua itu.

Dengan termeterai memorandum persefahaman itu, diharapkan akan menjadi kenyataan ke arah menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika.

Ia akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan kakitangan akedemik terlibat dalam penyelidikan di sana," katanya.

Memanglah sesuatu yang di luar jangkawan minda ramai, akan menimbulkan pelbagai pertanyaan. Lebih buruk jika pemimpin pembangkang cuba spin isu ini tetapi menunjukkan 'kurangnya pengetahuan mereka' mengenai isu Antartika ini.

Namun sekiranya apa yang dilakukan itu akan mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada rakyat, selain untuk tujuan akademik dan penyelidikan sains, negeri Terengganu dan Malaysia amnya, ia sepatutnya disokong.

Tidak wajar kita menghentam secara melulu mengenai tujuan sebenar ekspedisi Menteri Besar Terengganu itu yang kadangkala menyebabkan kita pula tertanya-tanya, “apakah sesetengah pemimpin dan rakyat kita tidak boleh menerima sesuatu perubahan atau pembaharuan?”

Tidakkah usaha ke Antartika ini membawa Terengganu ke suatu bentuk transformasi pemikiran dan akademik yang menjangkau pemikiran kita, lebih-lebih Antartika yang sering terlindung daripada pemandangan kita, walaupun kita melihat sebuah 'globe'?

Memanglah perbelanjaan untuk ekspedisi dan penyelidikan mahal tetapi sekiranya ia menyumbang kepada kebaikan akademik, penyelidikan dan negara, ia bukan lagi berbentuk  'pengembaraan menjejak seekor peguin atau beruang Polar' sebaliknya menjadi sumbangan besar Terengganu kepada penyelidikan saintifik yang begitu penting kepada alam dan manusia!

Kementerian Pendidikan Puas Hati Harga Makanan Di Kantin Sekolah

Idris memantau sebuah kantik sekolah di Putrajaya, 16 Januari lalu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpuas hati dengan harga makanan dan minuman ditetapkan oleh pengusaha kantin sekolah di seluruh negara setakat ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, daripada pemantauan dan laporan yang diterima, pihaknya berpuas hati harga tersebut tidak membebankan para pelajar.

Katanya, pemantauan telah dilakukan oleh pegawai KPM dan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sejak dua minggu lalu didapati semua penguasaha kantin telah mematuhi arahan dengan tidak menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud di Besut, semalam.

Idris berharap pengusaha kantin dapat terus mengekalkan harga seperti sekarang dan mengelakkan dari mengeksploitasi harga yang boleh membebankan banyak pihak.

Pada 16 Januari lalu, Idris berkata kerajaan sedia berbincang dengan pengusaha kantin sekolah yang berdepan dengan beban kenaikan harga barang bagi mengelakkan pelajar dan ibu bapa menerima tempiasnya.

Menteri Pendidikan II itu berkata, setakat ini, pihaknya tidak berhasrat mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha yang menaikkan harga jualan sebaliknya meminta guru besar dan pengetua membuat teguran supaya harga makanan kekal pada kadar lama.

"Kita akan mengambil pendekatan berbincang dengan pengusaha kantin di samping melihat perkara-perkara yang boleh dibantu bagi mengelak harga makanan dinaikkan.

"Buat masa ini, tiada isu kenaikan harga di kantin biarpun ada pengusaha yang menaikkannya sebelum ini. Apabila guru besar atau pengetua pantau, serta-merta mereka turunkan harga makanan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(1) di Putrajaya.

Menurut Idris, pihaknya juga sudah mengarahkan setiap pegawai pendidikan daerah untuk turun padang memantau harga makanan di kantin sekolah.

Beliau berkata, sepanjang pemantauan tersebut, pihaknya dimaklumkan bahawa harga makanan masih terkawal dan tiada pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkannya.

"Langkah ini menunjukkan kerajaan bertanggungjawab dan simpati dengan apa yang dihadapi rakyat ekoran kenaikan beberapa harga barang seperti petrol dan gula.

"Kita tidak mahu mereka menaikkan harga tanpa had. Contohnya, harga gula naik sebanyak 30 sen kemudian peniaga mengambil kesempatan menaikan harga secawan teh tarik sebanyak 30 sen juga," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, tidak semua harga barang dinaikkan seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial sebaliknya masih terdapat kedai yang mengekalkan harga lama.

"Kedai Mesra Petronas, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan rangkaian kedai di stesen-stesen minyak tidak menaikkan harga barang," katanya.

Friday, 17 January 2014

Program Empower ECER Diperluas Ke Hulu Terengganu Dan Besut

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memperluas program Latihan Kemahiran Akademik ke Hulu Terengganu dan Besut tahun ini selepas kejayaan program itu di Kemaman dan Dungun.

Pengurus ECERDC Terengganu Ahmad Hashim berkata program 'Empower ECER' itu bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar serta memberi peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia.

"Kita sedang kenal pasti beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah di dua daerah itu untuk membantu meningkatkan mutu akademik anak-anak di Terengganu," katanya pada majlis Program Juara Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Empower ECER daerah Dungun di Dewan Sivik Ketengah, Bukit Besi hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Roslee Daud yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi.

Setakat ini, program itu dilaksanakan di 11 lokasi di bawah Wilayah ECER dan tahun lepas, sebanyak 160 murid Tahun Enam dan 120 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima menyertai program itu di Dungun. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 146 pelajar UPSR dan PMR mendapat keputusan cemerlang...ini menunjukkan program itu membantu meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar terutamanya dari luar bandar," katanya.

Sempena program itu, seramai 146 pelajar cemerlang menerima wang tunai RM100 seorang dan sijil dari pihak ECER.

Petronas Salur RM5 Juta Untuk 21,000 Keluarga Di Pantai Timur


Petronas menyalurkan bantuan berjumlah RM5 juta kepada 21,000 keluarga mangsa banjir di Pantai Timur dengan fasa pertama bermula hari ini.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Strategiknya, Norliza Kamaruddin, pengagihan bantuan secara berperingkat yang dijangka selesai sebelum akhir Februari itu, diharap dapat meringankan beban penderitaan keluarga mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Ini juga adalah antara sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami kepada mangsa banjir yang terdapat di negeri tempat kami beroperasi khususnya di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

"Bantuan ini akan disalurkan kepada kira-kira 15,000 keluarga mangsa banjir di Kemaman dan 6,000 keluarga lagi di Kuantan, Pahang dan Pasir Mas, Kelantan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Gajah Kemaman, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Norliza turut menyerahkan replika cek bernilai RM3.4 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman.


Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu set comforter dan baucar Petronas bernilai RM150 untuk membeli barangan dan keperluan di Kedai Mesra serta minyak di stesen Petronas.

Norliza berkata keluarga yang akan menerima bantuan ini adalah mereka yang mendaftar di pusat pemindahan banjir di daerah masing-masing.

"Petronas juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah berkaitan bagi memastikan bantuan tersebut disalurkan dengan teratur dan cekap," katanya.

Selain sumbangan, Norliza berkata Petronas sebelum ini menerusi Pejabat Wilayah Pantai Timurnya turut menghantar sukarelawan yang terdiri dari kakitangannya untuk membantu mangsa banjir dan menyalurkan bantuan keperluan asas ke pusat-pusat pemindahan banjir di Kemaman ketika banjir gelombang pertama berlaku, Disember lepas.

"Petronas juga menghantar 150 orang kakitangan sebagai sukarelawan untuk menjalankan aktiviti gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Gajah iaitu antara lokasi yang terjejas teruk dalam bencana banjir itu," katanya.

Thursday, 16 January 2014

TISB Sediakan Plan Strategik Ke Arah Mencapai Aset RM2 Bilion Setahun


Program Latihan Pengarah Korporat yang julung-julung kali diadakan di Terengganu, berakhir Khamis lalu, membuktikan bahawa kerajaan negeri benar-benar mahu melonjakkan syarikat milik kerajaan negeri mencapai nilaian aset bersih kepada RM2 bilion setahun.

Seramai 200 peserta menyertai program berkenaan yang dianjurkan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia selama dua hari di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Program secara dalaman itu bertujuan membantu pengarah-pengarah kumpulan syarikat TISB memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Akta Syarikat 1965.

Program latihan yang dijalankan secara komprehensif itu merangkumi tiga peringkat iaitu ‘peringkat asas, pertengahan dan lanjutan yang diwajibkan kepada semua pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk menghadirinya.

Latihan ini memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pengarah dalam sesebuah syarikat.

Program ini diadakan selaras dengan hala tuju syarikat pegangan pelaburan utama negeri iaitu TTISB melancarkan Pelan Strategik lima tahun bermula 2014.

Ia menumpukan kepada pembangunan dan ekonomi mampan yang menyasarkan nilaian aset bersih kepada RM2.0 bilion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata kejayaan dalam penyediaan pelan strategik ini terhasil melalui kerjasama strategik TISB beserta anak syarikatnya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik TISB 2014-2018 dan menyempurnakan majlis penutupan Program Latihan Pengarah Korporat di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri yang juga Ahli Lembaga Pengarah TISB, Datuk Mazlan Ngah dan dua lagi ahli lembaga pengarah, Datuk Abdul Razak Ismail dan Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif TISB, Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Mohd. Naim Daruwish dan Pengarah SSM Terengganu, Wan Rohaimi Wan Manan serta para pengarah syarikat milik kerajaan negeri hadir sama.


Menurut Menteri Besar, anak-anak syarikat itu sedang mengorak langkah sebagai satu entiti yang melengkapi fungsi dan peranan masing-masing.

Penyediaan pelan strategik ini merupakan perancangan yang komprehensif dan sangat penting supaya arah tuju perancangan dan pengurusan TISB menjadi lebih teratur, berkesan dan jelas.

Selain itu ia sedang menstruktur semula sektor sedia ada dengan pengoptimumkan sinergi di kalangan syarikat tersebut termasuk sektor pembuatan makanan halal, bio-teknologi, pelancongan dan perhotelan serta pelaburan hartanah.

Pelan strategik tersebut turut memperhitungkan faktor perkembangan, cabaran dan keperluan semasa yang perlu ditangani.

Tujuannya ialah meneruskan perhatian kepada agenda yang komprehensif merangkumi empat komponen iaitu `pemegang saham, kewangan, proses pentadbiran dalaman, selain proses pembelajaran dan pertumbuhan.

Bagaimanapun sasaran hala tuju itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan usaha daripada 16 buah anak syarikat termasuk dua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu TDM Berhad dan Golden Pharos Berhad.

Selain dua syarikat berkenaan, sembilan buah lagi adalah syarikat bersekutu selain lima buah syarikat pelaburan yang diharapkan mencapai sasaran berkenaan.

Pengurusan TISB yakin, dengan urus tadbir korporat yang baik ia akan dapat memainkan peranan utama dalam menyediakan masa depan yang mampan untuk manfaat seluruh rakyat Terengganu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Program yang dianjurkan TISB ini juga bertindak sebagai gerbang informasi kepada pengarah untuk memahami dengan lebih mendalam dalam menguruskan syarikat agar lebih efektif dan efisyen lagi.

Ini kerana pengarah syarikat bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju syarikat, menilai prestasi perniagaan dan memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan syarikat.

Sekiranya pengarah mematuhi segala peruntukan dan undang-undang yang ada, ianya akan melicinkan perjalanan syarikat dan kejayaan syarikat akan dapat dicapai.

Berikutan itu, semua anak syarikat milik kerajaan negeri diarah menghantar laporan tahunan syarikat masing-masing kepada kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebelum 31 Januari ini termasuk berkaitan pemberian imbuhan seperti bonus kepada kakitangan.

Sekiranya mereka gagal mematuhi arahan yang ditetapkan sebelum tarikh akhir itu, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajar.

Langkah itu bertujuan mewujudkan hubungan baik dan kondusif antara kerajaan negeri dengan kesemua anak syarikat selain sentiasa mengetahui setiap perkembangan yang berlaku dalam syarikat berkenaan.

Ia juga bagi mengelakkan kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan syarikat miliknya selain mengesyorkan agar sebelum membuat sebarang keputusan, ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kerajaan.

Arahan itu dibuat apabila ada kes sebelum ini, di mana kerajaan negeri tidak tahu dan tidak dimaklumkan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya juga telah membuat keputusan melakukan beberapa perubahan serta rombakan kepimpinan syarikat di negeri ini ke arah penambahbaikan.

Usaha itu dilakukan bagi memberi peluang dan laluan kepada individu lain menerajui syarikat selain mendedahkan mereka menempuh suatu cabaran serta pengalaman yang berbeza demi masa depan syarikat milik kerajaan di negeri ini.

Sebelum ini, TISB membayar dividen RM20.2 juta kepada enam agensinya termasuk kepada Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu (YIT), Yayasan Pembangunan Keluarga dan Menteri Besar Diperbadankan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata, pembayaran tersebut merupakan komitmen syarikat itu kepada agensi di bawahnya untuk melaksanakan agenda mereka.

"Agensi berkenaan kemudiannya akan menyalurkan dividen itu kepada rakyat Terengganu yang layak mengikut peranan agensi terbabit untuk memastikan kebajikan rakyat Terengganu terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, awal September lalu.

Menurut Wan Ahamad, dividen tersebut akan disalurkan melalui pelaksanaan projek-projek yang dikenal pasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit.

Menurutnya sehingga September lalu, nilai aset bersih TISB melalui pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan di dalam sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah, pelancongan serta hospitaliti, berjumlah RM987 juta.

Beliau juga berkata, syarikat itu sedang merangka Pelan Strategik Lima Tahun dengan unjuran nilai aset bersih meningkat kepada RM2 bilion, atau peningkatan 20 peratus setahun.

"Bagi menjayakan rancangan itu, Terengganu Inc. bercadang menceburi projek-projek berpotensi yang menghasilkan pulangan yang tinggi dan lumayan, selain pelaburan strategik," katanya.

Polis Terengganu Terima 51 Motosikal Untuk URB

Polis Terengganu bakal dilengkapi dengan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam usaha memerangi kegiatan jenayah di negeri ini.


Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Datuk Wira Ayub Yaakob berkata bagi tujuan itu, sebanyak 51 buah motosikal akan dibekalkan kepada Polis Kontinjen Terengganu dalam masa terdekat Motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc itu akan digunakan bagi melakukan rondaan bermotosikal lebih kerap khususnya di kawasan perumahan.

"Anggota polis bukan sahaja melakukan rondaan, malah mereka juga akan berinteraksi dengan penduduk setempat bagi mencegah kegiatan jenayah terutamanya jenayah pecah rumah di kawasan mereka.

"Selain itu, orang ramai dan anggota polis juga boleh bertukar maklumat bagi meningkatan keupayaan URB untuk membanteras jenayah," katanya kepada pemberita di Kula Terengganu, hari ini.

Pengagihan kesemua motosikal itu membolehkakn penubuhan tiga pasukan URB dan Ketua Polis Negeri telah mengenal pasti lokasi bagi menempatkan URB itu.

URB dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Dis lepas dan untuk permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250cc disediakan bagi program URB di Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ayub berkata bagi fasa kedua, sebayak 800 buah lagi motosikal akan diagihkan ke seluruh negara untuk mewujudkan URB di setiap negeri.

Sementara itu, sebanyak 150 kereta peronda pacuan empat roda akan dibekalkan di negeri yang bersempadan iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak.

Beliau berkata kereta peronda itu diagihkan mengikut keupayaan negeri berkenaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api, dadah serta pendatang tanpa izin.

Penjawat Awam Perlu Berazam Tingkat Prestasi - Mazlan Ngah

Mazlan Ngah bersama penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan.
Penjawat awam di negeri ini diminta berazam dan beriltizam untuk meningkatkan prestasi kerja bagi memenuhi aspirasi dan hasrat negeri melahirkan modal insan yang seimbang tercapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, kualiti kerja merupakan nilai yang sentiasa berubah mengikut arus pergerakan masa.

"Usaha kita untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai penjawat awam hendaklah secara berterusan dan tidak terhenti selagi hasrt kerajaan tidak tercapai.

"Selain memberi perkhidmatan yang berkualiti kita juga haruslah mempunyai kewibawaan dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap urusan atau tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Razali Kassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/ Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Zulkifli Mohamad dan Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yasim Awang.

Seramai 15 penjawat awam bagi tempoh Oktober hingga Disember dianugerahkan Pekerja Cemerlang Bulanan.

Mereka termasuk Puan Noriyah Muda dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Khidmat Pengurusan; Puan Rohaya Mohamad (Pejabat Perbendaharaan Negeri); Enck Ali Abdullah (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Mohamad Salleh Omar (Pejabat Perbendaharaan Negeri). Penjawat awam lain, Haji Yahaya Wan Zaina (Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu) dan Encik Razlan Mamat dari Unit Komunikasi Negeri.


Datuk Mazlan turut memberitahu budaya kerja kelas pertama perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam dan seharusnya tidak ada kompromi dalam soal integriti kerana perkara ini amat penting untuk dititikberatkan pada setiap peringkat dalam perkhidmatan kerajaan.

Katanya, penjawat awam perlu mengamalkan tonggak 12 yang menggariskan 12 nilai murni yang sememangnya dapat mengekang daripada melakukan sebarang penyelewengan dan perlanggaran peraturan seperti penyalahgunaan kuasa, ketidakcekapan, pembaziran dan amalan negatif lain yang boleh melemahkan dan memberikan imej negatif kepada perkhidmatan awam

"Sebagai penjawat awam, marilah bersama-sama kita membentuk Perkhidmatan Awam Negeri yang cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang kita cintai,” katanya.


Teganukita

Monday, 13 January 2014

Bantuan Banjir - Siapa Di Sisi Rakyat Kalau Bukan UMNO, BN…


"Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan. Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang? Kita nak buktikan sama ada masa senang atau susah, siapa yang berada di sisi rakyat, bukankah UMNO?"
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Daripada hambali1

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengotakan janjinya apabila menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa banjir di Kemaman semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di samping meraikan anggota sukarelawan peringkat negeri Terengganu.

Perdana Menteri disambut kira-kira 15,000 hadirin pada majlis penyampaian bantuan kepada 600 keluarga yang terjejas akibat banjir itu.

Mereka merupakan sebahagian daripada hampir 20,000 keluarga di Terengganu yang menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).


Walaupun cuaca mendung dan hujan renyai sekejap-sekejap namun majlis tetap meriah di Padang Astaka itu kerana turut meraikan sukarelawan banjir yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di Kemaman.

Tidak seperti lazimnya, suasana kawasan padang itu penuh dengan keceriaan dan kemeriahan dengan orang ramai yang berpusu-pusu datang meskipun dalam keadaan basah dan becak untuk menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara.

Helikopter yang membawa Perdana Menteri mendarat di Stadium Mak Chili di Chukai kira-kira pukul 9.45 pagi. Turut berada di padang itu untuk menyambut ketibaan Datuk Seri Najib ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Kesudian Datuk Seri Najib menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Kemaman itu memberi semangat baharu kepada penduduk yang kehilangan harta benda dalam bencana itu bulan lalu.


Datuk Seri Ahmad Shabery berkata majlis semalam adalah bukti kerajaan sentiasa membantu rakyat ketika diperlukan. Sebanyak 19,205 keluarga mangsa banjir di Terengganu termasuk 14,000 keluarga di Kemaman diberi bantuan merangkumi produk televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan dapur selain wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Kesemua mangsa banjir di negeri ini dan di negeri lain akan menerima bantuan banjir secara berperingkat selepas majlis pelancaran oleh Perdana Menteri semalam.

Lebih menarik, bantuan banjir ini mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di negeri ini.

Antara produk yang diterima mangsa ialah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan SKMM serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, seramai 19,205 keluarga terbabit banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Berucap pada majlis itu Perdana Menteri berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang.

Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Jika mengikut pemberian biasa, sumbangan adalah RM500 kepada setiap keluarga.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, ketika beliau membuat semasa banjir, jika dikekalkan jumlah bantuan sebanyak RM500 itu, ia tidak berbaloi berbanding kerugian yang ditanggung.

Berikutan itu, kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi bantuan banjir, parti politik dan badan bukan kerajaan, telah mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan.

Ia bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah yang tidak dapat dielakkan itu. Amat nyata kerajaan melaksanakan dasar dan falsafah rakyat didahulukan.

Ketika berucap pada majlis itu, Najib berkata kerajaan BN sentiasa bersama rakyat dengan membantu mereka ketika susah dan senang

 "Tidak pernah dalam sejarah sebelum ini, dalam satu majlis, pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Kalau ikut dasar kita, kita beri sumbangan RM500 kepada setiap keluarga. Tapi tinjauan saya semasa banjir, kalau kekal (jumlah bantuan itu), tidak berbaloi berbanding kerugian yang dipikul," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan badan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah itu.

"Kita fikirkan bagaimana untuk tambah bantuan. Falsafah kita, rakyat didahulukan, siapa tolong rakyat semasa susah dan senang?.

Kita nak buktikan sama ada masa senang atau susah, siapa yang berada di sisi rakyat, bukankah UMNO?," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif memberikan bantuan tambahan bagi meringankan bebanan mereka.

Najib berkata, pemimpin UMNO dan BN sentiasa berlaku adil kepada rakyat tanpa mengira parti dengan memastikan nilai bantuan yang dihulurkan lebih tinggi daripada kepentingan politik.

Pemimpin UMNO sanggup tinggalkan Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu seperti Ahmad Said dan Shabery yang sama-sama turun padang bantu mangsa banjir di Kemaman.

Sebagai pemimpin kita sentiasa bersama-sama rakyat yang dalam kesusahan. “Janganlah sekali-sekala muncul (pemimpin pembangkang) sambil kibar bendera besar tapi tak sampai tahap bantuan seperti UMNO dan BN buat," katanya.

Perdana Menteri berkata dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan BN tidak pernah membezakan fahaman politik sebaliknya membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Sebaliknya, kerajaan turut membantu mereka yang tidak pernah menyokong kerajaan kerana asas kemanusiaan melebihi daripada fahaman politik.

Kerana itu, kita berharap selepas ini janganlah ada lagi mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu pemberian bantuan ini.

Tidak usahlah mempertikaikan keikhlasan kerajaan dalam membantu dan membela nasib rakyat sedangkan ada antara mereka langsung tidak berbuat apa-apa bagi meringankan beban mangsa banjir.

Apa yang diharapkan ialah bantuan yang diberikan pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Terengganu semalam akan membantu memulihkan semula semangat mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah itu.

Selain itu, kerajaan akan melakukan pelbagai projek bagi menangani masalah banjir di masa depan.

Ini termasuk projek tebatan banjir Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan lebih banyak projek projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.

Najib berkata untuk melaksanakan semua prasarana itu, kerajaan memerlukan lebih banyak peruntukan yang diharap dapat diperoleh daripada tranformasi ekonomi negara.

"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak," katanya.

Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.


Dalam pada itu, Menteri Besar berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya.

Selain projek ini, kos membaiki kemudahan asas yang rosak akibat banjir seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan keperluan asas lain dijangkan menelan berbilion ringgit.

Sementara semua agensi berkaitan dan pasukan keselamatan perlu melakukan kesiapsiagaan lebih rapi dalam menghadapi gelombang banjir berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini.

Kita berdoa agar penerima bantuan banjir tersebut akan bersyukur dan memahami siapa sebenarnya pembela nasib mereka dan siapa pula hanya sekadar menagih undi mereka.

Nota - Sebahagian bahan sudah disiarkan melalui BICARA TERENGGANUKITA, Trg FM, 12 Januari 2014, jam 1.30 tengah hari.