Sunday, 19 January 2014

Kementerian Pendidikan Puas Hati Harga Makanan Di Kantin Sekolah

Idris memantau sebuah kantik sekolah di Putrajaya, 16 Januari lalu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpuas hati dengan harga makanan dan minuman ditetapkan oleh pengusaha kantin sekolah di seluruh negara setakat ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, daripada pemantauan dan laporan yang diterima, pihaknya berpuas hati harga tersebut tidak membebankan para pelajar.

Katanya, pemantauan telah dilakukan oleh pegawai KPM dan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sejak dua minggu lalu didapati semua penguasaha kantin telah mematuhi arahan dengan tidak menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud di Besut, semalam.

Idris berharap pengusaha kantin dapat terus mengekalkan harga seperti sekarang dan mengelakkan dari mengeksploitasi harga yang boleh membebankan banyak pihak.

Pada 16 Januari lalu, Idris berkata kerajaan sedia berbincang dengan pengusaha kantin sekolah yang berdepan dengan beban kenaikan harga barang bagi mengelakkan pelajar dan ibu bapa menerima tempiasnya.

Menteri Pendidikan II itu berkata, setakat ini, pihaknya tidak berhasrat mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha yang menaikkan harga jualan sebaliknya meminta guru besar dan pengetua membuat teguran supaya harga makanan kekal pada kadar lama.

"Kita akan mengambil pendekatan berbincang dengan pengusaha kantin di samping melihat perkara-perkara yang boleh dibantu bagi mengelak harga makanan dinaikkan.

"Buat masa ini, tiada isu kenaikan harga di kantin biarpun ada pengusaha yang menaikkannya sebelum ini. Apabila guru besar atau pengetua pantau, serta-merta mereka turunkan harga makanan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(1) di Putrajaya.

Menurut Idris, pihaknya juga sudah mengarahkan setiap pegawai pendidikan daerah untuk turun padang memantau harga makanan di kantin sekolah.

Beliau berkata, sepanjang pemantauan tersebut, pihaknya dimaklumkan bahawa harga makanan masih terkawal dan tiada pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkannya.

"Langkah ini menunjukkan kerajaan bertanggungjawab dan simpati dengan apa yang dihadapi rakyat ekoran kenaikan beberapa harga barang seperti petrol dan gula.

"Kita tidak mahu mereka menaikkan harga tanpa had. Contohnya, harga gula naik sebanyak 30 sen kemudian peniaga mengambil kesempatan menaikan harga secawan teh tarik sebanyak 30 sen juga," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, tidak semua harga barang dinaikkan seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial sebaliknya masih terdapat kedai yang mengekalkan harga lama.

"Kedai Mesra Petronas, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan rangkaian kedai di stesen-stesen minyak tidak menaikkan harga barang," katanya.

No comments:

Post a Comment