Friday, 24 January 2014
BR1M 3.0 Kepada 7.9 Juta Rakyat Diagihkan Pertengahan Februari
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan mula diagihkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia yang layak pada pertengahan Februari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan pemberian BR1M ini ia akan dapat meringankan beban rakyat yang sedang menghadapi kenaikan harga barangan pada masa ini.
"Majlis Tertinggi (MT) Umno mengambil maklum bahawa BR1M akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi iaitu pada pertengahan bulan Februari, ia akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur, semalam.
Ketika mengumumkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion bagi melaksanakan BR1M 3.0.
Pada tahun ini, pemberian bantuan itu akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.
Buat pertama kalinya juga, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.
Najib berkata tidak dinafikan bahawa rakyat mengalami masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi pelbagai program serta langkah yang sedang dan akan diambil.
Presiden Umno itu berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat juga sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang ditubuhkan bagi mengurangkan beban rakyat.
"Di samping itu, kita turut melihat masalah rantaian bekalan yang wujud di mana pihak pemborong yang menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar (harga) yang berpatutan.
"Kita juga mengambil maklum kesan dari musim tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga, namun dengan langkah yang diambil kerajaan kita akan bendung perkara ini," katanya.
Najib berkata MT Umno juga memberikan sokongan padu dan sepenuhnya kepada semua dasar kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat memandangkan asas ekonomi negara masih teguh
"Dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara malah di luar negara," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment