Thursday 16 January 2014

Polis Terengganu Terima 51 Motosikal Untuk URB

Polis Terengganu bakal dilengkapi dengan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam usaha memerangi kegiatan jenayah di negeri ini.


Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Datuk Wira Ayub Yaakob berkata bagi tujuan itu, sebanyak 51 buah motosikal akan dibekalkan kepada Polis Kontinjen Terengganu dalam masa terdekat Motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc itu akan digunakan bagi melakukan rondaan bermotosikal lebih kerap khususnya di kawasan perumahan.

"Anggota polis bukan sahaja melakukan rondaan, malah mereka juga akan berinteraksi dengan penduduk setempat bagi mencegah kegiatan jenayah terutamanya jenayah pecah rumah di kawasan mereka.

"Selain itu, orang ramai dan anggota polis juga boleh bertukar maklumat bagi meningkatan keupayaan URB untuk membanteras jenayah," katanya kepada pemberita di Kula Terengganu, hari ini.

Pengagihan kesemua motosikal itu membolehkakn penubuhan tiga pasukan URB dan Ketua Polis Negeri telah mengenal pasti lokasi bagi menempatkan URB itu.

URB dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Dis lepas dan untuk permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250cc disediakan bagi program URB di Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ayub berkata bagi fasa kedua, sebayak 800 buah lagi motosikal akan diagihkan ke seluruh negara untuk mewujudkan URB di setiap negeri.

Sementara itu, sebanyak 150 kereta peronda pacuan empat roda akan dibekalkan di negeri yang bersempadan iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak.

Beliau berkata kereta peronda itu diagihkan mengikut keupayaan negeri berkenaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api, dadah serta pendatang tanpa izin.

No comments:

Post a Comment