Wednesday 22 January 2014

'PKBM Perguna, Layan Kami Seperti Anak Tiri' - Pelumba Basikal Terengganu

Salah seorang pelumba yang mendakwa PKBM bersikap berat sebelah, Mohd. Zamri Salleh bercakap kepada wartawan selepas dia dan beberapa pelumba profesional lain mengadakan perjumpaan dengan Khairy Jamaluddin di Putrajaya kelmarin.
Selepas satu isu, timbul satu lagi rasa tidak puas hati terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila beberapa pelumba mendakwa mereka selama ini berasa telah dipergunakan dan dilayan seperti anak tiri.

Dakwaan itu serius kerana dibuat di hadapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar oleh kumpulan sembilan pelumba senior acara lebuh raya dalam pertemuan mereka di sini semalam, yang bertujuan meminta beliau campur tangan.

Salah seorang pelumba yang menyertai perjumpaan itu, Mohd. Harrif Salleh mendakwa, PKBM telah bersikap berat sebelah hingga menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir atlet berbasikal negara yang berasakan mereka tidak diberi layanan secara adil oleh badan induk sukan tersebut.

PKBM hanya berfungsi untuk pelumba dia sahaja, tetapi pelumba profesional macam saya dan Anuar (Manan) mereka tidak pernah ambil peduli.

"Walaupun kami berdua telah mencipta banyak kejayaan di pentas antarabangsa, kami tetap tidak diendahkan. “Setiap kali ada temasya besar seperti Sukan Olimpik atau Sukan SEA, nama kami sering tercicir. Alasan mereka, kami adalah pelumba pecut dan mereka pula lebih memerlukan pelumba acara bukit...kami tidak boleh terima alasan tersebut," katanya ketika kepada wartawan selepas pertemuan itu. 

Menurut Harrif, dia dan Anuar, yang merupakan rakan sepasukan dalam Terengganu Cycling Team (TSG) berasa sering dipergunakan oleh PKBM setiap kali mereka berhasrat untuk meraih slot bagi temasya seperti Sukan Olimpik.

Nama kami akan berada dalam senarai (awal), tetapi apabila tiba masa pemilihan dibuat pelbagai alasan diberi bagi menafikan peluang kami untuk mewakili Malaysia.

Walaupun saya merupakan pelumba profesional, saya masih berminat untuk mewakili negara, tetapi peluang tidak diberi," ujarnya.

Anuar pula memberitahu, terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh PKBM boleh dipertikaikan jika mengambil kira pencapaian antara pelumba profesional dan pelumba di bawah PKBM. “Jurang masih wujud, saya mendapati prestasi kami sebagai pelumba profesional lebih baik daripada pelumba Malaysia.

Jika tak ada pilihan saya lebih selesa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada berurusan dengan PKBM. MSN lebih memahami perkembangan karier kami," tegasnya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Khairy, Anuar melahirkan rasa terharu terhadap kesudian Menteri Belia dan Sukan itu untuk bertemu dengan pelumba-pelumba lebuh raya yang kini berasakan diri mereka disisihkan oleh PKBM. “Saya berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) kerana sudi mendengar masalah kami. Saya tidak menyangka beliau sebagai menteri bersedia untuk mendengar keluhan kami ini," katanya. 

Sementara itu Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan meneliti segala masalah serta cadangan yang diluahkan oleh barisan pelumba berbasikal lebuh raya negara sebelum dapat mengambil tindakan susulan.

Khairy berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan segera hasil daripada perjumpaan tertutup bersama pelumba berkenaan tanpa mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak lain, termasuk PKBM.

Hasil perjumpaan yang berlangsung pagi tadi (semalam), ada sebahagian daripada mereka yang merupakan pelumba profesional telah meluahkan pandangan serta cadangan bagaimana untuk meningkatkan (kualiti) program acara lebuh raya negara.

Jadi, saya maklumkan kepada mereka bahawa perkara berkenaan akan dibincangkan bersama wakil PKBM dan pelumba lebuh raya negara pada satu forum khas (nanti)," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Perdana Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Keempat, 2014 di Kuala Lumpur.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment