Monday 8 August 2016

Mohd Jidin Tempah Padah Sifatkan ‘Ahmad Said Pejuang UMNO’?

 

Apakah Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie sengaja ‘mengundang padah’ apabila hari ini seakan-akan membela Datuk Seri Ahmad Said?

Dengan mengatakan bekas Menteri Besar itu sebagai seorang pejuang UMNO, Mohd Jidin meletakkan dirinya untuk diserang oleh mereka yang ‘tidak gemarkan’ Ahmad Said.

Lebih jauh apakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri  itu kini ‘menggali kuburnya sendiri’ apabila menegaskan bahawa Ahmad Said sayangkan Umno?

ADUN Ajil, Ghazali Taib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri dalam kenyataannya hari ini agak seiringan dengan apa yang dikatakan oleh Mohd Jidin.

Beliau amat yakin bahawa  Ahmad Said mempunyai semangat kesetiaan kepada UMNO yang kuat.

 “Datuk Ahmad Said datang (Sidang DUN) sebagai wakil rakyat BN (ADUN Kijal) dan komitmen kepada parti tak pernah pudar dari diri dia. Cuma orang yang menyatakan sedemikian rupa dan ia tidak betul.

“Padahal semangat UMNO dalam diri Ahmad Said masih kuat. Provokasi yang seolah-olah mahukan UMNO berpecah, padahal kita tidak ada apa-apa masalah,” katanya kepada media di luar  Sidang DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sedangkan, ketua-ketua Bahagian UMNO lain, sama ada sunyi sepi dan tidak berani ‘membela Ahmad Said’ atau  terang-terangan menyatakan sokongan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mohd Sabri...sokong Ahmad Razif
Secara nyata Ketua UMNO Kuala Terengganu dan UMNO Besut menyatakan sokongan kepada Ahmad Razif. Sementara Ketua UMNO Bahagian Dungun memang diketahui ‘tidak gemar’ dengan Ahmad Said.

UMNO Bahagian Kuala Terengganu mempertahankan kepemimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman menolak kritikan  oleh Ghazali baru ini.

Ketuanya Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata persoalan ditimbulkan Ghazali tidak relevan kerana Ahmad Razif membawa pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri selain menyelesaikan banyak isu rakyat dalam tempoh dua tahun pentadbirannya.

"Mengikut sejarah, siapa sebenarnya gagal? Dahulu negeri ini ditadbir oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut dengan memegang 24 kerusi di DUN. Selepas diambil alih oleh Datuk Seri Ahmad Said, Barisan Nasional (BN) hilang tujuh kerusi sebelum kepemimpinan negeri diterajui Ahmad Razif.

"Sehubungan itu, kita tidak boleh menyalahkan Ahmad Razif kerana beliau mengambil alih kerajaan negeri ketika BN cuma ada 17 kerusi," katanya kelmarin.

Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad berkata beliau tetap menyokong kepemimpinan Menteri Besar Terengganu dan berharap beliau dapat meneruskan tugas mentadbir negeri ini dengan lancar dan berkesan.

Nawi...berdiri teguh
Malah, UMNO Besut berdiri teguh sambil berikhrar untuk mempertahankan Ahmad Razif daripada digugat dalam meneruskan pentadbiran sebagai ketua kerajaan negeri.

Sementara Ketua UMNO Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari tidak terbabit sangat dengan politik negeri kerana menjadi Timbalan Menteri di peringkat Pusat.

Ketua UMNO Marang, A Latiff Awang pula dilihat lebih menjaga kedudukannya dan tidak bersuara banyak, waalaupun nampak dejat dengan Ahmad Razif.

Menurut Mohd Jidin hari ini, walaupun terdapat pihak menganggap Ahmad Said sebagai 'punca' kepada kemelut politik di negeri itu segala andaian yang timbul - kononnya ada usul undi tidak percaya - juga tidak berhasil apabila Ahmad Said datang ke sidang DUN hari ini tanpa membuat sebarang 'kejutan'.

Kerana itu bekas Ahli Parlimen Setiu itu amat yakin bekas menteri besar Terengganu itu memang pejuang yang sayangkan Umno.

Katanya, sidang DUN hari ini juga dihadiri oleh kesemua 17 orang ADUN Umno, sekaligus menafikan dakwaan akan ada ADUN yang memboikot sidang DUN tersebut.

"Ada tanggapan yang mengatakan Ahmad Said mungkin tak datang hari ini dan mungkin akan bawa usul, tapi semua itu tak ada. Ahmad Said datang dan tak bawa usul. Jadi habislah (isu kemelut di Terengganu).

"Tuduhan orang tak betul. Hari ini semua 17 (ADUN Umno) datang, jadi nak kata apa? Ahmad Said seorang ahli Umno, seorang pejuang Umno, bekas menteri besar, bekas pengerusi perhubungan Umno, bekas majlis tertinggi.

"Mat (Ahmad) Said ni mudah, hati dia lembut. Dia sayang Umno," katanya yang mengakui telah lama mengenali ADUN Kijal itu.


Mohd Jidin berkata demikian ketika ditemui Malaysiakini selepas sidang DUN di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
  
Beliau yang adalah EXCO  kerajaan negeri di mana sebelum ini disebut antara bakal menjadi menteri besar Terengganu sekiranya Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman disingkirkan.

Selain itu, EXCO perumahan dan kerajaan tempatan itu turut memberitahu bahawa beberapa wakil rakyat Terengganu telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan 'kemelut' negeri itu pada Sabtu lalu.

Namun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut.

Susulan pertemuan bersama Najib, Mohd Jidin menganggap presiden Umno itu sebagai seorang yang terbuka kerana sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dengan beberapa ADUN dari Terengganu walaupun dalam keadaan sibuk.

"Sebahagian besar pada 6 Ogos lalu bertemu dengan Perdana Menteri. Kita (ADUN) jumpa dulu. Kita pergi berbincang dan minta pandangan daripada dia (Najib) dan mungkin akan dipanggil sekali lagi.

"Perdana menteri sangat terbuka. Walaupun sibuk atau dah lewat dia akan jumpa juga," katanya lagi.

Malaysiakini difahamkan, Ahmad Said didakwa tidak dipanggil untuk bertemu Najib pada sesi tersebut.
Selain itu, ditanya sama ada beliau mengetahui sekiranya Ahmad Said akan 'meninggalkan' parti, Mohd Jidin berkata perkara itu tidak akan berlaku kecuali dipecat oleh Umno.

Bekas ahli parlimen Setiu itu juga memberitahu, hubungan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said juga 'baik' memandangkan kedua-duanya mengamalkan sikap terbuka.

"Tak ada (Ahmad Said cakap nak keluar parti). Akan terus berada dalam parti kecuali dia kena buang," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Said yang merupakan bekas menteri besar Terengganu dilaporkan sekali lagi mengancam keluar Umno dan akan bekerjasama dengan PAS.

Beliau hanya perlu sokongan seorang lagi wakil rakyat BN untuk membolehkan perkara itu berlaku.
Umno mempunyai 17 kerusi manakala pembangkang pula 15 kerusi dalam DUN.

Sebelum ini, Speaker Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul undi tidak percaya Ahmad Said kerana tidak mengikuti tempoh notis 14 hari ini.


Namun pada hari ini, sidang DUN berjalan seperti biasa tanpa ada usul undi tidak percaya dibawa oleh Ahmad Said.

5 comments:

  1. comey penulisan blog nie....nak jadi minyak petrol jangan jadi bodoh sangat. .boar lah api di padamkan dengan air bukan disimbah...

    ReplyDelete
  2. tindakan adun senior yg berfikir mestilah setanding dgn akal yg ada..jangan jadi pengapit berbati api...pengapit setiap masa ada tp jiwa yg panas dan nak kemarahan pada sesuatu yg mahu disejukkan...

    ReplyDelete
  3. zaman dato wan mokhtar dulu...terengganu kalah banyok pun..xdok satu pun tunding jari sesama diri..semua badi muhasabah diri...

    ReplyDelete
  4. selagi nok komen...doh bakpe baru nie PM panggil wakil rakyat teganu...ada jugok hok dok mari... ker ada cekelat getoh tepek tangan

    ReplyDelete
  5. selagi nok komen...doh bakpe baru nie PM panggil wakil rakyat teganu...ada jugok hok dok mari... ker ada cekelat getoh tepek tangan

    ReplyDelete