Wednesday 3 April 2013

Terengganu Bubar DUN Semalam, MB Hadiri Mesyuarat MT UMNO Hari Ini

 

Pembubaran Dewan Rakyat semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dun setakat tengah malam tadi.

Kecuali Sarawak yang belum perlu membubarkan Dunnya dan Negeri Sembilan yang Dunnya terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu, negeri-negeri lain dijangka membubarkan Dun masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak - membabitkan pertandingan di 727 kerusi, masing-masing 202 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.

Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan Dun diikuti Sabah, Melaka, Perak dan Terengganu. Ia diikuti Pahang lewat malam tadi.

Empat negeri yang dikuasai parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dun masing-masing semalam.

Ahmad Said ceria menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas  mesyuarat mingguan Exco semalam.
Di Dungun, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam.

Pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahmad Said yang membuat pengumuman itu pada pukul 10 malam semalam berkata, beliau telah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Nur Zahirah pada pukul 7.45 malam untuk mendapat perkenan baginda.

"Pukul 9 pagi esok (pagi ini) Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang akan menghantar notis pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya kepada pemberita di Dungun, malam semalam.

Pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam, Ahmad Said berkata pembubaran DUN Terengganu akan dibuat selepas diperkenankan Sultan Terengganu.

Pada PRU12 Barisan Nasional (BN) Terengganu menguasai Dun Terengganu dengan majoriti dua pertiga apabila menang 24 daripada 32 kerusi Dun manakala untuk kerusi Parlimen, parti gabungan itu menang enam daripada lapan kerusi.

Ahmad Said turut mengesahkan bahawa beliau akan kekal bertanding bagi kerusi Dun Kijal pada PRU13 kali ini.

Hari ini beliau di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.


Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Johor dijangka mengumumkan pembubaran Dun esok bagi membolehkan pilihan raya umum negeri itu diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen.

 Difahamkan Pejabat Menteri Besar tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembubaran Dun Johor pada hari ini dan urusan itu dijangka hanya akan berlaku esok.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di pusat pentadbiran kerajaan di Kota Iskandar namun beliau tidak mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Difahamkan Abdul Ghani berlepas ke Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno.

Di Georgetown, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dun selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi ini.

Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Dun akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat dan beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran itu.

Nik Abdul Aziz dijadual menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam ini  bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN Kelantan.

Sebelum itu beliau akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang di Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor petang ini.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau akan menghadap Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini berhubung urusan pembubaran Dun.

Selepas itu barulah beliau akan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah bagi memohon perkenan untuk membubarkan Dun.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob malam tadi mengumumkan pembubaran Dun. Bercakap kepada pemberita di pekarangan Istana Mahkota di sini pada pukul 11.45 malam ini, Adnan berkata, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memperkenankan pembubaran Dun Pahang.

Sebelum itu, Adnan menghadap Sultan Pahang pada jam 10.40 malam di istana itu.

Penggal lima tahun Dun Pahang tamat tempoh pada 7 April ini. Pahang mempunyai 42 kerusi Dun. Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, DAP dan Pas masing-masing dua kerusi dan Bebas satu kerusi. Adun Bebas di kawasan Dun Tanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan.

Terdapat 14 kawasan Parlimen di Pahang dan pada pilihan raya umum 2008, BN menguasai 12 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat menang dua kerusi.

No comments:

Post a Comment