Monday 8 April 2013

Tiada Sepakatan – PKR Umum Calon Sehari Awal Daripada PAS…

Oleh Pok Teh Bakap

Dilaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon PKR Terengganu yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) malam ini.

Sementara PAS Terengganu akan mengisytiharkan secara rasmi calon-calon yang akan bertanding di Dewan Tok Guru, Rusila pada Khamis 11 April, jam 9 malam.

Ini bermakna PKR mendahului PAS, walaupun Terengganu ini pada dasarnya negeri ‘milik PAS’.


Amat jelas PKR dan PAS Terengganu seperti berebut-rebut untuk menyatakan ‘kawasan taklukan’ mereka dan sangat jelas pakatan pembangkang tidak akan dapat ‘bersatu hati’ sejak sebelum pilihan raya umum lagi.

Pengumuman oleh PKR itu akan dibuat sempena Jelajah Merdeka Rakyat dan akan dibuat di pekarangan Pejabat PKR Cabang Kemaman di Taman Jakar Jaya, Chukai. Ketua Penerangan PKR Cabang Kemaman, Alias Abd Majid berkata, semua penyokong Pakatan Rakyat (PR) termasuk Barisan Nasional (BN) dan Umno dialu-alukan hadir.

“Pada malam tersebut Datuk Seri Anwar juga akan sampaikan amanatnya yang terakhir sebelum bermulanya hari pengundian,” katanya.

Kata Alias, beliau percaya PRU 13 ini masa dan peluang terbaik bagi seluruh rakyat untuk melakukan perubahan kerana rakyat sudah lebih 50 tahun dibelenggu dengan cara pemerintahan ala Umno dan BN yang penuh penipuan dan rasuah.

“Semoga dengan kehadiran seluruh rakyat Terengganu pada malam tersebut akan memberi satu jawapan bahawa kali ini kita tukar dari BN kepada PR,” katanya.

Mudahnya analogi yang dibuat oleh Alias untuk menukar kerajaan BN tetapi berapa kerusikan PKR bertanding berbanding PAS? Isu yang menjadi pertanyaan ialah di manakah PKR akan bertanding?

Apakah PAS akan membenarkan mereka bertanding di kerusi yang dianggap ‘menang’ oleh PAS?

Apakah PKR hanya akan mendapat kerusi ‘bunuh diri’? Memanglah PKR optimis bahawa kerusi-kerusi PKR di Terengganu bakal ‘menghidupkannya semula’ apabila ia kalah di kesemua tujuh kerusi termasuk dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggambarkan bahawa tidak mustahil kerusi-kerusi yang ditandingi PKR pada pilihan raya akan memihak kepada calon parti itu sebagaimana pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Di Terengganu masa 1999, memang tiada tanda-tanda langsung (pembangkang menang) dan secara tiba-tiba berlaku (peralihan kuasa politik) di negeri Terengganu disebabkan oleh perubahan minda rakyat Terengganu, dicampur dengan generasi muda yang celik teknologi maklumat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat PKR sempena Pelancaran Van PRU13, di Jalan Pejabat, di Kuala Terengganu, pada 28 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azan yang juga bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, keputusan tidak dijangka yang berpihak kepada pembangkang terutama di kerusi ditandingi PKR boleh berlaku berikutan perkembangan positif dan kesedaran rakyat itu.

“Isu berkenaan dengan kesedaran rakyat negeri Terengganu seperti kepentingan pembayaran royalti, saya rasa majoriti rakyat Terengganu juga mengharapkan satu imej baru akan wujud.

Saya rasa rakyat Terengganu telah memikirkan ‘caption’ untuk mewujudkan Terengganu baru,” katanya.

Selain isu kerusi yang dipertandingkan, Azan sendiri belum pasti bertanding di kerusi mana selepas beliau dipaksa melepaskan kerusi Parlimen Indera Mahkota.


Azan (gambar atas) dikatakan mengintai kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetapi tidak mungkin PAS akan melepaskan mudah kerusi berkenaan yang kini disandang sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Ada cakap-cakap Abdul Wahid akan melepaskan kerusi berkenaan untuk ditandingi Dr Syed Azman Syed Ahmad, namun segala-galanya belum pasti.

Akhir-akhir ini, ada cakap-cakap Azan akan diangkat menjadi calon PKR bagi DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu dan ia semakin terserlah apabila banner-banner dan bunting yang meletakkan gambar Azan Ismail bersama-sama perkataan "Undilah PKR" dilihat di jalan-jalan utama sekitar Kampung Tiong dan di kawasan Losong.

Ada juga desas-desus yang menyatakan bahawa Azan akan dibawa bertanding di Parlimen Kemaman, namun berdasarkan kerja buat Azan yang dilihat lebih banyak berada di sekitar Kuala Terengganu, maka penulis melihat adanya asas sekiranya hendak dikatakan bahawa beliau akan dibawa bertanding di DUN Bandar.

Cakap-cakap juga menyebut Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Negeri Terengganu yang juga kerabat diraja Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah akan dijadikan calon PAS sama ada di DUN Batu Buruk ataupun di Parlimen Kuala Terengganu.

 

Utusan Malaysia Online pada 5 April lalu menyebut PAS memberi bayangan bahawa Pengerusi Amanah Terengganu itu bakal diletakkan bertanding mewakili parti itu bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Pengumuman secara 'rasmi' itu tidak sengaja dibuat Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang) ketika berceramah di Cabang Tiga pada malam 4 April.

Bagaimanapun, Raja Kamarul ketika ditemui pada majlis yang sama enggan mengulas berkenaan perkara tersebut dan memaklumkan beliau masih belum menerima tawaran secara rasmi.

Pun begitu, beliau mengakui akan mempertimbangkan tawaran itu jika benar PAS menawarkan beliau bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dipegang Abdul Wahid selepas  memenangi pilihan raya kecil pada tahun 2009.

Secara tidak rasmi begitulah (dicalonkan) tetapi saya masih belum terima apa-apa tawaran dan saya tidak mahu mendahului parti jadi, biar lah mereka umum dahulu. Ya,.. memang tawaran ada datang daripada PAS tetapi saya orang baru, Yang Berhormat terdahulu juga tidak tahu dapat bertanding atau tidak masakan saya yang baru akan dipilih," katanya.

Beliau menyatakan lebih selesa bergerak di bawah Amanah dan tidak tahu lagi secara rasmi bertanding atau tidak dan buat masa sekarang Amanah adalah platform beliau.

Sekiranya Raja Bahrin dicalonkan sebagai calon di Dun Batu Buruk, berkemungkinan besar wakil rakyat sekarang iaitu Dr.Syed Azman (gambar kiri) akan dibawa bertanding ke Parlimen Kuala Terengganu, kerusi yang pernah disandangnya pada tahun 1999.

Banner-banner gergasi yang dinaikkan di sekitar jalan utama di Kuala Ibai dalam DUN Batu Buruk dengan jelas memaparkan gambar Raja Bahrin dan Dr.Syed Azman dengan meletakkan slogan "Undi Pakatan untuk Pendidikan Percuma".

Amat jelas Azan akan menghadapi masalah pencalonannya di Kuala Terengganu kerana menurut Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, parti itu akan meletakkan calon dan bertanding di tujuh dari lapan kerusi parlimen dalam negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13.

Jika demikian, di manakah Azan akan bertanding?

No comments:

Post a Comment